Di bawah ini merupakan sebahagian daripada sedutan ingatan saya kepada calon-calon PMR 2009, SMK Kamunting. Ucapan ini saya sampaikan pada jam 7.30 pagi tadi.
1 Ada beberapa hari lagi sebelum peperiksaan PMR bermula. Sepatutnya masa untuk membuat penyimpanan sudah hampir tamat.
2 Simpanan dalam kotak ingatan sepatutnya sudah banyak sebagai persediaan menghadapi hari-hari penting itu.
3 Peperiksaan sebenarnya merupakan proses mengeluarkan maklumat dari kotak ingatan untuk dipindahkan ke kertas jawapan.
4 Kita tidak membuat simpanan lagi di dewan peperiksaan. Yang kita lakukan hanya satu iaitu membuat pengeluaran.
5 Tetapi bagaimana kita hendak membuat pengeluaran, kalau sebelum ini kita tidak beringat untuk membuat penyimpanan.
6 Bagaimana kita hendak mengeluarkan dengan banyak sedangkan simpanan kita sedikit atau tidak mencukupi?
7 Jadi bagi mereka yang belum cukup persediaan untuk bersemuka dengan hari yang sangat penting itu, kerja mereka agak berat sedikit.
8 Ketika ramai calon sibuk berlatih membuat pengeluaran, kumpulan pelajar ini terpaksa membuat simpanan.
9 Bagi pelajar yang mempunyai simpanan yang mencukupi tidak menjadi kesukaran bagi mereka untuk membuat pengeluaran.
10 Jangan tunggu hari peperiksaan baru hendak membuat pengeluaran. Sekarang adalah masanya untuk berlatih membuat pengeluaran.
11 Lebih banyak latihan pengeluaran dibuat adalah lebih baik.
12 Pelajar akan menjadi lebih mahir dan cekap mengeluarkan isi dari kotak ingatan untuk dipindahkan ke kertas jawapan.
13 Cara ini akan membiasakan anda membuat pengeluaran sebelum hari pengeluaran sebenar sampai. Insya-Allah anda tidak akan kekok lagi pada waktu itu.
14 Bagaimana caranya membuat pengeluaran? Ya, banyak cara. Antaranya banyakkan latihan menjawab soalan, menulis karangan, menjawab soalan esei dan objektif.
15 Lihat balik soalan-soalan peperiksaan yang lalu dan cuba jawab. Dapatkan soalan-soalan dari sekolah-sekolah luar, dan cuba jawab.
16 Tunjukkan jawapan itu kepada guru subjek, minta mereka periksa jawapan anda dan dapatkan pandangan mereka tentang jawapan anda itu.
17 Begitulah yang anda lakukan setiap hari bermula sekarang sehinggalah menjelang hari peperiksaan.
18 Jawab soalan, periksa jawapan, bincangkan jawapan dan buat lagi latihan. Latihan demi latihan demi latihan, tidak henti-henti.
19 Ya sekarang anda sudah begitu mahir membuat pengeluaran. Anda tidak gentar lagi berhadapan dengan hari pengeluaran sebenar.
20 Selamat menjalani peperiksaan. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan. Semoga anda diberi kesihatan tubuh badan dan kecerdasan minda.
21 Guru-guru dan ibu bapa sentiasa mendoakan kejayaan anda. Anda tidak berseorangan menghadapi hari-hari penting itu. Kami sentiasa bersama anda.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Nasihat Kepada Calon PMR: Sekarang Masa Membuat Pengeluaran "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply