1 SELAIN memberikan tumpuan kepada aspek luaran seperti pembinaan instrumen mencegah perlanggaran disiplin dan penguatkuasaan peraturan sekolah, pelajar-pelajar juga memerlukan program pengisian rohani yang dirancang secara tersusun, berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan sebenar sekolah yang dilaksanakan secara berterusan.

2 Adalah tidak mencukupi jika pelajar sekadar dikekang dengan sejumlah peraturan, peringatan, amaran dan hukuman sedangkan jiwa mereka tidak diisi dengan makanan rohani yang lebih daripada sekadar mencukupi.

3 Makanan rohani yang berupa pengisian ilmu agama, zikir dan latihan ibadat adalah keperluan jiwa sebenar pelajar yang berupaya mencegah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar. Jiwa kelompok remaja yang sedang membesar ini perlu dididik dengan ilmu agama serta amal makruf yang berterusan.

4 Usaha ini tentulah menuntut pengorbanan masa dan tenaga daripada golongan pendidik di sekolah. Aspek tenaga penggerak tidak sepatutnya menjadi masalah kepada kita sebab di sekolah ada sekumpulan ustaz dan ustazah yang mempunyai kemahiran agama yang tinggi yang boleh digembleng secara bersepadu untuk melaksanakan agenda murni ini.

5 Tentulah usaha ini lebih mudah dilaksanakan di sekolah-sekolah yang ada rancangan khas agama.

6 Keghairahan kita untuk menangani masalah disiplin melalui penguatkuasaan peraturan sekolah yang dimanifestasikan melalui amaran, hukuman dan dendaan jangan sampai kita terlupa kepada aspek yang satu ini sedangkan inilah yang mendasari disiplin keseluruhannya dalam mencapai matlamat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk keperluan duniawi dan ukhrawi.

7 Para guru di sekolah juga diharapkan agar tidak meletakkan harapan sepenuhnya kepada ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab memberi bimbingan agama dan rohani kepada anak-anak mereka. Mereka juga tidak patut berterusan menyalahkan ibu bapa jika sesuatu yang buruk terjadi ke atas anak-anak mereka.

8 Menyalahkan ibu bapa secara berterusan tidak akan mengubah nasib pelajar-pelajar kita. Jadi apa yang boleh kita lakukan sebagai insan yang pernah terdidik secara formal di pusat pengajian tinggi dan agak lebih bernasib baik daripada sesetengah ibu bapa ialah dengan membantu mereka dalam memberikan pendidikan agama dan bimbingan rohani kepada anak-anak mereka semasa di sekolah.

Hakcipta Abd Bashid Harun