Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Seluruh kaum muslimin yang dirahmati Allah.
Sesungguhnya tidak timbul isu orang bukan Islam sampai dibenarkan kencing di dalam masjid,apatah lagi mengaitkannya dengan sirah rasulullah s.a.w. memandangkan peraturan-peraturan pembinaan sesebuah masjid/surau itu wajar dipatuhi dan sudah sepatutnya memenuhi ciri-ciri pembinaan sebuah rumah Allah. Bukankah mengikut hukum asalnya tandas masjid/surau mestilah terpisah dengan bangunan induk masjid/surau itu sendiri.
Hukum asal ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan pada masa akan datang yang boleh dikaitkan dengan rumah Allah. Sebab itu jika ingin membina masjid atau surau, hatta rumah kediaman sekali pun seelok-eloknya tandasnya dipisahkan daripada bangunan induk atau sekurang-kurangnya ada benteng pemisah antara masjid/surau dengan tandas agar jelas perbezaan antara kawasan masjid dengan kawasan tandas.
Ini sebenarnya telah lama difikirkan oleh ulama’ silam dan oleh para arkitek muslim demi menjauhi sebarang nista/fitnah ke atas rumah suci Allah, tempat ibadat yang dikhusukan kepada orang Islam.
Sesungguhnya ulama’ Islam pada waktu itu sentiasa mencari pendekatan terbaik yang lebih menjurus kepada menutup sedapat mungkin ruang dan peluang fitnah, dzan dan syak yang kemungkinan dikaitkan ke atas umat Islam, agama dan seluruh institusi yang berkaitan dengannya.
Bagaimanakah kaedah untuk menentukan kawasan tandas itu bukan termasuk dalam kawasan masjid?. Salah satu kaedah yang boleh dipakai di sini ialah tandas atau kawasan sekitarnya itu tidak sah atau tidak harus berlaku padanya solat tahiyattul masjid dan iktikaf sekalipun tandas dan kawasan sekitarnya itu bersih daripada sebarang najis dan kekotoran. Maknanya yang dimaksudkan dengan masjid ialah ruang yang sah didirikan solat tahiyatul masjid dan iktikaf di dalamnya.
Jadi jika diambil kira struktur pembinaan masjid dan surau di negara ini ternyata hampir kesemuanya memenuhi piawaian seperti ini. Oleh itu tidak timbul yang orang bukan Islam pun boleh dibenarkan kencing dalam masjid sebagaimana dakwaan Aziz (Nik) itu.Sebabnya orang bukan Islam dengan kebenaran pihak masjid atau surau atau sebab musafir dan terdesak memang telah lama dibenarkan menggunakan tandas masjid dan surau.
Jika Nik Aziz sengaja bermaksud mahu mengelirukan orang Islam awam dengan perkataannya itu ternyata sekali hal yang sedemikian tidak sepatutnya dilakukan olehnya atas kedudukannya sebagai Tok Guru bagi orang PAS.
Sesungguhnya jika benar dia orang alim sebagai lawan orang awam sebagaimana gelaran Tok Guru yang ada diberikan kepadanya, dia patut menghindari perkataan-perkataan atau ucapan seperti itu yang boleh sahaja jatuh kepada perangkap kekeliruan dan kekaburan yang tidak mustahil akan menjerumuskan Islam dan umatnya kepada fitnah umum.
Tetapi melihat kepada perbuatannya akhir-akhir ini dia nampaknya lebih cenderung untuk memilih perkara yang samar-samar seperti itu yang tentunya amat berlawanan dengan kecenderungan ulamak yang muktabar.
Sesungguhnya ulamak yang memiliki ciri-ciri kewarakan dan takutkan Allah amat berhati-hati dalam percakapan, tulisan mahupun perbuatan mereka kerana di khuatiri perkataan, tulisan dan perbuatan mereka itu akan menjatuhkan seseorang awam dalam keraguan dan keleliruan yang akhirnya membawa mereka kepada kesesatan atau istilah yang lebih tepat lagi perkataan si alim yang menyesatkan si awam.
Sekian,wassalam.
Abd Bashid Bin Harun
Bekas YDP Persatuan Guru Ugama Kebangsaan Sabah (PGUKS)











No user commented in " Kencing Dalam Masjid: Adakah Perkataan Nik Aziz Itu Benar "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply