1 Al-Hamdulillah, sudah tiga kali saya habis membaca Novel Julia. Saya perlu membaca dan memahami ceritanya terlebih dahulu agar saya mendapat kepuasaan dan keyakinan sebenar apabila mengajar novel tersebut.
2 Selagi saya belum benar-benar menghayati kandungan novel hasil tulisan Abu Hassan Morad itu, saya diburu rasa bersalah dan berfikir bahawa saya belum layak mengajarkannya.
3 Semua ini saya lakukan kerana satu sebab. Pada tahun ini saya mengajar subjek BM untuk 1 kelas Ting 5. Julia adalah novel yang perlu diajar dan menjadi salah satu perkara dalam komponen sastera (komsas).
4 Pendirian saya, sebelum saya mengajarkannya biarlah saya memahami dan menghayati kandungannya terlebih dahulu. Saya mahu mengajar novel Julia itu berpandukan cerita dalam novel itu sendiri bukan melalui ulasan dalam buku panduan yang terdapat dengan banyaknya di pasaran.
5 Buku panduan atau buku ulasan bukan tidak baik, tetapi mungkin lebih diperlukan oleh pelajar yang mempunyai lebihan wang. Namun bagi saya sendiri sebagai guru dan majoriti pelajar saya lebih memerlukan buku teks sebagai rujukan utama.
6 Pendirian saya dalam hal ini cukup jelas. Yang pertama ialah buku teks. Kedua, saya sendiri sebagai guru yang mengajar subjek tersebut. Dan ketiga, barulah buku panduan atau buku ulasan. Bukan menjadikan buku panduan dan buku ulasan untuk segala-galanya
7 Namun sehingga saat ini saya masih belum pasti tentang beberapa perkara yang terkandung dalam novel tersebut. Antaranya ialah hubungan Ummi Sarah, isteri kedua Datuk Abu Bakar Osman, pengerusi BMPRO Holding Sdn. Bhd. dengan Syed Mustaffa, Pengurus Kanan Butik BMPRO Sdn. Bhd.
8 Pertanyaan saya ialah adakah Syed Mustaffa yang kadang-kadang dipanggil pak su oleh Julia dan pernah juga dipanggil Tuan Syed itu adik kepada Ummi Sarah atau abangnya?.
9 Julia sendiri yakni Aku dalam cerita ini mati-mati percaya bahawa Tuan Syed Mustaffa itu sebagai adik kepada Ummi Sarah. Ini termuat dalam banyak petikan. Antaranya ” Cuba pak su ceritakan kepada saya hal sebenar,” kataku membahasakan pak su kepadanya selaku adik Ummi Sarah walaupun Syed Mustaffa ialah Pengurus Kanan Butik BMPRO Sdn. Bhd.(Perenggan 2, hal 86).
10 Satu lagi bukti yang pak sunya itu merupakan adik Ummi Sarah terkandung dalam petikan berikut.Aku tahu hubungan Syed Mustaffa dengan abah tidak begitu baik. Dia menganggap abah menggunakan pengaruh dan harta untuk mengahwini kakaknya.Tetapi pada masa yang sama dia berharap kakaknya, maksudku Ummi Sarah dapat menguasai abah….( Perenggan 7, hal 87).
11 Akan tetapi bagi Syed Mustaffa sendiri, dia memanggil Ummi Sarah sebagai adiknya. Bukti yang menunjukkan Ummi Sarah itu ialah adik Syed Mustaffa terkandung dalam percakapan Syed Mustaffa sendiri.
12 ” Saya beri amaran, Julia jangan buat kecoh. Tukarkan butik tu segera. Kalau tidak saya akan ambil tindakan bagi pihak adik saya,” katanya tiba-tiba meninggi. (Perenggan 3, hal 87).
13 Bagi saya yang dimaksudkan oleh Syed Mustafa bagi pihak adiknya itu ialah Ummi Sarah sendiri.Alasannya, bukankah Ummi Sarah yang paling rapat kaitannya dengan butik tersebut. Tidak tahulah saya kalau yang dimaksudkan oleh Syed Mustaffa ialah adiknya yang seorang lagi iaitu Maria.
14 Maria sebagai adik Ummi Sarah disebut dalam percakapan Ummi Sarah sendiri ketika memperkenalkan adiknya itu kepada Julia. “Terlupa pula ummi nak kenalkan. Ini Maria, adik ummi dari kampung. Dia belajar di Universiti Malaya. Kebetulan dia datang ke rumah ummi, ummi ajak sama temankan ummi ke sini.” (Baris 25, hal 66).
15 Tetapi Kalau Maria yang membuat tuntutan itu hampir mustahil sebab dia masih belajar di Universiti Malaya dan tiada disebut langsung yang dia mempunyai keinginan untuk memiliki sebarang harta kepunyaan arwah Datuk Bakar
16 Jika Maria itu adik Syed Mustaffa yang juga merupakan adik Ummi Sarah yang bongsu dialah yang paling layak dipanggil mak su, sebaliknya Julia memanggil Syed Mustaffa sebagai pak su. Jika Syed Mustaffa yang bongsu mana mungkin dia ada ada adik lagi.
17 Mungkin juga panggilan pak su oleh Julia kepada Syed Mustaffa itu secara serkap jarang sahaja. Bukankah Julia pernah serkap jarang tentang sikap Ummi Sarah mengenai Butik BMPRO; serkap jarang tentang konon-kononnya ibunya marahkan ayahnya yang berkahwin lagi; dan serkap jarang tentang agama Jun, iaitu pemuda berketurunan Cina yang akhirnya menjadi suami Julia.
18 Andaian atau agakan Julia yang selalu tidak tepat itu terbukti apabila beliau terus memanggil Syed Mustaffa sebagai Tuan Syed bukan lagi pak su seperti sebelumnya sebaik-baik sahaja Syed Mustaffa mengugutnya dengan mengatakan dia akan mengambil tindakan bagi pihak adiknya.
19 Adakah Julia baru sedar atau terkejut yang selama ini dia tersilap memanggil Syed Mustaffa sebagai pak su setelah dia mendengar sendiri ucapan Syed Mustaffa yang antara lain menyebut bahawa dia bertindak “bagi pihak adiknya”. Daripada ucapan itu Julia seolah-olah baru sedar bahawa Syed Mustaffa bukan yang bongsu.
20 Atau Julia sekadar memanggilnya sebagai pak su tanpa mempunyai maksud yang Syed Mustaffa adalah anak bongsu.Panggilan itu dibuat semata-mata kerana Syed Mustaffa adalah adik kepada Ummi Sarah.Atau Julia merasakan itulah panggilan yang paling sesuai untuk Syed Mustaffa.
21 Adakah Syed Mustaffa yang cuba menipu Julia atau Julia sendiri yang terkeliru?
Pertanyaan Abd Bashid Harun











No user commented in " Syed Mustaffa: Adik atau Abang Ummi Sarah? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply