Peringatan: Teks ini akan disampaikan pada Majlis Penutupan Bulan kemerdekaan SMK Kamunting pada 16 September ini.Teks ini masih tertakluk kepada pengubahsuaian. Tuan/Puan boleh mengambil sepenuh atau sebahagiannya asalkan bertanggungjawab terhadap penulis asalnya-GuruBashid

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera,

Tuan Pengetua dan Guru-guru yang dihormati serta para pelajar yang dikasihi.

1 Saya mulakan pidato ini dengan seruan marilah kita bersyukur ke hadhrat Allahkerana telah mengurniakan kepada kita sebuah negara yang aman, bebas dan makmur.

2 Dengan nikmat keamanan dan kemakmuran ini, kita boleh ke sana ke mari dengan selamat; bebas mencari rezeki dan melaksanakan tugas seharian kita. Kita tidak perlu khuatir tentang ancaman di pertengahan jalan, tentang masjid dan surau yang dikepung dan dibom serta ledakan mortar dan senjata api seperti yang berlaku di sesetengah negara di dunia.

3 Sesungguhnya nikmat keamanan, kebebasan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini tidak datang begitu sahaja. Ia tidak datang secara kebetulan, melalui accident atau incident seperti perbidalan yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

4 Tentunya nikmat-nikmat ini diperolehi setelah adanya usaha yang bersungguh-sungguh dan semangat pengorbanan yang begitu tinggi oleh generasi yang terdahulu.

5 Hakikatnya para pemimpin dan pejuang tanah air yang dahulu telah mewariskan kita sebuah negara yang merdeka. Sebuah negara yang bebas daripada belenggu penjajahan.

6 Jadi apakah pula bentuk negara Malaysia yang bakal kita wariskan kepada anak cucu kita? Adakah sebuah negara yang kekal keadaannya seperti hari ini, atau jauh lebih maju atau lebih teruk daripada apa yang ada sekarang?

7 Bagi membalas jasa mereka yang terdahulu, yang pengorbanan mereka tidak terhingga besarnya dan legasi mereka yang tidak sedikit kesannya, kita patut berterima kasih kepada mereka.

8 Banyak cara yang boleh kita pamerkan sebagai tanda berterima kasih dan menghargai mereka yang berjasa. Antaranya ialah dengan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara ini. Melalui komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk berbakti kepada tanah air melalui bidang dan cara masing-masing.

9 Rasa tanggungjawab ini boleh kita zahirkan dengan memelihara keamanan dan kestabilan negara ini melalui pemupukan semangat persefahaman yang berterusan dan toleransi yang tinggi serta kerjasama antara kaum.

10 Kita bertuah kerana yang diungkapkan oleh Allah di dalam al-Quran benar-benar wujud di sini. Allah berfirman, ” Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk kamu saling mengenali antara satu sama lain. “.

11 Di sini ada Melayu, Cina dan India serta kaum-kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak serta suku kaum asli di Semenanjung. Sesungguhnya kewujudan masyarakat berbilang bangsa yang ada di negara ini adalah suatu takdir yang patut disyukuri, bukanlah alasan untuk kita mencari perbezaan dan masalah yang tidak berkesudahan.

12 Sebaliknya masyarakat majmuk yang wujud di negara ini adalah peluang dan ruang untuk kita mencari kesamaan dan kesatuan antara kita. Perbezaan antara kita bukanlah penghalang sebaliknya adalah khazanah yang tidak ternilai harganya yang patut dikongsi bersama untuk membawa Malaysia ke arah kecemerlangan.

13 Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Kaki kita berpijak di buminya yang kaya dan berdiri pula di bawah langitnya yang cerah. Di bumi waqafan ini kita dilahirkan, dibesarkan, bersekolah, bekerja, berumah tangga, mati dan dikuburkan. Tiada sebab kita membenci negara yang begitu berjasa kepada kita.Baik atau buruk inilah negara kita dan kita tidak ada kemampuan untuk lari daripadanya.

14 Negara kita Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu dan dipanggil oleh orang India Swarnabhumi atau Tanah Emas merupakan sebuah negara yang menjadi rebutan kuasa luar, khususnya kuasa Eropah.Kedudukan pelabuhannya yang strategik iaitu di tengah-tengah jalan perdagangan utama antara Timur dan Barat serta terlindung daripada tiupan angin Monsun Barat Daya dan Timur Laut meletakkan Malaysia sebagai sasaran utama untuk diduduki.

15 Selain itu kekayaan hasil buminya terutama bijih timah dan hasil hutan serta kesuburan tanahnya telah mendorong kuasa-kuasa Barat berebut-rebut ke sini. Kuasa barat yang berpegang kepada matlamat 3G (God, Gold dan Glory) bersaing sesama mereka untuk menguasai tempat-tempat strategik di negara ini.

16 Sejak dahulu negara kita telah ditakdirkan seperti gula. Di mana ada semut di situ ada gula. Begitulah halnya dengan Malaysia apabila dari dahulu lagi banyak negara dan ramai orang yang menaruh minat ke atas negara yang makmur ini.

17 Sehingga sekarang keadaan ini masih berlaku di mana kita dapat saksikan bagaimana pendatang asing daripada pelbagai negara sama ada secara sah atau tidak sah datang dengan pelbagai tujuan ke negara ini. Jika negara kita tidak selamat dan makmur mereka tidak akan datang ke sini.

18 Jika orang luar melihat Malaysia sebagai tempat yang bertuah dan bakal memberikan keuntungan yang lumayan, tiada sebab mengapa pula sebahagian daripada rakyat kita sendiri memandang Malaysia dengan sinis dan sanggup pula memburukkan nama baik negara di luar.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,

19 Sekiranya kita mengambil kira pendudukan Portugis di Melaka pada tahun 1511, bererti negara kita telah dijajah selama 446 tahun.Ini merupakan suatu tempoh yang cukup lama berbanding usia kemerdekaan negara yang baru sahaja mencapai setengah abad lebih.

20 Selepas Portugis, negara ini saling bertukar tangan. Negara ini pernah dikuasai oleh Belanda yang menggantikan tempat Portugis di Melaka pada tahun 1641, kemudian digantikan dengan British yang menduduki Melaka melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

21 Kemudian British menjalankan dasar campur tangan secara langsung bermula dengan negeri Perak melalui Perjanjian Pangkor.Melalui dasar ini satu demi satu negeri-negeri Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

22 Sebelum British memerintah kesemua negeri di Semenanjung Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak, British terlebih dahulu telah menjalankan dasar campur tangan secara tidak langsung di negara ini.

23 Dalam tempoh campur tangan tidak langsung itu, British tidak menggunakan seluruh kekuatan negaranya untuk menduduki beberapa buah negeri sebagai pengkalan perdagangannya. Memadai British menghantar sebuah dua kapal dan beberapa orang kuat Syarikat atau Kompeni untuk menguasai negeri-negeri ini.

24 Inilah yang berlaku apabila Pulau Pinang dan Singapura diduduki oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI). Hasil penipuan halus Franchis Light dan Stamford Raffles yang berjaya memanipulasi ketidakcekapan Sultan dan Pembesar Melayu Kedah dan Johor pada waktu itu, kedua-dua negeri yang terletak di Laluan Selat Melaka itu jatuh ke tangan SHTI.

25 Begitulah halnya dengan Sabah yang berjaya dikuasai oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Borneo Utara British (SBUB).

26 Keadaan tidak jauh bezanya dengan Sarawak yang berjaya dikuasai oleh sebuah keluarga yang terdiri daripada tiga orang yang berketurunan Brooke. Kerana ketidakcekapan pemerintahan Brunei pada waktu itu untuk mengendalikan jajahan takluknya yang begitu luas, sedikit demi sedikit kawasan di Sarawak diserahkan kepada keluarga itu.

27 Disebabkan yang bukan daripada keluarga Brooke gagal mentadbir negeri ini dengan baik maka Tuhan telah menggantikannya dengan satu keluarga yang lain. Itulah keluarga Brooke yang terdiri daripada James Brooke, Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke.

28 Untuk menjadikan ketiga-tiga Brooke ini lebih berkuasa mereka mengangkat diri mereka sendiri sebagai Raja dengan memakai gelaran Rajah Putih. Maka terpahatlah dalam sejarah negara buat pertama kali sebahagian daripada negara kita diperintah oleh Brooke.

29 Tentunya keadaan negeri-negeri Tanah Melayu pada waktu itu begitu lemah sehingga hanya dengan kemampuan sebuah syarikat atau keluarga sebuah negeri sudah jatuh ke tangan kuasa lain.

30 Ini membuktikan kepada kita bukan mudah untuk memerintah ketimbang berkata atau menulis tentangnya.Itulah sebabnya pemerintah atau pemimpin di dunia hari ini bukan diberikan kepada semua orang tetapi hanya kepada individu-individu tertentu sahaja yang tentunya menjadi individu pilihan.

31 Ada orang yang ingin menjadi pemimpin tertinggi bagi negaranya dengan melakukan pelbagai cara, tetapi jika Tuhan tidak menetapkannya berada di situ tak ada sesiapa pun boleh mengambil alih kerja-Nya.Meskipun kita tidak boleh ambil alih kerja Tuhan, kita masih boleh melakukan kerja kita sendiri.

Tuan-Tuan dan puan-puan,

32 Setelah menghayati betapa berliku dan beranjaunya sejarah negara kita sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka kita wajib memelihara kemerdekaan negara ini dengan berpegang teguh kepada semangat perlembagaan negara.

33 Berjuang untuk memerdekaan tanah air bukanlah suatu perjuangan yang mudah. Banyak pengorbanan yang harus dibuat. Tetapi mengisi kemerdekaan dengan pelbagai agenda pembangunan demi kepentingan agama, bangsa dan negara ini tentu jauh lebih mencabar. Ia memerlukan pemimpin yang bijaksana yang berupaya memeta masa depan negara, melihat ke akar umbi masalah dan merangka perancangan dan stategik lagi tepat.

34 Itulah yang dilakukan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia. Meskipun ada nada sinis yang membandingkan kemerdekaan negara kita dengan Indonesia, namun kemerdekaan yang dicapai melalui perundingan itu telah meletakkan Malaysia pada tempat yang paling selamat dan paling dihormati sehingga kini.

35 Kita khuatir jika sesebuah kerajaan dibentuk melalui kekerasan dan tumpah darah, tidak mustahil yang akan menggantikannya juga akan melakukan perkara yang serupa. Tetapi keadaan ini tidak berlaku di Malaysia. Kita sanggup berunding berpuluh-puluh kali dan mengambil pendekatan penuh hikmah umpama menarik rambut daripada tepung, rambut tak putus dan tepung tak tumpah asalkan negara kita kekal aman dan rakyatnya hidup sejahtera.

36 Usaha YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini disambung oleh YA Bhg Tun Abdul Razak. Zaman beliau adalah zaman pengisian. Bukan mudah untuk melakukan pengisian jika masih belum ada apa-apa yang hendak diisi. Tetapi berkat kebijaksanaan dan komitmen yang ditunjukkan oleh PM yang kedua itu, yang merupakan ayahanda kepada PM sekarang, maka banyak pembangunan strategik dilakukan.

37 Keutamaan Tun pada waktu itu ialah untuk membasmi kemiskinan, merapatkan jurang sosio-ekonomi antara kaum dan mengeratkan perpaduan.Maka untuk itu dijelmakan sebuah dasar ekonomi jangka panjang yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru. Berpandukan dasar ekonomi nasional itu, banyak projek dibangunkan dan yang paling terkenal antaranya ialah FELDA.

38 Dengan adanya FELDA ramai orang yang tidak ada tanah dan rumah diberikan tanah dan rumah. Kehidupan yang penuh kesempitan sebelum ini lama kelamaan bertukar kepada kesenangan dan kemewahan. Sekarang ini jika kita memasuki tanah-tanah rancangan FELDA kita akan melihat bagaimana berjayanya peneroka ini. Mereka sudah boleh mendiami rumah mewah ala-banglo dan memiliki kenderaan. Anak-anak mereka juga berjaya ke menara gading dan akhirnya memegang jawatan tinggi.

39 Kejayaan ini bukannya kecil jika kita bandingkan dengan keadaan sebelumnya. Maka wajarlah gelaran Bapa Pembangunan diberikan kepada Tun Abdul Razak bin Hussein.

40 Usaha Perdana Menteri kedua itu disambung oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn. Sebagai pencinta keamanan dan perpaduan beliau tidak mahu negara yang baru sahaja mencapai kemerdekaan dan baru hendak membangunkan dirosakkan oleh perasaan buruk sangka dan perbalahan sesama kita. Beliau seolah-olah sudah dapat menjangka jika persoalan perpaduan tidak diberi perhatian, lambat laun Malaysia akan terperangkap dalam kesulitan.

41 Malaysia memang aman dan stabil. Tetapi di Malaysia juga telah tersedia bom jangka yang jika tersilap catur akan meledak pada bila-bila masa. Jika api perkauman mula disemarakkan dan sentimen perkauman menjadi bahan mainan bibir tanpa kawalan Malaysia pada bila-bila masa akan terdedah kepada ketidakstabilan.

42 Justeru PM ketiga ini memberi tumpuan kepada usaha-usaha penyatuan dan perpaduan. Agenda memperkukuhkan kesatuan dalam kepelbagaian diberi keutamaan. Sebab itu dalam zaman beliau tidak banyak pembangunan kebendaan dibuat sebab beliau mahu memberi tumpuan kepada perpaduan. Akhirnya pada zaman beliau muncul suatu zaman yang cukup aman dan stabil. Tidak hairanlah orang ramai mengaitkannya dengan Bapa Perpaduan.

43 Era Tun Hussein Onn digantikan dengan era Tun Dr Mahathir Mohamad. Dengan perpaduan yang sudah sampai ke puncaknya hasil usaha PM sebelumnya, mudahlah PM yang keempat ini memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal.

44 Dalam tempoh 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri tidak kurang daripada 60 program besar dilaksanakan. Pada peringkat awal ramai pengkritik beliau melihat ini sebagai pembaziran, namun selepas itu dan hingga ke hari ini mereka sangat berterima kasih kepada pemimpin berpandangan jauh ini. Mereka berkata, kalaulah tidak kerana Tun Dr Mahathir Malaysia tidak akan jadi serupa ini dan tidak akan dikenali oleh dunia antarabangsa.

45 Satu demi satu pembangunan dilaksanakan oleh beliau sejajar dengan gagasan Wawasan 2020 untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju menurut acuan sendiri dalam peta dunia. Pembangunan dari yang sekecil-kecilnya seperti pemakaian tanda nama dan penggunaan kad perakam waktu bagi penjawat awam, sehinggalah kepada projek mega seperti lebuh raya, putera jaya dan cyber jaya.

46 Bukan sahaja rakyat kagum dengan pencapaian Malaysia tetapi juga dunia. Dunia telah mula membuka matanya kepada Malaysia. Beliau diangkat sebagai Wira Malaysia dan Wira Negara Dunia Ketiga melalui pemikiran dan agenda beliau yang bersifat futuristik.

47 Beliau nampak apa yang dilihatnya. Jika orang kebanyakan nampak masalah, beliau nampak peluang.Beliau memotivasikan rakyat Malaysia melalui gaya Kepemimpinan Transformasinya yang menonjold an tegas.Slogan Malaysia Boleh berkemundang di mana-mana.

48 Sesungguhnya legasi beliau boleh dilihat, disentuh, dirasai dan dihayati sehingga akan datang. Memandangkan kecekapannya mentadbir negara ini, pandangannya yang melampaui sempadan dan banyaknya pembangunan yang beliau laksanakan, maka layaklah beliau digelar Bapa Pemodenan.

49 Disebabkan pembangunan sudah wujud di merata-merata ceruk di negara ini, maka Perdana Menteri seterusnya iaitu Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi melihat betapa pentingnya jika legasi ini dikekalkan dan dipelihara agar tidak sirna tanpa adanya kebijaksanaan, kepakaran dan sikap tanggungjawab mereka yang menerima dan menggunakannya.

50 Maka Tun Abdullah memberi tumpuan kepada aspek pembangunan dalam diri manusia itu sendiri dengan usaha untuk membangunkan modal insan yang berminda kelas pertama. Bagi beliau tidak memadai jika kita berjaya membangunkan kemudahan fizikal kelas pertama jika minda manusianya tidak mempunyai tahap yang serupa.Sebab itulah pada zaman beliau soal integiriti, ketelusan dan keadilan diberi penekanan.

51 Kita dapati pada zamannya semangat demokrasi begitu subur, di mana rakyat boleh bersuara dan memberi pandangan agak lebih bebas. Suara-suara yang lebih berani kedengaran bermunculan dalam era beliau.

52 Kini era DS Mohd Najib Tun Abdul Razak pula. Beliau telah melalui beberapa zaman bermula zaman pembangunan oleh bapanya, zaman ketegasan dan kemajuan luar biasa oleh Tun Dr Mahathir dan era sentuhan kelembutan oleh Pak Lah. Beliau tidak membuang mereka, tidak juga memakai semuanya. Beliau dengan penuh hormat menerima mereka sebagai guru, bapa dan pemimpin yang berjasa.

53 Beliau lebih bertuah kerana dapat mengadun semua pemikiran dan cara gaya pemerintahan yang diwarisi daripada bapanya dengan tiga pemimpin sebelum beliau. Maka dengan gaya yang tersendiri beliau mengemukakan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian DiUtamakan.

54 Kita tidak dapat mengelak daripada menerima adanya perbezaan bangsa, agama, warna kulit dan bahasa. Namun kita tidak boleh mengelak yang kita berkongsi sebuah negara, iaitu Malaysia. Kita ibarat sebatang pokok yang sama-sama menegak dan menjulang. Tiada bahagian pokok yang lebih hebat daripada yang lain.

55 Tanpa satu sahaja bahagian, tidak mungkin pokok itu dapat tumbuh subur menjulang awan. Sebatang pokok adalah analogi Satu Malaysia. Kita boleh berbeza dalam beberapa perkara, tetapi kita tidak boleh berpecah hanya disebabkan wujudnya perbezaan itu. Sesungguhnya kita tidak ada negara lain, inilah satu-satunya negara yang kita ada.Kita dalam 1Malaysia.

56 Kita tak perlu bangunkan Amerika, Jepun atau Indonesia yang lain di bumi tercinta ini. Cukuplah Malaysia yang sedia ada-satu dan tiada tolok bandingnya.Marilah kita Satu Malaysia sama-sama meliharanya.

57 Merdeka! Merdeka! Merdeka! Sekian, wassalamu’alaikum wr wbt.

Hakcipta Abd Bashid Harun