” Sesungguhnya sekarang saatnya yang kukhuatiri benar-benar berlaku di mana orang ramai akan sibuk menjaga urusan para pemimpin dan ketua-ketua mereka daripada menjaga urusan diri dan keluarga/ahli mereka sendiri….” KLIK DI SINI untuk bacaan seterusnya
1. Apakah yang dimaksudkan dengan kuasa rakyat yang kerap dimomokkan oleh pembangkang apabila berdepan dengan sesuatu isu yang dilihat bakal merugikan mereka?
2. Adakah kuasa rakyat itu bermaksud rakyat patut campurtangan dalam setiap urusan kerajaan sehingga boleh menentukan sesuatu itu patut dibuat dan tidak patut dibuat? Atau menetapkan yang ini betul dan yang itu salah? Adakah sejauh itu yang rakyat boleh lakukan?
3. Kalau benar rakyat yang sangat berkuasa, siapakah rakyat yang dimaksudkan? Adakah rakyat itu meliputi semuanya atau hanya sebahagiannya?
4. Dan kalau sebahagian sahaja, siapa pula yang paling berhak antara mereka? Adakah semua rakyat itu mempunyai keahlian dalam bidang yang sedang diperkatakan itu.
5. Inilah beberapa persoalan yang saya ingin ajukan bukan kepada rakyat tetapi kepada pendokong-pendokong kuasa rakyat yang sering menjadikan rakyat sebagai alasan paling selamat untuk mencapai kepentingan kelompok mereka.
6. Persoalan ini saya ajukan kerana saya melihat rakyat mahu diletakkan lebih utama daripada perlembagaan, mahkamah, undang-undang dan institusi raja. Berdasarkan bukti-bukti terkini inilah yang sedang berlaku di negara ini.
7. Tidak ada lagi keputusan yang diterima dengan bulat hati dan tidak dipertikaikan sekarang ini. Baik keputusan mahkamah, sesuatu yang berkaitan perlembagaan dan undang-undang, mahupun institusi raja semuanya terdedah kepada pertikaian.
8. Malah lebih jauh dari itu apa yang sekarang menjadi hak orang islam dan hak Allah pun turut dipertikaikan dengan bebas. Inikah kuasa rakyat yang kita mahu?
9. Saya melihat kuasa rakyat hanya setakat memilih wakil mereka sama ada untuk dipilih sebagai ADUN atau Ahli Parlimen dalam sesuatu Pilihan Raya sama ada PRU atau PRK.
10. Maksudnya kuasa rakyat hanya berlaku dalam suatu tempoh tertentu yang memakan beberapa hari sahaja yang dimuktamadkan dalam sesuatu pilihan raya. Selepas itu jika rakyat tidak bersetuju, rakyat patut tunggu dalam tempoh lima tahun. Inilah yang dikehendaki dalam perlembagaan.
11. Dan apabila wakil rakyat sudah dipilih, maka menjadi tanggungjawab wakil rakyat itulah yang membentuk barisan kerajaan dan seterusnya mengatur segala program untuk kepentingan rakyat yang diwakili.
12. Rakyat menyerahkan kepada wakil rakyat yang dipilih untuk membawa masalah mereka dan seterusnya menentukan nasib mereka.
13. Apa yang ditentukan oleh wakil rakyat dalam persidangan sesama mereka itulah yang dikatakan kuasa rakyat sebab adalah mustahil pada setiap perkara dalam tindakan kerajaan seramai 27 juta rakyat boleh menentukannya.
14. Jadi jika sebagai wakil rakyat anda menghadapi jalan buntu anda tidak patut berkata serahkan kepada rakyat. Rakyat sudah menyerahkan nasib mereka kepada anda, maka anda yang telah dipilih untuk mewakili merekalah yang patut menggunakan segala kebijaksanaan dan kebolehan yang ada berdasarkan peruntukan perlembagaan untuk menangani masalah rakyat.
15. Jika anda meminta rakyat yang menentukan dan menyatakan kembalikan kuasa kepada rakyat maka anda bukan sahaja salah tetapi menyulitkan rakyat yang telah memilih anda.
16. Apa gunanya rakyat memilih anda sebagai wakil mereka jika dalam hal-hal yang sebegitu penting anda gagal menyelesaikannya.
17. Membawa masalah wakil rakyat kepada rakyat dan memulangkan masalah yang dihadapi kepada rakyat bukanlah satu penyelesaian tetapi membuka peluang seluas-luasnya kepada pertikaian awam yang berpanjangan dan tidak berkesudahan.
18. Kalau dahulu tidak pernah terjadi seorang penjaja, penoreh getah, penganggur, dan tukang sapu bercakap apa sahaja tentang apa yang telah diputuskan oleh mahkamah, apatah lagi menyatakan keputusan itu tidak betul dan betul.
19. Nampaknya sekarang itulah yang berlaku di mana seorang penganggur pun boleh menentukan apa yang sepatutnya mahkamah putuskan.
20. Begitu juga halnya dengan perlembagaan, undang-undang dan sultan. Ketiga-tiga institusi yang dianggap luhur ini sekarang ini telah terdedah kepada pertikaian awam.
21. Sekarang ini rakyat di pelbagai peringkat menentukan apa yang patut kerajaan buat dan tidak patut buat. Mereka turut menentukan apa yang patut mahkamah putuskan atau tidak putuskan. Mereka juga menentukan apa yang sultan patut buat dan tidak patut buat.Seakan-akan keputusan mahkamah dan raja perlu menerima “confirmation” daripada rakyat.
22. Atas nama rakyat, rakyat diminta bercakap semahu-mahunya . Atas nama kuasa rakyat, rakyat diasak betalu-talu untuk bangun dan ada ketika tertentu dipaksa untuk bercakap bagi pihak kumpulan tertentu yang berkepentingan.
23. Dan apabila semua lapisan rakyat sudah mula bercakap tanpa mempedulikan keahlian mereka dalam bidang yang disentuh kita pun cepat-cepat merumuskan bahawa sekarang rakyat berkuasa.
24. Sebenarnya saya melihat apa yang sedang berlaku bukanlah rakyat berkuasa atau yang sedang mermainkan peranan mereka. Tetapi sebenarnya yang berkuasa dan mendominasi hanyalah sekumpulan individu atau parti yang sedang memanipulasi rakyat kebanyakan demi memenuhi kepentingan mereka.
25. Apa yang terjadi ialah rakyat dipergunakan untuk mencapai tujuan minoriti yang berkepentingan di kalangan mereka atau lebih tepat lagi oleh sekumpulan individu yang gilakan kuasa yang sedang memaksa kerajaan mengikut rentak mereka.
26. Kumpulan kecil ini sering saja bertindak secara gerombolan dan subersif dengan menggunakan rakyat sebagai benteng terakhir mempertahankan kerja buat mereka yang salah.
27. Emosi rakyat sengaja ditiup dan api sentimen disemarakkan untuk sepanjang masa sehingga rakyat tidak diberi kesempatan untuk bertenang walau seketika.
28. Rakyat sengaja dibiarkan sesak nafas sehingga mereka tidak berpeluang walau seketika menggunakan akal budi mereka untuk membezakan mana yang betul dan mana yang salah serta yang mana patut diutamakan.
29. Rakyat seolah-olah dipaksa berpolitiking untuk sepanjang masa seolah-olah setiap daripada mereka adalah wakil rakyat bagi diri mereka sendiri.
30. Atas nama kebebasan, hak asasi dan demokrasi, rakyat sekarang bebas bercakap semahu-mahu mereka di mana-mana sahaja tentang institusi-institusi yang dianggap luhur dan bukan dalam bidang mereka. Dan inikah yang dikatakan kuasa rakyat?
31. Sepatutnya apa yang berlaku di dalam dewan itu bukan lagi hak rakyat untuk menentukannya. Andalah sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab menyelesaikannya.
32. Apabila dikatakan kembalikan kuasa kepada rakyat andalah yang dimaksudkan sebab anda diberi kuasa itu oleh rakyat.
33. Sulit sangatkah kita untuk memahami hal yang satu ini. Malahan ada yang mengambil kesempatan daripada konsep 1Malaysia, yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Haji Tun Abdul Razak untuk menekan kerajaan kembali.
34. Kelompok ini menganggap konsep 1Malaysia yang mendahulukan rakyat adalah termasuk menyerahkan kepada rakyat dalam menentukan sesuatu keputusan. Saya menolak pemahaman yang sebegini dalam memahami konsep 1Malaysia.
35. Suara rakyat memang patut didengar dan rakyat memang menjadi keutamaan kerajaan, bukan sahaja dalam era DS Najib tetapi juga dalam era kerajaan sebelumnya .
36. Tetapi apabila sampai di peringkat membuat keputusan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat itulah yang akan menentukannya.
37. Rakyat dalam kadar kemampuan mereka sebenarnya tidak mahu disulitkan dengan kerja-kerja yang memecahkan kepala mereka termasuk dalam membuat keputusan untuk kebaikan mereka setelah mereka memilih wakil-wakil mereka.Kalau setiap keputusan hendak dipulangkan kepada rakyat lebih baik tidak payah ada kerajaan atau lebih tepat lagi wakil rakyat. Tanya sahaja rakyat.
38. Jelas sekali rakyat memang mengharapkan kerajaan yang dipilih membuat keputusan yang terbaik untuk mereka. Inilah yang kerajaan pimpinan DS Najib sedang lakukan yang tidak dibuat oleh pakatan pembangkang.
39. Apabila kerajaan berfikir untuk memajukan rakyat termasuk golongan pekerja kerajaan dan swasta, pembangkang pula berfikir bagaimana untuk mengekalkan kuasa mereka dengan memanipulasi suara rakyat.
40. Apabila kerajaan sedang melakukan tindakan-tindakan membantu rakyat dengan pelbagai dasar dan program, pakatan pembangkang pula gila-gila berpolitiking untuk sepanjang masa.
41. Ketika sekumpulan individu dan parti melihat pilihan raya kecil adalah segala-galanya kerajaan pula tekun membuat penilaian dan akhirnya mengambil keputusan bahawa tidak semua pilihan raya kecil itu berguna buat rakyat, apatah lagi pada masa ini.
42. Maka tindakan BN tidak menyertai PRK di Penanti walaupun ditakrif penakut oleh pembangkang sebenarnya adalah satu tindakan berani dan luar biasa daripada kerajaan pimpinan YAB DS Najib demi menjaga kepentingan rakyat dan negara.
43. Dengan penjelasan di atas, susah benarkah untuk memahami siapakah antara mereka ini yang lebih mengutamakan rakyat dan siapa pula yang lebih mengutamakan agenda peribadi dan kelompok?
Hakcipta Abd Bashid Harun











1 user commented in " Maksud Kuasa Rakyat @ Rakyat Didahulukan "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackkalau kuasa rakyat didahulukan… kenapa rakyat perak tidak diberikan kuasa untuk memilih pemimpin mereka….bubar sahaja Dun Perak…baru adil
Ulasan:
Bukan kuasa rakyat yang didahulukan sebab siapa pun kita, kita mesti akur dengan kuasa Tuhan dan kuasa yang diberi kepada pihak yang berotoriti. Yang kita dahulukan ialah rakyat. Ini termasuklah kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan mereka, bukan kuasa mereka.
Leave A Reply