1 Nik Aziz tahu bahawa beliau tidak akan kehilangan sokongan sekalipun Anwar dan PKR dilanda masalah yang bukan sedikit. Malahan krisis yang melanda Ketua UMUM Keadilan itu dan PKR akan menyebabkan orang ramai mengembalikan kepercayaan mereka sepenuhnya kepada Nik Aziz.
2 Kalau dahulu kepercayaan itu terpaksa dibahagi dua-antara Anwar dan Nik Aziz, kini semuanya menjadi lebih mudah apabila mereka langsung memberikannya kepada Nik Aziz seorang. Begitulah hebatnya Nik Aziz, diri yang tetap bertuah walau apa pun kemelut yang melanda ketidaksepakatan pembangkang.
3 Buat masa ini kedudukan Nik Aziz berbanding kedudukan ahli-ahli politik pembangkang yang lain khususnya yang berada di luar Kelantan dirasakan lebih selamat. Nik Aziz yang sudah lama memimpin PAS Kelantan di mana beliau sendiri adalah Menteri Besarnya bertambah yakin bahawa apa pun yang beliau katakan tentang sesuatu isu tidak banyak menjejaskan diri beliau khususnya dan Kelantan amnya berbanding pemimpin pembangkang di negeri-negeri lain yang dilihat masih belum stabil dan sedang berhempas pulas mendapatkan keyakinan rakyat.
4 Sebab itu, apa pun yang dikeluarkan daripada mulut Nik Aziz dan apa pun sikap yang ditunjukkan oleh beliau terhadap sesuatu, dia tidak sedikit pun takut hilang kepercayaan rakyat di negerinya.
5 Rakyat Kelantan dilihat tetap akan memberikannya kepercayaan malahan sokongan moral, apatah lagi dengan isu royalti yang sengaja dimain-mainkan sehingga ke luar garisan bagi membuai harapan rakyat Kelantan terhadap masa depan Kelantan yang cerah lagi makmur jika mendapat royalti minyak yang sedang diperjuangkan.
6 Rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu seolah-olah diajak bersama Tok Guru pujaan mereka dalam memperjuangkan yang konon-kononnya menjadi hak mereka. Sekalipun mereka sudah tahu bahawa tuntutan itu sulit didapati namun rakyat Kelantan berasa bahawa perjuangan itu tidak merugikan mereka malahan tidak pun menyalahi undang-undang kerana di sebalik tuntutan atau yang lebih tepat lagi disebut sebagai “ tekanan politik “ itu telah membuah hasil setelah mereka tetap mendapat emas sekalipun terlepas intan permata.
7 Jadi rakyat Kelantan masih memerlukan keberanian Tok Guru dan meletakkan harapan besar kepada satu-satunya tokoh pembangkang yang masih ada seperti Nik Aziz yang bagi mereka dapat memainkan peranan yang sebaik mungkin dalam hal yang satu ini.
8 Di sinilah kebijaksanaan politik rakyat Kelantan yang sebenarnya sudah banyak mendapat manfaat di bawah pemerintahan kerajaan pusat dan di negeri-negeri lain di bawah pentadbiran kerajaan BN di mana mereka menjadi pekerja yang produktif di negeri-negeri ini.
9 Kembali kepada fokus sebenar tulisan ini, iaitu Nik Aziz. Nik Aziz dilihat memiliki kedua-duanya-ilmu agama dan kelicikan berpolitik. Dulu, ketika dia menumpukan sepenuhnya kepada tugas-tugas mengajar kitab dia digelar Tok Guru, dan sekarang pun, ketika lebih banyak masa diberikan olehnya untuk berpolitik, dia tetap dipanggil Tok Guru. Tak berubah sedikit pun.
10 Suatu ketika dahulu dia hanya ada ilmu agama, kini dia menambahkan satu lagi iaitu kemahiran atau lebih tepat lagi kelicikan berpolitik. Lebih lama Tok Guru ini berenang dalam laut politik, beliau dilihat lebih menguasai kemahiran berpolitik. Nampaknya Tok Guru ini pandai menggabungkan dua kemahiran itu serentak. Inilah yang beliau maksudkan barangkali agama dan politik berpisah tiada.
11 Apabila dia menggabungkannya orang seolah-olah melihat Tok Guru melakukan tugas-tugas suci agama sedangkan jelas apa yang dilakukannya itu hanyalah tidak lebih daripada kepentingan politik PAS.
12 Walau apa pun tanggapan kita terhadap Nik Aziz, pengikutnya tetap percaya kepadanya seperti kepercayaan mereka yang dahulu. Untuk Nik Aziz per se mereka hanya perlu percaya tanpa perlu mengetahui tentang dirinya. Atas perkiraan itu, kepercayaan kepada Nik Aziz dilihat tidak sedikit pun berkurangan kendatipun sejak akhir-akhir ini banyak isu yang dikaitkan terhadapnya.
13 Bagaimana dia mengekalkan kepercayaan orang ramai terhadapnya, itulah kehebatan yang ada padanya. Asalkan yang keluar itu daripada mulut Tok Guru Nik Aziz mereka tetap percaya.
14 Kalau zaman rasulullah s.a.w., baginda hanya berjaya melahirkan seorang as-Siddik (yang sentiasa membenarkan), kini Nik Aziz melahirkan ratusan malahan ribuan as-Siddik, orang yang sentiasa membenarkan kata-kata dan tindakannya. Atau lebih tepat lagi the yes man.Hebat sungguh tok guru yang bernama Nik Aziz ini.
15 Tok Guru Nik Aziz adalah contoh ulamak politik yang berjaya mengalihkan pandangan seseorang daripada apa yang sebenarnya berlaku kepada apa yang sedang diperkatakannya. Katakan apa sahaja tentang kesalahan yang sedang dilakukan oleh Nik Aziz, orang hampir tidak peduli.
16 Orang hanya berminat untuk mendengar apa yang bakal Tok Guru ini katakan. Dalam berdepan dengan sesuatu isu, mereka seolah-olah menunggu-nunggu apa lagi yang bakal muncul daripada mulut Nik Aziz. Sama ada cara ini sesuai atau beradab dalam konteks politik Malaysia hampir tidak dipedulikan oleh penyokong-penyokongnya.Tetapi itulah hakikat yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa.
17 Yang keluar daripada mulut Nik Aziz itu lebih penting kepada ramai orang daripada perkara-perkara lain.Jangan selidiki lagi kebenarannya jika sesuatu itu keluar daripada mulut Nik Aziz. Yang lain tidak lagi penting asalkan yang mengeluarkannya adalah Nik Aziz.
18 Inilah senario yang berlaku sekarang ini dan hingga ke tahap ini di negara ini. Ia berlaku tanpa sesiapa pun boleh menghalangnya. Semua mata boleh melihat kepada Perdana Menteri melalui gagasan 1Malaysia, tetapi telinga-telinga mereka hanya untuk Nik Aziz. Inilah aura magnetik yang ada pada Nik Aziz.
19 Sebahagian rakyat Malaysia tidak berminat lagi kepada apa yang dilihat dan apa yang sedang dibuat. Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu dan beberapa pilihan raya kecil yang berlaku selepas itu adalah buktinya.
20 Apa yang dilihat seperti pembangunan, projek, binaan, aktiviti dan pelbagai program sudah tidak menarik minat ramai lagi. Yang penting ialah apa yang telah dan sedang menerjah ke telinga mereka.Lagi banyak perencah maki hamun dan rempah fitnah dalam ucapan lebih sedap didengar berbanding dengan individu yang menjual idea bernas dengan bukti yang berjela.
21 Semakin lama semakin cekap nampaknya Nik Aziz berpolitik. Orang ramai sudah boleh menerima Nik Aziz dalam baju politik dan dia sendiri semakin hari semakin melupakan jubah kezuhudan yang pernah disarungkannya dahulu. Kalau dahulu dia hanya menggunakan al-Quran dan al-Hadith sekarang dia menambah satu lagi ramuan iaitu kepintaran memanipulasi keadaan.
22 Ya kepintaran yang perlu ada pada seseorang ahli politik, apatah lagi pada masa kini. Dia tahu jika dia kekal sebagai ulamak fiqh yang membacakan kitab di surau dan madrasah, dia tak ubah seperti tok-tok guru pondok yang lain. Tok guru lain mungkin boleh bertahan dengan cara ini sebab mereka tak boleh pergi jauh melewati pondok dan madrasah yang dikuasai mereka.
23 Tetapi ini berbeza dengan Nik Aziz. Dia tak kan ke mana-mana jika kekal dengan cara-cara menadah itu. Dia harus berubah daripada stail sebegitu dengan mengurangkan pergantungannya kepada ilmunya kepada kecekapan menyambar peluang yang ada di sekeliling sebab dia adalah ahli politik ketimbang ulamak.
24 Sebagai ahli politik dia sudah boleh menelah situasi sekarang. Masa bila dia perlu membuka mulut dan masa bila pula dia perlu menutupnya rapat-rapat. Masa bila dia perlu keluar dan masa bila dia perlu mendiamkan diri.
25 Masa bila dia perlu meludahnya, kemudian masa bila dia perlu menjilatnya kembali. Dia boleh melakukannya dengan begitu baik sekali tanpa rasa jijik lagi.Mengapa? Jawapannya sebab dia adalah ahli politik ketimbang seorang ulamak.
26 Ketika zaman rasulullah, baginda berjaya melahirkan pelbagai kebijaksanaan yang dilambangkan melalui kemunculan pelbagai jenis sahabat baginda. Suatu bukti kejayaan tarbiyah rasulullah s.a.w. – kekerasan hati Saidina Umar, kedermawanan dan kerendahan hati Uthman, ketegasan Ali dan kepercayaan seorang Abu Bakar.
27 Tetapi pada zaman Tok Guru Nik Aziz, di mana Nik Aziz adalah ulamak politik pembangkang, dia hanya memerlukan sahabat dari jenis Abu Bakar. Dia hanya memerlukan orang yang setia. Tidak bijak pun tidak mengapa tetapi setia dan bersetuju sahaja.
28 Dia menerima yang lain-lainnya dengan penuh waspada dan sesekali terkeluar juga dari mulutnya yang dia tidak senang dengan kehadiran individu seperti saidina Umar dan Ali di sekelilingnya.
29 Ketika rasulullah s.a.w bertungkus lumus menyatukan Muhajirin dan Ansar serta membawa Yahudi untuk bersetia dalam kesatuan penduduk Madinah, Nik Aziz sebaliknya berjaya membawa kepercayaan kaum Cina dan India untuk menyokongnya, tetapi pada masa yang sama dia menolak UMNO, saudara se-Islamnya sendiri sebagai rakan perpaduannya.
30 Malahan dia mendakwa ahli UMNO sudah syirik, yang bermakna berjuta-juta umat Melayu di Malaysia sudah tidak layak mencium bau syurga apatah lagi memasukinya.
31 Nik Aziz membenarkan ayat al-Quran digunakan sewenang-wenangnya sekalipun oleh seorang yang belum masuk Islam hanya kerana ia merupakan rakan kongsi politik, tetapi dia memandang jijik kepada individu dan ulamak tertentu seperti dakwaannya ke atas Tuan Guru Haji Harussani.
32 Kalau suatu ketika dahulu, dia hanya ada Al-Quran dan as-Sunnah, tetapi sejak akhir-akhir ini dia sebenarnya hanya ada dirinya sahaja. Dia hanya percaya kepada apa yang dia katakan.
33 Jika sesuatu itu menguntungkan partinya, dia akan menyokongnya, sebaliknya jika sesuatu itu merugikan partinya cepat-cepat dia menolaknya. Biar rakyat tenggelam dalam keadaan celaru dan umat Islam berada dalam keadaan tak menentu; tak mengapa, yang penting partinya tetap mendapat untung daripada semua itu.
34 Begitulah halnya dengan Nik Aziz dan semua kelicikannya. Bagaimana berjayanya dia membentuk taqlid kepada dirinya juga tetap menjadi suatu kelebihan yang sangat menyerlah. Dia mahu semua orang berpaut pada jubahnya, tetapi jangan ada sesiapa yang ketika berpaut itu berani membuka mata, apatah lagi mulut mereka.
35 Hanya ikut sahaja.Ya ikut sahaja. Jika takut jatuh, pegang kuat-kuat. Jangan banyak tanya. Tak elok jika tok guru yang sedang mengajarkan sesuatu, ada anak murid yang bertanya.Itu biadap namanya.
36 Demokrasi hanya ada dalam politik, tetapi dalam memberikan kepercayaan kepada Tok Guru yang satu ini sesuatu yang muktamad dan tanpa kompromi sahaja yang diperlukan. Dia kelihatannya seronok dan tenggelam dalam kema’syukan itu setelah berjaya membentuk pengikut yang begitu. Pengikut yang begitulah yang membesarkan PAS sekarang ini yang sangat dijaga oleh Nik Aziz.
37 Bersandarkan ilmu agama yang ada padanya, dia menggunakan faktor ini sebaik-baiknya dengan cekap dan berani serta memperjudikannya dalam berdepan situasi politik seperti sekarang ini.
38 Guru ini mahu semua orang tahu dan melihat ke arah dirinya sebagai seorang pejuang Islam tulen yang sedang melakukan perjuangan agama untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam. Orang ramai lebih teruja dengan kepetahan mulutnya yang tidak lekang-lekang menyebut Islam dan hudud, sehingga orang ramai sanggup melupakannya apa yang telah dia buat ke atas orang Islam yang bukan sekutunya.
39 Untuk memudahkan kerjanya guru ini mahu orang ramai melihat yang UMNO itu adalah musuh orang Islam dan musuh orang bukan Islam juga yang patut dibenci dan tidak layak untuk dijadikan sahabat.
40 Dia cukup membenci UMNO dan semua orang di dalamnya dan pada masa yang sama dia mengajak musuh-musuh UMNO dan musuh PAS juga sebelum ini untuk membenci UMNO.
41 Dia melakukannya dengan penuh cekap dan berani sekali.Guru ini melihat PAS akan mendapat untung berganda dengan berbuat begitu. Apatah lagi setelah teruja melihat musuh-musuh PAS dan musuh-musuh UMNO berpusu-pusu datang kepadanya sambil memuja-mujinya.
42 Tetapi adakah umat Islam dan agama Islam di Malaysia ini akan beruntung dengan cara gaya kepimpinan seperti ini, tidak pula menjadi perhatian Tok Guru ini.
43 Dia menjadi tuan guru dalam mendoakan kehancuran UMNO dan kehancuran para pemimpinnya. Ketika Allah menyeru kita untuk berbuat baik ke atas saudara se-Islam dan bersikap keras kepada orang-orang kafir, Guru ini melakukan sebaliknya.
44 Dia bersikap lemah lembut kepada orang-orang kafir sehingga ada yang sepatutnya menjadi milik Islam telah pun tergadai atas darjah tolak ansur yang sungguh besar konon-kononnya, tetapi ke atas saudara Islamnya sendiri dia begitu keras dan benci sekali.
45 Dan lebih dahsyat lagi dia menamakan jenis perjuangan ini Islam.
Hakcipta Abd Bashid Harun











10 users commented in " Pandangan GuruBashid Tentang Nik Aziz "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackbetapa dangkalnya manusia yang menilai orang lain dengan pandangan sebagai musuh politik tidak dengan akal…..anta berpendapat seolah anta ni otak tuan guru sedangkan anta bukanlah orang yang dekat dengan tok guru….setiap pandangan yang salah boleh dianggap fitnah…berhati-hatilah dalam berpendapat jika kita tidak tahu….diam adalah lebih baik dari berkata-kata benda yang kita tidak tahu….ditakuti jadi fitnah….
GuruBashid:
Saya bukan tuan guru atau tuan kepada mana-mana individu seperti tuan guru anda itu. Saya hanyalah seorang guru yang masih berguru dan sedang memakai nama domain GuruBashid supaya laman saya ini berada dalam ranking yang tertinggi.Ternyata strategi saya ini berhasil apabila kedudukan laman inn dalam enjn carian Google berada pada kedudukan ke-5 daripada 60 juta web di dunia dengan hanya menaip nama Guru. Laman Tok Guru Nik Aziz sendiri berada pada kedudukan di muka surat dua.
Salam Tuan GB
Tahniah ! Akhirnya tuan mengiktiraf ketokohan ilmu dan politik TGNA biarpun dengan versi yang berbeza. nampak gayanye tak ada harapan lagi lah UMNO/BN nak perintah kelantan lepas ni.
SALAM ORANG MUDA
SALAM PERJUANGAN
TAKBIR, ALLAHUAKBAR
GuruBashid:
Salam kembali. Ketika Shah menolak kenyataan saya mengenai Tok Guru, anda pula darpada parti yang sama dengan Shah bersetuju pula. Sedangkan saya tetap GuruBashid dengan cara gaya saya sendiri.
Untuk tajuk ini elok lah yang kurang faham dan kurang jelas datang ziarah ke tempat kita beruzlah dalam hutan.
Ada khabar tentang ulamak jahat umno , pkr , pas , dan mana mana orang alim yang meniru cara berpolitik yahudi yang menghalalkan memaki , mencerca , menghina , menyebut dan membuka aib manusia dengan cara batil dan larangan muktamad ini di putar belit sehingga tertipu oleh orang kampung yang kurang pandai mengeja arti perkataan H.a.r.a.m jadi H.a.r.u.m. baunya.
Nifaq itu orang yg memakai quran hadis membela dan menegakkan benang basah.
Nifaq adalah bapa kepada munafiq.
Hina dan jijik melihat telatah mereka..saya dapat berita ini dari sekelompok orang bunian dan jin jn islam yang saleh menceritakan semula kepada kami.
Pernah saya bertanya, jika sekiranya imam Mahadi tampil adakah beliau memilih umno , sebagai wakil dutanya? Dia kata..bukan. adakah Imam Mahadi memilih Pas sebagai wakil duta besarnya di Malaysia ? Mustahil, Kenapa ? Manusia yang amat banyak menghimpun dosa di mulut sehingga seperti mulut hxxxxx.. hitam legap berulat. adakah PKR sebagaia Duta di Malaysia ? Jauh sama sekali. Kejahatan tersembunyi yang dibenarkan.
Silakan Taip tuan kelarias di google search.
Selamat bertemu kami yang melarikan diri dari zaman syubhah seperti yg di khabarkan oleh Huzaifah r.a.
imam mahadi dah muncul ke…guru bashid kena siasat ni….
saya melihat responden kepada artikel ini semuanya anti UMNO. jika hendak melontarkan pendapat haruslah teliti kepada kedua-dua belah pihak. adalah zalim sekiranya memetik rasional sebelah pihak sahaja. pada saya penyokong PAS seolah-olah menganggap mereka berada dalam sebuah parti yang maksum, tidak mempunpyai cacat celanya. adakah semua ahli UMNO jahat? adakah semua ahli PAS soleh?
respon kpd mus….ketika dulu rakyat telah membuat persepsi bahawa umnolah yang dapat menjaga agama dan bangsa melayu di negara ini..tetapi apabila berlaku satu persatu rasuah,penyelewengan,pembaziran,pemecatan yg tidak munasabah,khianat,isu pppsmi,pelanggaran pelembagaan dan sebagainya maka persepsi itu berubah..bukannya pembangkang yang kuat atau maksum…maka alternatif telah berubah dan melihat tingkahlaku kepimpinan yang mana menepati kehendak mereka.
A’kum,tahniah kerana menjadi guru yang bertanggungjawab mendidik 1 Malaysia..
Pendapat saya,dengan kenyataan di atas,apa kiranya tuan komen pula dengan pemimpin UMNO pula…baru adil,kerana saya percaya jika tuan ingin mendidik dengan ikhlas, perlulah fakta yang benar,ikhlas, adil dan objektif kepada semua pihak….cukuplah masyarakat berpecah kerana pendapat yang berat sebelah kiri atau kanan sahaja,berilah pendapat seadil mungkin ke sebelah kiri dan kanan.
TGNA tidak maksum sama sekali, begitu juga Dr Mahathir dan PM Najib, tetapi untuk disokong mereka-mereka ini,kita perlukan fakta…..duniawi dan ukhrawi…tindakan duniawi yang dipagari dengan suruhan dan larangan ukhrawi…..itulah individu pemimpin yang patut dibantu, disokong, ditegur dan dikayakan kemahirannya.
Tuan PK HEM,saya Guru Disiplin,saya sudah melihat perkembangan evolusi masalah remaja yang semakin membarah sekian lama, di mana paras disiplin, sopan santun dan keagamaan masyarakat kita hari ini….?siapa bertanggungjawab memperbaikinya….semua kita…lebih-lebih lagi semua pemimpin negara(kerajaan @ pembangkang).
Pendapat saya,masyarakat semakin hebat duniawinya,tetapi mundur keperibadiannya kerana keutamaan oleh pengurusan negara. Ekonomi meningkat (diberi keutamaan utama - amat dialu-alukan), keperibadian manusia( kurang diutamakan - perlu diberi keutamaan/diperbaiki).
Sekian,ikhlas tanpa perlu untung.
menarik sekali pandangan saudara mengenai Nik Aziz..
adakah Guru pernah berjumpa dengan Nik Aziz dan melihat dengan mata kepala sendiri siapa Nik Aziz…
kalau Guru belum berjumpa dengan nya sesungguhnya tidak layak untuk memberi pandangan tentang Nik Aziz..
Syabas, gurubasid, jadilahlah guru yang baik untuk mendidik anak bangsa akan kebenaran yang hak!
Ketika saya duduk dalam majlis yang diberkati ini, tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa bahasa Arab yang kaya dengan gaya bahasa dan perkataan pun masih tidak cukup bagi saya untuk luahkan rasa terlalu gembira. Kegembiraan dan kebahagiaan itu adalah kerana kita tidak berkumpul kerana manfaat individu tertentu malahan kita berkumpul atas dasar mentaati Allah S.W.T. dan juga untuk berkhidmat kepada agama Islam dan umatnya.
Rasulullah s.a.w. telah memberi berbagai-bagai khabar gembira kepada mereka yang berkumpul untuk mentaati Allah Taala. Antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w.:
‘Sesungguhnya di kalangan hamba Allah ada segolongan manusia yang bukanlah merupakan para anbiya?dan bukan juga dari para syuhada?kerana kedudukan mereka di sisi
Allah’ Maka seorang telah berkata: ‘Beritahulah kami tentang sifat-sifat mereka wahai Rasulullah’. Lalu Rasulullah berkata: ‘Mereka merupakan manusia yang berkumpul atas dasar mentaati Allah bukan kerana hubungan kekeluargaan antara mereka. Demi Allah, wajah-wajah mereka umpama cahaya dan mereka berada dalam keadaan bercahaya. Mereka tidak mengalami ketakutan dan mereka tidak bersedih ketika manusia lain bersedih’.
Kemudian Rasulullah membaca firman Allah yang bermaksud:
‘Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar’.(Surah Yunus: 62-64)
Alangkah baiknya dan tingginya nilai majlis ilmu. Sesungguhnya ia merupakan satu majlis yang dinaungi oleh malaikat rahmat dan merupakan majlis yang mengandungi zikir kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud:
‘(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah! Dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal salih, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya’. (Surah al-Rad: 28-29)
Majlis ilmu merupakan majlis yang menyamai puluhan majlis yang lain. Ia merupakan majlis yang paling bernilai dan yang paling mendatangkan manfaat kepada manusia. Sempena dengan ini, saya teringat dengan wasiat yang telah diberikan oleh Saidina Ali k.w.j. kepada salah seorang muridnya yang bernama Umai ibn Ziyad. Saidina Ali k.w.j. sebagaimana yang kita semua tahu telah diberikan oleh Allah ilmu yang begitu luas. Umai ibn Ziyad yang merupakan salah seorang anak muridnya berkata: Saidina Ali telah memegang tanganku dan menarikku ke tempat duduknya kemudian beliau telah berkata kepadaku: ‘Wahai Umai! Sesungguhnya hati ini ada beberapa ruang, maka ruang yang terbaik ialah ruang yang paling besar. Maka ingatlah apa yang aku hendak katakan kepada engkau. Wahai Umai, manusia itu terbahagi kepada tiga golongan, satu golongan merupakan orang yang alim dan mendekatkan diri kepada Allah, satu golongan lagi ialah orang yang menuntut ilmu atas jalan mencari kejayaan manakala golongan yang satu lagi ialah orang yang suka mengikut yang sentiasa cenderung ke sana-sini tanpa mempunyai pendirian yang teguh. Wahai Umai, ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu menjaga engkau sedangkan engkau menjaga harta, ilmu akan bertambah apabila ia disebarkan kepada orang lain sedangkan harta akan berkurangan apabila ia dibelanjakan dan ilmu merupakan pentadbir sedangkan harta adalah suatu yang kena tadbir. Simpanan harta akan habis ketika manusia itu masih hidup lagi sedangkan ulama?akan kekal dikenang sehingga hari kiamat di mana kata-kata mereka di dalam hati kekal abadi dan tidak hilang’.
Saya ingin mengatakan di sini bahawa sesungguhnya suasana dan keadaan umat Islam akan tetap kekal dan berterusan dalam keadaan baik, di mana ia akan terus memiliki kekuatan dan akan terus membangun. Ia berkembang maju dan berterusan dalam keadaan aman damai, tenang dan sejahtera selagimana umat Islam menunaikan tanggungjawab dan peranan yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi setiap sesuatu itu sebab dan faktor yang boleh membawa kepada berlakunya sesuatu peristiwa tersebut. Ini merupakan sunnah Allah. Sunnah Allah yang telah ditetapkan ke atas makhluk-Nya ialah Dia tidak akan mensia-siakan balasan bagi orang yang melakukan sesuatu kerja. Sunnah Allah ke atas makhluk-Nya telah dijelaskan oleh Allah dalam beberapa ayat al-Qur?n. Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud:
‘Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya!). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya!)’.(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Sunnah Allah juga telah dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
‘Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan’.(Surah al-Nahl: 97)
Sesiapa yang bersungguh-sungguh akan memperoleh hasil kesungguhannya. Sesiapa yang bercucuk tanam akan menuai hasilnya. Dunia ini telah dijadikan oleh Allah untuk orang yang rajin bekerja dan berusaha. Ia telah dijadikan oleh Allah untuk orang-orang yang bersungguh-sungguh. Ia dijadikan bagi mereka yang menjalankan peranan mereka dalam kehidupan dengan amanah, ikhlas, taat dan mulia menerusi berpenat lelah. Ini kerana untuk menghasilkan sesuatu hasil yang baik dan mencapai natijah yang bagus, ia tidak akan berlaku dengan sebegitu mudah. Orang yang ingin mencapai kejayaan tanpa berusaha dan berkorban jarang sekali dapat mencapai kejayaan tersebut. Kejayaan itu mesti diusahakan dengan pengorbanan dan kegigihan.
Setiap manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu apabila tidak mengerah tenaganya untuk mengembangkan, membangunkan dan memperbaiki lagi kepakaran tersebut serta menimba ilmu daripada orang lain maka akan mengalami kerugian. Ini kerana setiap manusia telah dijadikan oleh Allah dengan kelebihan dan keupayaan tertentu. Setiap manusia sentiasa perlu kepada ilmu yang dimiliki oleh orang lain. Salah seorang pujangga ada berkata dengan kata-kata yang indah dan menarik iaitu:
‘Apabila seseorang itu alim dalam satu bidang ilmu, dia masih menjadi penuntut kepada orang lain dalam bidang ilmu yang lain’.
Ini merupakan ungkapan orang yang bijak pandai. Orang yang mempunyai akal dan bijak sentiasa mengambil manfaat dan menggunakan kelebihan yang ada pada orang lain. Tidak ada halangan sama ada dari segi akal atau syara?untuk berbuat demikian. Syeikh al-Azhar menjadi anak murid kepada seorang doktor, penuntut kepada seorang jurutera dan menjadi pelajar kepada pakar-pakar dalam bidang-bidang yang tidak menjadi kepakaran Syeikh al-Azhar. Demikian juga tiada halangan seorang doktor menjadi murid kepada Syeikh al-Azhar dalam bidang ilmu kepakarannya dan jurutera menjadi penuntut kepada Syeikh al-Azhar dalam bidang kepakarannya. Semua ini kerana apa? Kerana Islam merupakan satu agama tolong menolong. Orang yang menjurus dalam bidang pengkhususan ilmu-ilmu agama mengambil faedah dari orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan. Orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan pula mengambil faedah dari orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian, perusahaan, perkilangan atau sebagainya.
Seorang manusia itu walau tinggi mana sekalipun ilmunya, dalam mana sekalipun kefahaman, besar mana sekalipun kebesarannya, gagah mana sekali pun kekuasaannya dan banyak mana sekalipun hartanya, dia sentiasa dan berterusan memerlukan bantuan atau pertolongan orang lain. Al-Qur?n menjelaskan makna keperluan manusia kepada manusia yang lain ini dalam banyak ayat. Antaranya firman Allah yang bermaksud:
Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: ‘(Kalaulah al-Qur?n ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya al-Qur?n ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?’ (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan); Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.(Surah al-Zukhruf: 31-32)
Maksud ayat: ‘Kami bahagi-bahagikan tugas mereka dalam kehidupan dunia’ ialah seorang berperanan sebagai seorang ahli feqah seorang lagi sebagai ahli bahasa, seorang yang lain sebagai doktor perubatan, seorang lagi sebagai jurutera, seorang yang lain sebagai petani, seorang lagi sebagai pengusaha perusahaan industri dan seterusnya. Orang ini kaya dan orang ini miskin kerana apa? Ayat al-Qur?n ini diteruskan dengan jumlah ta?iliah (menyatakan sebab) iaitu supaya sebahagian dari mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain.
Iaitu supaya setiap orang dari kalangan mereka dipergunakan untuk memberi khidmat kepada orang lain. Saya dijadikan untuk memberi khidmat kepada anda dan anda pula dijadikan untuk memberi khidmat kepada saya. Setiap individu dari kalangan umat bangsa ini dijadikan untuk memberi khidmat kepada orang lain dan semua umat bangsa dijadikan untuk saling memberi khidmat kepada sesama umat yang ada, melalui jalan pertanian, perusahaan, melalui jalan ilmu dan sebagainya. Dengan ini, satu umat akan sentiasa berinteraksi dan berhubung serta bersatupadu antara satu sama lain dalam satu masa. Sekiranya tolong menolong itu dituntut pada zaman dahulu maka pada zaman sekarang umat Islam di seluruh pelosok dunia sama ada di Barat atau di Timur, di Utara atau Selatan adalah amat sangat-sangat diperlukan.
Ini kerana pada masa kini, perkara yang berlaku jauh di Barat diketahui oleh umat yang tinggal di Timur dalam tempoh beberapa minit sahaja atau boleh jadi kurang dari itu. Begitu juga perkara yang berlaku di Selatan dapat diketahui oleh umat yang tinggal di Utara dalam tempoh beberapa minit atau kurang daripada itu. Sebagaimana yang diperkatakan oleh manusia zaman kini, dunia telah menjadi seolah-olah satu kampung yang kecil.
Tolong menolong dan kerjasama merupakan asas kejayaan. Oleh itu, kita dapati al-Qur?n menggesa umat Islam supaya bekerjasama dan tolong menolong sesama mereka. Selagimana kerjasama dan tolong menolong itu dilakukan untuk mengerjakan perkara-perkara yang baik dan menghasilkan taqwa kepada Allah nescaya natijah daripada kerjasama tersebut pasti baik. Itulah gambaran kehidupan umat Islam zaman kini. Kehidupan umat Islam masa kini yang berkembang pesat, maju dan membangun dapat menguasai umat yang ramai sehingga berupaya menjadikan mereka perlu kembali kepada Islam itu sendiri. Keadaan ini menjadikan agama Islam dan kalimah tauhid mendapat tempat yang tinggi dan menguasai umat yang lain. Umat yang bukan Islam menjadi rendah dan tunduk kepada Islam. Ini semua terhasil selagimana berlaku kerjasama dan tolong menolong antara sesama umat Islam.
Begitu juga semua ini akan berhasil selagimana tolong menolong dan kerjasama itu tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, bermegah-megah dan berlagak sombong. Semua kerjasama dan tolong menolong yang dilakukan adalah bertujuan untuk memberi khidmat kepada kebenaran, menghasilkan kemuliaan dan memberi khidmat kepada umat Islam secara umum. Selagimana kerjasama ini dilakukan sedemikian rupa dengan penuh ikhlas kepada Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan usaha tersebut.
Sekiranya anda membaca al-Qur?n maka anda akan dapati ia telah membawakan kepada kita beberapa contoh kerjasama. Al-Qur?n menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w. malahan rasul-rasul dari kalangan Ulul ?zmi, sekalipun mereka bersifat maksum dan Allah telah memberi berita gembira bahawa kesudahan kemenangan adalah berpihak kepada mereka, namun kita dapati Nabi Musa a.s. ketikamana Allah memerintahkannya pergi kepada Firaun kerana dia telah melampaui batas, kita lihat Nabi Musa sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qur?n dalam surah Taha dan surah-surah lain telah memohon kepada Penciptanya, sedangkan Nabi Musa merupakan seorang yang kuat lagi gagah sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan yang dijumpai oleh Nabi Musa kepada bapanya:
‘Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah’.(Surah al-Qasas: 26)
Nabi yang gagah berani dan amanah ini iaitu Nabi Musa a.s. telah mengadap dan memohon daripada Allah dengan berkata:
Nabi Musa berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; ‘Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; ‘Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, ‘Supaya mereka faham perkataanku; ‘Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. ‘Iaitu Harun, saudaraku; ‘Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, ‘Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, ‘Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu, ‘Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu; ‘Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami’. (Surah Taha: 25-35)
Oleh kerana perkataan-perkataan ini telah keluar dari lidah yang bersih lagi benar, maka Allah telah memperkenankan doa Nabi Musa. Allah berfirman yang bermaksud:
Allah berfirman: ‘Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!’.(Surah Taha: 36)
Kita dapati juga di dalam ayat yang lain, al-Qur?n menceritakan kepada kita dengan gaya bahasa yang cantik, indah, unggul dan dapat mempengaruhi orang yang mendengarnya. Firman Allah yang bermaksud:
‘Dan saudaraku (Harun), ia lebih petah fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yan mengakui kebenaranku, sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku’.
Allah berfirman: ‘Kami akan menguatkan tenaga dan daya usaha mu dengan saudaramu (Harun)’.(Surah al-Qasas : 34-35)
Maksud ayat ini ialah ‘Kami akan memperkuatkan engkau dengan saudara engkau’.
Al-Qur?n membawakan kepada kita gambaran lain tentang kerjasama dan tolong menolong yang ikhlas lagi benar melalui lidah Zulkarnain yang merupakan seorang lelaki yang telah dianugerahkan oleh Allah dengan kekuatan, kekuasaan, kemegahan dan kemantapan kedudukan di atas muka bumi.
Al-Qur?n hendak menggambarkan kepada kita bagaimana kerjasama dan tolong menolong ini boleh membawa kepada kemajuan dan kebaikan umat-umat di atas muka bumi. Firman Allah yang bermaksud:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: ‘Aku akan bacakan kepada kamu (wahi dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya’. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. (Surah al-Kahfi: 83-84)
Al-Qur?n seterusnya menceritakan kepada kita untuk menggambarkan bagaimana Allah telah memberi Zulkarnain nikmat-nikmat yang terlalu banyak menerusi firman-Nya yang bermaksud:
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: ‘Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami)’.(Surah al-Kahfi: 93-94)
Iaitu ‘Tidakkah engkau mahu Kami berikan ganjaran’. Di sini kita dapati Zulkarnain menjawab pertanyaan ini dengan berkata:
Ia menjawab: ‘(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh’.(Surah al-Kahfi: 95)
Ini merupakan kerjasama. Sekalipun Zulkarnain telah diberikan oleh Allah dengan kekuasaan, kerajaan dan kekuatan,
al-Qur?n menjelaskan kepada kita bahawa walau bagaimana kuat dan maju sekalipun satu-satu umat dan walau bagaimana seseorang individu dianugerahkan dengan kekuatan, kedudukan dan kekayaan namun tetap tidak akan dapat lari dari bekerjasama dengan orang lain. Kerana apa? Kerana setiap insan dari kalangan kita sentiasa perlu kepada ilmu orang lain, perlu kepada perbincangan dengan orang lain, perlu kepada mengambil faedah dari usaha orang lain dan perlu untuk berkenalan dengan orang lain. Sebagaimana kata penyair: ‘Aku menggunakan anda dan anda menggunakan aku’.
Dengan cara inilah umat akan hidup. Oleh itu, perkara pertama yang diberikan perhatian oleh Rasulullah s.a.w. sesama pengikut-pengikutnya ialah menyuruh mereka supaya bekerjasama dan tolong menolong. Kerana apa? Kerana kerjasama dan tolong menolong ini akan memperkuatkan sesama sendiri. Sabda baginda yang bermaksud:
‘Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang, tolong menolong dan kemesraan sesama mereka adalah umpama satu badan di mana apabila satu anggota sakit, maka anggota lain pun turut mengalami kesusahan berjaga malam’.
Perkataan kerjasama ini merupakan perkataan umum yang merangkumi pelbagai bidang dengan membawa makna kebaikan. Ini kerana tatkala wujud iman yang benar, maka wujud makna persaudaraan, wujud perpaduan dan wujud semua sifat-sifat yang mulia. Ketikamana wujud kerjasama antara lelaki dan perempuan dan selagimana wujud kerjasama ini maka akan wujudlah semua kebaikan. Ini kerana lelaki tidak boleh lari dari bekerjasama dengan perempuan. Begitulah juga sebaliknya, perempuan tidak boleh lari dari bekerjasama dengan lelaki. Kedua-dua jenis manusia ini datang dari satu punca. Kita adalah sama sahaja antara lelaki dan perempuan dalam bidang-bidang tertentu. Kita lelaki dan perempuan adalah sama dari segi asal kejadian. Lelaki bukan dijadikan daripada emas dan perempuan pula bukan dijadikan daripada perak. Bukankah begitu? Lelaki diciptakan berasal dari perempuan dan perempuan pula dijadikan dari lelaki. Sebagaimana yang diperkatakan oleh al-Qur?n di dalam ayat yang pertama surah al-Nisa?yang bermaksud:
‘Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai’.
Iaitu daripada kedua-duanyalah berkembangnya keturunan manusia dari kalangan lelaki dan perempuan. Islam menegaskan persamaan antara lelaki dan perempuan dalam beberapa perkara. Persamaan dalam tanggungjawab dan kewajipan syara? Sembahyang wajib ke atas lelaki dan wajib juga ke atas perempuan. Begitu juga dengan zakat, berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berupaya. Demikianlah juga memiliki dan mengamalkan nilai-nilai murni. Akhlak-akhlak mulia tidak dibahagi-bahagikan antara lelaki dan perempuan di mana akhlak-akhlak ini untuk lelaki dan akhlak-akhlak itu untuk perempuan. Akhlak-akhlak mulia bagi lelaki dan perempuan tidak dikhusus dan dibahagi-bahagikan secara berasingan. Bersikap benar adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan. Menjaga kesucian diri adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan. Menjaga kemuliaan dan kehormatan diri adalah wajib dilakukan oleh lelaki dan juga perempuan. Sifat-sifat mulia ini wajib dipegang dan diamalkan oleh lelaki dan perempuan. Kita dapati al-Qur?n menyamakan antara lelaki dan perempuan dalam salah satu ayat dalam surah al-Ahzab di mana sepuluh sifat telah disamakan oleh al-Qur?n antara lelaki dan perempuan iaitu:
‘Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak’.(Surah al-Ahzab: 35)
Kemudian kita dapati di penghujung ayat ini Allah berfirman yang bermaksud:
‘Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar’.(Surah al-Ahzab: 35)
Kita adalah sama dalam aspek yang berkaitan dengan akhlak yang mulia. Kita mempunyai persamaan dalam menuntut ilmu. Saya sendiri dapati dalam kolej yang mulia ini yang jelasnya bilangan pelajar perempuan mungkin lebih dari bilangan pelajar lelaki. Ketika saya melihat ini semua saya rasa sungguh gembira. Ini kerana tatkala perempuan memahami agama dan menuntut ilmu ia akan menghasilkan kebahagiaan bagi keluarganya dan ia akan membantu dan membahagiakan umatnya. Perempuan yang berilmu akan memberi kebahagiaan kepada masyarakat yang dia hidup di dalamnya. Keperluan kita memberikan pendidikan kepada perempuan tidak kurang dari keperluan kita memberi pendidikan kepada lelaki. Rasulullah s.a.w. yang merupakan ikutan kita menjadikan satu hari dari hari-hari yang dilaluinya khusus untuk mengajar kaum perempuan. Baginda pergi berjumpa mereka dan mengajar mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
‘Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas lelaki dan perempuan Islam’.
Kita adalah sama dalam perkara yang berkaitan dengan amal soleh. Al-Qur?n tidak mengatakan barangsiapa yang beramal soleh dari kalangan lelaki sahaja atau dari kalangan perempuan sahaja. Firman Allah yang bermaksud:
‘Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan’.(Surah al-Nahl: 97)
Di dalam ayat yang lain Allah telah berfirman yang bermaksud:
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain’.(Surah ali-Imran: 195)
Iaitu ‘Lelaki datang dari perempuan dan perempuan datang dari lelaki’. Mereka adalah sama dalam perkara kemuliaan. Kemuliaan perempuan adalah sama dengan kemuliaan lelaki. Tidak ada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam perkara yang berkaitan dengan kemuliaan manusia. Akan tetapi lelaki akan kekal sebagai lelaki sehingga berlakunya hari kiamat dan perempuan akan kekal sebagai perempuan hingga berlakunya hari kiamat. Di sana ada kaedah usul feqah mengatakan: ‘Sifat yang wujud pada zat tidak akan berubah’.
Allah Maha Mengetahui di mana bagi menjadikan muka bumi ini berupaya dimakmurkan, maka Dia telah menjadikan manusia dari kalangan lelaki dan perempuan. Sekiranya hanya lelaki sahaja yang wujud di atas muka bumi ini nescaya ia akan pupus dalam tempoh tidak lebih dari seratus tahun. Begitu juga sekiranya hanya wujud perempuan sahaja di atas muka bumi ini nescaya dunia ini akan musnah, boleh jadi dalam tempoh kurang seratus tahun. Untuk memakmurkan dunia ini perlu wujud lelaki dan perempuan. Inilah makna firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
‘Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)’.(Surah al-Dhariyat: 49)
Bersama semua ini Allah telah mewujudkan agama yang bersifat sederhana dan pertengahan. Bersama itu juga di sana ada lelaki dan perempuan. Allah memberikan kepada lelaki beberapa sifat khusus yang tidak diberikan kepada perempuan dan Allah berikan keistimewaan kepada perempuan yang tidak diberikan kepada lelaki. Keistimewaan-keistimewaan itu adalah berbagai-bagai. Mungkin kita dapati pada perempuan itu sifat kasih sayang, lemah lembut dan sebagainya yang boleh melembut dan melapangkan dada. Sebagaimana Allah memberikan kepada lelaki keistimewaan seperti sanggup dan berupaya menanggung kesusahan, kesulitan dan sebagainya supaya alam ini dapat dimakmurkan. Perkara ini merupakan suatu yang telah diberitahu oleh al-Qur?n dalam firman Allah yang bermaksud:
‘Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnia-Nya’.(Surah al-Nisa? 32)
Dengan wujudnya tolong menolong dan kerjasama antara lelaki dan perempuan dalam keadaan mengetahui kewajipan dan hak yang mereka miliki maka masyarakat ini akan sejahtera, harmoni dan semestinya meningkat maju. Maka kehidupan umat Islam masa kini dan realiti semasa mereka adalah berjalan di atas sunnah yang telah dijadikan oleh Allah di kalangan manusia. Semenjak wujudnya manusia pertama sehingga berlaku hari kiamat, sunnah ini selama-lamanya tidak akan berubah dan bertukar. Sesiapa yang berusaha dan bersungguh akan berjaya dan sesiapa yang bercucuk tanam akan dapat menuai hasilnya. Barangsiapa yang berjalan teguh di atas jalan yang lurus semestinya dia memperolehi kejayaan. Sesiapa yang mengulangkaji sudah pasti akan mendapat kejayaan. Ini merupakan sunnah yang tidak akan berubah dan bertukar. Barangsiapa yang beriman dan melakukan amal soleh sudah pasti dia akan mendapat ganjaran dari Allah Taala.
Kehidupan dan realiti umat Islam masa kini bukanlah suatu yang berbeza dengan kehidupan umat yang terdahulu. Sekiranya umat Islam masa kini beristiqamah di atas jalan yang lurus, menunaikan tanggungjawab dan kewajipan yang telah ditetap dan diamanahkan oleh Allah Taala, berpegang teguh dengan semangat kerjasama dan tolong menolong, berpegang kuat dengan niat yang baik dan berpegang teguh dengan akhlak yang mulia maka sudah pasti umat ini memperolehi kejayaan demi kejayaan.
Akan tetapi ramai dari kalangan manusia yang ingin mencapai kejayaan tanpa melakukan usaha. Ini akan membinasakan diri mereka. Amalan seperti ini adalah bercanggah dengan sunnah
Allah. Kejayaan adalah suatu yang tercapai dengan pengorbanan. Ini merupakan sunnah kehidupan. Barangsiapa yang ingin berjaya dalam apa-apa kerja maka perlu berusaha bersungguh-sungguh. Sekarang ini ilmu yang ada adalah berbagai-bagai. Sebagaimana yang saya dengar bahawa di kolej ini ada keistimewaan kerana dalamnya terdapat berbagai-bagai bidang ilmu yang dipelajari. Ini merupakan suatu yang baik kerana apabila ada pelbagai ilmu di pelajari di suatu tempat, kemungkinan seorang yang faqih boleh berbincang dengan seorang doktor, doktor berbincang dengan faqih, orang yang mahir dalam bidang pertanian boleh berbincang dengan orang yang mahir dalam bidang perusahaan, orang lelaki boleh mengajar orang perempuan dan orang perempuan boleh mengajar orang lelaki. Ketikamana wujud kepelbagaian dalam bidang ilmu maka akan terhasil kebaikan.
Oleh itu, sekiranya kita melihat ke dalam al-Qur?n, kita akan dapati terdapat lebih 500 ayat yang memperkatakan tentang ilmu dan memperkatakan tentang ulama?serta menjelaskan bahawa semua ilmu mendatangkan manfaat sama ada ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu tauhid, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian, ilmu perusahaan, ilmu farmasi, ilmu geologi dan sebagainya dengan syarat menuntut dan mengamalkan ilmu-ilmu tersebut diniatkan kerana mencari keredhaan Allah, memberi khidmat kepada kebenaran, membangunkan umat dan mempertingkatkan tahap kehidupan umat. Tambahan pula kita sekarang berada dalam zaman di mana persaingan antara umat dan bangsa bukan dari segi ramainya bilangan rakyat atau luasnya muka bumi yang dimiliki, tetapi perlumbaan dalam menentukan siapa yang paling maju dan moden dalam penerokaan ilmu, kemajuan teknologi, ilmu kedoktoran, ilmu kejuruteraan, ilmu pertanian, ilmu perusahaan, ilmu-ilmu agama dan kemajuan dalam semua bidang kehidupan.
Kita sedang berada dalam zaman kesepaduan pelbagai jenis ilmu. Sebagai contoh, untuk saya menafsirkan al-Qur?n dengan penafsiran yang sahih maka saya perlu kepada ilmu nahu, ilmu saraf, ilmu balaghah dan sebagainya. Saya juga perlu mengetahui serba sedikit secara umum walaupun tidak secara mendalam tentang sebahagian dari ilmu pertanian, ilmu kedoktoran dan sebagainya. Ini perlu dilakukan kerana di sana ada ayat-ayat al-Qur?n di mana untuk menafsirkannya dengan tafsiran yang tepat perlu merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, pertanian dan pelbagai ilmu yang lain lagi. Sebagai contoh di awal surah al-Zumar memperkatakan tentang proses kejadian manusia iaitu:
‘Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); dan Ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor; (empat) pasangan (jantan dan betina). Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita’.(Surah al-Zumar: 6)
Bagi membolehkan saya menafsirkan ayat ini dengan tafsiran yang sahih dan tepat, saya perlu pergi bertanya pada doktor. Memang benar bahawa ahli tafsir yang terdahulu telah memperkatakan tentang ayat ini, namun untuk menambah keyakinan, saya bertanya kepada orang yang pakar tentangnya sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
‘Tanyalah kamu kepada orang yang mengetahui tentang sesuatu sekiranya kamu tidak mengetahui’.(Surah al-Anbiyaa? 7)
Anda dapati al-Qur?n memperkatakan tentang ulama?dan dalam membincangkan tentang maksud ulama?ini boleh jadi (ilmu yang sebenar ada di sisi Allah) yang dimaksudkannya ialah ulama?dalam pelbagai jenis ilmu. Ayat al-Qur?n yang terdapat dalam surah Fatir ada menyebut yang bermaksud:
‘Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlain-lain jenis dan rupanya, dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlain-lain warnanya (tua dan muda), dan ada juga yang hitam legam. Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlain-lain jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu’. (Surah Fatir: 27-28)
Sesetengah ahli tafsir mengatakan bahawa turunnya ayat ini adalah selepas ayat yang memperkatakan tentang bukit bukau, bumi dan sebagainya di mana ini mensahihkan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan ulama?di sini ialah ahli ilmu tentang lapisan bumi (geologi). Dan orang-orang yang takutkan Allah hanya terbatas di kalangan ulama?(orang yang mempunyai ilmu). Sesetengah ahli tafsir mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ulama?di sini ialah ahli ilmu tentang lapisan bumi, bukit bukau dengan jenis-jenisnya dan ilmu-ilmu yang lain yang sentiasa ada penemuan baru di dalamnya.
Semua ini terhasil di bawah naungan kerjasama dan tolong menolong. Realiti kehidupan umat Islam semasa di mana bagi membolehkan mereka mengambil tempat dan memainkan peranan yang sepatutnya serta supaya Islam mencapai kemenangan dan musuh-musuhnya tertewas, maka umat Islam perlu dan mesti mengambil tahu serta menguasai ilmu, perpaduan, pengetahuan, akhlak, sangka baik sesama umat Islam dan sebab-sebab lain yang boleh membawa ke arah kejayaan. Umat yang tersebar di dalamnya sangka baik, contohnya saya bersangka baik terhadap kamu dan kamu bersangka baik terhadap saya, nescaya umat akan hidup dalam sejahtera. Sebutlah manusia dengan kebaikan yang mereka lakukan.
Saya berpendapat bahawa setiap orang yang mengucapkan kalimah syahadah dan dia menunaikan perkara-perkara fardhu yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak mengengkari perkara-perkara yang telah sedia maklum secara jelas dalam agama maka dia adalah seorang muslim. Saya tidak bersangka jahat terhadap orang lain. Saya memohon dari Allah agar memberikan hidayah kepada saya dan juga kepada dia. Saya tidak bersangka jahat dan buruk. Umat Islam sekarang ini kebanyakan mereka kurang mengamalkan perpaduan dan kesatuan serta persaudaraan. Umat Islam hendaklah bersangka baik sesama mereka. Setiap orang dari umat Islam hendaklah menjadi penolong kepada saudaranya. Ketikamana umat Islam mempraktikkan semua perkara tersebut maka Allah pasti akan membukakan pintu keberkatan dari langit dan bumi. Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud:
‘Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)’.(Surah al-Talaq: 2-3)
Al-Azhar al-Syarif secara khusus dan negara Mesir secara umum sentiasa bekerjasama dengan negara Malaysia dengan kerjasama yang tidak ada batasan. Apa sahaja yang terupaya kami lakukan dan sumbangkan pasti akan kami usahakan demi untuk khidmat kami kepada saudara-saudara, anak dan rakyat Malaysia. Ini kerana sekiranya kerjasama ini mendatangkan manfaat kepada Malaysia, ia juga boleh memberi manfaat kepada saya dan juga negara Mesir. Sebagaimana ia mendatangkan faedah kepada Malaysia, ia juga mendatangkan faedah kepada Mesir kerana kerjasama ini akan menjadikan umat Islam di Malaysia menjadi kuat dan begitu juga umat Islam Mesir turut menjadi kuat. Setiap kali wujud kerjasama dalam sesuatu perkara ia akan menjadi bertambah kuat dan baik. Dan setiap kali luputnya kerjasama dalam sesuatu urusan maka ia akan menjadi rapuh dan lemah.
Allah berfirman di dalam al-Qur?n yang bermaksud:
‘Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)
dan pencerobohan’.(Surah al-Ma?dah : 2)
Semua ini akan terhasil kesan dari kita memahami agama Islam dengan kefahaman yang tepat. Kita memahami Islam bahawa ia merupakan agama yang mudah, agama yang bertolak ansur, agama yang menggalakkan ilmu, agama yang mengutamakan kemuliaan, agama yang memelihara kesucian diri, agama yang menjaga kemuliaan manusia, agama yang menganjurkan perpaduan, agama yang mengajar sifat ikhlas, agama yang berpegang kepada kebenaran dan agama yang menyuruh menunaikan janji. Setiap kali wujud perkara yang baik,
Islam menyeru ke arahnya dan setiap kejahatan yang ada, sentiasa dilarang oleh Islam. Oleh sebab itu, kata-kata yang terakhir diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketikamana baginda sedang dalam perjalanan meninggalkan kehidupan
dunia ini:
‘Demi Allah tidak ada satu kebaikan pun yang aku tinggalkan kepada kamu melainkan aku menyuruh kamu melakukannya dan tidak ada satu keburukan pun yang aku tinggalkan kepada kamu melainkan aku melarang kamu dari melakukannya. Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu amalkan kedua-duanya kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya, kitab Allah dan sunnahku’.
Antara kemuliaan yang agung atau nikmat yang terbesar di dalam Islam ialah semua orang Islam merupakan umat yang satu. Tidak ada perbezaan antara orang Mesir dengan orang Malaysia, antara orang Timur dengan orang Barat dan antara orang yang tinggal di Selatan dengan orang yang tinggal di Utara. Umat Islam keseluruhannya merupakan umat yang satu sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.
‘Orang-orang Islam adalah terpelihara darah sesama mereka (adalah semua) dan orang yang lemah mendapat pembelaan dari kalangan mereka dan mereka merupakan pembantu kepada orang lain’.
Dalil yang paling tepat di dalam masalah ini ialah firman
Allah S.W.T. yang bermaksud:
‘Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku’.(Surah al-Anbiya? 92)
Kita bermohon kepada Allah Taala supaya mengumpulkan kita atas dasar untuk mentaati-Nya dan memberikan taufik kepada kita untuk melakukan perkara yang diredhai dan disukai-Nya serta menjadikan majlis ini ikhlas kerana-Nya. Sekian, terima kasih.
————————————————
Kalimat ulama di dalam al-Qur’an
Perkataan ulama adalah kata jamak bagi adjektif alim yang bermakna yang mengetahui, berketahuan, berpengetahuan, berilmu, mahir, arif, terpelajar, bijaksana, atau kesarjanaan, dan al-Alim pula, bermakna Yang Mengetahui.
Daripada sebanyak seratus enam puluh tiga perkataan alim dan ulama di dalam al-Qur’an hanya sepuluh sahaja digunakan sebagai adjektif untuk manusia. Yang lain, dan yang terbanyak, adalah untuk Allah.
Hanya yang diturunkan di sini adalah ayat-ayat yang mengandungi perkataan “alim” atau “ulama” yang berkaitan dengan mansuia sahaja. (Bagi maksud “ulama agama” sila rujuk kalimat habr di halaman lain)
7:109. Berkata pembesar-pembesar kaum Firaun, “Sesungguhnya ini seorang ahli sihir yang alim (mahir),
7:112. Untuk mendatangkan kepada kamu tiap-tiap ahli sihir yang alim.”
10:79. Firaun berkata, “Datangkanlah kepadaku tiap-tiap ahli sihir yang alim (mahir).”
12:55. Berkata, “Lantiklah aku kepada perbendaharaan bumi ini; aku adalah penjaga yang alim (berpengetahuan).”
15:53. Mereka berkata, “Jangan takut; sesungguhnya kami memberi kamu berita gembira dengan seorang anak lelaki yang alim.”
26:34. Berkata kepada pembesar-pembesar di sekelilingnya, “Sesungguhnya ini seorang ahli sihir yang alim (mahir),
26:37. Untuk mendatangkan kepada kamu tiap-tiap ahli sihir yang alim.”
26:197. Tidakkah ia satu ayat (tanda) bagi mereka bahawa ulama Bani Israil mengetahuinya?
35:27. Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah menurunkan dari langit air, dan dengannya Kami mengeluarkan buah-buahan yang bermacam-macam warnanya? Dan di gunung-gunung terdapat jalur-jalur putih dan merah, daripada bermacam-macam warna, dan hitam yang pekat.
35:28. Di antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya. Begitulah, hanya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah para ulama (orang-orang yang berpengetahuan); sesungguhnya Allah Perkasa, Pengampun.
(ulama di sini bukanlah ulama agama tetapi ulama sekular)
51:28. Kemudian dia berasa takut terhadap mereka. Mereka berkata, “Jangan takut!” Dan mereka memberinya berita gembira dengan seorang anak lelaki yang alim (bijak).
Leave A Reply