Beberapa tindakan DS Najib awal-awal ini seakan-akan tindakan Mahathir sebelumnya. Kedua-duanya memilih pendekatan tidak popular atau lebih tepat lagi bersedia untuk menjadi tidak popular asalkan pendekatan itu menguntungkan rakyat dan negara.
Tidak semua tindakan awal seseorang pemimpin yang baru dipilih itu dapat dikatakan sebagai tindakan populis.Malahan agak sukar untuk membezakan sama ada sesuatu tindakan itu populis atau tidak. Sebabnya tiada satu kayu ukur yang khas untuk membezakan antara kedua-dua tindakan itu.
Populis atau tidak populisnya sesuatu tindakan hanyalah tafsiran seseorang. Sebenarnya kerja buat seseorang pemimpin itu atas dasar tanggungjawab dan amanah yang diletakkan di bahunya bukan disebabkan faktor populariti itu.
Jika saudara melihat suatu tindakan itu populis, orang lain pula mungkin melihatnya sebagai tidak populis. Tetapi bagi saya sendiri saya menolak pemimpin yang menggunakan pendekatan popular untuk meraih sokongan rakyat.
Populariti tidak wajar sama sekali menjadi tujuan seseorang pemimpin dalam tindakan-tindakan mereka apatah lagi tindakan yang menyangkut kepentingan rakyat dan negara.
Pemimpin nombor satu sesebuah kerajaan bukan seperti seorang artis di mana populariti memang diperlukan. Sebabnya populariti itu menjadi periuk nasi mereka.
Pemimpin juga bukan seperti sebahagian blogger yang memang mencari populariti dengan sengaja mensensasikan sesuatu isu yang dibangkitkan. Di tangan blogger cerita seinci mungkin akan menjadi sekaki disebabkan mengejar populariti itu.
Keadaan ini berbeza dengan seseorang pemimpin. Pemimpin tidak sepatutnya mencari populariti, apatah lagi mengejarnya. Dia tidak sepatutnya dilihat bergantung kepada isu isu popular dari awal lagi.
Tiada maknanya seseorang pemimpin itu menjadi popular atas sebab tindakan populisnya tetapi negara hancur kerananya.
Pemimpin yang hebat mesti bersedia menjadi tidak popular asalkan tindakannya itu tepat dan dapat menyelamatkan bangsa dan negaranya daripada terjerumus ke dalam kemelut yang berpanjangan.
Jika seseorang pemimpin itu mahu menjadi popular, nasihat saya lebih baik dia jadi artis sahaja. Jika dia memilih menjadi pemimpin dia kena bersedia untuk menjadi tidak popular.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Demi 1Malaysia: Najib Bersedia Menjadi Tidak Popular "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply