KEPIMPINAN PENGAWAS

TEMA: PENGAWAS HARI INI PEMIMPIN MASA HADAPAN
” Transformasi Kepimpinan Pengawas
Ke Arah Menjana Kepemimpinan Negara Pada Masa Akan Datang ”

Oleh

Abd Bashid Bin Harun
PK HEM SMK Kamunting

Pendahuluan
1 KETIKA sekolah-sekolah sekarang diuji dengan masalah disiplin yang tidak berkesudahan dan datang dalam pelbagai rupa bentuk yang tidak dijangkakan; ditambah pula dengan beban tugas pelajar yang semakin bertambah sehingga terpaksa berhempas pulas mempelajari puluhan subjek dengan sejumlah topik yang tidak sedikit untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan bagi memenuhi impian peribadi, ibu bapa dan sekolah, menjadikan jawatan pengawas bukanlah suatu yang didambakan.

2 Menyarung kemeja berwarna biru, memakai tali leher khas, mengenakan blazer dan tag pengawas bukanlah menjadi suatu faktor yang cukup menarik sekarang ini bagi seseorang pelajar itu menerima jawatan pengawas.

3 Realitinya keselesaan yang pernah dikecapi sebelumnya akan hilang; masa senggang akan semakin berkurangan dan bersedia pula bekerja dalam situasi berisiko tanpa sebarang bayaran dan perlindungan insuran.

4 Malahan sebagai gantinya mereka berhadapan dengan beban tugas yang semakin bertambah dan berdepan pula dengan semua kemungkinan yang tidak sedap didengar, termasuk disisih rakan dan dibenci lawan.

Pengawas Sekolah
5 Pengawas dimaksudkan sebagai orang yang mengawasi, orang yang menjaga (Kamus Dewan, Edisi Keempat, 2005)

6 Pengawas sekolah bermaksud individu tertentu yang dipilih dalam kalangan murid di sekolah itu sendiri serta mendapat perkenan pihak sekolah sebagai mata dan telinga pihak sekolah dalam membantu pengetua dan guru-guru menguatkuasakan peraturan sekolah melalui cara-cara yang munasabah untuk memastikan semua murid akur, patuh, faham dan beramal dengan peraturan tersebut agar wujud suasana yang kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan mahupun halangan yang berpunca daripada perbuatan salah laku mana-mana murid (GuruBashid, 2010)

Tugas Pengawas
7 Jika definisi di atas diambil kira ternyata pengawas tidak dibenarkan sama sekali menjalankan tindakan menghukum atau apa-apa perbuatan yang membawa maksud mendatangkan kesakitan, menimbulkan kepenatan, ketakutan, memalukan, melakukan sentuhan pada mana-mana anggota badan, mengambil hak seseorang sama ada bagi pihak dirinya atau bagi pihak pengetua dan guru-guru seperti mendenda, merotan, merampas dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Sebab itu tidak pernah dilantik dalam kalangan murid pengawas disiplin atau pengawas pembantu guru disiplin.

8 Adalah perlu diingatkan bahawa pengawas pada bila-bila masa dan di mana-mana pun di sekolah, dan, atau di luar sekolah tidak pernah dilantik; atau diperturun kuasa; atau mewakili seseorang; atau bagi pihak seseorang untuk menjalankan tindakan menghukum atau seumpamanya.

9 Apa yang sebenarnya berlaku, mereka hanya diberi watikah perlantikan setelah melalui proses angkat sumpah dan berjaya melepasi tempoh percubaan, sumpah untuk membantu pihak sekolah (bukan mewakili pihak sekolah atau bagi pihak sekolah) dalam memastikan semua murid mematuhi peraturan sekolah.

10 Pengawas secara bersendirian mahupun bersama rakan dan guru tidak dibenarkan mengambil sebarang tindakah mahupun hukuman ke atas pelajar yang bersalah.

11 Tindakan atau hukuman hanya boleh dilaksanakan oleh pengetua, dan guru-guru tertentu yang telah diperturun kuasa oleh pengetua ke atas mereka.

12 Sayugia diingat pengawas tidak pernah diperturun apa-apa kuasa oleh Pengetua, PK HEM, Guru Pengawas, Guru Disiplin dan oleh mana-mana guru untuk menghukum pelajar.

13 Mereka hendaklah mengelakkan diri sama sekali daripada melakukan tindakan seperti merampas barangan berharga yang dibawa ke sekolah, meminta pelajar berlari, mengadakan pemeriksaan mengejut tanpa pengetahuan dan tanpa penyertaan guru atau guru-guru yang bertanggungjawab.

14 Sekalipun pengawas yang dilihat melakukannya, sebenarnya mereka melakukannya atas arahan guru dan bersama guru, bukan atas kehendak mereka sendiri.

15 Contohnya apabila seseorang pengawas merampas telefon bimbit pelajar, itu hanyalah dilakukan atas fungsi dan tugasnya membantu guru yang sebelum itu telah pun mengarahkannya berbuat demikian.

Kepimpinan PengawaS
15 Anda tentunya tidak asing dengan istilah karya sastera seperti watak, perwatakan dan latar yang boleh dikesan melalui genre novel dan cerpen. Istilah ini tidak asing bagi pelajar yang mengambil subjek sastera mahupun sekadar mempelajarinya melalui Komponen Sastera dalam Bahasa atau ringkasnya Komsas.

16 Jadi dalam konteks kepengawasan dan kepimpinan di peringkat sekolah, pengawas itu sendiri adalah watak pembantu, membantu watak utama iaitu pengetua sekolah. Selagi dia pengawas di sekolah, dia tetap menjadi pembantu. Dia tidak akan menjadi watak utama.

17 Sebagai pembantu, dia sama sekali tidak mengambil alih tugas guru atau mengganti guru sekalipun sebentar. Sebagai pembantu, dia tidak seharusnya dibiarkan bebas menjalankan tugasnya bersendirian tanpa panduan, bimbingan dan arahan.

18 Sementara jenis, stail dan nilai kepimpinan yang wajib ada pada seseorang pengawas itulah yang mencorakkan perwatakan yang dikehendaki. Perwatakan ini menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan yang wujud dalam diri watak putih dan watak dinamik yang sepatutunya wujud dalam diri pengawas itu sendiri.

19 SMK Kamunting dan seluruh persekitaran, fasilitis dan premis yang sedia wujud pula menjadi latar tempat; pelajar-pelajarnya yang berjumlah sekitar 1700 orang yang datang daripada pelbagai latar belakang sosio ekonomi, pendidikan, lokaliti , gender dan etnik bertindak sebagai latar masyarakat dan tahun semasa di mana pengawas itu berperanan adalah latar masanya.

Analisis Organisasi dan Persekitaran
20 Kesemua elemen di atas yang wujud bersama faktor-faktor lain dalam organisasi sekolah seperti pelajar, guru, ibu bapa, PIBG, bekas pelajar, alumni, peralatan, kemudahan, persekitaran, kedudukan bangunan, dana, dan sebagainya bersama dengan faktor yang wujud di luar organisasi sekolah seperti pelbagai kemudahan berhampiran seperti cc, balai polis, bomba, sekolah berdekatan, agensi kerajaan, agensi swasta, jiran sekolah, masyarakat setempat, dan lain-lain mestilah dilihat secara komprehensif dan holisitik bagi mencari kekuatan, kelemahan, potensi dan kekangannya agar memudahkan strategi yang sesuai dan tepat dicanai bagi menangani masalah-masalah semasa organisasi, khususnya yang berkaitan Hal-Ehwal Murid (HEM).

21 Analisis di atas yang dikenali sebagai Analisis S.W.O.T (Strenght, Weakness, Opportunities, Threats) atau K.L.A.P (Kekuatan, Kelemahan, Ancaman, Peluang) ini wajib dilakukan oleh para pengawas terlebih dahulu sebelum apa-apa perancangan disusun dan tindakan diambil berdasarkan strategi yang telah ditetapkan. Jika tidak, apa yang kita lakukan hanyalah seperti menukarkan monyet menjadi kera atau memutihkan tepung.

22 Jangan memandang mudah ancaman yang mungkin wujud daripada sesuatu yang dianggap kecil. Yang kecil sekalipun boleh sahaja pada bila-bila masa menjadi ancaman kepada sekolah. Contohnya pokok-pokok yang tumbuh di tepi pagar sekolah jika tidak dibuang atau dibersihkan boleh sahaja menjadi peluang kepada pelajar untuk bersembunyi, melepak dan keluar masuk sekolah melalui pagar dengan bebas tanpa dapat dikesan oleh sesiapa. Bilik kosong yang tidak dikunci, penempatan kelas dan bilik khas yang tidak sesuai, susun atur bangunan, semuanya akan menjadi ancaman apabila ini diambil peluang oleh plajar.

Strategi Pengawas 2012
23 Seseorang mungkin bertanya kepada saya apakah bezanya antara strategi, pendekatan dan taktik. Adakah ketiga-tiganya membawa maksud yang serupa? Adakah ketiga-tiganya saling mengambil tempat dan fungsi? Apakah yang datang dahulu, strategi, pendekatan atau taktik?

24 Sebenarnya ketiga-tiganya boleh dianalogikan seperti adik beradik yang mempunyai hubungan yang sangat rapat. Anda boleh sahaja secara literalnya menyebut ketiga-tiganya sama ada sebagai pendekatan, strategi atau taktik.

25 Yang penting, ketiga-tiganya mesti betul dan tepat. Tidak boleh ada salah satunya salah. Jika satu sahaja yang salah, dua elemen yang lain akan turut gagal. Dan akhirnya objektif yang disasarkan sebelumnya tidak akan tercapai atau lebih tepat lagi, sia-sia.

26 Manakah yang lebih dahulu di antara strategi, pendekatan dan taktik? Sama seperti soalan yang sering diajukan, antara ayam dan telur ayam, yang mana keluar dahulu . Sebenarnya jawapannya terpulang kepada keadaan. Tetapi kebiasaannya strategi dahulu, kemudian diikuti dengan pendekatan dan akhir sekali taktik. Perhatikan situasi di bawah bagi memahami dengan jelas perbezaan antara strategi, pendekatan dan taktik.

27 Pihak tentera, sebagai contoh akan mengumpulkan dan mendapatkan sebanyak-banyaknya maklumat untuk mengenal pasti lokaliti kawasan musuh dan tahap kekuatannya. Pengumpulan maklumat melalui penyamaran atau memecahkan kod keselamatan musuh melalui internet adalah satu bentuk STRATEGI yang boleh digunakan. Biasanya strategi merujuk kepada sesuatu untuk jangka panjang dan sederhana panjang.

28 Setelah semua maklumat diperolehi dan persiapan diatur , askar perlu mendekati kawasan musuh dengan cara menyusup masuk pada waktu malam menggunakan kenderaan pekerja tanpa disedari musuh. Menyusup masuk pada waktu malam menggunakan kenderaan pekerja itu adalah salah satu PENDEKATAN yang boleh digunakan untuk mendekati dan memasuki kawasan musuh.

29 Apabila sudah berada di dalam kawasan musuh barulah gambaran sebenar diperolehi dan wajah sebenar musuh diketahui. Maka di situ kita perlu menggunakan TAKTIK yang sesuai untuk menggempur dan membunuh musuh.

30 Askar tersebut tidak boleh mengandaikan bahawa dengan satu atau dua taktik yang digunakan dia boleh memenangi peperangan itu. Apa yang sebenarnya terjadi taktik yang digunakan itu tidak mencukupi atau tidak sesuai sama sekali untuk berhadapan dengan kekuatan musuh yang tidak dijangkakan. Maka askar terpaksa menukarkannya kepada taktik yang lebih sesuai atau menambah beberapa taktik lain.

31 Jadi dalam erti kata lain, kita memerlukan banyak taktik, beberapa pendekatan dan hanya satu atau dua strategi. Jika strategi dan pendekatan digunakan sebelum bertempur atau berlawan, taktik pula digunakan semasa bertempur.

32 Ini samalah keadaannya dengan pasukan bola sepak yang akan menghadapi pertandingan bola sepak Pra-Piala Dunia dan seterusnya untuk Piala Dunia. Strateginya mungkin menghantar pemain-pemain penyerang berlatih selama setahun di luar negara.

33 Pendekatannya memilih satu kelab dari Asia (bukan dari Eropah) yang benar-benar berkemampuan serta ikhlas untuk memberikan latihan.

34 Tetapi latihan yang diterima di luar negara dan pengalaman bermain di kelab utama tidak akan membantu jika taktik bermain dalam tempoh 90 minit masa perlawanan tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

35 Dalam erti kata lain, anda boleh mengatur strategi hebat, pendekatan tepat namun yang paling penting ialah 90 minit tempoh permainan itu.

36 Anda tentu pernah mendengar tentang strategi devide and rule atau pecah dan perintah yang digunakan oleh pihak berkuasa British untuk mengukuhkan cengkaman mereka di Tanah Melayu.

37 Anda juga mungkin pernah mendengar tentang strategi pengasingan, pemisahan, catuan, penghitaman dan pemutihan kawasan yang digunakan oleh pihak British semasa negara dilanda darurat.

38 Banyak pihak berkuasa tempatan, termasuk MPT menggunakan pendekatan 5S . 5S boleh sahaja bermaksud Sisih, Susun, Simpan, Serang dan Sita.

39 Sebenarnya strategi yang paling mudah dan paling biasa digunakan adalah berdasarkan operasi asas dalam subjek Matematik, iaitu Tambah (+), Tolak, Sisih, Singkir, Kurangkan, Buang (-), Ganda, Gabung,Cantum (x) dan Pecah, Agih (÷).

40 Mereka yang lebih berani dan bersedia mengambil risiko akan menggunakan strategi yang jarang-jarang digunakan orang tetapi amat berkesan untuk berhadapan suasana yang kritikal, atau manusia yang degil; atau pesaing yang berniat jahat.

41 Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa beliau menjadi Perdana Menteri telah menggunakan strategi ini dengan begitu berjaya dan bergaya sekali. Strategi yang saya maksudkan ialah mencetuskan krisis.

42 Krisis sengaja dijelmakan bagi menyentap keadaan yang agak aman dan selesa sebelumnya bagi memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang penting yang perlu diketahui oleh orang ramai.

43 Malahan melalui penggunaan strategi ini kita akhirnya akan dapat mengenal pasti siapa kawan, siapa lawan dan siapa pula yang mengambil kesempatan. Dari situlah nanti kita boleh mengukur tentang kekuatan musuh dan kelemahannya. Malahan ia berguna untuk mengukur tahap integriti seseorang.

44 Rupa-rupanya kita lebih mengenali manusia dalam keadaan krisis berbanding dalam keadaan aman. Sebabnya mudah. Bukankah ramai orang yang akan melompat kepanasan dalam menghadapi bahang krisis itu. Semasa mereka melompat sambil menjerit itulah rahsia peribadi mereka akan dikeluarkan bersama lompatan dan jeritan itu. Nampaknya kita tidak perlu bersusah payah membuat soal selidik tentang mereka. Inilah kelebihan strategi mencetuskan krisis.

45 Harus diingat individu yang mampu menggunakan strategi ini hanyalah mereka yang benar-benar bebas daripada sebarang masalah besar yang boleh dimanipulasi oleh pesaing atau musuhnya. Jika tidak, strategi ini akan makan tuan. Contohnya jika pengawas itu merokok, tentulah sukar baginya menggunakan strategi ini ke atas pelajar yang merokok..

46 Strategi mencetuskan krisis hanya akan berjaya jika seseorang itu benar-benar memiliki rahsia peribadi pesaingnya yang dismpan kemas dan akan digunakan sebagai senjata apabila diperlukan pada masa yang sesuai sahaja. Senjata bermatakan ugutan atau ancaman yang digunakan dalam strategi ini selalunya akan berjaya mendiamkan pesaing atau musuh. Tetapi jika ada yang berdegil senjata yang pada mulanya hanya menjadi ancaman dan ugutan akan benar-benar digunakan sebagai mesin pembunuh.

47 Wajar diingat salah laku itu bukanlah suatu yang sengaja diada-adakan, tetapi ia benar-benar wujud. Jika kesalahan itu sengaja diada-adakan, strategi itu memang tidak akan menjadi dan penyelesaian terhadap krisis itu tidak akan ada penghujungnya. Malahan individu yang memulakannya akan dibuang dan tidak berupaya untuk bangkit lagi.

48 Dalam maksud yang lain, mereka yang berani menggunakan strategi mencetuskan krisis mesti sudah tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Jika ia gagal ia akan dianggap musuh kepada organisasinya, tetapi jika ia berjaya, ia angkat dijulang sebagai wira. Inilah yang dilalui Tun Dr Mahathir dalam pengalamannya menggunakan pelbagai strategi yang ampuh untuk menangani pelbagai masalah negara.

49 Walau apa pun strategi dan pendekatan yang kita gunakan, tidak ada satu pun yang lebih baik atau lebih buruk daripada yang satu lagi. Semuanya boleh sahaja menjadi semuanya bagus atau semuanya tidak bagus. Berguna atau tidak bergunanya suatu pendekatan dan strategi itu bergantung kepada kesesuaian dengan faktor persekitaran dan kumpulan sasaran yang telah dirumus daripada Analisis K.L.A.P (S.W.O.T) yang saya terangkan sebelum ini.

50 Sebagai contoh, kita selalu menyebutkan tentang strategi atau pendekatan Menang-Menang dalam organisasi. Tetapi dalam keadaan tertentu kita perlu menang dan orang lain kalah, dan pendekatan Menang-Menang itu tidak sesuai langsung dalam keadaan yang begini. Ini sama halnya dalam permainan bola sepak, kita perlu menang dan pasukan lain kalah. Kalau kita bermain dengan tujuan untuk kalah, itu mesti ada yang tidak kena. Mesti ada elemen rasuah atau membalas dendam di sana.

51 Keadaan ini sama dalam organisasi. Kita tidak akan membiarkan minoriti yang berkepentingan mengatasi majoriti yang mahukan kebaikan. Nilai yang betul mesti tetap dominan sehingga mengalahkan nilai salah yang cuba dibawa.

52 Kita tidak boleh membiarkan organisasi dikuasai oleh seorang dua manusia dari spesis perosak ini sedangkan kita sudah tahu mereka membawa virus kepada organisasi.

53 Lainlah halnya jika sikap mengalah diperlukan untuk mengatasi sikap ego seseorang. Tetapi situasi ini jarang-jarang berlaku, melainkan kita benar-benar berkeyakinan yang tindakan kita berbaloi.Saya rela mengalah dan biarlah anda yang menang, asalkan anda akan berubah suatu hari nanti. Jika pendekatan Kalah-Menang boleh mentransformasikan seseorang dan kemudian mentransformasikan organisasi, apa salahnya.

54 Maka berdasarkan huraian di atas, senarai strategi dan pendekatan di bawah boleh sahaja menjadi pilihan yang berguna kepada pengawas sekolah dalam memandu bagi melakukan transformasi organisasi HEM pada tahun 2011.

55 Antara strategi yang dimaksudkan ialah, (i)Tukar(/Penukaran) (ii) Pindah(Pemindahan) (iii), Cantas(ambil yang berguna sahaja) (iv) Potong(Pemotongan/Pengurangan) (v) Sisih(Penyingkiran), (vi) Asing(Pengasingan), (vii) Pisah(Pemisahan (viii)Gabung(Penggabungan) (ix) Cantum (Percantuman) (x) Pulau (Pemulauan) (xi)Ganti(Penggantian), (xii)Kawal (Pengawalan), (xiii) Sibukkan (Beri kerja supaya tidak duduk diam) (xiv)Gertak/Ugut, (xv) Biarkan(Ignore), (xvi) Ancaman(ancaman) (xvii)dan lain-lain.

Pengiktirafan
56 Ketika lebih ramai pelajar menolak tawaran menjadi pengawas, maka segelintir yang memilih untuk mengambil peranan dan tanggungjawab yang bukan kecil ini patut diberi perhatian dan penghargaan.

57 Bakal pemimpin yang sedang dibentuk di peringkat sekolah ini tidak wajar dibiarkan bersendirian menjalankan tugas mereka ketimbang harapan pihak sekolah terhadap mereka yang begitu tinggi.

58 Diri mereka wajar didekati; suara mereka patut didengar; dan perasaan mereka hendaklah difahami. Mereka memerlukan guru yang bukan sahaja berupaya menjadi penasihat, tetapi juga bertindak sebagai pendamping, pembimbing mahupun rakan.

59 Sebagai pengiktirafan terhadap fungsi dan peranan pengawas yang sangat penting ini, pihak sekolah wajar memberikan mereka penghargaan dalam pelbagai bentuk. Tidak adil jika kita hanya meletakkan banyak harapan ke atas bahu pengawas sedangkan tiada ganjaran yang kita berikan.

60 Antara bentuk terima kasih yang boleh kita berikan kepada pengawas termasuklah mengadakan jamuan untuk mereka, di hotel atau di luar sekolah, membawa mereka melancong sambil belajar, mendedahkan mereka kepada kursus di luar, mewujudkan high table di kantin, program anak angkat pemimpin dan program sandaran di mana pengawas diserahkan kepada syarikat atau agensi tertentu agar mereka melalui sendiri pengalaman bekerja di bawah kendalian syarikat atau agensi berkaitan seperti Air Asia, MAS, Bank, hotel dan lain-lain.

61 Kita juga boleh memperkenalkan bantuan dalam bentuk kewangan seperti dermasiswa PIBG, sagu hati bulanan, dan lain-lain sumbangan kepada pengawas. Inilah antara bentuk pengiktirafan yang sebahagiannya sudah pun dilaksanakan sekarang yang perlu diberi nilai tambah dan ditambah baik pada masa akan datang agar pengorbanan pengawas berbaloi.

62 Pengawas tidak mungkin memintanya secara berlebih-lebihan tetapi kita yang lebih berpengalaman dan lebih berusia daripada mereka mestilah lebih realisitik dan lebih terkehadapan dalam memahami diri mereka.

Pengawas Memang Berbeza
63 Pengawas hari ini, pemimpin masa hadapan hanya akan menjadi kenyataan jika pengawas itu sendiri berani berdepan dengan pelbagai cabaran; bersedia mengambil risiko; sabar dan tenang apabila dihadapkan dengan pelbagai ujian dan kritikan; sedia bekerja tanpa sebarang pujian dan ganjaran; dan penuh tekun memungut mutiara pengajaran di sepanjang lebuh raya pengalaman.

64 Pengawas dilantik daripada kalangan pelajar tetapi dalam banyak perkara mereka berbeza daripada pelajar lain. Perbezaan ini bukan suatu lakonan, dan tidak berupaya dielakkan.

65 Pengawas hari ini sebagai pemimpin masa hadapan mesti dilihat berbeza daripada pelajar lain. Ini termasuklah dalam soal penampilan diri, pengurusan masa, pencapaian dalam pelajaran dan penglibatan mereka dalam kegiatan kokurikulum. Sama ada anda suka atau tidak, ini semuanya akan diperhatikan dan dinilai oleh pelajar.

66 Sebagai pengawas, anda boleh sahaja memberi pelbagai alasan untuk membuktikan bahawa anda sebenarnya sama seperti mereka. Tetapi pelajar cuma ada satu alasan buat diri anda iaitu anda adalah orang yang lebih baik daripada mereka; bukan pada satu-satu masa tetapi untuk sepanjang masa; bukan pada satu-satu perkara tetapi dalam semua perkara di sepanjang tempoh anda menjadi pengawas.

67 Bagaimana bersungguh-sungguhnya anda cuba merendah diri, namun tanggapan pelajar kepada diri anda tetap tinggi. Bagi mereka anda adalah contoh, dan jauh lebih baik, lebih pintar dan lebih aktif daripada mereka.

68 Tanggapan yang sebegitu kepada diri anda bukan dengan niat mewujudkan jurang antara anda dengan mereka, tetapi keadaan ini berlaku secara spontan bagi memberi sedikit kelebihan dan ruang yang mencukupi agar anda dihormati dan bersikap lebih berhati-hati.

69 Tanggapan di atas menuntut pengawas agar lebih berhati-hati. Jangan salah membuat perhitungan. Sekali sahaja anda tersilap langkah, andalah orang pertama yang akan dipersalahkan oleh pelajar.

UNTUK KANDUNGAN SETERUSNYA,

ANDA BOLEH MEMBELI MODUL INI DENGAN HARGA RM500.00 dan boleh dipinda mengikut kesesuaian sekolah

ANDA BOLEH JUGA MENGUNDANG PENULIS untuk berceramah atau berbengkel tentang Modul ini dengan bayaran RM1,000.00 untuk sesi separuh hari dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari (4 jam) dengan kos percetakan bahan peserta/makan/pengangkutan/penginapan penceramah) ditanggung sepenuhnya oleh penganjur

Jumlah Muka Surat Dalam Modul Ini: 34
Jumlah Bahagian Modul: 2 Bahagian (Umum dan Mikro)
Jumlah Perenggan: 250

SILA email terlebih dahulu penulis/pemilik blog ini Abd Bashid Harun untuk perbincangan.
Alamat email: gurubashid@yahoo.com