1 UMNO sudah lama memperjuangkan Islam dan meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya. Dalam konteks Malaysia yang dihuni pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama dan budaya, kepercayaan dan amalan Islam di negara ini di bawah kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tetap terpelihara, dihormati dan tidak pernah dirasai sebagai suatu ancaman oleh penganut-penganut agama lain. Pelbagai kegiatan berteraskan Islam, program pembangunan umat Islam dan produk-produk Islam berkembang dengan pesatnya sehingga Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam contoh oleh negara-negara di dunia. Pada masa yang sama cara urus tadbir Islam BN (UMNO) tidak dianggap ancaman oleh kuasa-kuasa besar dunia. Cuma bezanya UMNO bukan sahaja tidak berminat malahan tidak bersedia untuk menggunakan cara-cara Islam PAS yang dilihat hanya gah pada nama dan pada mulut serta slogan sahaja, berbanding amal.

2 Pada amalannya UMNO dilihat jauh lebih ke hadapan dan praktikal dalam membawa kemajuan kepada umat Islam di negara ini dan berupaya memelihara kesucian agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Malahan UMNO dalam keadaan tertentu dilihat lebih serius dan lebih jelas dalam mempertahankan kesucian agama Islam di negara ini berbanding PAS. Jadi jika PAS mahu melihat UMNO kembali kepada Islam, itu tidak timbul sama sekali sebab UMNO memang berada di atas landasan Islam dan sekali-kali tidak pernah memisahkan Islam dalam perjuangan ke-Melayuannya. UMNO tidak pernah memisahkan antara Islam dengan Melayu sebagaimana Rasulullah s.a.w yang tidak pernah memisahkan antara risalah Islam yang dibawanya daripada tetap menghormati keturunannya daripada suku kaum Quraisy dan Bani Hashim. Tetapi jika yang dimaksudkan oleh Nik Aziz yang UMNO perlu mengikut Islam cara-cara PAS, sudah tentulah UMNO menolak. Islam di tangan PAS selalu terdedah kepada bahaya fitnah dan kesamaran dek terlindung dan dilindungi pakaian politik kepartian PAS. Kehebatan Islam PAS hanya terungkap dari mulut mereka lewat ceramah-ceramah mereka di pentas-pentas politik. Tidak lebih dari itu.

3 Islam di Malaysia akan lebih mudah jatuh kepada kekeliruan; terdedah dengan mudah kepada bahaya fitnah dan diurus niaga dengan harga murah jika cara-cara Islam PAS dibenarkan menggantikan Islam yang sepatutnya. Nama Islam yang dikaitkan dengan parti itu sering sahaja menjadi baju kalis peluru yang mengebalkan PAS dan dilihat dari segi lahiriah lebih gah daripada yang lain-lainnya. Sebelum ini sudah sekian lama kita dapat merasai ketenangan dalam amalan beragama, keharmonian hubungan antara kaum dan rasa hormat yang ditunjukkan antara satu sama lain di bawah pemerintahan BN. Tetapi segala-galanya berubah apabila cara-cara Islam PAS yang penuh kekeliruan dengan berpaksikan kuasa dan politik secara berlebih-lebihan diketengahkan sebagai landasan utama perjuangan hanya semata-mata mengejar kuasa atau mahu mengekalkannya. Kalau dahulu sekian lama PAS begitu keras dengan cara-caranya yang ekstrim mengenai Islam, kini secara tiba-tiba bertukar kepada cara-cara yang lebih terbuka, bebas dan liberal yang kadang-kadang dilihat jauh lebih longgar berbanding dengan UMNO yang dituduh tidak islamik itu. Cara-cara perjuangan PAS yang tidak konsisten itu; yang kadang-kadang ekstrim ke kanan atau ekstrim ke kiri dan kadang-kadang mahu berlepas tangan sama sekali amat membimbangkan dan mengelirukan umat Islam di negara ini. Mujurlah ada UMNO yang masih kuat sebagai parti tempat bergantung umat Islam di negara ini yang telah teruji nilai bandingannya serta berpengalaman luas dalam urus tadbir Islam. UMNO yang telah dimatangkan oleh pengalaman dan kepahitan perjuangan itulah yang secara berterusan dan konsisten menyedarkan orang ramai tentang kekeliruan dan penyelewengan yang dibawa oleh PAS.

4 Saya percaya dari sudut perkiraan politik yang menjadi perhitungan utama PAS sejak kebelakangan ini, parti yang berkulitkan Islam itu tentu tidak pernah senang hati dan sentasa berasa cemburu kepada UMNO. Masakan tidak, sekalipun mereka sudah mengenakan baju luar berjenama Islam sejak dahulu, UMNO yang sederhana yang diserang bertubi-tubi itu tetap juga mendapat tempat di hati rakyat. PAS sedar yang mereka tidak akan mendapat keuntungan politik sampai bila-bila pun dengan cara urus tadbir Islam di bawah UMNO. PAS sedar sekalipun UMNO meletakkan nama Melayu dalam partinya, namun dari segi memartabatkan Islam dan umat Islam di negara ini UMNO jauh lebih bersungguh-sungguh, lebih berjaya dan lebih berjasa daripada PAS. Tetapi dari segi suara dan kelantangan meneriakkan perkataan Islam UMNO terpaksa angkat tangan dengan PAS sebab di dalam PAS memang telah dilatih dengan kekuatan lidah; hujah dan syarah, sedangkan dalam UMNO yang ada hanyalah buat kerja dan berbakti kepada rakyat & negara. UMNO yang memegang tampuk kuasa di peringkat pusat dalam kerajaan BN tetap memelihara Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan orang Melayu masih menjadi agenda utama dalam perjuangan parti utama orang Melayu itu. PAS sendiri bukan tidak tahu yang mereka sendiri tidak mampu berbuat seperti yang UMNO lakukan, kecuali cakap cakap sahaja.

5 Sebab itulah PAS dari dahulu lagi telah mencuba pelbagai cara untuk memecahkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap cara gaya Islam UMNO yang dilihat lebih bertoleransi dan sederhana ini. PAS memahami bahawa mereka tidak mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan UMNO dalam perjuangannya membangunkan Islam dan umat Islam di negara ini melalui pendekatan aktiviti dan projek pembangunan umat. Jika mampu sekali pun mereka tidak akan menggunakan cara-cara yang sama dengan UMNO takut-takut dikata oleh ahli-ahli mereka yang mereka sudah dipengaruhi oleh UMNO. Jadi cara yang ada hanyalah satu, iaitu mencipta keburukan demi keburukan, melontar fitnah demi fitnah dan mengenakan label demi label negatif ke atas parti UMNO dan ahli-ahlinya. Lalu tuduhan demi tuduhan dibuat ke atas UMNO dari yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besarnya seperti dakwaan mereka bahawa UMNO tidak Islamik dan terkeluar dari landasan Islam yang sebenar. Jika tuduhan itu dilontarkan sekali dua, ianya tidak akan meninggalkan apa-apa kesan, tetapi jika ianya dilakukan secara berterusan dan berpasukan akhirnya akan terkesan juga di hati rakyat.Inilah yang berlaku pada masa kini, malahan semakin menjadi-jadi sejak PAS memilih untuk bersekutu dengan PKR yang turut serta di dalamnya DAP. PAS yang sudah menjauhi UMNO dan memandang saudaranya itu dengan penuh kebencian, kini lebih gemar mendengar nasihat demi nasihat daripada rakan sekutunya itu. Disebabkan faktor ketamakan kuasa, mereka lebih rela kehilangan saudara mereka daripada UMNO daripada berhadapan dengan rajukan dan sungutan rakan-rakan politik mereka dalam pakatan yang rapuh itu. Hanya disebabkan kebencian mereka kepada UMNO yang tidak boleh disaingi melalui cara biasa dan pilihan raya, maka mereka akan terus melakukan cara-cara yang mereka sangka merosakkan UMNO, tetapi sebenarnya semakin merosakkan rasa hormat kepada bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia itu sendiri.

6 Memandangkan PAS telah memilih jalan mereka sendiri iaitu dengan menjarak daripada saudara se-Islam mereka dalam UMNO dan memilih untuk berakrab dengan PKR dan DAP kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Namun dalam kedudukan yang seperti itu kita masih meletakkan harapan agar saudara se-Islam kita yang berada dalam PAS mampu memimpin dan menjadi mentor dalam pakatan pembangkang itu. Suara-suara mereka harus lebih menonjol dalam pakatan itu, khususnya dalam memperjuangkan agama dan umat Islam di negara ini. Itulah yang kita mahu lihat dilakukan oleh PAS dalam pakatan itu, setelah pemimpin mereka menolak kerjasama dengan UMNO. Tetapi realitinya tidak begitu. Mungkin juga mereka menolak kerjasama disebabkan mereka tidak mahu dibayangi kepimpinan UMNO dan mereka memikirkan di manakah kedudukan mereka dalam kerjasama itu. Ini sebenarnya bukanlah masalah besar jika mereka mahu berunding tanpa syarat dengan UMNO. Dua parti itu harus duduk semeja dahulu, dan kemudian barulah kita tahu bagaimana hendak melagang proses selanjutnya.Tetapi masalahnya mereka semacam mahu bekerjasama dengan kita, tetapi banyak pula kata-kata kurang manis yang dilemparkan untuk merendah-rendahkan kita. PAS wajar sedar diri, apa yang terjadi kepada parti kulit berwarna hijau itu dalam pakatan pembangkang. Sehingga hari ini tidak jelas pada penglihatan dan pendengaran saya yang PAS memimpin dan mendominasi pakatan yang disertainya. Jika PAS ikhlas dan tegar mahu melihat Islam diketengahkan sebagai landasan dan juga matlamat, PAS harus konsisten meletakkan asas perjuangananya itu walau di mana ia berada. Apa yang selalu digembar gemburkan oleh PAS khususnya Nik Aziz mereka bersedia menjalin hubungan dengan UMNO jika UMNO bekerjasama dengan mereka daalam memperjuangkan Islam. Tetapi kita keliru apabila PAS memilih untuk bekerjasama dalam wadah PKR dan DAP yang tidak pernah meletakkan perjuangan Islam dalam niat mereka sekalipun. Adakah Islam yang diperjuangkan oleh PAS lebih selamat dan lebih berupaya berkembang dalam wadah pakatan pembangkang? Adakah umat Islam akan terus bertahan dan dipertahankan dalam wadah perjuangan yang mereka sertai itu, berbanding dalam UMNO? Inilah yang harus difikirkan oleh setiap ahli PAS, yang sudah lama disedari oleh UMNO dan inilah juga satu daripada puncanya yang mendorong UMNO menyorongkan jalan kerjasama buat PAS.

7 PAS sedar yang taktik menghasut dan memburukkan UMNO dengan mengaitkan parti itu dengan pelbagai stigma yang tidak baik agak berkesan berbanding taktik menonjolkan apa yang PAS ada dan mampu tawarkan kepada umat Islam di negara ini. Bersandarkan nama Islam yang digunakan pada parti itu, PAS dilihat lebih mudah untuk membuat dakwaan bahawa parti itu memang sedang memperjuangkan Islam berbanding UMNO. Sekalipun mereka menipu tentangnya, orang awam masih tetap percaya kepada PAS disebabkan nama Islam yang digunakan itu.PAS berpegang kepada prinsip “kalau kita tak mampu buat seperti UMNO buat tak mengapa. Bukankah kita masih boleh membuat tuduhan ke atas mereka.” Membuat tuduhan adalah kerja paling mudah bagi seseorang yang tidak ada apa-apa kelebihan untuk ditonjolkan. Membuat tuduhan tidak melibatkan sebarang kos berbanding untuk membangunkan umat Islam dan rakyat negara ini. Gelagat PAS ini rupa-rupanya diperhatikan oleh DAP yang selama ini tidak pernah senang hati dengan kemelayuan dan Islam yang menjadi pegangan UMNO selama ini. DAP memang tidak puas hati dengan perlembagaan negara yang meletakkan orang Melayu, raja-raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu pada makamnya yang tersendiri. Kini DAP melihat mereka sudah ada alasan yang kukuh untuk menyerang orang Melayu dan parti UMNO secara lebih agresif. Kalau dahulu sebelum berada dalam pakatan, mereka lebih berhati-hati memperkatakan tentang agama Islam, raja-raja Melayu, bahasa kebangsaan dan keistimewaan yang ada pada bangsa Melayu, tetapi kini mereka menjadi lebih berani membuat ulasan dan kritikan di sana sini tanpa menghormati sama sekali perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara yang bersifat luhur. Banyak faktor yang memungkinkan mengapa sesetengah pihak terutama DAP berani membuat kenyataan terbuka seperti itu. Tetapi salah satu faktor yang tidak boleh dinafikan ialah berpunca daripada sikap PAS sendiri. PAS di dalam pakatan pembangkang tidak berupaya memainkan peranan “memimpin” dan “membetulkan” kedaaan seperti halnya dengan UMNO yang dilihat masih berupaya “memimpin” dan “memandu” rakan-rakan BN-nya. Suara PAS lantang, tetapi dalam mangkuk mereka sahaja dan dalam tentangan mereka yang ditujukan kepada UMNO. Tetapi secara tiba-tiba PAS hilang taring lalu menyepi dan menikus dalam wadah pakatan.

8 Saya percaya sebahagian besar ahli PAS mahu suara PAS yang lebih kedengaran dalam pakatan itu. Mereka tentu berharap agar PAS “memimpin” dan “menerajui” pakatan itu.Bukankah Islam itu tinggi dan memimpin? Tetapi di mana suara PAS dalam pakatan itu dan di mana ketinggian Islam yang diperjuangkan? Pada saya ini berlaku disebabkan niat mereka bekerjasama dengan PKR dan DAP bukan sangat didorong untuk menegakkan Islam seperti niat sebelumnya. Itu hanya gembar gembur mereka apabila berhadapan dengan UMNO yang telah diberi gambaran salah sebelumnya. Tetapi niat itu hampir-hampir sirna apabila mereka berada dalam pakatan pembangkang. Niat sebenar PAS hanyalah memudahkan mereka memenangi Pilihan Raya Umum dengan menjatuhklan BN yang diterajui UMNO. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Ya matlamat menang dalam pilihan raya itulah yang lebih utama dan bukannya matlamat menegakkan negara Islam.Apa lagi negara Islam yang mereka mahu setelah Malaysia memang diakui sebagai sebuah negara Islam. Maka matlamat itu sudah tidak berguna lagi setelah melihat UMNO lebih serius perjuangannya ke arah itu berbanding dengan PAS sendiri. Maka tidak apalah bekerjasama dengan DAP dan PKR asalkan dapat menang dalam Pilihan Raya Umum dan tidak malu dengan UMNO yang telah dituduh yang bukan-bukan.

9 Jadi melihat kepada apa yang sedang berlaku, apa lagi yang umat Islam, orang Melayu dan bumiputera dapat harapkan daripada PAS per se untuk memperjuangkan nasib dan masa depan mereka dalam pakatan itu berbanding UMNO dalam Barisan Nasional. Lebih baiklah memilih BN yang di dalamnya ada UMNO yang telah teruji nilai bandingannya, kaya dengan pengalaman dan sangat berjasa kepada mereka selama ini. Dalam kedudukan PAS seperti itu, apalah sangat yang diharapkan oleh UMNO daripada PAS yang berada dalam pakatan itu sehingga UMNO dipaksa tunduk kepada cara-cara Islam dan pendekatan PAS yang dilihat lebih menguntungkan PAS itu sendiri daripada umat Melayu dan Islam. Maka UMNOlah yang masih tinggal dan nampak jalan yang diharapkan untuk memperjuangkan Islam dan umat Islam di negara ini. Dan serentak dengan itu menjadi teraju kepada BN dalam memerintah negara ini dengan aman, stabil dan makmur. Oleh itu jika UMNO membuka ruang kepada PAS untuk bekerjasama, bukanlah kerana UMNO lemah, tetapi itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab UMNO untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan orang Melayu. Tanggungjawab UMNO selaku parti yang masih memerintah untuk menyedarkan PAS daripada kesilapannya dan untuk memperteguh kesatuan umat Melayu di negara ini. Usaha penyatuan umat Melayu ini telah lama dilakukan oleh UMNO, bukan baru sekarang ini. Jadi tiada sebab UMNO menagih kerjasama PAS kerana parti itu lemah. Disebabkan UMNO masih kuatlah UMNO mampu menjangkau apa yang akan terjadi ke atas umat Islam di negara ini jika mereka berpecah belah. Dan tentulah sebagai parti yang bertanggungjawab membawa Melayu dan umat Islam ke tahap ini UMNO tidak akan membiarkan nasib Melayu dan umat Islam di negara ini terus-terusan diperjudikan oleh pemimpin PAS yang berkepentingan. UMNO menyedari bahawa masih ramai ahli PAS dan orang Melayu di luar lingkungan politik yang mahukan Melayu bersatu dan menjadi satu kembali melalui penyatuan UMNO-PAS.

Hakcipta Abd Bashid Harun