1 Semalam dalam Forum Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) Kita, Siri Ketiga: Kepentingan Bumiputera Dalam RMK-10 yang disiarkan oleh RTM menyebutkan tentang pendirian Tun Dr Mahathir bahawa adil tidak wajar disamakan dengan pemberian sama rata. Bagi yang mengikuti setiap perkembangan mantan Perdana Menteri tersebut, ini sebenarnya bukan pendirian baru Tun Dr Mahathir. Inilah sebenarnya yang menjadi pegangan dan amalan mantan Perdana Menteri itu semasa beliau menjadi Perdana Menteri.Nampaknya seperti kebanyakan perkara lain juga beliau begitu konsisten dengan pandangannya dan amat memahami kedudukan setiap situasi.
2 Dari dahulu lagi saya berkongsi pendirian yang sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang bagaimana kekayaan di negara ini harus diagihkan kepada rakyatnya[BACA ARTIKEL INI].Keadilan perlu berlaku semasa pengagihan kekayaan dilakukan, tetapi jika kekayaan itu diagihkan sama rata yakni semua orang mendapat jumlah yang sama di situlah bermulanya ketidakadilan itu. Tetapi pengagihan secara sama rata itulah yang difahami oleh ramai orang apabila membicarakan tentang keadilan. Jika anda dapat seribu, saya juga wajar mendapat seribu tanpa melihat kepada kedudukan ekonomi semasa seseorang itu dan pelbagai faktor yang melingkungi dirinya.
3 Pendirian Tun Dr Mahathir tentang konsep keadilan adalah sama seperti konsep keadilan yang dikehendaki dalam Islam. Bukankah keadilan dalam Islam bererti meletakkan sesuatu di tempatnya. Ini bermaksud setiap orang patut mendapat apa yang sepatutnya dia dapat sahaja. Maka jika kita memahami konsep keadilan dalam Islam, tentu ada orang yang akan mendapat lebih dan ada pula yang patut mendapat kurang sedikit.
4 Salah satu matlamat dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah pun digantikan dengan Model Baru Ekonomi (MEB) ialah merapatkan jurang pendapatan antara kaum. Apabila kita mahu merapatkan jurang pendapatan antara kaum, kita tidak boleh beri sama rata kerana jika itu yang kita lakukan kita akan mengekalkan jurang yang sedia ada dan kemungkinan jurang itu akan semakin melebar. Maksud saya ialah jurang pendapatan dan sosio ekonomi antara bangsa Melayu dan bumiputera dengan kaum-kaum lain.
5 Perbandingan yang hampir sesuai untuk menggambarkan keadaan ini ialah seseorang yang mempunyai tiga atau empat isteri.Isteri manakah yang patut mendapat peruntukan yang lebih dalam kadar kemampuan sang suami yang terbatas. Tentulah isteri yang tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan, hidup susah dan mempunyai ramai anak yang masih bersekolah atau masih belum lepas berbanding dengan isteri yang mempunyai pendapatan sendiri dan ramai anak yang sudah bekerja.
6 Jadi sebagai isteri yang mempunyai pendapatan sendiri dan lebih mewah daripada isteri atau isteri yang satu lain dia sepatutnya memahami apa yang patut dilakukan oleh suaminya. Isteri yang hidup susah dan ramai anak itu adalah analogi orang Melayu dan bumiputera dan isteri yang hidupnya agak mewah itu adalah analogi bangsa-bangsa lain yang jauh lebih berjaya di negara ini. Jika mereka mahu menjadi warganegara yang bersetia kepada negara ini, apa yang patut dilakukan ialah menerima hakikat adanya perbezaan seperti ini. Mereka sepatutnya tidak meminta lebih daripada kadar kemampuan kerajaan.
7 Kerajaan mana pun di dunia ini sentiasa memikirkan bagaimana ingin membantu rakyatnya agar dapat menikmati hidup senang.Jika boleh tidak seorang pun rakyatnya yang hidup di bawah garis kemiskinan. Jika semua rakyat mempunyai pendapatan yang berlebihan, kerajaan juga yang akan untung sebab wujud pengaliran wang atas kadar keupayaan membeli yang tinggi. Tetapi bagaimana caranya kerajaan membantu rakyat tidak sama seperti yang kebanyakan rakyat harapkan.
8 Sebagai rakyat kebanyakan mereka mungkin berfikir mengapa kerajaan tidak membayar sahaja kepada setiap orang yang ada di negara ini RM1 juta seorang jika kerajaan mahu menjadikan mereka kaya. Dan apabila setiap orang mendapat RM1 juta seorang bererti seramai 28 juta rakyat Malaysia akan mencapai taraf jutawan. Kerajaan tidak perlu bersusah payah lagi memikirkan bagaimana hendak membantu rakyat selepas itu sebab mereka semua sudah kaya raya. Bukankah melalui cara ini kerajaan hanya akan bersuah payah untuk sekali sahaja.Itulah cara berfikir kebanyakan kita.
9 Mujurlah kerajaan Malaysia tidak berfikir seperti itu. Kita tidak bercakap tentang pemberian bernilai RM1 juta kepada 28 orang rakyat Malaysia yang jumlahnya hanya RM28 juta. Tetapi kita bercakap tentang pemberian RM1,000.000.00 kepada 28,000.000 rakyat Malaysia. Suatu jumlah yang cukup besar dan jauh daripada kemampuan kerajaan berbuat begitu. Malahan jika kerajaan mempunyai kemampuan sekalipun adakah anda fikir kerajaan akan melakukannya? Tidak tahulah kalau di luar pengetahuan saya ada negara yang telah berbuat begitu kepada rakyatnya
10 Melihat kepada situasi di Malaysia yang masih wujud jurang sosio-ekonomi atau lebih tepat lagi jurang pendapatan yang agak ketara antara satu kaum dengan satu kaum yang lain, saya tidak fikir kerajaan akan melakukan tindakan sedemikian.Jika setiap orang mendapat RM1 juta, orang yang menerima itu akan bergelar jutawan tetapi bangsa Melayu dan bumiputera akan jauh lebih terhimpit sebab wang sejuta yang diterima itu adalah satu-satunya wang yang ada yang tentunya akan semakin berkurangan setelah ditolak pelbagai hutang dan perbelanjaan.
11 Bagi bangsa yang jauh lebih berada jumlah RM1juta yang mereka terima itu sebagai tambahan kepada ratusan ribu malahan jutaan ringgit yang sedia ada dalam bentuk tabungan mahupun pelbagai aset dalam dan luar negara. Merekalah yang akan menerima keuntungan besar dan berganda daripada pemberian seumpama itu. Dan jika ini berlaku adakah jurang pendapatan antara bangsa Melayu dan bumiputera dengan bangsa-bangsa lain di negara ini akan semakin rapat dengan pemberian RM1juta ringgit seorang itu. Atau keadaan sebaliknya berlaku di mana jurang semakin meluas?
12 Tak tahulah saya kalau PKR, DAP dan PAS akan menggunakan cara seperti itu untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum di negara ini dan menggunakannya sebagai janji untuk memenangi PRU yang akan datang.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Adil Bukan Bererti Sama Rata "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply