Saya mendapat tahu daripada guru-guru di sini, rupa-rupanya pelajar ini telah mengenakan plaster di dahinya sejak 1 1/2 tahun yang lalu. Saya tersenyum puas walaupun itu hanyalah satu kejayaan kecil buat saya sebagai PK HEM. Sepanjang hari Jumaat itu saya cukup ceria sambil berkongsi pengalaman manis itu dengan isteri saya,” GuruBashid

1 Jumaat, 4 September 2009, hari keempat saya memulakan tugas sebagai PK HEM di SMK Kamunting. Seperti kebiasaan di sekolah lama saya, saya memakai pakaian baju Melayu lengkap. Ini sudah menjadi pakaian rasmi saya hampir setiap Jumaat.

2 Setelah empat hari bertugas di sekolah yang yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan menggunakan kereta dari rumah, saya semakin dapat menyesuaikan diri. Satu penyesuaian diri yang agak cepat berbanding tiga hingga empat bulan di sekolah lama saya.

3 Seperti hari-hari sebelumnya saya datang agak awal ke sekolah. Selepas memasukkan kad kehadiran ke mesin perakam waktu dan membuka bilik saya, saya terus berada di depan pintu masuk laluan pelajar bermotorsikal dan berbasikal. Niat saya yang awal tidak lebih daripada sekadar melihat keadaan pelajar dan apa yang berlaku di situ.

4 Tetapi entah bagaimana saya memanggil beberapa pelajar ke tepi untuk menegur mereka atas kesalahan kecil yang dilakukan seperti rambut berfesyen dan memakai selipar. Saya berbisik ke telinga mereka sambil memberitahu kesalahan yang mereka lakukan sambil menasihatkan mereka agar datang ke sekolah pada minggu depan dengan peribadi dan pakaian yang lebih kemas.

5 Seperti yang selalu saya lakukan sambil menasihati mereka, saya menyentuh bahu mereka sambil merenung tajam ke arah mata mereka sehinggalah mereka mengangguk tanda bersetuju.

6 Tiba-tiba perhatian saya tertarik kepada seorang pelajar lelaki yang mengenakan plaster di dahinya yang baru sahaja masuk ikut laluan itu.

7 Saya bertanya kepada pelajar itu mengapa dia memakai plaster. Dia dengan selamba menjawab ringkas yang kepalanya pening. Tak puas hati dengan jawapan itu saya memanggil kaunselor sekolah yang kebetulan turut memerhatikan pergerakan masuk pelajar. Saya meminta beliau menangani hal ini.

8 Saya terpaksa bergegas ke bilik saya kerana ada beberapa tugasan yang perlu dibereskan termasuk beberapa dokumen yang perlu diisi dengan segera.

9 Tepat 11.15 pagi saya ke dewan untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pelajar yang telah ditentukan oleh kaunselor. Bukan ceramah dalam erti kata yang sebenar, tetapi ta’aruf sesuai dengan kedudukan saya yang masih baru di sini dan masih rammai pelajar yang belum mengenali saya.

10 Saya melihat pelajar yang memakai plaster di dahi ada di situ. Dia berada di kelompok belakang dan kadang-kadang berbual-bual dengan rakan di belakangnya. Kelihatannya dia sangat popular.

11 Sebaik-baik sahaja selesai menyampaikan ceramah (kalau boleh dikatakan ceramah), kaunselor sekolah, Cik Mashitoh memanggil pelajar itu dan menemukannya dengan saya.

12 Saya membawa pelajar itu keluar dan pergi agak jauh dari tempat ceramah itu. Saya tidak mahu pertanyaan saya dan teguran saya didengar oleh pelajar lain.

13 Pertanyaan saya kepada pelajar Tingkatan 4 itu, mengapakah dia melekatkan plaster pada dahinya. Pertanyaan yang sama yang saya tanyakan di awal pagi tadi. Tetapi kali ini jawapannya berlainan. Dia berkata, ” saya malu cikgu “.

14 Sampai bila kamu harus malu dengan menutup sebahagian daripada muka kamu seperti sekarang. ” Saya malulah cikgu, ” ulangnya dengan jawapan yang sama.

15 ” Lambat laun kamu mesti menampakkan wajah kamu yang sebenar. Mengapa kamu tidak menanggalkan plaster itu sekarang. Kamu pelajar yang hensem. Tak ada apa yang hendak dimalukan “, jelas saya.

16 “Ada darah beku di dahi saya cikgu, saya malu, ” terang pelajar itu. ” Tak ada apa yang hendak kamu malukan. Kamu sepatutnya berasa malu dalam keadaan kamu sekarang sebab kamu seorang sahaja yang begini,” hujah saya.

17 ” Tak ada sesiapa yang nampak kamu sekarang. Kamu ada dua pilihan sama ada menanggalkannya sendiri atau cikgu yang tanggalkannya, ” jelas saya agak tegas.

18 Saya melihat dia semacam mengendur (mengalah). Lalu saya menyuruhnya masuk ke dalam tandas guru (L) yang berhampiran untuk menanggalkan plaster itu.

19 Al-hamdulillah, sebaik-baik sahaja dia keluar dari tandas, saya dapat melihat sedikit tanda hitam nipis pada dahinya itu. Itulah yang selama ini menyebabkan dirinya malu dan tidak ada keyakinan diri.

20 Sambil cuba menutup bahagian dahi yang dimaksudkan dengan jari sebelah kanan, dia menyerahkan plaster yang dipegangnya dengan tangan kiri kepada saya.

21 Saya berharap itulah permulaan baru bagi pembentukan keyakinan pada dirinya. Saya berharap dia memperolehi diri dia yang sebenar dan akan datang ke sekolah pada minggu hadapan tanpa plaster lagi.

22 Saya mendapat tahu daripada guru-guru di sini, rupa-rupanya pelajar ini telah menggunakan plaster sejak 1 1/2 tahun yang lalu. Saya tersenyum puas walaupun itu hanyalah satu kejayaan kecil buat saya sebagai PK HEM. Sepanjang hari Jumaat itu saya cukup ceria sambil berkongsi pengalaman manis itu dengan isteri saya.

23 Saya berdoa semoga pelajar itu menemui dirinya yang sebenar dan melalui hari-hari yang mendatang dengan penuh yakin dan ceria.

Catatan Pengalaman Abd Bashid Harun