ANDA harus tahu mengapa anda ditempatkan di sesebuah sekolah. Sama ada anda sebagai barisan pentadbir, guru atau pelajar anda sebenarnya telah dipilih Tuhan untuk berada di sekolah itu.
Tentu ada sebabnya mengapa Tuhan menempatkan anda dan saya di situ, bukannya orang lain. Bukankah ini janji Tuhan untuk meletakkan bebanan ke atas seseorang menurut kadar kemampuan masing-masing.
Walau apa pun sebabnya, anda harus berfikir positif bahawa di sinilah anda diberikan tempat, ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk menempah kejayaan demi kejayaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain, sekolah, keluarga dan rakan-rakan.
Lebih jauh dari itu kejayaan anda itu turut memberi manfaat kepada agama, bangsa, negara dan dunia sama ada secara langsung atau tidak.
Kita hanya menjadi penting dan berguna apabila kita bermanfaat untuk orang lain. Semua orang patut tahu tentang itu. Sebab itu kita tidak sepatutnya bersendirian di sekolah di mana kita ditempatkan dan menurut cara-cara serta kemahuan kita sahaja.
Kita sewajarnya berkongsi matlamat dan hasrat yang serupa untuk menjulang sekolah kita ke arah yang lebih cemerlang.Ini tidak mustahil kerana banyak sekolah yang telah berjaya melakukannya.
Kita tidak patut berterusan mendendangkan syair nestapa apabila mendengar stigma negatif yang selalu dikaitkan dengan sekolah kita.
Kita tidak boleh menutup apa yang orang lain kata tentang kita, tetapi kita sendirilah yang lebih tahu tentang apa yang sebenarnya berlaku di sekolah.
Jika imej negatif yang dikaitkan dengan sekolah kita itu benar, kitalah sebagai warga sekolah yang setia dan bertanggungjawab memadamkan imej itu.
Sebaliknya, jika stigma negatif yang dikaitkan dengan sekolah kita itu tidak benar, sama-samalah kita menolaknya bukan turut serta terhibur dalam kerja-kerja gila dan buang masa ini.
Tentulah tidak wajar jika kita sebagai warga sesebuah sekolah turut bersekongkol dengan mereka yang di luar sana dalam memperlekeh sekolah.
Kita patut menunjukkan kesetiaan yang tinggi kepada sekolah. Pegangan kita ialah, benar atau salah, buruk atau baik, ini adalah sekolah kita.Dan di bahu kitalah terpikul tanggungjawab untuk mewarnakannya, sama ada putih atau kelabu atau lebih berwarna warni.
Sebenarnya bagi kita yang berada di dalamnya, sekolah kita bukanlah seperti yang digambarkan. Sekolah kita jauh lebih baik daripada apa yang orang lain sangkakan.
Untuk mencapai semua ini kita tidak perlu menyediakan alasan, tetapi yang lebih diperlukan di sini ialah semangat dan tindakan untuk kita mengatur langkah sederap dan berkongsi cita-cita murni ini.
Jika kita guru, di hadapan kita ada sekumpulan pelajar yang sangat dahagakan bimbingan dan tunjuk ajar kita. Mereka adalah peluang dan ruang untuk kita mencipta sebanyak mungkin kejayaan.
Kejayaan pelajar adalah kejayaan kita dan kegagalan mereka adalah kegagalan kita juga. Jadi kita tiada pilihan lain selain bertanggungjawab atas semua kerja buat kita yang sedikit sebanyak akan menimbulkan implikasi yang tidak sedikit kepada semua pencapaian sekolah dan warganya .
Jangan disebabkan seorang dua pelajar yang tidak serius belajar dan selalu melanggar disiplin, kita melupakan ribuan yang lain yang masih mahukan bimbingan kita.
Jika anda sebagai pelajarnya, di sinilah sebenarnya wadah yang telah ditentukan buat anda memainkan peranan dan tanggungjawab bagi memenuhi impian sendiri; harapan ibu bapa dan matlamat sekolah.
Semua yang ada di sini dan di rumah sentiasa mendoakan kejayaan anda. Dalam mengharungi hari-hari penting di sekolah, anda tidak akan dibiarkan berseorangan.
Anda ada Pengetua, Penolong-Penolong Kanan, Guru-Guru Kanan dan para guru yang sungguh pun garang tetapi dalam hati kecil mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan anda dan mengharapkan anda berjaya.
Bukankah kejayaan anda adalah kejayaan para guru di sini, kejayaan ibu bapa dan kejayaan sekolah juga.
Hakcipta Abd Bashid Harun











6 users commented in " Di Sekolah Mana Pun Anda Ditempatkan, Di Situlah Ruang Dan Di Situlah Peluang "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackMungkin hierarki keperluan Maslow boleh membantu menyelesaikan atau mengurangkan masalah ini.
GuruBashid:
Terima kasih sahabat lama. Saya sebenarnya telah masuk dan membaca blog tuan.
Assalammualaikum wbt.
Jelas sekali buah fikiran cikgu. Tetapi, bagaimana jika kita berdepan dengan orang yang mempersoalkan kehadiran guru baru ke sekolah? Contohnya, kenapa cikgu kena pindah ke sini? Cikgu minta tukar ke? Kenapa awak datang sini (sekolah)? Bila ditukarkan bukan minta tukar berbagai pertanyaan menerpa. Kenapa itu, kenapa ini? Seolah-olah guru yang ditukarkan itu bermasalah walhal guru itu mengikut arahan selagi dalam perkhidmatan dan atas tuntutan perkhidmatan. Apa pandangan cikgu.
Wa’alaikumussalam wr wbt Cikgu Roha. Kita tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada bertanya sesuatu kepada kita.Kita hanya boleh mengagak apa niat mereka bertanyakan soalan seperti itu. Yang pastinya hanya Tuhan yang tahu maksud sebenar mereka. Tetapi sikap dan penerimaan kita terhadap soalan seperti itulah yang bakal menentukan hari-hari seterusnya kita berada di sekolah itu.Bukan semua yang akan bertanyakan soalan menyindir seperti itu. Masih ramai lagi yang hampir tidak peduli dari mana kita datang. Mereka ini akan memandang kita sebagai guru yang bertukar secara biasa seperti mereka bertukar. Pengetua sebagai contoh tidak akan bertanya soalan bodoh seperti itu. Yang penting pengetua sebagai majikan kita dapat menerima kita dengan baik. Kita tak perlu melayan soalan nakal seperti itu.Cukup kita menyatakan kita ada surat pertukaran dan tunjukkan surat itu. Melayan atau menimbulkan reaksi kurang senang terhadap soalan seperti itu akan mendedahkan diri kita kepada lebih banyak telahan dan sangkaan terhadap diri kita.Guru tidak patut disibukkan atau diresahkan dengan soalan seperti itu jika matlamatnya ikhlas untuk mendidik anak bangsa.Di mana sahaja dia ditukarkan, fungsinya sama dan tidak berubah-ubah. Hanya kita yang tahu siapakah sebenarnya diri kita dan sejauhmana kita telah memainkan peranan sebagai seorang guru. Walaupun soalan seperti itu tidak dikemukakan kepada kita, jawapan sebenar mengenai diri kita tetap tersedia di dalam diri kita sendiri. Kepada orang lain kita mungkin boleh berbohong, tetapi kepada diri sendiri kita tidak boleh menipu. Sayugia diingat apa yang penting bukan soalan itu dan bukan siapa yang menyoal tetapi apa yang sepatutnya kita lakukan sebaik-baik sahaja kita ditempatkan di sesebuah sekolah. Apa yang bakal kita lakukan dalam tempoh beberapa tahun kita berada di sekolah baru itulah yang menjadi kayu pengukur sebenar. Tindakan kita itulah yang bakal menjawab siapa sebenarnya diri kita. Jika kita selama ini kurang berdedikasi terhadap tugas, maka menjadi tanggungjawab sebagai orang Islam untuk meningkatkan dedikasi itu. Jika kita bermasalah di sekolah lama, maka di sinilah ruang dan peluang yang diberikan sekali lagi oleh Tuhan untuk kita memperbaiki diri.Pn Roha, saya tidak takut dengan apa jua soalan yang diajukan kepada saya dan dengan siapa sahaja yang bertanya seperti itu sebab mereka itulah nanti yang akan menjadi kawan rapat saya. Tetapi yang paling membimbangkan saya ialah mereka yang awal-awal lagi cuba menjauhkan diri daripada saya atau hanya menyampaikan isyarat melalui ekor mata. Itu pun saya tidak takut sebenarnya kerana ia memberi peluang kepada saya untuk lebih mengenalinya.
Salam Cikgu.. bila membaca catatan tuan memberikan saya satu semangat untuk bangun. Ini kerana saya sekarang menerima satu tanggungjawab yang ditinggalkan oleh rakan seperjuangan yang saya kira punya masalah peribadi..Bila diingat rasa marah ..namun sedar ini kehendak Allah. LAntaran itu saya selaku guru baru menjinak diri mohon tunjuk ajar dari pendeta berpengalaman.
GuruBashid:
Al-Hamdulillah itulah sikap keterbukaan dan kesabaran yang sangat tinggi nilainya yang perlu ada kepada semua guru. Saya hanya berkongsi pengalaman sebagai seorang guru bukan pendeta.
Salam . Pertukaran guru adalah lumrah sepanjang menjawat kerjaya sbg guru. Lebih banyak sekolah yang kita pernah berkhiodmat maka lebih banyak pengalaman dan input yang berguna dalam kerjaya kita.Anggaplah lebih banyak sekolah kita bertugas itu sebagai satu bonos dalam pengalaman kita. Buat diriku yang baru saja ditukarkan secara tidak dirancang kerana lebihan guru berikutan penyusutan murid disekolah lama , pada mulanya seperti tidak dapat menerima hakikat itu. Namun tidak pernah soalan yang negetif timbul kerana aku mempunyai tugas yang begitu banyak disekolah lama dan guru-gurunya pun tidak merelakan pemergianku.Namun kasih yang terpaut dengan warga sekolah lama begitu sukar untuk dilepaskan walaupun bibit-bibit kasih dengan warga sekolah baru kian tersemat dihati dan rakan-rakan sejawat.Seperti apa yang dikatakan oleh cikgu Bashid memang ada kebenarannya.
GuruBashid:
Salam kembali buat cikgu. Terima kasih kerana sudi menitipkan pengalaman cikgu di sini. Semoga pengalaman cikgu mengalami situasi pertukaran dan berada di tempat baru berguna dan dapat dijadikan panduan oleh semua guru. Teruskan memberikan pendapat dan pandangan.
pandangan yang baik dan bernas daripada Cikgu Bashid… membantu guru-guru membuka minda bertugas
Leave A Reply