1 Rakyat patut membayar pada harga sebenar supaya mereka tahu itulah harga yang sepatutnya mereka bayar untuk suatu barangan mahupun perkhidmatan yang diterima.Jika sebelum ini rakyat tidak begitu ambil kisah tentang impak subsidi yang kerajaan beri ke atas perbelanjaan mereka, sekarang mereka juga patut tahu apakah akibatnya kepada perbelanjaan mereka jika subsidi ditarik balik.

2 Selama ini kerajaan membayar separuh daripada harga barangan dan perkhidmatan tertentu dan rakyat cuma membayar yang separuh lagi. Disebabkan itu kebanyakan rakyat tidak akan tahu atau tidak mahu ambil tahu berapa harga sebenar sesuatu barangan atau perkhidmatan itu.

3 Selama ini sebahagian besar daripada mereka menyangka itulah harga sebenar yang patut mereka bayar. Inilah antara kesan buruk subsidi kepada rakyat di mana sebahagian besar daripada mereka tidak pernah ambil kisah tentang berapa harga yang kerajaan bayar tetapi cepat-cepat membuat tuduhan kepada kerajaan dengan mendakwa bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib rakyat.

4 Jika berlaku sedikit kenaikan harga barangan atau perkhidmatan, kerajaan akan cepat-cepat dipersalahkan walhal budi baik kerajaan yang selama ini menanggung sebahagian besar daripada perbelanjaan mereka tidak pula mendapat ucapan terima kasih.

5 Kita tidak bercakap tentang gaji atau upah. Gaji atau upah itu adalah hak
seseorang yang patut mereka dapat setelah mereka bekerja untuk suatu tempoh waktu. Tetapi berbeza halnya dengan subsidi. Subsidi hanyalah ihsan kerajaan untuk meringankan bebanan rakyat. Subsidi bukan satu tanggungjawab kerajaan apatah lagi sampai menjadi beban kepadanya.

6 Kerajaan tidak boleh berpura-pura berkemampuan jika kerajaan benar-benar sudah tidak berupaya menanggungnya. Inilah masa terbaik bagi rakyat dididik dengan rasa tanggungjawab besar untuk bersama-sama kerajaan dalam menyelamatkan negara ini daripada muflis.

7 Kita tidak mahu kerajaan akhirnya akan dipersalahkan dengan meninggalkan legasi buruk yang tercatat dalam sejarah sebagai yang bertanggungjawab menjadikan negara muflis. Rakyat tentu akan lebih memahami kerajaan dan menerimanya sebagai tanggungjawab bersama jika kerajaan ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan negara ini daripada ditimpa nasib yang sama dengan sebuah negara lain.

8 Di peringkat ini rakyat perlu diperjelas secukupnya dengan fakta dan angka mengatasi andaian dan spekulasi selain masa yang mencukupi untuk mendengar setiap pandangan mereka. Tindakan kerajaan ini mungkin sukar diterima di peringkat permulaan setelah “kemanjaan yang panjang” diberikan oleh kerajaan kepada rakyat. Akan tetapi saya percaya setelah mereka menerima gantian yang lebih bermakna seperti kenaikan gaji yang setimpal, upah yang tinggi dan kemudahan awam yang diberi nilai tambah rasa resah akan beransur-ansur bertukar kepada rasa selesa dan bersyukur.

9 Mungkin ada yang berpendapat menaikkan gaji dan kadar upah adalah sama bebannya dengan menanggung subsidi. Pada pendapat saya kenaikan gaji tidak sama beban sepanjang masa yang kerajaan terpaksa tanggung dengan adanya pelbagai jenis subsidi. Dengan menaikkan gaji untuk sekali dalam tempoh beberapa tahun, kakitangan kerajaan bukan sahaja akan lebih bermotivasi dengannya malahan mereka akan mengembalikan pendapatan itu dengan membelanjakannya semula.Ini tentu akan melancarkan aliran tunai dan memperkukuhkan ekonomi kita.

10 Memandangkan subsidi bukan hak rakyat dan tanggungjawab kerajaan, pada bila-bila masa sahaja kerajaan boleh memberi atau menariknya kembali. Tetapi di Malaysia kerajaan tidak melakukannya sesuka hati dan secara tiba-tiba.

11 Kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan daripada perkara lain. Suara-suara yang menuntut agar pemberian subsidi dikaji semula atau subsidi ditarik balik sudah lama kedengaran, tetapi baru sekarang kerajaan bertegas tentangnya.

12 Ini membuktikan betapa besarnya darjah tolak ansur kerajaan kepada rakyatnya meskipun sebahagian daripada mereka membalas budi baik kerajaan dengan menikamnya kembali.

13 Saya sendiri melihat subsidi tertentu perlu ditarik balik memandangkan ada golongan yang telah menyalahgunakannya untuk mendapatkan keuntungan berkali ganda. Subsidi yang diberikan menjadikan mereka terlalu kebendaan, tamak dan sanggup menjual maruah negara.

14 Dengan apa yang mereka telah buat kepada negara ini sehingga sanggup menjual diesel kepada nelayan asing, menyeludup gula dan petrol ke luar Malaysia dan menjual gas yang tidak cukup sukatan berat membuktikan mereka memang tidak berguna. Mereka sudah cukup kaya dan besar kepala. Mengekalkan pemberian subsidi kepada golongan seperti ini bukan sahaja akan merosakkan negara dalam jangka panjang malahan menimbulkan kemarahan rakyat.

15 Rakyat merasakan bahawa kerajaan sudah tersilap urus subsidi dan memberikannya kepada orang yang salah. Sebahagian subsidi yang lain mungkin perlu disusun semula. Janji kerajaan untuk mengekalkan subsidi pertanian dan nelayan tentu menjadi khabar baik kepada golongan itu.

16 Namun jika kerajaan menarik subsidi barang pengguna ia dilihat membebankan jika peningkatan pendapatan rakyat khususnya kakitangan awam tidak berlaku.

17 Kerajaan wajar menimbangkan golongan yang makan gaji dengan kerajaan di mana gaji bulanan itulah satu-satunya punca pendapatan mereka dan diputar untuk segala mak nenek perbelanjaan.

18 Ketika mereka terpaksa membayar harga sebenar barangan dan perkhidmatan sudah tentu merekalah yang paling berasa peritnya jika penarikan subsidi itu tidak diimbangi dengan kenaikan gaji atau pendapatan mereka.

19 Adalah salah sama sekali jika kenaikan gaji dirujuk kepada mereka yang berpendapatan rendah sahaja. Apatah lagi ketika kita sibuk memperkatakan keperluan menarik balik subsidi dan pelaksanaan Model Baru Ekonomi yang memerlukan rakyat berpendapatan tinggi ia harus berlaku secara menyeluruh kepada semua kakitangan awam.Kenaikan gaji diperlukan oleh semua kakitangan kerajaan terutama mereka yang berada di peringkat pertengahan DG41 dan DG44 yang selalu tidak bernasib baik dalam pengumuman kenaikan gaji berbanding yang lain.

20 Jika subsidi mahu dikekalkan juga tentulah yang patut menerimanya ialah mereka yang mendokong kerajaan semasa. Mereka itu terdiri daripada kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat kepada klien atau rakyat demi negara. Alasannya mudah, subsidi menjadi semacam suatu bentuk balas budi kerajaan ke atas mereka yang mendokong dan menyokongnya. Tetapi apa yang berlaku kini semuanya mendapat subsidi termasuk para penentang kerajaan.

21 Mereka menentang kerajaan, tetapi mereka masih mahukan subsidinya. Ini sudah tentu dilihat tidak bermaruah.Tetapi itu hanya pendapat saya yang marah. Kerajaan Malaysia, pada hemat saya tidak akan malahan tidak pernah berbuat begitu. Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah memilih bulu sewaktu membantu rakyat. Inilah yang menyebabkan kerajaan akan terus diberi sokongan padu walaupun kelihatan sebahagian kecil rakyat menolaknya.

22 Pada pendapat saya, pembangkang di negara ini sudah cukup bersedia untuk tidak menerima apa-apa subsidi atau bantuan daripada kerajaan sebab itu mereka mengambil keputusan untuk menentang kerajaan. Apa yang mereka peroleh dari bumi Malaysia hasil dari keamanan dan kestabilan yang dikecapi di sini sudah mencukupi.

23 Mereka yang menyokong pembangkang sudah bersedia untuk membebaskan diri daripada kongkongan kerajaan terutama subsidinya. Mereka tentu tidak mahu dimalukan secara berterusan dengan sebelah tangan menuding terus kepada kerajaan sedangkan sebelah tangan lagi sedang mengira-ngira berapa subsidi yang masih mereka terima.

Hakcipta Abd Bashid Harun