1 Tulisan saya ini jangan disalah tafsir bahawa saya pemuja artis atau membela mana-mana artis. Saya tidak pernah menjadikan mana-mana artis sebagai idola saya atau idola untuk anak-anak saya.

2 Jika saya mahu menunjukkan suatu contoh keluarga bahagia, saya tidak akan mengambil keluarga artis sebagai contoh. Begitu juga jika saya memerlukan contoh seorang guru misali, bapa misali dan pelbagai misali lagi saya tidak akan membawakan contoh artis.

3 Tetapi jika saya bercakap tentang seorang penyanyi yang mempunyai suara yang baik dan pelakon yang hebat barulah saya akan mengetengahkan artis-artis tertentu sebagai contoh. Maksudnya dalam bidang mereka iaitu hiburan, artislah yang paling sesuai sebagai contoh. Namun dalam aspek-aspek yang lain, saya lebih bersedia mengambil contoh daripada individu yang bukan artis sekalipun ada artis yang mempunyai keluarga bahagia dan berjaya.

4 Pada hemat saya menjadi artis di bumi Malaysia yang dikatakan sebuah negara yang aman dan tenteram bukan lagi selamat dan selesa sekarang. Pada bila-bila masa sahaja anda akan diterjah jauh ke dalam ruang peribadi anda sehingga apa yang patut ada dalam dompet dan beg anda pun ingin digeledah bukan sahaja oleh orang yang makan gaji untuk rancangan itu tetapi juga untuk tatapan semua orang.

5 Kalau dahulu disebutkan artis menjadi milik masyarakat, sekarang bukan sahaja diri artis itu sendiri tetapi dompetnya, begnya, but keretanya dan apa-apa juga yang ada padanya juga sudah menjadi milik masyarakat.Keadaan ini saya gambarkan seolah-olah ada orang lain yang cuba mengatur kehidupan seseorang artis; apa yang patut ada di dalam beg mereka atau apa yang tidak patut ada; apa yang patut mereka buat dan apa yang sepatutnya mereka tidak buat.

6 Jika tidak ada peraturan atau undang-undang mengenainya, saya khuatir suatu hari nanti anda akan diterjah sehingga ke pakaian dalam anda dan melihat kecacatan diri anda di sebalik nama besar anda sebagai penyanyi atau pelakon.Tidak jelas pada saya, apakah tujuan terjahan itu dibuat. Yang nyata terjahan itu bukan dilakukan untuk tujuan siasatan atau penyelidikan. Tetapi yang diaju soalan itu akan gelisah, kelam kabut, mencuka, rasa bersalah dan murung. Penonton yang melihat pula akan ketawa, terhibur, meluat, menyampah dan tak kurang yang bersimpati.

7 Ternyata sekali aspek terjahan sebagai elemen dalam dunia hiburan Malaysia masa kini amat mendapat tempat sekarang sehingga derita peribadi dan maruah orang tertentu boleh sahaja menjadi hiburan dan keseronokon pula kepada orang lain.

8 Mungkin ada yang berkata bahawa niat mereka baik. Mereka mahu menyedarkan artis berkenaan. Siapakah anda untuk menyedarkan orang lain. Anda telah memalukan seseorang dan meletakkannya dalam trauma untuk beberapa ketika dan menjadi tontonan beratus ribu orang. Anda menggunakan satu alasan untuk semua itu, iaitu untuk hiburan.

9 Tetapi cara-cara terjahan seperti itu bukan cara yang kita amalkan selama ini untuk menyedarkan seseorang malahan jauh menyimpang dari budaya ketimuran.Ternyata sekali terjahan itu dilakukan semata-mata untuk tujuan hiburan dan pelaris. Apabila ramai individu yang bereaksi ke atas rancangan itu, rancangan itu dianggap berjaya.

10 Yang anehnya rancangan yang ada elemen terjahan semakin mendapat tempat sekarang. Malahan jika terjahan itu dilakukan dengan cara yang paling hebat, dibuat secara bersahaja dan mana-mana artis dapat diperangkap dengan soalan-soalan tahap api neraka sehingga tergagap, gelabah dan tersipu-sipu malu dibuatnya maka rancangan itu dianggap hebat.

11 Lebih jauh dari itu saya pernah melihat ada artis yang diculik, diikat pada sebatang pokok dan dibiarkan berseorangan di tempat terpencil selama beberapa jam boleh dianggap suatu yang menghiburkan. Kalau itu satu lakonan lain halnya. Tetapi ini perlakuan real yang tidak disedari sama sekali oleh arits yang dikenakan itu.

12 Begitu juga saya tidak fikir soalan pedas lampau peribadi, perlakuan yang menimbulkan kesan ketakutan dan kemarahan yang sengaja diatur menjadi suatu bahan hiburan apatah lagi untuk diketawakan oleh orang ramai.

13 Saya pernah menyaksikan ada artis yang memang nyata kurang senang dengan soalan-soalan lampau peribadi tersebut. Baru-baru ini ada seorang artis diterjah bersama pasangannya. Apabila artis itu mematahkan soalan itu dengan cukup baik ia menimbulkan rasa kurang senang individu yang bertanya lalu disindir dengan tulisan pedas.

14 Sayugia diingat artis seperti juga manusia biasa, ada marwah dan rasa malu. Jika kita tidak gemar soalan-soalan lampau peribadi dan perlanggaran zon peribadi itu berlaku ke atas kita dan keluarga kita, kita juga tidak patut melakukan perkara yang sama kepada orang lain termasuk artis.

15 Saya takut rasa bangga kita menjadikan artis sampai sebegitu rupa yang mendorong orang lain menghina dan mentertawakannya akan menjadikan kematian kita bahan perli orang ramai.

16 Anda mungkin pernah belajar tentang sempadan atau zon peribadi, soal privacy dan setakat mana sempadan ruang yang harus anda tempuh, tetapi nampaknya semua itu kini sudah tidak dipedulikan lagi. Semua itu kini hanya cantik sebagai teori di atas kertas. Pada amalannya itu sudah tidak berlaku lagi apabila sudah ada beberapa rancangan yang menggunakan teknik terjahan dan serkap. Yang lebih hebat lagi ia bukan di bumi Amerika dan England, tetapi ia berlaku di Malaysia.

Hakcipta Abd Bashid Harun