1. Jika berita di atas benar-benar menjadi kenyataan ia memang menggembirakan hati saya. tetapi yang jelas itu hanyalah harapan saya. Sebagai seorang bapa yang masih mahu belajar bahasa Inggeris berbanding dengan anak-anak saya yang sudah mula berani bertutur bahasa itu, saya kira pengumuman seperti itu memang diharapkan dan melegakan hati saya dan ramai lagi ibu bapa di luar sana.

2. Kalau dahulu mereka hanya belajar Bahasa Inggeris untuk lulus, sekarang mereka belajar bahasa itu dengan niat lebih jauh daripada itu iaitu untuk menguasai subjek Sains dan Matematik.

3. Mula-mula mereka menguasai subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selepas itu mereka menguasai teknologi dunia melalui pembacaan mereka yang meluas. Mula-mula mereka hanya pengguna selepas itu mereka diharapkan menjadi pengeluar pula.

4. Ramai yang menjadikan alasan bahaw3a kegagalan dalam Matematik dan Sains kerana diajar dalam bahasa ini. Nampaknya fikiran mereka benar-benar berorientasikan peperiksaan. Dengan melihat keputusan UPSR mereka menyimpulkan apa yang kerajaan buat ini salah, lalu mencadangkan kembali kepada asal-ajar subjek ini dalam Bahasa Melayu.

5. Mereka gagal melihat di sebalik idea Tun mencadangkan hal ini, niat Tun ialah untuk menolong bangsa Malaysia agar dapat menguasai sains dan teknologi khususnya dan dunia amnya.Agar bangsa Malaysia bersaing di peringkat global.Tentulah ini memakan masa beberapa tahun sebelum kita melihat hasilnya.

6. Memang menakutkan dan berisiko.Tetapi keberanian mesti ada untuk mengambil risiko jika kita mahu melihat berlakunya anjakan paradigma di kalangan bangsa kita. Kejayaan tidak datang dengan mudah dan dengan mengambil cara paling mudah dan popular.

7. Sebenarnya saya cukup takut jika keputusan sebaliknya berlaku. Maklumlah anak-anak baru mula berjinak-jinak dengan bahasa itu dan telah menunjukkan sedikit kemajuan walaupun tidak banyak, tiba-tiba dikembalikan semula pengajaran subjek Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu.

8. Tentu jika itu berlaku perkembangan mereka dalam bahasa itu khususnya untuk subjek sains dan matematik akan terbantut. Malahan tindakan menarik balik penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek itu dikira kurang bijaksana setelah banyak masa dan belanja telah kita gunakan untuk merealisasikannya.

9. Sebagai seorang bapa yang terdidik dalam aliran Melayu dan Arab saya tidak berkesempatan menguasai Bahasa Inggeris lebih meluas berbanding anak-anak saya sekarang. Jadi sebagai bapa yang kurang bernasib baik, saya mahukan anak-anak saya menjadi lebih baik daripada saya sekurang-kurangnya dalam aspek ini.

10. Saya tanamkan perasaan ‘iri” atau “ghibtah” di hati mereka kepada penutur bahasa Inggeris sambil meyakinkan mereka betapa mudahnya individu yang mampu bertutur dalam bahasa itu mendapat peluang pekerjaan yang bergaji lumayan berbanding mereka yang hanya tahu satu bahasa, khususnya Bahasa Melayu.

11. Kebanyakan kita daripada aliran Melayu hanya mempelajari bahasa itu, tetapi masih belum berani menuturkannya. Kalau menuturkannya pun masih bercampur baur antara Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dan antara yakin dan ragu-ragu.

12. Tetapi anak-anak saya sekarang jauh lebih baik penguasaan bahasa Inggeris berbanding sketiaya ka saya seusia mereka walaupun tidaklah lebih cekap daripada kawan-kawan merela yang jauh lebih pandai.

13. Tegasnya anak-anak sudah ada keyakinan dalam bahasa Inggeris dan semakin berminat mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa itu sekalipun dalam susah payah.

14. Nampaknya pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris menjadi alasan yang baik untuk mereka lebih menguasai bahasa itu. Mereka bukan sahaja bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa antarabangsa itu, malahan mereka sedang mendedahkan diri mereka kepada istilah-istilah sains dan matematik yang diguna pakai di peringkat dunia. Mereka sedang menyediakan diri mereka untuk keperluan dunia sekarang.

15. Jadi tiada sebab minat mereka disekat dan peluang keemasan untuk menguasai Sains dan Matematik melalui Bahasa Inggeris terhenti begitu sahaja.

Hakcipta Abd Bashid Harun