1 Pada hari ini saya mewakili Pengetua ke Seminar Kecemerlangan PIBG peringkat negeri Perak.Seminar yang dihadiri oleh YDP PIBG, Pengetua dan seorang AJK PIBG atau wakil mereka berjaya menarik kira-kira 1000 orang.
2 Antara penceramah yang diundang di seminar yang diadakan di Teluk Batik Resort, Lumut ini ialah mantan Pengarah Pelajaran Perak, Tuan Haji Hussain b. Haji Harun dan Timbalan Ketua Polis Negeri Perak.
3 Banyak input dan data yang disampaikan dalam seminar ini amat berguna kepada pimpinan sekolah dan PIBG.
4 Nampaknya nama-nama besar seperti Alvin Toffler, John Naisbitt dan lain-lain yang begitu popular disebut semasa era-Mahathir dikumandang kembali oleh penceramah dalam meramalkan apa yang akan berlaku ke atas dunia dan masyarakat pada abad ke-21.
5 Tuan Haji Hussain sendiri mengulangi tentang kewujudan 3 generasi masyarakat Malaysia sekarang sebagaimana pernah disebut oleh Razak Baginda, iaitu generasi pertama yang meliputi 8% daripada keseluruhan penduduk Malaysia, generasi kedua yang meliputi 30% dan generasi ke-3, yang rata-rata berumur 35 tahun ke bawah yang merupakan jumlah terbesar iaitu kira-kira 60%.
6 Dengan cara yang lebih mudah saya sendiri lebih suka membahagikan penduduk Malaysia kepada 4 generasi. Ilham ini saya kembangkan daripada seloroh pensyarah saya, Prof Dr Husin Haji Ahmad sewaktu menuntut pengajian kepengetuaan di UM suatu ketika dulu.
7 Beliau menyebut 3 generasi dan saya mahu menambahnya menjadi 4 generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah Generasi Pertama: Apa Nak Dimakan, Generasi Kedua: Nak makan di mana?, generasi Ketiga: Sedapkah makanan ini? dan generasi keempat: Siapakah yang hendak dimakan?
8 Generasi pertama ialah generasi yang mempunyai tahap ketidakcukupan yang sentiasa melebihi tahap kecukupan. Majoritinya serba daif dan kekurangan. Mereka terpaksa berjuang untuk hidup dan rata-rata menggunakan tulang empat kerat.
9 Generasi yang usianya antara 75 tahun dan ke atas ini telah merasai perit kehidupan. Mereka berpengalaman melalui zaman kesusahan dan perang. Zaman memperjuangkan kemerdekaan, zaman British, zaman Jepun dan zaman darurat.
10 Mereka sangat menghargai sesuatu yang mereka perolehi dengan susah payah itu. Mereka sangat bersyukur. Mereka sangat berhati-hati dalam berbelanja.Namun mereka mempunyai semangat berkorban dan menolong yang tinggi.
11 Generasi kedua, iaitu generasi Nak Makan Di Mana ialah generasi yang mengisi kemerdekaan. Mereka sudah ada beberapa pilihan di tangan. Pelbagai kemudahan yang dibangunkan dan kemewahan yang diperolehi daripada nikmat kemerdekaan menyebabkan mereka mempunyai peluang dan ruang untuk membuat pilihan.
12 Generasi ketiga atau genrasi Sedapkah Makanan ini ialah generasi yang mementingkan kepuasan pada tahap kualiti yang tinggi. Mereka mahukan sesuatu yang sesuai dengan selera mereka. Mereka hanya mahu yang sedap-sedap dan enak-enak sahaja.
13 Bagi generasi ini sesuatu yang tidak dapat memenuhi selera mereka walaupun baik tidak mustahil akan ditolak begitu sahaja. Mereka sangat mementingkan soal rasa, tetapi bukan bukan rasa orang lain tetapi rasa mereka sahaja.
14 Generasi yang ke-4 atau lebih dikenali sebagai generasi Makan Orang pula ialah generasi akan datang. Generasi ini jika tidak diacuankan dengan cermat pembentukannya melalui acuan kerohanian, sejarah dan jati diri negara bangsanya akan terpisah jauh daripada teras dan induknya.
15 Keadaan akan datang ialah dua keadaan yang terlalu ekstrim. Yang satu terlalu susah dan yang satu terlalu mewah. Tetapi baik yang terlalu susah mahu pun yang terlalu mewah mereka mempunyai cita rasa yang serupa iaitu keluarbiasaan untuk menikmati suatu yang sangat berlainan.
16 Mereka bersaing sesama mereka untuk berkuasa dan untuk berada pada tahap paling tinggi pada zamannya. Mereka ini tidak mementingkan soal cara lagi asalkan matlamat yang hendak dicapai dapat meletakkan diri mereka pada tahap kepuasan tertinggi sekalipun terpaksa menyingkirkan orang lain dengan cara yang cukup sadis.
17 Bibit-bibit itu sudah mulai dirasai sekarang ini. Maka usaha yang sedang dan akan dirancang baik oleh kerajaan mahu pun bukan kerajaan mestilah memberikan penekanan untuk membendung kelahiran Generasi ke-4 ini. Gagasan 1Malaysia adalah salah satu langkah bijaksana dan memandang jauh ke hadapan untuk berhadapan dengan cabaran ini.
Hakcipta Abd Bashid Harun











1 user commented in " 4 Generasi Malaysia "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackmaaf tuan2
boleh saya tambah satu lagi generasi yang ada di Malaysia iaitu ‘generasi pariah’
Generasi yang mengaku beragama tapi tak kenal agamanya. generasi yang mengaku berbudaya tapi tak kenal dan tak mengamalkan budaya hidupnya. generasi yang mengagung-agungkan bahasa dan sastera bangsanya tapi tak tahu dan tak kenal bahasa, budaya dan sastera bangsanya/kaumnya.
Generasi ini terdiri dari semua bangsa, ras atau kaum. Bukan hanya sesuatu kaum/bangsa sahaja. Dan yang teruk sekali adalah bangsa Melayu sendiri. Contoh terbaik ialah pada perlawanan akhir bolasepak Piala FAM baru,baru ini. Tengoklah muka-muka penyokong pasukan NS dan pasukan Kelantan yang tak lagi seperti wewajah manusia yang ………..
Agaknya inilah rupa dan wajah 1Malaysia hasil didikan guru-guru yang dedikasi, kreatif dan berilmu tinggi.
Ingatlah kembali bahawa manusia dijadikan Ilahi semata-mata untuk mengabdikan diri (beriman) kepadaNYA semata-mata dan kewajipan guru adalah untuk mendidik pelajar-pelajar ke arah itu,Bukan ke arah menyembah, memuja atau mengagung-agungkan PIALA atau sesama manusia seperti yang terjadi pada generasi hari ini.
Maaf cikgu (dan semua rakyat dan pemimpin2 1Malaysia), kalau kata-kata saya ini menyakitkan hati anda semua.
Leave A Reply