1 Tidak ada yang luar biasa berlaku semasa Pertandingan Syarahan Dan Ujian Bertulis (PSUB) di Telok Intan semalam.Semakin sulit hendak mencari lima yang terbaik antara 20 peserta syarahan SJK(C) dan SJK(T) itu yang mewakili 10 daerah di negeri Perak.
2 Kami mendapati peserta yang menduduki lima tempat teratas mempunyai kebolehan biasa-biasa sahaja dan memerlukan latihan dan bimbingan keras daripada jurulatih negeri jika mahu mengekalkan rekod kemenangan sebagai johan di peringkat kebangsaan.
3 Masih kedengaran telor kecinaan daripada peserta SJK(C) terutama apabila mereka menyebutkan kata Malaysia dan masih tebal sebutan “k” bagi peserta dari SJK(T). Ini amat ketara apabila mereka menyebutkan perkataan duduk dan rakyat.
4 Walaupun pada keseluruhannya sudah tidak kerap kedengaran sebutan huruf “h” dalam perkataan yang diakhiri dengan huruf a seperti saya(h), negara (h) namun sesetengah peserta masih selesa dengan cara biasa.
5 Kali ini para hakim mendapati tiada peserta yang mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang pemidato. Ada yang mempunyai suara yang sedap tetapi penyampaiannya pula agak mendatar. Ada peserta yang dapat menyampaikan syarahan dengan lancar tetapi mempunyai gaya persembahan seperti bercerita dan bersajak.
6 Ramai peserta yang berhenti atau berhenti sebentar di tempat yang tidak betul. Saya istilahkannya sebagai pemenggalan ayat yang tidak betul. Contohnya frasa Wawasan 2020 dan masyarakat majmuk dipecahkan kepada dua bahagian lalu disebut Wawasan / 2020 dan Masyarakat /Majmuk.
7 Peserta juga tidak dapat mengawal tekanan tinggi rendah suara. Terdapat peserta yang menjerit dari peringkat awal lagi termasuk apabila memulakannya dengan pantun. Pantun sebagai seni tinggi bangsa Melayu menjadi rosak apabila dibacakan secara keras dan menjerit.
8 Begitu juga terdapat peserta yang begitu serius, tidak ceria dan tidak berupaya melontarkan senyuman. Mereka seolah-olah sedang kepanasan, begitu tertekan dan gugup di atas pentas.
9 Sebahagiannya pula tidak melontar pandangan yang tepat ke arah penonton. Mereka dilihat melemparkan pandangan ke suatu arah yang tidak tentu sambil terkebil-kebil seolah-olah mereka sedang mengingati setiap bait kata dalam syarahan.
10 Semua kesilapan ini menjadikan mutu persembahan mereka secara keseluruhan tidak berkualiti, dipaksakan, kurang elemen kesahajaan, kurang unsur kecindan dan tidak menyentuh hati penonton dan hakim. Atau lebih tepat lagi mereka sekadar menghafal teks bukan menghayati keseluruhan kandungan teks.
11 Adalah perlu bagi peserta yang menjalani latihan pusat nanti untuk diberi kefahaman yang mendalam tentang isi kandungan teks agar mereka dapat mempersembahkan syarahan dengan lebih berkeyakinan.
12 Adalah perlu mereka memahaminya terlebih dahulu sebelum mereka cuba memahamkannya kepada orang lain. Jika mereka sendiri tidak faham, bagaimana teks itu dapat disampaikan dengan cara yang berkesan kepada penonton/pendengar.
Abd Bashid Harun











No user commented in " Ulasan Penghakiman Pertandingan Syarahan SJK(C) dan SJK(T) Peringkat Negeri Perak "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply