Pada saya Islam adalah suatu peraturan hidup yang perlu dipelajari untuk sepanjang masa.Maksudnya Islam yang menjadi pegangan kita  wajib diperoleh secara benar melalui proses pembelajaran. Begitu juga amalan-amalan yang dibuat (sama ada rukun,wajib, sunat) dan amalan-amalan yang perlu dielakkan (makruh, haram, bid’ah dhalalah) mesti berdasarkan ilmu. Selain kedua-duanya, kepercayaan yang menjadi pegangan seseorang muslim itu mesti juga berdasarkan ilmu. Kita tak boleh sekadar percaya hanya kerana orang lain percaya. Kita percaya kepada sesuatu yang kita tahu tentangnya dan kita boleh mempertahankan kepercayaan itu berasaskan ilmu yang kita pelajari itu.   Apabila disebut pembelajaran sepanjang hayat, itulah kehendak Islam sebenar. Sabda rasulullah s.a.w. menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim (hadis riwayat ibn majah). Dalam satu hadis lain nabi s.a.w. menyebut tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Hadis kedua ini membawa maksud bahawa menuntut ilmu (terutama Islam) tiada had masa. Rasulullah s.a.w. juga bersabda tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negara China. Ini bermaksud tiada sempadan geografi dan bangsa dalam menuntut ilmu. Atas perkiraan itu saya menolak semua amalan dan kepercayaan yang didasarkan atas ikut-ikutan dan warisan.