1 Buat sementara waktu elakkan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti atau kegiatan berisiko seperti mendaki gunung, mengembara ke dalam hutan, sukan ekstrim, berenang di air dalam atau terlibat dalam perjalanan jauh.

2 Jika anda ingin mengekalkan kecergasan jasmani dan minda memadailah anda melakukan riadah atau senaman di kawasan berhampiran dengan tempat tinggal anda.

3 Anda sepatutnya memberi tumpuan penuh kepada persiapan untuk menghadapi peperiksaan.

4 Sebaik-baiknya semua yang anda lakukan adalah dalam jarak atau lingkungan yang boleh dijangkau oleh ibu bapa atau keluarga anda.

5 Berada di dalam rumah bersama keluarga, atau bersama kawan sekelas untuk tujuan “study group” atau ke pusat sumber (perpustakaan) untuk membuat rujukan atau mengulangkaji pelajaran adalah beberapa bentuk aktiviti yang disarankan.

6 Beritahu ibu atau bapa anda ke mana anda hendak pergi dan dengan siapa anda melakukannya. Mohon dapatkan keizinan daripada mereka terlebih dahulu.

7 Mereka yang paling baik untuk menjadi sahabat anda dan mendapat nasihat pada saat-saat penting ini ialah ibu bapa dan guru-guru anda sendiri.

8 Mereka tidak akan memberi nasihat yang salah atau merosakkan masa depan anda.Jika mereka tidak mengizinkannya, itulah yang terbaik buat anda.

9 Mendapat nasihat kawan-kawan bukan tidak boleh, tetapi biasanya mereka lebih cenderung menasihati perkara yang mereka suka lakukan sahaja, bukannya apa yang sepatutnya anda buat.

10 Jika anda gagal mengikuti pesanan di atas saya bimbang kalau-kalau anda terlepas peluang untuk menduduki peperiksaan atau pun menduduki peperiksaan dalam keadaan tidak sempurna.

11 Oleh itu pastikan ketenangan, kesihatan dan keselesaan anda menjelang hari-hari penting itu berada pada tahap paling optimum.

12 Ingat, nasihat ini diberikan kerana sayangnya kami kepada anda. Bayangkan jika anda terlibat dalam sesuatu musibah pada waktu ini, bukan sahaja diri anda yang susah, tetapi keluarga, guru-guru, polis, pihak hospital, kejiranan dan ramai pihak turut susah.

13 Sekali lagi saya ingin memberitahu anda bahawa ramai yang menyayangi anda. Sebab itu kami tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada anda.

14 Jadi sebelum sesuatu yang buruk terjadi, kami ingin mengingatkan anda.Anda tidak perlu membayar apa-apa dengan mendengar dan mematuhi nasihat kami.

15 Ketahuilah ibu bapa dan guru-guru tidak pernah menjadi musuh anda.

Cikgu Bashid