1 Saya pernah sebelum ini menasihati Khairy agar menghormati Ibrahim Ali sebagai orang yang lebih lama dalam politik. Malahan saya sendiri meminta Ibrahim bersabar dalam menghadapi keghairahan orang muda seperti Khairy. Tetapi kali ini saya sendiri tidak boleh tahan lagi dengan sikap Ibrahim ini.
2 Saya secara peribadi mahupun atas nama ahli parti menolak sekeras-kerasnya cadangan oleh Ibrahim Ali yang konon-kononnya dibuat atas nama PERKASA agar ditubuhkan parti baru selepas pembubaran parti UMNO dan PAS bagi penyatuan umat Melayu.
3 Menurut Ibrahim Ali parti baru itu akan menggabungkan elemen yang ada pada dua parti terbesar orang Melayu, iaitu UMNO dan PAS.
4 Alasan itu tidak cukup kuat untuk saya bersetuju dengan cadangan itu, apatah lagi setelah niat sebenar Ibrahim Ali berbuat begitu hanya mahu menduga PAS dan UMNO yang turut dituduh hipokrit dalam hal ini.
5 Terus terang saya nyatakan di sini bahawa saya tidak gemarkan pendekatan mengorbankan parti yang sudah cukup berjasa dengan melalui penubuhan sebuah parti baru yang tidak tentu rupa bentuknya sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang kita hadapi sedangkan kita sudah ada UMNO yang cukup besar untuk menjadi tempat orang Melayu berhimpun di bawahnya sekalipun tidak masuk ke dalamnya.
6 Idea menubuhkan sebuah parti baru bagi bangsa Melayu tidak kena pada masa dan tempatnya. Malahan ia lari daripada matlamat asal kita. Kita bercakap tentang bagaimana mahu menyatukan orang Melayu dalam parti yang sudah sedia ada, Ibrahim tiba-tiba sahaja menggunakan PERKASA-nya mahu memperkasakan orang Melayu melalui kewujudan parti baru itu.
7 Saya khuatir jika ini menjadi kenyataan, bukan sahaja parti baru itu tidak akan ke mana-mana, orang Melayu yang sudah biasa dengan parti UMNO dan PAS akan terus berpecah tanpa parti lalu hilang arah dan wadah hinggakan perpecahan bangsa kita tidak dapat dibendung lagi.
8 Parti baru itu mungkin sesuai bagi mereka yang ingin menonjolkan kepemimpinan peribadi, tetapi bukan untuk tujuan menyatupadukan bangsa Melayu.Jika anda fikir tentang perpaduan, UMNO sudah sedia ada sebagai wadahnya.
9 Saya sudah kata sebelum ini yang orang Melayu suka berada di dalam kumpulan yang lebih kecil sebagai cara untuk mengelakkan daripada perpecahan yang lebih besar. Jika tidak setuju, tubuh parti baru atau kumpulan baru. Jika parti atau kumpulan baru itu berpecah, tubuh lagi parti atau kumpulan yang lebih kecil. Begitulah seterusnya.
10 Ini kegemaran tidak baik yang ada pada orang Melayu selama ini yang perlu dibendung dan ditamatkan. Mereka kata ini cara yang baik, tetapi sebenarnya cara ini menggambarkan kehidupan orang Melayu yang sukakan keselesaan dan tidak mahu mengambil risiko dan cabaran.
11 Tetapi inilah yang Ibrahim Ali hendak. Sungguh aneh cara berfikir Ibrahim. Lebih aneh lagi jika ia mendakwa yang konon-kononnya ini kehendak PERKASA. Ini bukan cara untuk memperkasakan orang Melayu. Ini cara untuk memecahkan mereka kepada kepingan-kepingan yang lebih kecil yang semuanya tidak akan ke mana-mana dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
12 Orang Cina dalam diam-diam mahu melonggokkan sokongan kepada DAP tanpa membubarkan parti asal mereka, tetapi kita dalam terang-terang mahu menguburkan UMNO dengan mewujudkan parti Melayu yang baru dalam segala hal lalu kita harapkan orang Melayu akan berhimpun dan bersatu di dalam parti baru itu.
13 Cadangan Ibrahim itu keterlaluan dan mungkin boleh dianggap musuh kepada UMNO dan majoriti orang Melayu. Dia mungkin boleh jadi ketua bagi parti baru itu, tetapi bukan ketua bagi majoriti orang Melayu dalam konteks untuk menyatupadukan bangsa Melayu seluruhnya.
14 Teruskan sahaja usaha-usaha yang sedang dibuat untuk menyatupadukan bangsa Melayu melalui usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh UMNO dan beberapa wakil daripada parti PAS. Jika kita ikhlas mahu melihat penyatuan bangsa Melayu, kita patut menyokong pendekatan yang sudah cukup baik ini, bukannya dengan menambahkan beban yang sudah sedia ada melalui idea penubuhan parti baru itu.
15 Saya percaya idea penubuhan parti baru itu adalah idea Ibrahim Ali per se, bukannya idea yang menggambarkan kehendak majoriti orang Melayu. Oleh kerana Ibrahim Ali yang mencadangkannya saya tidak hairan sebab dia memang dari dahulu lagi suka meraih populariti dan havoc dengan idea-idea janggal ini.
16 Dia tahu memilih masa yang sesuai untuk bercakap. Dia memilih untuk bercakap tentang hal ini ketika majoriti orang Melayu baik dalam UMNO mahupun PAS bersama orang Melayu di luar parti sedang melagang agenda besar untuk menyatupadukan bangsa Melayu.
17 Semua orang tahu dia bebas, tetapi dia tidak boleh dengan bebasnya melakukan menurut sesuka hatinya dalam hal yang satu ini, iaitu persoalan yang bakal menentukan jatuh bangun dan nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Kepada Ibrahim Ali Dengan Lembut Saya Berkata, Tolong Berhenti Bercakap "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply