1 BERDASARKAN Teori X dan Y oleh McGregor, manusia mempunyai potensi dan peluang yang sama banyak sama ada untuk melakukan kesalahan atau memilih kebenaran.Jika manusia dibiarkan tanpa perhatian manusia akan memilih apa yang ia rasa seronok untuk melakukannya, termasuk perkara-perkara yang salah.
2 Apatah lagi manusia itu masih bergelar pelajar yang belum cukup matang untuk dibiarkan berfikir bebas dan bersendirian dalam membuat pilihan. Sering sahaja pilihan itu tidak tepat dan merosakkan diri mereka.
3 Sebab itulah pelajar memerlukan bantuan dan bimbingan secara berterusan. Di sekolah, bimbingan dan bantuan itu diberi oleh insan yang sangat mulia yang bergelar guru. Guru akan memandu dan membantu pelajar agar niat yang tidak betul jika ada pada diri pelajar itu tidak akan dapat dilepaskan untuk melakukan kesalahan.
4 Guru mesti mempastikan yang pelajar tidak diberi ruang untuk melakukan kesalahan meskipun pelajar itu pada awalnya mempunyai niat untuk melakukannya. Tegasnya niat sahaja tidak akan berupaya direalisasikan jika tidak ada ruang yang akan diambil sebagai peluang untuk berbuat demikian.
5 Maka antara fungsi guru ialah menutup segala ruang agar pelajar tidak mengambilnya sebagai peluang untuk melakukan kesalahan. Kesalahan yang dilakukan oleh pelajar seperti ponteng kelas, berbuat bising, mencuri, merokok dan sebagainya hampir semuanya berpunca daripada ruang yang wujud di sekitar mereka yang kadang-kadang tidak disedari oleh para guru.
6 Kita sebagai guru hendaklah peka dengan segala kemungkinan yang boleh sahaja menjadi ruang agar tidak disalahgunakan sebagai peluang oleh pelajar untuk melakukan kesalahan.
7 Selain menutup ruang dan peluang daripada mereka melakukan kesalahan, kita juga patut memberikan hanya yang terbaik kepada pelajar, iaitu sesuatu yang bersifat kekal dan holisitik sebagai langkah pencegahan untuk jangka panjang.
8 Janganlah sampai kita meninggalkan perkara pokok disebabkan tumpuan yang berlebihan kepada perkara-perkara cabang. Pengisian rohani dan ibadat adalah merupakan perkara pokok yang saya maksudkan yang mesti diberi penekanan oleh pihak sekolah.
9 Langkah pengisian mesti dijalankan serentak dengan langkah pencegahan. Melakukan amal soleh sahaja masih belum mencukupi sekiranya seseorang itu tidak meninggalkan perkara-perkara mungkar.
10 Tindakan menghukum pelajar yang bersalah tidak cukup untuk mendidik pelajar yang lain jika jiwa pelajar masih kosong daripada aspek rohani dan agama.
11 Oleh itu sekolah patut mengambil inisiatif untuk melaksanakan program pembangunan rohani dengan memanfaatkan unit-unit tertentu di bawah empat Bidang Kemenjadian Utama Sekolah, iaitu bidang pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan HEM melalui penggubalan satu pelan bertindak yang dinamakan sebagai Manual Program Pembinaan Sahsiah Pelajar atau nama-nama lain yang bersesuaian yang antara lain bertujuan membendung kes salah laku pelajar sama ada di dalam sekolah mahupun di luar sekolah.
12 Dalam merealisasikan usaha ini seluruh tenaga guru Pendidikan Islam mesti digembleng secara bersepadu bersama unit-unit lain di bawah 4 Bidang Utama Kemenjadian Sekolah seperti yang dijelaskan tadi dengan dikawal selia terus oleh Pengetua dan pentadbir. Ketua Panitia Pendidikan Islam akan berfungsi sebagai Setiausaha dalam JK Program ini dengan penyelarasnya ialah kaunselor sekolah.
ABD BASHID BIN HARUN











No user commented in " Program Pengisian Rohani Mesti Dilaksanakan Di Sekolah (Bahagian 2) "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply