1 Hasrat saya untuk menyampaikan khutbah Jumaat seperti terkandung dalam posting saya sebelum ini nampaknya mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
2 Saya sengaja menuliskan hasrat saya itu bagi mendapatkan maklum balas agar saya dapat mempersiap diri sebelum melakukannya.
3 Saya tahu bahawa saya boleh sahaja melakukannya terus tanpa memberitahunya di sini asalkan saya sudah mendapat keizinan Pengetua saya dan JK Masjid yang dimaksudkan.
4 Tetapi apabila saya memilih untuk memberitahu tentang hasrat saya melalui blog kesayangan saya ini, saya sebenarnya telah mendapat lebih faedah daripadanya. Sesuatu yang pada permulaannya hanya merupakan jangkaan sahaja, kini menjadi terang lagi bersuluh buat saya.
5 Sekurang-kurangnya saya sudah tahu sekarang siapakah yang bersetuju dan siapakah pula yang menentang beserta alasan-alasannya sekali.
6 Saya juga mempelajari sesuatu yang berguna di sini bahawa bukan semua niat baik kita dapat berjalan dengan mudah ketika sebahagian besar anggota masyakarat kita diselubungi banyak keraguan, syak wasangka dan sangka buruk kepada yang lain.
7 Keadaan ini menjadi lebih serius ketika sebahagian daripada kita lebih teruja dengan kata-kata berbaur sinis berbanding dengan apa yang mereka dapat tawarkan untuk agama, bangsa dan negara.
8 Malahan ada yang bertindak seperti orang nakal dengan menggertak saya dengan berkata tidak takutkah saya untuk berkhutbah di sebuah masjid yang dikuasai oleh oleh sebuah parti politik.
9 Saya sendiri sebenarnya tidak menganggap sedemikian, sebab bagi saya masjid itu ialah rumah Allah, tetapi mereka sendirilah yang menggembar gemburkannya dan membuka pekung sendiri.
10 Mereka menggunakan alasan kepartian untuk menggertak saya sedangkan tidak sedikit pun terlintas dalam kepala saya tentang soal kepartian ketika memasang niat untuk berkhutbah.
11 Mereka mungkin menyangkakan yang saya akan menyampaikan khutbah berbaur isme kepartian yang saya dokong. Saya ingin beritahu mereka bahawa cukuplah anda dan parti anda yang berbuat begitu, tetapi bukan saya mahupun parti yang saya dokong.
12 Setahu saya sebelum ini dan selama parti saya memerintah khatib tidak pernah bercakap soal parti dan pilihan raya dalam khutbah mereka walaupun parti dan kerajaan yang saya dukung lebih banyak peluang untuk berbuat begitu jika mereka mahu.
13 Ketika saya memasang niat untuk menyampaikan khutbah, hanya ada satu yang berlegar dalam minda saya iaitu untuk memberikan suntikan motivasi kepada masyarakat setempat tentang keperluan kepada pendidikan untuk anak-anak mereka.
14 Saya juga mahu mereka sentiasa sedar dengan sama-sama memerhatikan persekolahan anak-anak mereka seperti kedatangan dan ketepatan waktu sampai ke sekolah.
15 Saya mahu menjelaskan kepada mereka betapa ruginya jika anak-anak mereka tidak datang ke sekolah selain menyeru mereka untuk bersama-sama pihak sekolah dalam menunaikan tanggungjawab pendidikan yang bukan senang ini.
16 Saya kira khutbah adalah satu daripada strategi yang berkesan untuk kita mengkomunikasikan tentang sesuatu yang berfaedah kepada masyarakat setempat dengan syarat individu yang menyampaikannya mempunyai kemahiran dan mengetahui hukum-hukum tentangnya.
17 Saya kira saya mempunyai kemahiran dan pengalaman tentang itu. Walaupun tidak banyak,ia memadai . Maka tentulah tidak salah untuk saya menawarkan kepada masyarakat setempat saranan dan nasihat golongan pendidik seperti saya melalui khutbah.
18 Khutbah sebagai medium penyampaian nasihat dan sarana tidak wajar diragui. Khutbah adalah alat dan menyampaikan sesuatu yang berguna melaluinya dengan cara yang penuh berhikmah serta tepat pada waktu, sasaran dan kandungan adalah strategi yang boleh sahaja menjadi cukup ampuh.
19 Ada juga sahabat saya melalui komennya dalam blog ini menuduh saya mahu menjadi juara atau jaguh dengan menyampaiakan khutbah. Dia bertanya siapalah saya yang sekadar PK HEM untuk memainkan peranan begitu di tempat baru saya.
20 Saya agak dukacita apabila ada sahabat saya yang berfikir begitu dan menentang hasrat murni saya itu. Bukan disebabkan tuduhan yang dilemparkan kepada saya tetapi kerana alasan yang digunakannya itu tidak cukup profesional malahan bertentangan sama sekali dengan apa yang kami perolehi semasa menuntut ilmu kepengetuaan suatu ketika dahulu.
21 Mereka bukan tidak pernah mempelajari tentang analisis SWOT, analisis PEST, faktor kritikal yang menentukan kejayaan(CSF), hubungan sekolah dengan komuniti, kepelbagaian strategi, dan taktik, pendekatan kepemimpinan situasional serta kepemimpinan transformasi.
22 Kalau individu ini menganggap menyampaikan khutbah itu suatu cara untuk menunjukkan jaguh, itu mungkin benar bagi mereka yang ada niat berbuat begitu atau hanya ada cara ini sahaja untuk mencari pengaruh. Bagi saya berkhutbah itu hanyalah satu strategi dan satu pendekatan.
23 Tidak timbul yang saya hanyalah sebagai PK HEM sahaja untuk melakukan semua itu. Yang penting saya akan menyampaikan sesuatu yang memang berkaitan dengan bidang dan ruang lingkup tugas saya. Tentulah ianya dalam restu pengetua dan persetujuan JK Masjid.
Hakcipta Abd Bashid Harun











3 users commented in " Banyak Yang Saya Pelajari "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackasalam,
saya bersetuju dengan pendapat cikgu, kita perlu memainkan peranan kita di mana saja kita berada tidak kira siapa kita samada guru atau siapa saja, dakwah tetap wajib di sampaikan. jangan menyempitkan ruang dakwah seolah-olah ianya hanya boleh dipelopori oleh sesetengah organisasi atau wadah.malahan dakwah menyampaikan perkara yang baik dan benar adalah tanggungjawab setiap yang mengaku muslim.khutbah salah satu instrument dakwah yang berkesan kerana ianya disampaikan kepada semua lapisan masyarakat dan merangkumi semua aspek.
GuruBashid:
Terima kasih kerana memahami
kalau untuk mengajak palajar ke sekolah,,,, x payah memalui khutbah…. pergi lah ziarah dari rumah ke rumah kalu berani tak pun buat semiminar percuma untuk ibubapa….kita kan ada persatuan PIBG… apa lagi..gunakanlah…. kalau berkhutbah jumaat….. memang guru orang yang tidak sesuai….
salam.
Harap pihak sekolah ambil langkah lebih drastik lagi dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar.Hanya tinggal beberapa minit waktu persekolahan bermula,pelajar-pelajar ini masih lagi sempat melepak di salah sebuah rumah seorg kawan,di taman perumahan berdekatan,sambil menghisap rokok.Saya sebagai salah seorg ibu pelajar di sekolah ini,memberi 100 peratus sokongan kepada pihak sekolah.Andainya sokongan berterusan diberikan dari segenap ibu bapa pelajar,saya pasti sekolah ini boleh mencapai tahap pencapaian akademik yang memberangsangkan dan tahap sahsiah yang terpuji.
Cikgu Abd Bashid Harun:
Salam kembali buat warga prihatin,
Inilah salah contoh yang boleh dilakukan oleh anggota masyarakat dalam membantu pihak sekolah. Pihak sekolah memang memerlukan lebih banyak mata dan telinga di luar sana kerana kekangan masa dan tenaga yang ada pada kami tidak akan mampu melihat masalah hingga ke luar sana. Sebab itu kita mengalu-alukan apa jua bentuk kerjasama dan sokongan kepada pihak sekolah. Insya-Allah peraturan roll call yang kita kuat kuasakan semula akan menjadi modus operandi berkesan jika dapat dilaksanakan ke tahap optimum khususnya dalam melatih ketepatan masa, mengesan pelajar ponteng dan mendisiplinkan pelajar SMK Kamunting.Saya sedar bukannya mudah menguatkuasakan peraturan sekolah ke atas pelajar yang berjumlah 1853 orang, namun saya optimis dan berkeyakinan dengan bantuan guru-guru, ibu bapa dan masyarakat setempat tiada masalah yang tidak dapat diatasi dan tahap pencapaian akademik pelajar sekolah ini akan berjaya ditingkatkan. Insya-Allah. Terima kasih yang terhingga buat warga prihatin.
Leave A Reply