Rencana ini pernah tersiar dalam akhbar Harian Nasional, hal 24
Pada 7 September 1984
1. Al-Quran diturunkan ketika kemajuan bahasa dan sastera Arab jahiliah mencapai zaman kegemilangannya. Ketika itu terdapat ramai ahli bahasa dan ahli sastera yang yang muncul di Semenanjung Tanah Arab. Ahli-ahli bahasa dan sastera ini telah dianggap golongan berilmu (ahlul Ma’rifah) iaitu orang-orang yang paling pandai di zaman itu.
2. Syair-syair yang dicipta oleh mereka pula bolehlah dianggap sebagai ‘Dewan Bangsa Arab’ atau ‘Arkib Kebangsaan Arab’. Panggilan ini amat sesuai digunakan kerana syair pada masa itu mengandungi gambaran-gambaran tentang adat istiadat, kepercayaan, agama, keadaan geografi, cara hidup masyarakat Arab Jahiliah dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman itu.
3. Tegasnya syair adalah sumber rujukan utama bagi mengetahui sejarah kehidupan orang-orang Arab jahiliah dan kegiatan mereka sebelum kitab suci Al-Quran diturunkan.
4. Pada masa itu tidak seorang pun yang cuba mempertikaikan kedudukan para penyair dan syair-syair mereka. Para penyair sangat dihormati oleh kabilah mereka kerana dianggap pelindung kepada kabilah itu di samping menjadi alat untuk mengharumkan nama kabilah masing-masing.
5. Oleh kerana tiada unsur-unsur yang boleh menggugat kedudukan mereka seperti para pengkritik menyebabkan para penyair Arab ini menjadi angkuh dan sombong. Mereka amat berbangga dengan kefasihan lidah dan kebolehan mereka mencipta syair secara spontan.
6. Setiap penyair bercita-cita-cita untuk menang dalam setiap pertandingan membaca syair yang diadakan di pasar-pasar Ukadz, Zul Majnah dan Zul Majaz. Kejayaan tertinggi bagi mereka ialah apabila syair-syair mereka berjaya digantungkan di di dinding ka’abah untuk menjadi tatapan orang ramai.
7. Di tengah-tengah suasana itulah Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Para penyair berasa terpegun dengan keindahan gaya bahasa dan isi kandungan Al-Quran.Tanpa disedari mereka turut mengkaji kitab suci itu bersama orang-orang Islam yang lain sehingga mereka lupa sebentar kepada syair tradisional.
8. Sekiranya umat Islam mengkaji Al-Quran untuk meningkatkan pengetahuan dan keimanan mereka, para penyair Arab jahiliah pula mengkajinya untuk mencari kelemahan Al-Quran. Ternyata kepada mereka Al-Quran bukanlah sebarang kitab. Bahasa dan isi kandungannya amat berbeza daripada syair.
9. Mereka merasa malu, sekaligus merasa kedudukan mereka dan syair-syair mereka tercabar. Tambahan pula apabila melihat masyarakat Arab ketika itu mula menumpukan perhatian mereka kepada Al-Quran daripada syair.
10. Mereka pun cuba mengada-adakan sesuatu yang boleh melemahkan kedudukan al-Quran di samping untuk memulihkan imej mereka. Percubaan mereka untuk mencari kelemahan Al-Quran ternyata gagal. Ini menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan lain.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Tuduhan Terhadap Al-Quran Dan Kegiatan Memalsukannya "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply