Jangan pandang remeh menjadi wanita. Sesungguhnya wanita pertama yang berhijrah ialah Hajar. Orang memanggilnya saidatina Hajar yang bermaksud wanita berumur yang telah berhijrah. Ditakdirkan Tuhan dek kerana penghijrahan beliau bersama anaknya Ismail, wajah sebuah tempat yang asalnya kering kontang tiba-tiba membangun menjadi sebuah kota yang terkenal dan menjadi tumpuan iaitu Bakkah atau Mekah. Di sini letaknya perigi zam-zam yang terhasil daripada kepungan air oleh sepasang tangan yang lemah yang mengharapkan setetes air untuk anaknya yang juga lemah. Wajah sejarah bermula dan berubah dari sentuhan tangan lemah wanita ini. Wanita ini berlari-lari anak sambil di mulutnya tak lepas-lepas menyebut air! air! kemudian memperlahankan lariannya dan berteleku sambil memohon pertolongan kepada Allah. Kemudian berlari lagi dan menyebut lagi perkataan yang sama iaitu air. Ya air sebagai simbol kehidupan, simbol keperluan dan simbol dunia yang memang diperlukan. Rupa-rupanya larian dan pergerakan itu menjadi syiar dan kemudiannya diangkat tarafnya menjadi rukun dalam ibadat haji yang semua orang wajib mengikutnya jika tidak kerananya haji tidak sah. Begitulah si lemah itu mencipta sejarahnya. Tetapi bukan lemah selama-lamanya kerana  hanya wanita yang punya kekuatan jiwa dan darjah kesabaran yang tinggi sahaja yang berupaya mengadapi semua cabaran yang diaju kepadanya. Hajar telah melepasinya dan kini layaklah dia menerima anugerah itu di mana perbuatannya diangkat sebagai contoh kepada semua jemaah haji sama ada lelaki atau perempuan. Wah hebat sungguh ibu kita yang mempertarungkan nyawanya untuk melahirkan kita. Begitu juga hebat sungguh isteri kita, anak-anak perempuan kita, saudara-saudara perempuan kita dan  nenek-nenek kita. Berbanggalah menjadi wanita kerana Hajar yang merobah wajah sejarah itu adalah wanita yang lelaki pun terpaksa tunduk kepadanya.