Apakah keistimewaannya Kampung Baru berbanding kampung tradisional Melayu, kampung-kampung tersusun, penduduk di taman-taman sehingga mereka diberi kedudukan setinggi itu?Bagaimanakah pula dengan bekas tentera dan bekas polis yang telah berjasa besar membela tanah air dengan jiwa dan raga mereka daripada belenggu penjajahan dan komunis yang pernah memerintah negara ini.Tidakkah golongan ini lebih patut menerima kedudukan yang sebesar ini.? ” GuruBashid

1. Kita harus terima dengan penuh sedar bahawa sesiapa pun termasuk orang Melayu tidak wajar menduduki sesuatu tanah kerajaan dalam tempoh yang begitu panjang.

2. Ini bukan masalah Melayu atau bukan Melayu tetapi ini adalah masalah strategi pembangunan tanah.

3. Umum mengetahui tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Namun jika tanah tertentu diberi dalam tempoh yang begitu panjang, kita khuatir akan menyulitkan kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan pada masa akan datang.

4. Memandangkan tanah kosong semakin berkurangan di negeri Perak, maka tindakan kerajaan mengubah tempoh pemilikan tanah sedia ada untuk jenis tanah tertentu daripada 99 tahun kepada 999 tahun adalah suatu tindakan yang dilihat kurang bijaksana dan tidak memandang jauh ke hadapan.

5. Kerajaan terpaksa menunggu sehingga sembilan ke sepuluh generasi, baru dapat mengambil tanah itu semula untuk tujuan pembangunan jika kerajaan terpaksa berbuat demikian.

6. Hal inilah yang nampaknya tidak berupaya difikirkan oleh mantan MB Perak, Ir Nizar dan barisan exconya.

7. Jika tempoh seperti itu tidak dapat dielakkan juga dan pemberian masih mahu dilakukan, mengapa pula penduduk Kampung Baru yang diberi keutamaan.

8. Apakah keistimewaannya Kampung Baru berbanding kampung tradisional Melayu, kampung-kampung tersusun, penduduk di taman-taman sehingga mereka diberi kedudukan setinggi itu?

9. Bagaimanakah pula dengan bekas tentera dan bekas polis yang telah berjasa besar membela tanah air dengan jiwa dan raga mereka daripada belenggu penjajahan dan komunis yang pernah memerintah negara ini.Tidakkah golongan ini lebih patut menerima kedudukan yang sebesar itu.?

10. Pengorbanan nyawa dan raga yang ditumpahkan untuk negara oleh bekas-bekas pejuang tanah air ini nampaknya tidak dilihat lebih patut dihargai berbanding mereka yang tinggal di kampung-kampung baru. Inilah yang memelikkan kita.

11. Kita amat bimbang jika tindakan yang diambil oleh mantan Menteri Besar Ir Nizar itu semata-mata sebagai suatu tindakan populis untuk mengambil hati kaum-kaum tertentu untuk tujuan memenangi pilihan raya yang akan datang.

12. Inilah bahananya jika seseorang pemimpin bertindak atas faktor populariti, berbanding faktor kepentingan negara dan rakyat seluruhnya.

13. Nampaknya nasib dan masa depan bangsa telah diperjudikan semata-mata untuk mempertahankan pemerintahan.

14. Politik ambil dan jaga hati seperti ini nampaknya telah menghilangkan keupayaan seorang pemimpin untuk melihat sesuatu perkara secara lebih rasional dan menyeluruh.

15. Mungkin bekas kerajaan pembangkang di Perak boleh mendakwa yang mereka juga telah meluluskan banyak tanah kepada sekolah-sekolah agama rakyat sebagai menangkis serangan yang ditujukan kepada mereka hasil tindakan mereka memberikan hak milik tanah untuk tempoh yang panjang itu.

16. Sekolah agama rakyat punya kaitan yang sangat rapat dengan bangsa Melayu. Jika anda mahu memberikan lebih banyak tanah kepada sekolah agama rakyat, anda boleh sahaja berbuat demikian, tanpa menjadikannya alasan atau hujah untuk membenarkan tindakan memberi tanah kepada pihak lain dalam tempoh yang begitu panjang.

17. Perbuatan baik anda untuk suatu perkara, bukanlah tiket yang membenarkan anda melakukan tindakan salah untuk suatu perkara yang lain.

18. Malahan alasan kerajaan Perak sebelum ini iaitu telah memberikan tanah kepada SAR tidak boleh memadamkan kesilapan anda memberikan tanah kepada Kampung Baru dalam tempoh yang begitu lama kerana sebelum itu anda sendiri telah memberikan tanah kepada sekolah-sekolah Cina.

19. Nampaknya anda telah memberikan mereka dua kelebihan berbanding satu sahaja kepada bangsa Melayu. Jika ini mahu diambil kira, adilkah namanya?

Hakcipta Abd Bashid Harun