” Manusia paling bodoh pun tahu bahawa kemalangan memang tidak berbau, tetapi sebahagian daripada kita begitu ghairah memuncungkan hidung mahu menghidunya, bukan sekali tetapi beberapa kali. Namun belum pun sempat mereka mencium baunya, mereka telah menemui ajal mereka. Maka untuk mententeramkan hati, yang masih hidup antara kita pun berkata bahawa ini sudah takdir. Begitu mudah mereka mengembalikan sesuatu petaka yang mereka sendiri ghairah mengejarnya ke pangkuan Tuhan mereka, seolah-olah Tuhan hanyalah tempat longgokan semua kekesalan itu sedang diri mereka sendiri mahu bebas dan tiada kaitan langsung. Ajal seperti juga jodoh pertemuan adalah takdir. Tetapi bukan kematian di atas jalan yang anda sendiri berebut-rebut mahu mengejarnya. Itu bukan takdir. Itulah yang dipanggil qadha’ atau pelaksanaan Tuhan atas kemahuan dan kedegilan anda sendiri. Allah menentukan kematian buat semua yang bernyawa, tetapi kematian di atas jalan itu mungkin sebahagian sahaja menjadi ketetapan-Nya, sementara sebahagian yang lain hanyalah untuk meluluskan apa yang anda sendiri mahu ianya terjadi, ” GuruBashid