1 Seseorang yang mengaku bekas guru di sekolah tempat saya mencurah bakti sekarang telah menceritakan pengalaman beliau semasa mengajar di sana sambil menilai beberapa PK HEM sebelum saya. Sama ada pandangannya itu betul atau tidak, itu adalah pandangan peribadi dari perspektif beliau dan tidak ada kena mengena dengan saya.

2 Saya sendiri tidak pernah ada kegemaran membuat perbandingan semacam itu sebab bagi saya setiap orang ada kekuatan dan cara gaya urus tadbir yang tersendiri. Lagi pun saya tidak mempunyai banyak masa untuk menilai kerja orang lain sebab kerja-kerja yang diamanahkan kepada saya pun masih menimbun dan wajar diberi keutamaan.

3 Saya percaya mutu kerja kita tidak akan meningkat dengan asyik menilai kerja orang lain, apatah lagi dengan niat untuk mencari kesilapan. Tetapi kerja yang kita lakukan akan hanya mendapat nilai tambah dan diperbaiki dari semasa ke semasa jika kita melihat kelebihan-kelebihan yang ada pada seseorang lalu mengambil kelebihan itu untuk dimanfaatkan dalam kerja buat kita. Insya-Allah dengan cara itu kita akan berupaya menjulang organisasi ke arah yang lebih berjaya.Kalau tidak sekarang akan datang, kalau tidak masa saya masa akan datang.

4 Sesiapa pun tidak dapat menutup mata dan mulut seseorang daripada bercakap tentang diri kita, apatah lagi kepada mereka yang mempunyai kegemaran seperti itu. Nabi pun tidak dapat menghalang kehadiran individu seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan Abdullah bin Ubai sekalipun baginda tidak menggemarinya.

5 Sayugia diingat kerja buat kita bukan disebabkan oleh seseorang. Bukan juga untuk menyedapkan hati sesiapa atau sengaja untuk melukakan mana-mana individu tetapi adalah atas sebab amanah yang diberikan kepada kita yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.

6 Buat masa sekarang lebih baiklah kita menilai kerja kita sendiri dan pasukan yang kita pimpin daripada menghabiskan masa untuk menilai kerja orang lain.Jika penilaian terpaksa dibuat pun biarkan mereka yang telah ditetapkan dengan kerja seperti itu untuk membuat penilaian.

7 Bagi saya kekuatan atau kelebihan seseorang itulah yang harus ditonjolkan dan dimanfaatkan jika sesebuah organisasi itu ingin berdaya maju dan berdaya saing.

8 Pandangan seorang dua individu terhadap seseorang yang lain tidak akan dapat menyimpulkan seluruh perkara atau mewakili pandangan semua orang. Selagi namanya pandangan ia bersifat subjektif dan boleh didengar, tetapi tidak semestinya terpakai.

9 Sebenarnya tiada sebarang kekurangan yang ada pada seseorang sebelum kita dan tiada juga ada kelebihan bagi seseorang jika berseorangan. Yang terdahulu telah bekerja sedaya yang mampu menurut skill dan kecekapan masing-masing dan tentunya telah memudahkan mereka yang kemudian untuk meneruskan lagangan itu.

10 Bagi saya kekuatan pada sesebuah organisasi sebenarnya terletak kepada semangat kerja berpasukan, serta nilai-nilai yang dikongsi bersama. Organisasi bukan milik seseorang, tetapi milik semua yang ada di dalamnya.

11 Sebab itu kerja mengangkat nama baik organisasi tidak wajar diletakkan di atas bahu seseorang tetapi patut dipikul oleh semua individu di dalamnya.

12 Sesiapa sahaja yang datang menemui saya patut mengajar dan menunjukkan perkara-perkara yang terbaik buat panduan saya. Itu lebih berguna untuk saya dan organisasi saya sekarang ini daripada mengatakan kekurangan si polan si polan.

13 Anda boleh menunggu kesilapan yang saya lakukan atau mengetawakan saya selepas itu, tetapi itu tidak sedikit pun akan mengguris atau mencacatkan matlamat baik saya. Jika sekadar itu yang tuan mampu lakukan, organisasi kita tidak akan ke mana-mana.

14 Masih banyak perkara baik yang diperlukan untuk dibawa masuk ke dalam organisasi kita di samping secara berdikit-dikit menyingkirkan yang buruk keluar.

15 Insya-Allah, dengan kepercayaan yang tuan puan berikan serta kerjasama semua pihak, saya berkeyakinan tidak ada masalah yang tidak dapat diatasi.

16 Cuma harus diingat, kehadiran saya bukan dengan niat untuk mengubah sesiapa sebab manusia tidak akan berupaya mengubah sesiapa pun.

17 Yang termampu saya lakukan ialah memberikan input-input yang berguna untuk dikongsi bersama dengan harapan mudah-mudahan dengannya, Tuhan akan mencampakkan taufiq dan hidayah untuk menerima dan seterusnya melakukan perubahan itu.

18 Walau apa pun hasilnya bukan kita yang menentukannya. Kita cuma mengusahakannya dalam kadar kemampuan yang ada pada kita.

Haklcipta Abd Bashid Harun