Ke hadapan YAB Perdana Menteri,

Assalamu’alaikum Dato’ Seri,

Saya tidak pandai untuk menulis kata-kata indah buat tatapan Dato’ Seri. Seumur hidup saya, saya tidak pernah menulis surat sekalipun kepada kawan saya sendiri.

Bahasa Melayu (BM) saya pun agak teruk berbanding rakan-rakan saya yang lain. Tiba-tiba guru Bahasa Melayu saya, Encik Rahimi memaksa kami menulis surat kepada YAB Dato’ Seri.

Cikgu BM kami kata tulis sahaja apa yang kamu hendak luahkan kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri (PM) tak kan marah. PM janji dia akan baca semuanya asalkan ada konsep 1Malaysia.

Saya sedar Perdana Menteri tak pernah mengenali saya.Tetapi itu tidak penting, yang penting saya kenal PM. Tetapi jauh di hati kecil saya, saya amat berharap agar PM akan lebih mengenali saya selepas membaca surat ini.

Apalah pelajar bodoh seperti saya dapat katakan tentang gagasan 1Malaysia. Tetapi saya juga rakyat Malaysia yang mahu membuktikan kepada DS bahawa sayang saya kepada negara ini tidak kurang daripada yang lain.

Kata ibu, moyang saya datang dari tanah seberang. Ayah bilang moyang saya mengambil keputusan untuk berkeluarga, menetap dan mati di sini. Saya adalah generasi keempat dan merupakan cicit beliau.Saya berbangga menjadi cicit beliau, tetapi saya lebih berbangga lagi menjadi rakyat 1Malaysia.

Bagi saya 1Malaysia adalah sebuah gagasan yang bagus kerana kita telah berjanji untuk berkongsi negara ini dan mempertahankannya walau apa pun yang terjadi. Pegangan saya ialah buruk atau baik, inilah negara saya yang tercinta.

Sebelum ini kita ada Wawasan 2020 yang meletakkan hala tuju negara menjelang 1 Januari 2020. Matlamat yang terkandung dalam Wawasan 2020 ialah untuk menjadikan negara ini maju dalam bidang perindustrian moden menurut acuan sendiri.

Namun tanpa perpaduan, kerjasama dan sokongan penduduk, tidak mungkin kita akan berjaya mencapai sebuah negara maju. Jadi gagasan 1Malaysia adalah kesinambungan daripada Wawasan 2020 bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan bekerjasama dengan kerajaan bagi mencapai matlamat yang digariskan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Dari mana pun kita datang, sebagai warganegera Malaysia, kita patut memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi hanya kepada negara ini.

Walaupun saya tidak begitu pandai, tetapi saya tahu mana yang baik dan mana yang buruk untuk Malaysia. Saya tidak perlu ke Sekolah Berasrama Penuh atau MRSM untuk mengetahui semua ini. Saya berjanji untuk memberi yang terbaik sahaja untuk negara ini.

Saya benci jika ada orang memuji negara lain dan pada masa yang sama mengutuk negara sendiri. Saya pernah menampar rakan saya kerana dia bercakap seperti itu di depan saya.

Kepada mereka yang bersikap seperti ini saya hendak beritahu mereka jika kamu rasa ada negara lain yang lebih baik daripada Malaysia, mohon sahaja menjadi warga negara berkenaan.

Kamu boleh memilih sama ada Indonesia, Myanmar, Nepal atau Bangladesh. Ketika rakyat di negara-negara yang disebutkan tadi berpusu-pusu datang ke sini, kamu boleh menggantikan tempat mereka di sana.

Dato’ Seri, 1Malaysia bukan bererti segala-galanya menjadi satu. Itulah yang pernah diberitahu oleh guru saya suatu ketika dahulu.

Contohnya kita tak boleh berkongsi Tuhan dan kepercayaan sebab kita mempunyai Tuhan dan tempat ibadat masing-masing.

Umpamanya orang Islam akan ke masjid atau ke surau, sedangkan sahabat-sahabat saya yang beragama Hindu dan Kristian akan ke kuil atau gereja. Saya hanya ada satu Tuhan iaitu Allah.Sebab itulah saya sedih apabila Allah saya dikongsi dengan penganut agama Kristian sedangkan mereka sudah ada Tuhan mereka sendiri, iaitu Jesus.

Tetapi itu bukanlah halangan untuk kami bersatu sebab kami masih ada nilai-nilai yang boleh dikongsi bersama seperti hormat menghormati, bertolak ansur dan berterima kasih. Malahan kami sudah ada Rukun Negara yang setiap prinsipnya telah lama kami laungkan bersama dalam setiap perhimpunan rasmi. Saya dan kawan-kawan saya tidak pernah ada masalah dengannya. Jadi pada pandangan saya eloklah jika Rukun Negara ini menjadi panduan utama dalam menggerakkan 1Malaysia.

Akhir sekali, saya amat gembira jika Dato’ Seri dapat melawat ke sekolah saya dan memberi satu suntikan paling mujarab bagi melonjakkan pencapaian sekolah saya, khususnya dalam bidang akademik.

Untuk pengetahuan Dato’ Seri, guru-guru di sekolah saya telah bertungkus lumus untuk menaikkan imej sekolah. Tetapi dengan lawatan mengejut Dato’ Seri ke sekolah saya nanti, saya yakin akan memberi sinar baru dalam menyemarakkan lagi semangat setiap warganya untuk melakukan perubahan, melakukan lompatan saujana dan seterusnya menggapai kecemerlangan.

Melalui suntikan kata-kata bersemangat, cabaran yang ditinggalkan buat kami harungi dan tawaran ganjaran yang amat bernilai daripada Dato’ Seri nanti, insya-Allah suatu keajaiban akan berlaku di sekolah saya.

Jangan lupa Dato’ Seri. Jemputlah ke sekolah kami, SMK Kamunting. Berikan sesuatu yang bermakna kepada kami. Kami menunggu saat yang paling bersejarah itu yang kami yakin akan menjadi titik tolak kepada sebuah perubahan yang hebat. Itu janji saya dan janji seluruh warga di sekolah ini atas nama 1Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Salam 1Malaysia,

tt

( Sifulanah binti Sifulan )
SMK Kamunting
34600 KAMUNTING
Perak