Disediakan oleh
ABD BASHID BIN HARUN PENOLONG KANAN HAL-EHWAL MURID(HEM)
BAHAGIAN I: PENGURUSAN MKT
Pendahuluan
1 Pengurusan melibatkan pengendalian ke atas sumber manusia dan sumber bukan manusia yang ada di dalam sesebuah organisasi yang terlebih dahulu perlu dirancang, disusun atur, dipimpin, diarah dan dikawal selia.
2 Dalam ilmu pengurusan moden kelima-lima tahap pengendalian di atas dikenali sebagai P.O.L.D.C, iaitu Planning, Organising, Leading, Directing dan Controlling.
3 Sumber manusia bagaimana hebat sekalipun tidak boleh dibiarkan tanpa dilakukan perancangan ke atasnya, ditadbir, dipimpin, diarah dan dikawal selia supaya setiap tenaga, idea, bakat, kecerdasan, potensi serta kelebihan yang ada pada manusia itu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan diri manusia itu sendiri dan organisasi yang disertainya.
4 Tentunya sumber manusia yang masih muda remaja dan sedang belajar untuk mematangkan diri sebagai calon pemimpin masa hadapan yang sekarang sedang menimba ilmu di dalam kelas lebih perlu dirancang dan diurus dengan baik.
5 Dalam hubungannya dengan Majlis Ketua Tingkatan SMK Kamunting organisasi yang terlibat ialah 61 buah kelas dan Majlis Ketua Tingkatan (MKT) sendiri. Pengurusan sumber manusia di dalam organisasi MKT SMK Kamunting melibatkan 61 orang Ketua Kelas (KK) dan 61 orang Penolong Ketua Kelas (PKK) dan dalam konteks organisasi sebuah kelas, KK dan PKK mengurus pula kawan-kawan sekelas yang berjumlah antara 24-34 orang dan AJK Kelas yang lain.
6 Pengurusan sumber manusia tidak dapat dipisahkan dengan pengurusan sumber bukan manusia sama ada yang datang dari diri manusia itu sendiri atau yang berada di luar lingkungan manusia disebabkan manusia selalu menggunakan kedua-dua jenis sumber ini untuk mencapai tujuan-tujuan peribadi dan organisasi.
7 Hal yang demikian termasuklah mengurus masa, pengurusan konflik, pengurusan tekanan(stress), pengurusan organisasi(kelas dan badan), kewangan dan aset, pelbagai dokumen/bahan bercetak dan tidak bercetak, dokumen rasmi dan tidak rasmi, pelbagai fail, buku,surat menyurat,peralatan dan kelengkapan,pelbagai jenis instrumen(seperti instrumen kawalan kelas, instrumen penilaian keceriaan), pelbagai jenis modul, perabot dan semua bahan statik yang boleh dikawal sepenuhnya oleh manusia.
8 Lebih jauh daripada itu KK dan PKK hendaklah menyedari bahawa ada kemungkinan rakan sekelas mereka yang berani menggunakan sumber bukan manusia itu untuk memenuhi hasrat peribadi, sekalipun hasrat peribadi itu jauh menyimpang daripada tujuan yang dibenarkan.
9 Sebagai contoh, majoriti ahli kelas menggunakan Pas Keluar Kelas untuk ke tandas, tetapi ada juga seorang dua ahli kelas yang menyalahkan instrumen kawalan tadi untuk berjumpa kawan, menyembunyikan diri atau ponteng kelas.
10 Apabila ini berlaku tugas mengurus bagi seorang KK, PKK dan MKT sendiri menjadi semakin rumit. Kalau dahulu mereka hanya mengurus bahan bukan manusia seperti alat kawalan kelas tadi dan murid-murid di dalam kelasnya, tetapi sekarang dia terpaksa menguruskan masalah baru yang dikaitkan dengan penyalahgunaan pas keluar tadi.MKT terpaksa mencari dan menggunakan pendekatan yang paling baik bagi mengatasi penyalahgunaan pas keluar agar masalah itu tidak berulang lagi.
11 Secara keseluruhannya, pengurusan selalunya dikaitkan dengan aspek fizikal atau luaran seseorang atau sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya oleh manusia, sementara kepimpinan pula berkaitan hubungan manusia dengan manusia di mana aspek dalaman dan hubungan saling mempengaruhi menjadi elemen utamanya yang memerlukan pelbagai kemahiran untuk menguasainya.
Mitos Tentang Kewujudan Kelas dan Ketua Kelas
1 Pada zaman bahari ketika manusia masih belum menemui idea untuk belajar di tempat yang khusus, iaitu ketika seorang atau sekumpulan kecil murid yang belajar hanya dengan mendengar ajaran atau falsafah yang disampaikan 100% berpusatkan guru yang disampaikan melalui syarahan atau pidatonya di bawah naungan pohon rendang di tanah lapang dan di bawah kolong langit yang terhampar luas, pergantungan kepada seorang murid tertentu hampir tidak berlaku.
2 Ahli falsafah yang berperanan sebagai guru ketika itu cukup dominan disebabkan bilangannya yang sangat terbatas dan ajaran luar biasanya yang belum pernah didengar sebelum itu sehingga berjaya menarik perhatian murid-muridnya kepada ajaran atau falsafahnya lewat syarahan atau pidatonya. Dalam situasi yang sedemikian, murid-murid sangat memuja gurunya dan berhubung terus dengan guru, begitu juga sebaliknya
3 Namun apabila tempat belajar berpindah daripada alam luas terbentang kepada suatu bentuk binaan, yang mula-mulanya berlantai, kemudiannya berbumbung dan akhirnya berdinding; apabila bilangan murid bertambah dan guru pun semakin ramai untuk menyampaikan ajaran dalam bidang masing-masing, maka idea untuk mengharapkan seorang murid tertentu bagi membantu guru pun mula timbul.
4 Apabila bangunan yang bernama sekolah, madrasah, pondok dan pesantren dibina, maka ketua kelas ketika itu masih belum dikenali sehinggalah jumlah murid semakin bertambah dan pelbagai aliran pengajian wujud sehingga murid terpaksa dipecahkan kepada kumpulan pengajian atau halaqat yang diasingkan di tempat tertentu di sekolah yang sama lalu dibuat penghadang atau pemisah antara satu kumpulan dengan satu kumpulan murid yang menjadi asas atau permulaan kelas (fasl) atau bilik darjah seperti yang kita kenal pada hari ini, maka guru ketika itu sudah mula memikirkan tentang keperluan kepada seorang murid untuk mengetuai murid yang lain di kelas itu yang kemudiannya dikenali sebagai ketua kelas.
5 Memandangkan bilangan premis bangunan sekolah semakin bertambah dan perletakannya pula terpisah yang diikuti kemudiannya dengan pertambahan bilangan kelas sejajar dengan pertambahan bilangan murid dan bilangan aliran, hubungan antara murid dan guru sudah mula menjadi semakin rumit sehingga membatasi komunikasi langsung antara mereka.
6 Keadaan ini disebabkan wujud jarak antara satu kelas dengan satu kelas; antara satu bangunan dengan satu bangunan; dan antara sesi pagi dengan sesi petang, maka pentadbir sekolah mula menerima idea tentang perlunya semua ketua kelas (termasuk penolongnya) disatukan di bawah satu badan yang akhirnya dikenali sebagai MKT yang tujuan asalnya hanyalah untuk memudahkan penyaluran maklumat dan mendapatkan maklum balas daripada murid.
7 Selain faktor di atas, perluasan fungsi kelas dan harapan ke atas kelas sebagai nadi sekolah yang semakin meningkat, maka keperluan kepada badan seperti MKT dirasakan semakin mendesak dengan tujuan yang lebih besar iaitu menyatukan seluruh idea, tenaga dan potensi yang ada pada seseorang Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas dalam membantu Guru Kelas dan guru-guru lain mengurus dan menggerakkan kelas masing-masing.
MKT : Maksud Dan Kepentingannya:
1 MKT atau lebih tepat lagi MKT SMK Kamunting adalah satu daripada beberapa Jawatankuasa Hal-Ehwal Murid yang dibentuk di bawah Unit Hal-Ehwal Murid (HEM) yang ahlinya terdiri daripada semua Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas dengan bimbingan dan nasihat beberapa orang guru penasihat yang turut serta di dalam majlis itu yang dipilih atas persetujuan pihak sekolah bagi tujuan menyatukan, menyelaraskan,menyeragamkan dan memudahkan urusan kelas dan segala yang berkaitan dengannya.
2 Adalah suatu yang mustahil untuk PK HEM secara bersendirian menguruskan bidang HEM yang sangat luas fungsi dan peranannya, maka keperluan membentuk beberapa JK Kecil di bawah unit HEM adalah menjadi suatu strategi penting dalam pembentukan sahsiah murid yang dizahirkan melalui pematuhan ke atas semua peraturan sekolah sehingga ke dalam kelas, seperti pewujudan MKT ini.
Siapakah Di Dalam MKT?
1 Secara lazimnya Majlis Ketua Tingkatan atau MKT adalah terdiri daripada seorang ketua guru penasihat, beberapa orang guru penasihat dan AJK yang terdiri daripada Ketua-Ketua Kelas dan Penolong-Penolong Ketua Kelas.
2 Antara Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas itu ada yang dilantik sebagai Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan AJK yang dipilih dalam satu mesyuarat dalam Majlis tersebut.
Bagaimana Dengan Guru Kelas?
1 Kedudukan guru kelas, sama ada hendak dimasukkan dalam ahli majlis atau tidak, bergantung kepada kesesuaian dan keadaan. Dalam sebuah organisasi sekolah yang besar dengan jumlah kelasnya begitu banyak seperti SMK Kamunting, adalah memadai beberapa orang sahaja guru diambil sebagai Guru Penasihat MKT untuk membantu Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas.
2 Idea untuk menurutsertakan guru kelas dalam MKT adalah idea yang baik, tetapi kurang praktikal bagi SMK Kamunting sebab bilangan guru kelas cukup ramai dan jika ditambah dengan ketua kelas dan penolong ketua kelas, bilangannya menjadi semakin ramai. Justeru memadai jika guru kelas ini diwakili oleh beberapa orang guru.
3 Meskipun bukan satu kemestian guru kelas menjadi ahli MKT, namun guru kelas secara lazimnya boleh membantu dan melaksanakan semua program yang disusun oleh MKT di kelas masing-masing. Malahan tenaga mereka boleh digunakan untuk tujuan pelaksanaan program dan aktiviti MKT.
Mengapakah Penolong Ketua Kelas Dimasukkan Sekali Dalam MKT?
1 Pada asalnya MKT hanya disertai oleh Ketua Kelas. Malahan jika bilangan KK semakin ramai disebabkan bilangan kelas yang semakin bertambah sehingga dikhuatiri akan berlakunya sindrom terlepas daripada kawalan adalah memadai hanya ketua kelas bersama seorang dua guru penasihat menjadi ahli di dalam majlis itu.
2 Ideanya di sini ialah pertambahan bilangan kelas tidak akan menjejaskan bilangan KK yang sepatutnya berada dalam MKT, tetapi bilangan guru penasihatlah yang akan dihadkan.
3 Pendapat umum yang mendakwa lebih ramai ahli dalam sesebuah organisasi lebih ramailah penasihat diperlukan adalah kurang tepat. Kadang-kadang dengan meletakkan kepercayaan kepada seorang penasihat yang hebat, keadaan akan menjadi lebih mudah dan lebiih jelas hala tuju dan hasilnya.
4 Keadaan ini mudah difahami dengan jelas apabila nama Ketua Tingkatanlah yang ditonjolkan dalam majlis ini dan selari pula dengan aspirasi pihak sekolah untuk membentuk kepimpinan murid melebihi kepimpinan guru melalui pembentukan majlis ini.
5 Tetapi di SMK Kamunting kita memasukkan sekali PKK di dalam majlis ini bagi mengetengahkan lebih ramai pemimpin murid di sekolah ini setelah mengambil kira permasalahan sekolah.
6 Inilah sebenarnya yang menjadi hasrat sekolah bermula 2011 apabila aspek yang satu ini diberi penekanan dalam penyusunan strategi pengurusan HEM 2011.
7 Sekiranya boleh kita mahu menjadikan setiap murid di sekolah ini pemimpin dengan melaksanakan dasar satu murid sata jawatan.
8 Logiknya, jika lebih ramai murid yang diangkat sebagai pemimpin di pelbagai peringkat di sekolah ini maka dengan sendirinya wujud rasa kesedaran yang tinggi dalam kalangan mereka bahawa pihak sekolah sebenarnya memang sedang memberi perhatian kepada mereka dan sentiasa menyedari akan kebolehan serta potensi yang ada pada mereka.
9 Ketika ada pihak yang melihat faktor murid sebagai tidak penting dan bukan menjadi critical success factor(faktor kritikal kejayaan) sekolah, ketika inilah kita di sekolah ini mengiktiraf mereka, memberikan mereka kepercayaan dan mengangkat martabat diri mereka melalui pemberian satu tanggungjawab besar oleh pihak sekolah untuk mereka tunaikan.
10 Tentunya ini menjadi satu strategi yang baik dalam membendung permasalahan yang berlaku di sekolah ini untuk jangka sederhana dan panjang.
11 Selama ini orang selalu beranggapan, masalah akan selesai de
ngan memberikan hukuman yang paling setimpal ke atas mereka, tetapi dengan cara yang songsang pengiktirafan dan peluang yang diberikan mungkin adalah jawapan yang akan mengubah segala-galanya.
12 Tentunya risiko ini kita ambil setelah kita mempertimbang banyak sudut dan faktor dan kesediaan kita untuk mendedahkan pemimpin-pemimpin kecil ini kepada bimbingan, panduan, nasihat, kemahiran dan pengalaman secara berterusan di samping melakukan pemantauan ke atas mereka.
13 Tetapi yang lebih penting daripada semua itu ialah kepercayaan yang kita berikan kepada mereka setelah kita mengiktiraf mereka sebagai pemimpin.
Masalah Setiap Sekolah Tak Sama, Apatah Lagi Kelasnya?
1 Sayugia diingat SMK Kamunting meneruskan kelangsungan tradisi kewujudan MKT bukan disebabkan sekolah-sekolah lain pun ada MKT. Bukan itu yang mahu dicontohi, “orang lain buat kita pun buat”, bukan itu.
2 Sebaliknya jika ada yang mahu dicontohi ialah sesuatu yang berfaedah dan telah teruji nilai bandingnya yang telah dijalankan oleh MKT di sekolah tertentu yang berjaya membawa impak positif kepada pengurusan kelas, kepimpinan Ketua Kelas dan penolongnya dan ke atas sekolah itu sendiri.
3 Tiada makna kewujudan badan seperti MKT jika ia tidak berupaya memberikan apa-apa sumbangan ke arah peningkatan kondisi dan iklim di dalam kelas.
4 Kita menyedari tentang kewujudan MKT hampir di semua sekolah, namun bagaimana badan ini beroperasi, program dan aktiviti yang dijalankan atau modus operandinya sewajarnya berlangsung setelah mengambil kira masalah dan keperluan sebenar sekolah. Tentunya pendekatan ini turut memanfaatkan idea dan kreativiti yang ada dalam kalangan guru dan murid yang menganggotainya, termasuk juga guru-guru kelas.
5 Sesungguhnya pihak sekolah serius dalam memartabatkan KK dan PK sebagai pemimpin kecil di dalam kelas dan usaha mengangkat martabat kelas sebagai nadi sekolah-baik di kelas baiklah sekolah- melalui penambahbaikan dan penjenamaan semula MKT secara menyeluruh yang lengkap dengan cabaran yang diberikan, serta ditempatkan pula guru yang bersemangat tinggi dan berjiwa kental sebagai penasihat dan pembibing di dalamnya.
6 Sebab itulah buat pertama kali dalam sejarah sekolah ini kita melantik KK dan PKK secara rasmi dalam suatu majlis rasmi lengkap dengan ikrar dan aku janji. Mereka diberikan watikah khas dan mengenakan lencana emas sebagai simbol yang mereka diiktiraf sebagai pemimpin kecil. Pengiktirafan ke atas mereka diperaku oleh pengetua apabila menjanjikan hadiah lawatan sambil belajar kepada mereka. Malahan dalam kurus MKT yang diadakan pada 12 Februari yang lalu kita dapati mereka cukup bersemangat tinggi dan menunjukkan komitmen padu serta menyedari fungsi dan peranan mereka.
MKT Di SMK Kamunting Satu Keperluan
Keperluan kepada sebuah badan seperti MKT jauh lebih besar bagi SMK Kamunting yang menjalankan dua sidang pengajian dari Tingkatan Peralihan hingga ke Tingkatan 6 Atas dengan bilangan kelas yang cukup besar, iaitu 61 buah yang terpecah kepada tidak kurang daripada lima aliran pelajaran iaitu Sains, Vokasional, Kemanusiaan, Multimedia, Rekacipta, Rancangan Khas (Agama dan biasa) dan Tingkatan Enam di dalam kawasan yang luas yang menempatkan 9 buah bangunan dari Blok A sehingga Blok I yang besar dan bertingkat. Dengan adanya badan seperti MKT adalah diharapkan semua dasar atau polisi MKT dapat dipatuhi dan dilaksanakan secara serentak dan seragam
Tujuan MKT
1 Terdapat sekurang-kurangnya tujuh tujuan MKT ditubuhkan:
Pertama: Bagi mudahkan penyelarasan dan penyeragamanmemastikan hanya ada satu polisi kelas dikuatkuasakan di semua kelas. dibuat ke atas semua peraturan kelas, program, aktiviti dan urus tadbir kelas. Bagi
Kedua: Sebagai satu medium perantaraan untuk mengubungkan murid dengan pihak pentadbir dan membawa harapan dan aspirasi pihak pentadbir kepada murid-murid
Ketiga: Bagi mengelakkan kecairan dan ketirisan maklumat apabila kelas bergerak secara bersendirian tanpa panduan yang diselaraskan seperti keadaan sebelum wujudnya MKT itu.
Keempat: Sebagai badan pemantau dan penilai kepada semua Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas agar sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan peraturan kelas serta etika MKT
Kelima: Sebagai forum untuk menyelesaikan maslah yang ditimbulkan oleh Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas
Keenam: Sebagai saluran yang sesuai untuk menjaga keperluan dan kebajikan ketua kelas dan penolong ketua kelas melalui perancangan dan pelaksanaan program atau aktiviti yang lebih khusus seperti program kebajikan, lawatan sambil belajar, lawatan penandaarasan, jamuan, kursus kepimpinan, seminar, perbengkelan dan sebagainya.
Ketujuh: Sebagai badan yang memikirkan tentang keperluan sebuah kelas dalam jangka sederhana dan panjang termasuk ke arah pemantapan pengurusan kelas, penambahbaikan Polisi Kelas dan semua hal berkaitan.
Visi MKT
MKT Memimpin Kelas Terurus
Misi MKT
Mewujudkan suasana fizikal kelas yang bersih, ceria, selamat, bermaklumat dan kondusif yang menggalakkan pembelajaran melalui pengurusan dan kepimpinan guru kelas yang berkesan dengan dibantu ketua kelas dan penolong ketua kelas yang turut berkesan
Slogan MKT: Dari Kelas Untuk Sekolah Demi Negara
Skop MKT
1 Berdasarkan visi dan misi di atas MKT hanya boleh menentukan, mempengaruhi, mengawal dan mengubah faktor yang boleh dikawal sahaja iaitu suasana fizikal kelas dalam lima aspek utama, iaitu 1)kelas yang bersih 2) kelas yang ceria 3) kelas yang selamat 4) kelas yang kondusif 5) kelas bermaklumat untuk membantu meningkatkan iklim pembelajaran di dalam kelas.
2 Dalam erti kata yang lain kewujudan MKT terbatas kepada lima aspek utama di atas yang kesan akhirnya akan membantu guru kelas, semua guru yang masuk ke kelas itu dan mereka yang berada di dalamnya, termasuklah semua peralatan dan kemudahan di dalamnya.
3 Dalam menjalankan fungsinya sebagai KK mahupun PKK peranan yang dijalankannya tidak melebihi garisan sempadan kelasnya turut meliputi koridor, kecualilah dalam melaksanakan program dan aktiviti MKT.
Yang Tidak Dicakup Oleh MKT
Namun MKT tidak berkuasa dan berupaya mengawal satu lagi faktor utama iaitu aspek pengajaran guru itu sendiri. Begitu juga MKT tidak diberi apa-apa kuasa untuk menjalankan tindakan menghukum, menentukan polisi kelas atau sekolah serta pertukaran murid antara kelas. Selain itu MKT tidak dibenarkan melakukan apa-apa bentuk tekanan ke atas pihak sekolah atau membuat apa-apa tuntutan dan bayaran kecuali yang dibenarkan dan atas kebenaran.
HAKCIPTA ABD BASHID BIN HARUN
Untuk membaca dan mengetahui kandungan modul seterusnya, tuan/puan boleh mendapatkan modul ini daripada penggubalnya sendiri dengan harga RM500.00 dan anda boleh memindanya menurut keperluan sekolah masing-masing.
Anda juga boleh mengundang penulis modul ini untuk menyampaikan kursus tentang kandungan modul ini dengan bayaran RM1,000.00 untuk tempoh 4 jam (8.30 pagi-12.30 tengah hari).Bayaran-bayaran lain seperti pengangkutan, makanan dan penginapan penceramah mesti ditanggung sepenuhnya oleh penganjur. Begitu juga kos-kos lain untuk peserta seperti kos cetakan bahan dan makan peserta ditanggung oleh penganjur.
Bahan ini mengandungi 43 muka surat.
Dipecah kpd 2 Bahagian, iaitu Bahagian 1:Pengurusan dan Bahagian 2: Kepimpinan
Bagi yang berminat sila email Penulis/Penceramah/Motivator/Blogger, iaitu ABD BASHID BIN HARUN di alamat: gurubashid@yahoo.com










