” Manusia tidak dihukum dengan ilmunya, tetapi manusia dihukum dengan amalnya’ “GuruBashid
1. Apabila kita mengkritik pendapat atau pandangan seseorang tentang sesuatu marilah kita membahaskannya di sekitar isu yang dibangkitkan sahaja.
2. Bekas guru bahas saya semasa di Kolej Islam Kelang (sekarang KISAS), Ustaz Ku Abd Hamid Ku Othman pernah berpesan kepada saya, “fokus kepada isu bukan orangnya”
3. Apabila kita berbahas atau berdiskusi tentang sesuatu perkara sebenarnya kita ingin mencari pandangan atau keputusan terbaik, bukan pembahas atau individu yang terbaik seperti kata Guru Theologi saya Prof Dr Lutpi Ibrahim, “kita hanya mencari yang terbaik dalam hidup ini“.
4. Begitu juga apabila kita mengkritik seseorang, jangan sampai kita mengheret institusi atau organisasi di mana dia adalah pekerja atau ahli di dalamnya.
5. Begitulah juga, apabila kita tidak sukakan tindakan seseorang dalam parti kita, kita tidak boleh menghukum parti dengan menyatakan parti kita tidak betul.
6. Seperti juga halnya sebuah rumah yang ada ahli keluarga di dalam rumah itu menagih dadah, wajarkah rumah itu dibiarkan lalu kita membakarnya.
7. Tetapi apa yang saya nampak keadaan di atas jarang-jarang berlaku. Apabila kita tidak suka akan pandangan dan tindakan seseorang kita pun mengambil peluang ini untuk menghentamnya.
8. Kita akan korek apa sahaja yang boleh untuk membuktikan yang dirinya itu memang buruk. Ini kita lakukan bukan sekali tetapi beberapa kali, bukan sedikit tetapi banyak.
9. Malahan dalam masa kita mengkritik itu sama ada disedari atau tidak kita telah menggunakan bahasa yang kesat yang tidak sesuai untuk manusia mana pun. Seolah-olah individu itu pernah memusuhi kita atau mencederakan kita.
10. Secara peribadi seseorang yang kita tidak sukai itu tidak pernah memusuhi kita. Malahan dia pun tidak pernah mengenali kita secara langsung. Cuma dalam satu atau beberapa perkara pendapatnya berbeza dengan pendapat kita.Berbeza pendapat dan pendekatan itu normal, bukan alasan untuk kita menghentamnya, apatah lagi memusuhinya.
11. Saya juga nampak apabila seseorang itu menyukai si polan, apa sahaja yang dikatakan oleh polan itu seolah-olah tidak ada cacat celanya. Jangan ada sesiapa yang cuba mengkritik pandangan orang itu. Dan jika ada orang yang cuba mengkritik pendapatnya tentang sesuatu perkara, orang yang taksub itu akan bingkas melompat lalu keluarlah perkataan yang tidak sesuai didengar dan dibaca.
12. Mengapakah, apabila kita tidak sukakan seseorang kita selalu mengambil sikap membenci apa sahaja yang dibuatnya?
13. Mengapakah kita selalu mengambil pendekatan konfran dan mengisyhtihar musuh dengan seseorang sedangkan ia dalam parti kita sendiri atau sekurangnya-kurangnya dia pernah berjasa kepada parti kita.
14. Mengapakah apabila kita menyayangi seseorang, kita mengambil tindakan menolak yang lain-lain seolah-olah yang lain-lain itu tidak boleh berlaku benar dan berbuat baik?
15. Kita tidak boleh melayan seseorang yang berada dalam parti kita seperti kita melayan musuh-musuh kita. Kita juga tidak boleh melayan mereka seperti musuh-musuh kita melayan parti kita.
16. Bagi saya hak manusia hanya satu iaitu menyayangi seseorang dan hak Allah sahajalah menentukan sama ada Dia menyukai seseorang itu atau membencinya.
17. Sekali namanya pandangan dan pendapat semuanya wajar diteliti, tetapi apabila kita bertindak ,bertindaklah atas pandangan yang telah teruji bandingannya.
18. Pegangan saya “manusia tidak dihukum dengan ilmunya, tetapi manusia dihukum dengan amalnya”.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Fokus Kepada Isu, Bukan Orangnya "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply