1 Seseorang melalui komennya dalam blog ini bertanya kepada saya tentang perlembagaan dan kaitannya dengan perhubungan antara etnik.

2 Saya ingin menjelaskan di sini bahawa perlembagaan yang digubal turut memberi pertimbangan ke atas nilai-nilai dan tradisi yang menjadi pegangan utama kaum asal yang menduduki negara berkenaan.

3 Perlembagaan Malaysia umpamanya mengekalkan nilai-nilai yang sudah mendarah daging dalam masyarakat Melayu serta yang menjadi hak dan kepunyaan mereka selama ini.

4 Itulah yang menjadi asas utama mengapa agama Islam, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu diletakkan dalam kedudukannya yang tersendiri dalam perlembagaan negara.

5 Bukankah agama Islam itu sudah sekian lama menjadi pegangan dan kepercayaan masyarakat Melayu yang kehidupan mereka dinaungi raja, dan Bahasa Melayu menjadi bahasa yang dipertuturkan sekian lama malah pernah menjadi lingua franca suatu ketika dulu.

6 Selain pengiktirafan yang diberikan kepada bangsa Melayu selaku penduduk asal di negara ini dan dengan segala keistimewaan yang ada padanya, raja-raja mereka seperti yang tercatat dalam kitab Sejarah Melayu dan undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu, faktor sejarah turut diambil kira dalam penggubalan sesuatu perlembagaan.

7 Sejarah menunjukkan yang Malaysia atau dikenali Malaya atau Tanah Melayu suatu ketika dahulu tidak lagi dihuni oleh satu bangsa sahaja iaitu bangsa Melayu.

8 Dengan perkembangan ekonomi Tanah Melayu yang semakin pesat natijah daripada tumpuan berlebihan kepada kepentingan ekonomi penjajah, maka buruh dari Selatan India dan Selatan China dibawa masuk secara beramai-ramai untuk bekerja di sektor perladangan dan perlombongan.

9 Apabila jumlah buruh Cina dan India semakin ramai dan mereka ini pula menaruh minat yang mendalam untuk menetap di sini di samping ingin menjaga hak dan asset mereka yang semakin banyak seperti yang digambarkan melalui penubuhan parti-parti berasaskan etnik seperti MIC dan MCA maka dalam penggubalan perlembagaan negara untuk Malaysia yang merdeka tidak dapat tidak mesti mengambil kira sumbangan mereka.

10 Malahan kesediaan parti-parti ini bergabung di bawah Parti Perikatan bersama UMNO membuktikan yang mereka ini sudah cukup sedia untuk diterima sebagai keluarga 1 Malaya yang akan bersama-sama jatuh bangun di negara ini.

11 Malah kewujudan suatu bentuk pakatan murni dan padu melalui Perikatan juga memberi gambaran jelas bagaimana kedua-dua keluarga baru di tanah air yang subur ini benar-benar memahami tentang keperluan kepada penyatuan dan perpaduan di kalangan mereka demi mencapai kemerdekaan.

12 Dengan kemerdekaan yang dicapai nanti membolehkan mereka akan lebih pantas bergerak dan menyediakan diri sebagai warga negara yang bebas yang turut memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada negara yang begitu makmur dan aman yang belum pernah mereka kecapi sebelumnya di tanah asal mereka.

13 Ternyata sekali tindakan mereka memilih untuk menjadi penduduk tetap di negara ini adalah tepat dan bukan didorong oleh kepentingan peribadi tetapi tentulah juga didorong oleh rasa percaya mereka bahawa penduduk asal di negara ini iaitu orang Melayu merupakan golongan yang cukup terbuka, berhati mulia dan bersedia menghulur tangan membantu mereka memajukan negara ini.

14 Sumbangan atau peranan dua kaum yang pada asalnya hanya didatangkan dari China dan India oleh pihak British melalui Sistem Kontrak dan Sistem Kangany nampaknya semakin ketara dan mendalam terutama jika dilihat implikasinya kepada kemajuan negara ini dalam sektor perniagaan, perlombongan dan perdagangan.

15 Peranan kaum Cina dan India dalam bidang ekonomi bukan sekadar pada tahap cukup makan, tetapi telah melonjakkan ekonomi negara ini serta mengubah sama sekali landscap politik dan sosio-ekonomi negara secara keseluruhannya.

16 Kendatipun pada awalnya ada sedikit rasa terancam oleh orang Melayu atas kehadiran mereka seperti yang digambarkan melalui peristiwa 13 Mei 1969, namun apabila kesan positif kehadiran mereka khususnya dalam memberi kemudahan kepada kehidupan orang Melayu melalui peranan merela sebagai pekedai, pembeli, pemborong dan pembekal akhirnya orang Melayu tidak dapat tidak terpaksa memperaku akan kelebihan dan kepakaran yang dimiliki oleh ahli keluarga mereka yang baru ini.

17 Malahan orang Melayu sudah bersedia mengambil peluang daripada kehadiran mereka ini untuk meningkatkan ekonomi mereka sendiri melalui jalinan hubungan menang-menang.

18 Nampaknya orang Melayu yang pada asalnya hanya percaya kepada penanaman padi dan hasil-hasil kampung dalam skala kecil dan sara diri, seperti yang dibuktikan daripada penolakan mereka untuk bekerja di sektor perlombongan, akhirnya berfikir dan bertindak lebih luas sama ada untuk mengambil peluang di suatu pihak dengan kehadiran dan kepakaran yang ada pada dua bangsa ini atau terpanggil untuk bersaing dengan mereka secara sihat.

19 Maka tugas kerajaan melalui perlembagaan yang ada adalah untuk menjadikan hubungan antara kaum itu sentiasa kekal harmoni melalui pengagihan kekayaan yang dilakukan dengan adil agar kedua-dua pihak ini sama ada yang diwarganegarakan melalui peruntukan undang-undang atau diiktiraf secara automatik sebagai penduduk negara ini dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa prasangka.

20 Jelas sekali kepada kita betapa sumbangan kaum Cina dan India dalam bidang ekonomi bukan sedikit walaupun pada awalnya mereka hanya datang untuk mencari makan sahaja setelah mereka terpaksa survive di negara asal mereka.

21 Disebabkan kerja kuat mereka yang turut menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara yang begitu ketara, kerajaan British pada waktu itu telah mengiktiraf usaha-usaha mereka ini.

22 Pengiktirafan ini bertambah kuat apabila disokong oleh pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu yang turut sedar bahawa selepas merdeka,Tanah Melayu sepatutnya tidak lagi menjadi tanggungjawab orang Melayu per se sebaliknya menjadi tanggungjawab semua warganegara.

23 Atas pengiktirafan bahawa semua kaum yang ada di negara ini sebagai warganegara yang sah bagi sebuah negara yang baru merdeka, perlembagaan yang digubal turut diharmonikan dan didamaikan oleh fasal-fasal tertentu yang turut mengiktiraf kepercayaan dan hak-hak setiap kaum.

24 Buktinya meskipun perlembagaan menetapkan Agama Islam sebagai agama rasmi bagi sebuah persekutuan yang merdeka namun dalam perlembagaan yang sama turut memuktamadkan tentang pengiktirafan yang diberi kepada penganut-penganut agama lain untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing dengan bebas tanpa gangguan.

25 Begitulah juga halnya dalam aspek bahasa. Meskipun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi persekutuan Tanah Melayu yang merdeka namun bangsa-bangsa yang ada di negara ini boleh mempelajari dan bertutur dalam bahasa kaum masing-masing malah boleh belajar bahasa asing tanpa dihalang.

26 Jelas sekali bagaimana pemimpin-pemimpin yang mewakili setiap kaum sebelum negara ini mencapai kemerdekaan begitu teliti, memandang jauh ke hadapan dan menghalusi semua aspek serta implikasinya kepada perpaduan kaum sebelum sebuah perlembagaan rasmi diluncurkan dan terpakai sebagai undang-undang tertinggi negara yang bersifat luhur.

27 Kandungan perlembagaan jelas sekali mengambil kira semua perbezaan ini tetapi di akhirnya yang dimasukkan hanyalah yang benar-benar boleh memenangkan ketiga-tiga kaum utama yang ada di Malaysia.

28 Ternyata sekali perlembagaan memang alat penyatu yang berkesan dan bersifat luhur kerana kandungan perlembagaan tidak merampas hak orang lain untuk diberi kepada kaum yang lain atau menghilangkan keistimewaan yang sedia ada.

29 Sebaliknya kandungan perlembagaan sedapat mungkin cuba mencari titik pertemuan dan penyatuan antara rakyat pelbagai kaum yang akhirnya digambarkan melalui suatu ikatan kukuh atau lebih tepat lagi disebut sebagai kontrak sosial yang disepakati bersama.

30 Melalui kontrak sosial itu wakil setiap kaum bersetuju menerima kelima-lima elemen penting untuk dimasukkan dalam perlembagaan.

29 Lima perkara yang dimaksudkan ialah kedudukan Bahasa Melayu, raja-raja Melayu, Agama Islam, Hak asasi orang Melayu dan kewarganegaraan.

30 Bagi memastikan hubungan baik itu terus berkekalan dan tidak dilanggar, akhirnya kelima-lima perkara itu digazetkan sebagai perkara-perkara sensitif yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.

Hakcipta Abd Bashid Harun