ABD BASHID BIN HARUN
B.A Hons Pengajian Islam (Malaya), M.Principalship (Malaya)
Diploma NPQH (IAB), Diploma Perguruan (Institut Bahasa,KL)
PENDAHULUAN
KERTAS konsep ini memperincikan tulisan sebelumnya (BACA DI SINI) dengan cuba membedah apa, mengapa,bagaimana dan makna di sebalik Program Aku Serah yang melibatkan 322 ibu bapa dan penjaga murid kelas Peralihan dan Tingkatan 1 2012 dan sekaligus menjadi sasaran kerja penulis yang juga PK HEM di awal tahun 2012 ini.
Program Aku Serah yang nama asalnya Projek Serah telah pun dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun 2003 di SMK Simpang dan kini mahu dilaksanakan pula di SMK Kamunting dengan diberi sentuhan baru, nilai tambah dan penjenamaan semula.
KONSEP PENYERAHAN
Penyerahan merupakan satu bentuk perlakuan yang dizahirkanoleh seseorang sebagai menterjemah kepercayaannya kepada seseorang yang lain.Penyerahan adalah aktiviti fizikal yang dapat dilihat perlakuannya, sementera kepercayaan itu pula merupakan aktiviti yang berlaku dalam minda. Tetapi apabila seseorang itu tega menyerahkan sesuatu yang menjadi miliknya kepada seseorang yang lain, itu adalah manifestasi kepercayaannya kepada orang itu.
Konsep Serah Menurut Perspektif Islam
Kita selalu mendengar ungkapan yang berbunyi kita hendaklah menyerahkan sesuatu urusan itu kepada Allah, biarlah Allah yang menjaganya. Penyerahan dan kepercayaan adalah saling berkaitan, sebab tidak mungkin seseorang yang tidakpercaya,berasa sangsi atau ragu-ragu akan melakukan penyerahan.Penyerahan kepada Allah adalah bukti keyakinan seseorang itu kepada Allah dan kuasa-Nya yang tidak terbatas.
Beberapa dalil naqli membuktikan penyerahan itu patut berlaku dan mempunyai kedudukannya yang khusus dalam agama Islam. Allah berfirman,” fatawakkal ‘alallah wa kafa billahi wakila ” yang bermaksud “dan bertawakkallah (berserahlah) kamu kepada Allah, dan cukuplah Allah sebagai tempat berserah ”.
Dalam ayat 159, surah Ali Imran, Allah berfirman yang bermaksud “Apabila kamu telah berazam berserahlah kamu kepada Allah”.
Sebuah hadith Rasulullah s.a.w.menyebutkan “Ya Allah, aku menyerahkan diri kepada-Mu, dan aku menyerahkan urusanku kepada-Mu, dan aku menyerahkan kekuatanku kepada-Mu, kerana takut dan cinta kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan tidak ada tempat lari daripada-Mu melainkan kepada-Mu. Aku percaya kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.” (Riwayat Bukhari)
Firman Allah yang bermaksud :“Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara Yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq : 3)
Penyerahan Sesama Manusia
Begitulah juga halnya dengan kita sebagai manusia. Disebabkan kita percaya kepada seseorang, kita bersedia menitipkan barangan dan kadang kadang seseorang yang kita miliki atau sayangi seperti anak kita sendiri atau binatang peliharaan kita kepadanya untuk djaga atau disimpan untuk suatu tempoh tertentu.
Bagi menjaga kepercayaan yang telah diberikan, orang yang menerima barang, orang atau binatang daripada kita itu pula akan menjaganya sebagai bahan “amanah” yang wajib dipelihara sebaik-baiknya agar tidak berlaku sedikit pun kecacatan, kecederaan atau kehilangan pada barang, orang atau binatang yang diserahkan itu.
Orang Melayu selalu menyatakan ungkapan berikut bagi meyakinkan yang amanah itu akan dijaga sebaik-baiknya iaitu barang kamu barang aku juga, anak kamu adalah aku juga.Tetapi orang Melayu juga penuh bersopan bersedia berterus terang dengan menyatakan bahawa kami menyediakan apa yang kami mampu sediakan,kamu makanlah apa yang kami makan.
Sedaya upaya barang, orang atau binatang itu akan dikembalikan kepada tuannya semula dalam keadaan baik seperti keadaan asal sewaktu ia diterima. Jika kita menerima sesuatu itu dalam keadaan sempurna, maka kita perlu mengembalikannya dalam keadaan sempurna juga, iaitu tidak berlaku kecacatan mahupun kecederaan.
Antara individu yang memberi kepercayaan dan individu yang menerima kepercayaan itu mesti saling mempunyai darjah kepercayaan yang tinggi yang sentiasa dipertingkat dari semasa ke semasa. Dalam bahasa mudahnya, Aku yakin dengan Kamu dan Kamu juga yakin dengan aku.
Maka (berhusnudz dzan ) atau bersangka baik oleh semua yang terlibat dalam proses penyerahan dan penerimaan itu mesti wujud tanpa gagal. Tidak mungkin kita menyerahkan sesuatu yangmenjadimilikkita atau sebahagian yang menjadi darah dagingkita sendiri jika kita tidak percaya atau sangsi.
Begitu juga tidak mungkin kita menerima suatu serahan yang kita tidak kenal atau pasti apa atau siapa yang diserahkan dan menyerahkan,termasuk rupa bentuk serahan dan keadaan orang yang menyerahkannya.
Sesungguhnya keyakinan sehingga menimbulkan rasa percaya itu bukan diperoleh dalam masa yang singkat.Hal yang demikian juga tidak boleh berlaku sama ada secara accident mahupun insiden, tetapi berdasarkan pengamatan dan pengalaman yang agak lama sehingga keyakinan itu bertukar kepada kepercayaan yang mulanya tumbuh,kemudian berkembang dan akhirnya mekar semerbak tanpa paksaan.
Adalah normal jika seseorang ibu bapa atau penjaga murid mempunyai kepercayaan sekadar cukup makan sahaja kepada pihak sekolah pada kali pertama mereka menempatkan anak mereka di sesebuah sekolah.
Tetapi kepercayaan yang sedikit itu diharap akan terus berkembang subur sehingga mereka benar-benar yakin yang sekolah di mana anak mereka ditempatkan akan memberikan hanya yang terbaik kepada anak mereka.
Sudah tentulah kepercayaan ibu bapa itu tidak datang begitu sahaja,tetapi setelah mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana sekolah telah mengambil langkah-langkah perlu dalam usahanya menempatkan sekolah di hati ibu bapa.
Dalam maksud yang lain sekolah yang diteraujui oleh pengetuanya memikul beban pembuktian untuk meyakinkan ibu bapa dan masyarakat sekitarnya bahawa mereka benar-benar ikhlas dan serius dalam menjalankan komitmen mereka untuk membantu anak-anak mereka khususnya dan meningkatkan nama baik sekolah keseluruhannya.
Apabila bukti-bukti itu wujud dan benar-benar hadir di depan mata,apatah lagi nikmatnya dapat dirasai sendiri oleh anak-anak mereka sepanjang mereka bersekolah,disebarkan dari mulut ke mulut, maka kepercayaan yang kemudiannya keyakinan itu tumbuh dengan sendirinya tanpa dapat dihalang lagi.Dari situlah bermulanya sokongan dalam pelbagai bentuk datang mencurah-curah kepada pihak sekolah.
Maka konsep kepercayaan sehingga sedemikian rupalah yang hendak diterjemah melalui Program Aku Serah dan Aku Terima yang berlaku pada hari pertama persekolahan, di mana ibu bapa mempunyai kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menempatkan anak mereka di sekolah itu.
SEJARAH PROGRAM AKU SERAH
Program Aku Serah yang dijenamakan semula daripada Projek Serah mempunyai sejarahnya sendiri. Program ini diilhamkan dan direka bentuk oleh Abd Bashid Harun sebagai memenuhi syarat program sandaran NPQH IAB.
Program ini dlaksanakan buat pertama kalinya di SMK Simpang pada sesi persekolahan 2003 di mana pada waktu itu Tuan Haji Mohd Harithuddin bin Satari, adalah PK HEM-nya.
Program yang masih berterusan di SMK Simpang itu telah cuba dilaksanakan di SMK Kamunting pada sesi persekolahan 2010, tetapi atas pemahaman yang belum menyeluruh program itu tidak dapat diteruskan pada tahun berikutnya..
Kini program ini diteruskan atas kepercayaan bahawa banyak implikasi positif yang bakal berlaku daripada pelaksanaan program ini seiring dengan Program Pembudayaan Nilai Positif di Sekolah buah tangan Hj Mohd Harithuddin bin Satari,selaku pengetuanyaBACA DI SINI
SENARIO HUBUNGAN IBU BAPA dan SEKOLAH
Molek jika dalam kertas ini dibincangkan juga situasi sebenar yang berlaku dalam banyak sekolah di dunia, termasuk Malaysia yang berkaitan iklim dan pola hubungan ibu bapa dengan pihak sekolah.
Davis,1988 dan Epstein, 1990 telah merumuskan berdasarkan satu kajian mereka bahawa dalam situasi sekarang ibu bapa tidak tahu apakah harapan sekolah terhadap mereka atau bagaimana mereka dapat menyumbang terhadap pendidikan anak mereka di sekolah.
Peningkatan pelbagai latar belakang ibu bapa dan rasa pengasingan daripada kaki tangan sekolahmenjadikan ibu bapa berasa kurang selesa untuk berhubung dengan pihak sekolah takut diumpamakan orang sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
”Especially parents who considered their presence is not appropriate for it might be construed as ‘checking up on teachers’ and they do not want to offend.
Terdapat juga tanggapan ibu bapa yang mendakwa bahawa sekolah tidak memerlukan atau menghargai sumbangan mereka (perceived their involvement as not wanted or valued).
“Parents have other responsibilities and while they care for their children wanted to be sure that when they do come to school they are not wasting their time on activities where their involvement is at best considered only as “second class” and that its no contribution to their child’s education but only waste of their precious time”.
Sebagai jawapan terhadap sikap ragu, bimbang dan sangsi dalam kalangan ibu bapa terhadap pihak sekolah sebagaimana dapatan di atas, adalah perlu aktiviti seperti Program Aku Serah yang diikuti kemudiannya dengan Program Aku Terima dijana dan dihadirkan sebagai satu langkah membuka tirai hubungan dan kerjasama yang lebih meluas antaraibu bapa dan sekolah. Dan seterusnya bakal berkembang menjadi wadah perkongsian pintar (smart partnership) antara kedua-dua pihak yang saling memerlukan ini.
Program Aku Serah yang dahulunya dikenali sebagai Projek Serah seolah-olah menggamit ibu bapa untuk hadir ke sekolah dan turut menghidu di mana ruang dan peluang untuk mereka berpatipasi secara lebih aktif.
Ini menggantikan corak hubungan lama antara sekolah-ibu bapadi mana majoritiibu bapa hanya mendengar berita daripada anak mereka atau orang lain tanpa cuba mendekati pihak sekolah lalu bertindak atas input yang samar-samar yang diperolehi dengan cara yang sedemikian yang implikasinya lebih banyak negatif daripada positif.
Program Aku Serah ini menjadi salah satu aktiviti memasarkan sekolah pada awal tahun di mana sekolah perlu menjual idea, produk dan perkhidmatannya kepada ibu bapa dan murid selaku pelanggan utamanya agar setiap daripada mereka tahu akan apa sebenarnya yang ada di sekolah, apa yang ditawarkan dan apa usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan.
Dalam kajian penulis sendiri bagi menyiapkan tesis sarjana kepengetuaannya (KLIK DI SINI), beliau mendapati aktiviti memasarkan sekolah bukan lagi menjadi aktiviti mewah dan cuba dihindari sebaliknya wajib dilaksanakan jika setiap sekolah itu mahu menarik minat masyarakat dan ibu bapa setempat untuk memilih sekolah mereka bagi tujuan penempatan anak mereka.
Menurut kajian penulis, sekolah-sekolah kerajaan pada masa akan datang amat terdedah kepada faktor pemilihan oleh ibu bapa. Sekalipun ada penetapan oleh pihak JPN mahupun PPD, ibu bapa tidak boleh dikekang buat selama-lamanya dalam menentukan sekolah mana yang menjadi pilihan mereka.
Maka setiap sekolah kerajaan kini, seperti juga halnya dengan apa yang telah lama berlaku pada sekolah swasta tidak dapat tidak mesti melakukan usaha-usaha pemasaran sekolah secara berterusan dengan menggunakan cara-cara yang lebih agresif.
Mengandaikan ibu bapa atau masyarakat setempat telah tahu atau patut tahu tentang sekolah sudah ketinggalan zaman, sebaliknya ibu bapa dan masyarakat perlu diberitahu sendiri malahan dibawa masuk secara lebih kerap ke dalam pagar sekolah melalui aktiviti-aktiviti berimpak besar untuk melihat sendiri apa yang sedang sekolah lakukan untuk anak-anak mereka.Inilah antara sebabnya Program Aku Serah dilaksanakan.
OBJEKTIF
Selain mencapai tujuan umum di atas, Program Aku Serah juga digarap sedemikian rupa untuk mencapai tujuan yang lebih khusus.Antaranya:
1 Untuk mengelakkan salah faham ibu bapa kepada pihak sekolah,khususnya tindakan yang diambil keatas anak mereka
2 Untuk mewujudkan ruang yang lebih luas dan terbuka ke arah kerjasama positif sekolah-ibu bapa-sekolah
3 Untuk menyerlahkan sikap responsibility dan akauntabiliti guru & ibu bapa dalam menunaikan amanah mendidik anak bangsa ke arah melahirkan modal insan berkuantiti dan berkualiti.
4 Untuk mewujudkan satu landasan yang sesuai dalam aktiviti pemasaran sekolah kepada orang ramai.
5 Sebagai satu wadah untuk berkongsi kegembiraan,kedukaan dan harapan sekolah bersama ibu bapa
SIGNIFIKASI KONSEP SERAH MENURUT ISLAM DENGAN KONSEP AKU SERAH
Adalah kurang sempurna jika saya tidak mengupas konsep serah ini dari sudut pandangan Islam dan menghubungkaitnya dengan Program Aku Serah yang hendak dilaksanakan ini.Konsep serah ini berkaitan konsep Tawakal. Tawakal berasal dari kata “wakalah” yang bererti memilih wakil.
Kita mengetahui bahawa kredibiliti seorang wakil yang baik boleh dilihat, paling tidak dari empat sifat, iaitu 1)Pengetahuan yang cukup, 2)kepercayaan 3)mempunyai kemampuan, dan 4)penuh perhatian.
Jelas bahawa memilih seorang wakil untuk sebuah pekerjaan dilakukan ketika seseorang tidak mempunyai kemampuan untukmelakukannya. Pada saat inilah ia boleh menggunakan kekuatan atau kelebihan yang pada orang lain untuk membantunya dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya.
Kaitannya Dengan Program Aku Serah:
Cuba kita lihat kaitan antara konsep serah menurut perspektif Islam seperti yang diterangkan melalui konsep Waakalah di atas dengan konsep Aku Serah yang ditawarkan oleh pihak sekolah.
Disejajarkan dengan konsep wakalah atau wakil tadi, wakil yang dimaksudkan itu jika di sekolah tidak lain dan tidak bukan ialah guru-guru. Guru-guru ini mempunyai keahlian profesional dalam bidang pendidikan anak-anak di samping mempunyai kepakaran dalam subjek masing-masing.
Ibu bapa bergelar ibu bapa yang dipanggil mak dan ayah tanpa terlebih dahulu melalui proses latihan formal di institusi latihan keibubapaan sedangkan para guru mempunyai latihan formal dalam institusi keguruan sebelum menjadi guru yang dipanggil cikgu.Itulah perbezaan yang paling ketara antara ibu bapa dengan guru.
Tidak dinafikan ada ibu bapa yang jauh lebih berjaya daripada para guru dalamkerjaya mereka namun kejayaan itu bertunjang daripada satu kepakaran yang mereka miliki sedangkan murid-murid di sekolah perlukan lebih daripada satu kemahiran dan pengetahuan.
Kalau pengalaman ibu bapa yang sedia ada membantu sekali pun, belum tentu pengalaman itu mampu diguna pakai sewaktu prosesmendidik anak-anak yang mempunyai pelbagai kebijaksanaan itu.
Maka jawapannya di sini guru-gurulah yang boleh membantu mereka dalam soal memberi pendidikan formal anak-anak mereka disebabkan guru-guru memang mempunyai kelebihan dan keahlian untuk membantu.Bukankah Allah berfirman yang bermaksud “serahkan segala urusan itu kepada mereka yang ahli”. Guru memang ahli, perlu dicari dan untuk itu guru memang boleh dipercayai.
DEFINISI PROGRAM AKU SERAH
Perlakuan yang dilaksanakan dengan penuh sedar dan bertanggungjawab sebagai manifestasi kepercayaan oleh ibu bapa kepada pihak sekolah dengan menyerahkan anak mereka secara rasmi dan bersaksi kepada guru-guru Tingkatansebagai titipan amanah untuk dijaga,diasuh, dididik, dan diajar dalam tempoh pengajiannya di sekolah melalui satu wa’adat yang mengandungi lafaz ijab dan qabul antara pihak yang menyerahkan, iaitu ibu bapa dan pihak yang menerima serahan, iaitu guru-guru Tingkatan (GuruBashid,2003)
MENGAPA SESEBUAH SEKOLAH MENJADI PILIHAN IBU BAPA
Ibu bapa atau penjaga murid mungkin ada banyak sebab mengapa mereka menghantar anak mereka ke sesebuah sekolah. Ada yang memberikan sebab yang mudah seperti sudah ada abang atau kakaknya yang belajar di sekolah yang sama.
Ada juga yang mempertimbangkan faktor jarak sekolah yang dekat dengan rumah dan memudahkan anak dihantar ke sekolah.
Ada juga ibu bapa yang lebih cenderung menjadikan faktor pencapaian sekolah dalam kokurikulum seperti mempunyai pasukan bola sepak yang berjaya dan menang di peringkat daerah atau negeri sambil menaruh harapan besar agar anaknya akan turut dipilih sebagai pemain sekolah.
Tetapi kebanyakan ibu bapa lebih suka mengukur pencapaian kurikulum sekolah terutama dalam kalangan mereka yang memberi tumpuan kepada pencapaian akademik anak-anak mereka.
Mereka jenis ini akan memberi pertimbangan lebih halus ke atas faktor kemampuan guru dan pengetua sebagai pemimpin instruksional dalam membantu menunaikan impian besar mereka untuk melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran.
Bagi mereka yang berorientasikan begini, itulah sebab utama wujudnya sekolah dan atas sebab itulah mereka berhempas pulas memastikan anak-anak mereka datang ke sekolah serta mengikuti dengan penuh tekun pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Sebahagian besar ibu bapa dalam kategori ini hampir-hampir tidak kisah tentang kejayaan yang dicapai oleh pihak sekolah dalam bidang kokurikulum. Mereka ini berasa sudah memadai jika anak mereka terlibat pada kadar biasa dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, tanpa mengharapkan anak mereka turut serta dalam aktiviti di peringkat daerah, negeri mahupun negara. Jika ada pun yang mereka banggakan ialah kejayaan yang ada hubungannya dengan pencapaian akademik di sekolah seperti dalam kegiatan bercorak koakademik.
Begitulah juga halnya dengan ibu bapa yang berasa yakin dengan tahap keselamatan anak-anak mereka natijah daripada mutu disiplin murid yang semakin meningkat dan kuatnya tahap kawalan keselamatan oleh pengawal keselamatannya serta sistem keselamatan yang wujud yang menjadi satu lagi faktor pendorong yang kuat mengapa ibu bapa memilih sekolah A dan bukannya sekolah B.(BACA DI SINI)
Ada yang mungkin melihat faktor kantin sekolah yang menyediakan pelbagai menu harian yang banyak, mencukupi dan mengenyangkan khususnya bagi mereka yang ada anak yang mempunyai selera makan yang besar. Atau bagi ibu bapa yang sentiasa sibuk sehingga urusan makan dan minum anak-anak mereka pun diharapkan kepada kantin sekolah.
Saya pernah menulis tentang bagaimana kantin atau kafetaria sekolah sepatutnya beroperasi dan kesan kewujudan kantin dalam membantu mengurangkan gejala ponteng daalam kalangan murid sekolah(BACA DI SINI).
Tidak juga dinafikan ada ibu bapa yang menggunakan alasan yang agak peribadiseperti telah mengenali guru-guru di sekolah yang dipilih, wujud di sekolah tersebut guru Matematiknya yang mahir dan berpengalaman, atau GBKnya yang baik, boleh dipercayai dan sentiasa ingin membantu atau mungkin juga kerana guru itu jiran mereka, atau sahabat mereka.
Pendek kata ibu bapa mempunyai alasan yang tersendiri mengapa mereka memilih sesebuah sekolah bagi tujuan penempatan anak mereka.Banyak sebab dan alasan yang diberikan, bukan terhad kepada satu atau dua sebab sahaja. Tetapi semua itu diikat oleh satu keadaan bahawa apapun sebabnya, sebab itu bukan guru yang menentukannya, tetapi ibu bapa sendiri yang menentukannya.
Sebab Paling Dominan
Namun yang paling tinggi nilainya ialah apabila sebab yang diberikan itu bersangkutan dengan kepercayaan ibu bapa bahawa pihak sekolah dapat memenuhi impian mereka dan anak mereka, sekaligus mengharapkan anak-anak mereka tidak dipersia-siakan dan dijaga dengan baik akan kebajikan dan keselamatan mereka.
Rekod-rekod sekolah berupa pencapaian terbaiknya dalam pelbagai bidang seperti kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan lain-lain cukup membantu dan menjadi indikator yang paling jelas dalam menarik minat seseorang ibu bapa atau penjaga menghantar anak mereka ke sesebuah sekolah.
Sebab itu mengusahakan kemenangan dan kejayaan dalam pelbagai bidang bukan menjadi angan-angan lagi tetapi adalah suatu tuntutan yang perlu direalisasikan oleh setiap individu di sekolah yang diketuai oleh Pengetuanya.
Justeru, kejayaan kecil yang diraih oleh mana-mana ahli kepada sebuah keluarga besar sekolah tidak boleh diremehkan atau dipandang sebagai tidak penting dalam keghairahan para peneraju memburu kejayaan besar kerana kejayaan besar biasanya bermula daripada kejayaan kecil ini.
Sekolah yang terpaksa berhempas pulas untuk mengejar kejayaan dalambidang akademik dan melalui pengalaman getir untuk memburu walau pun satu dua kejayaan boleh bergantung kepada satu dua kejayaan kecil ini sebelum kejayaan lebih besar menjadi kenyataan.
SEKOLAH PERLU DIPASARKAN
Malahan kemenangan dan kejayaan yang diperolehi oleh sekolah merupakan alat pemasaran sekolah yang paling ampuh bagi menarik minat ibu bapa dan penjaga murid untuk menghantar anak mereka ke sekolah kita.
Cerita-cerita baik yang cepat membiak dari mulut ke mulut akan menjadi bentuk pemasaan pelbagai tingkat yang paling ampuh yang akan menjenamakan nama sekolah ke suatu tahap tertentu di mana apabila disebut sahaja nama sekolah A orang ramai sudah mengetahui bahawa sekolah itu terkenal dengan ragbinya, sekolah B pula terkenal dengan pidatonya dan banyak lagi.
Jelas sekali kejayaan dan kemenangan yang kita harapkan bukan lagi setakat terkekang dalam kepompong angan-angan, sebaliknya benar-benar terjelma lalu menyemarak dan menyubur dalam kalangan warga sekolah atau lebih tepat lagi menjadi budaya sekolah.
Percayalah, apabila hal ini menjadi kenyataan apa pun yang kita lakukan selepas ini akan menjadi lebih mudah daripada sebelumnya.
Natijah akhirnya keyakinan masyakarat terhadap sekolah semakin meningkat seiring dengan meningkatnya pencapaian sekolah. Itulah yang sepatutnya berlaku kepada sesebuah sekolah.
SEKOLAH SEPATUTNYA BEKEMBANG MENGIKUT
USIANYA
Apa yang sepatutnya berlaku ialah semakin lama sekolah itu wujud, semakin menokoklah kejayaan yang diperolehinya dan rentetan dari itu semakin baiklah disiplin murid-muridnya yang diakhiri dengan semakin baiklah imej sekolah itu.
Sekolah seperti SMK Alif Bata umpamanya yang sudah berusia lebih daripada 30 tahun tidak patut mengulangi hanya 3 atau 4 pengalaman kejayaannya untuk tempoh 30 tahun itu. Akan tetapi yang sepatutnya berlaku sekolah telah mengalami sekurang-kurangnya 30 kejayaan, atau lebih baik lagi, dua atau tiga kali ganda daripada jumlah itu.
Kita dapat melihat sedikit demi sedikit kejayaan yang kita harapkan dapat diraih dengan adanya kesungguhan semua pihak, iaitu guru, ibu bapa, murid, pekerja, dan anggota masyarakat di samping adanya program berkesan hasil cetusan pemimpin sekolah iaitu pengetua atau guru besarnya.
Sebagai contoh program pembudayaan nilai positif di sekolah.yang dicetuskan oleh Pengetua SMK Kamunting, Tuan Haji Mohd Harithuddin bin Satari, telah berjaya membangkitkan kesedaran lalu berlaku peningkatan terhadap kemenangan dan kejayaan sekolah. Ini termasuklah pertambahan bilangan murid yang mendapat kesemua A dalam peperiksaan PMR baru-baru ini.
Dengan semua orang berfikir, bercakap dan bertindak secara positif, dan mengelakkan perbualan kosong dan lagha kita yakin kejayaan itu akan bertambah.
Semua orang akan gembira kalau sekolah memenangi sesuatu acara. Begitu juga kalau ramai yang mendapat A dalam peperiksaan awam. Lebih menggembirakan kalau yang meraih kemenangan itu ialah anak mereka, adik mereka, abang atau kakak mereka, atau orang kampung mereka dan anak kepada jiran mereka.
Kegembiraan itu dikongsikan dalam bentuk yang positif seperti lahirnya rasa ceria, tersenyum, bangga, menyebut-nyebut kejayaan, memberi dan menerima pujian, ganjaran, hadiah, acara makan-makan, dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi kegembiraan itu amat terasa di sekolah. Apatah lagi kalau yang berjaya itu murid mereka, dari kelas mereka, dari unit mereka, murid kesayangan mereka, murid kelab mereka dan sebagainya. Semua orang nampaknya berhak untuk bergembira dengan kejayaan dan kemenangan yang dicapai itu.
Kemenangan dan kejayaan ini seperti yang saya katakan di awal tadi bukannya berlaku secara ‘accident’ mahu pun insiden.Kemenangan juga bukan satu perjudian di mana anda mempertaruhkan usaha yang lebih kurang dengan mengharapkan pulangan yang besar.
Tetapi semuanya diusahakan. Bukan sekali, tetapi acap kali, bukan untuk satu perkara tetapi untuk semua perkara, bukan hanya melibatkan seorang guru, tetapi semua guru, bukan hanya pelajar tertentu, tetapi kepada majoriti pelajar, bukan sekali tetapi beberapa kali, bukan sehari tetapi berterusan.
Bukan hanya warga sekolah, tetapi ibu bapa, masyarakat, agensi setempat turut membantu bagi mencapai hasrat sekolah untuk berjaya dan menang. Maka jka ini yang sebenarnya berlaku lebih baiklah keadaannya.
Program Aku Serah, yang kemudiannya disambut dengan Aku Terima oleh para guru ini antara lain dilaksanakan dengan tujuan menarik sokongan ibu bapa secara bersepadu dan sederap bagi menyokong hasrat sekolah. Ia diterjemah melalui sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada sekolah dan bersama sekolah memburu kejayaan dan kemenangan.
Kejayaan sekolah adalah kejayaan bersama, jadi usaha untuk mencapainya juga adalah usaha yang perlu dilakukan bersama. Begitu juga apabila sekolah dirundung dukacita dengan kekalahan yang menimpa, maka rasa sedih itu sepatutnya turut dirasai bersama oleh ibu bapa, bukan guru-guru sahaja yang menanggungnya.Inilah sebenarnya yang dimaksudkan ibu bapa dan anggota masyarakat setempat sebagai rakan sekolah.
Aku Serah menjadi lambang kesepakatan dan kolaborasi tahap tinggi antara pihak sekolah dan ibu bapa. Ibu bapa atas kepercayaan yang diberikan kepada sekolah akan menyerahkan anak mereka secara sukarela untuk dididik, dibimbing dan diasuh menjadi orang yang berjaya dengan bantuan dan restu mereka, bukan serah dan kemudian pergi.
Guru-guru pula melalui Ikrar Aku Terima menyambut titipan itu sebagai barang amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar akan fungsi serta peranan yang patut mereka mainkan sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa/penjaga.
Maknanya masing-masing, ibu bapa di suatu pihak dan guru-guru di suatu pihak yang lain sentiasa mengharapkan situasi Menang-Menang dalam proses Aku Serah dan Aku Terima tadi.
Situasi Menang-Menang ini bukan sahaja berlaku dalam keadaan anak-anak mereka berjaya, tetapi situasi Menang-Menang ini juga berlaku dalam keadaan anak mereka kurang berjaya.
Sesuatu yang bakal berlaku dan dilakukan ke atas anak mereka bukan menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja. Begitu juga natijah atau akibah yang bakal berlaku kepada murid-murid itu bukan menjadi kesalahan mana-mana pihak,baik di pihak ibu bapa mahupun di pihak sekolah sehingga berlaku tuduh menuduh antara kedua-dua pihak.
Sebaliknya kedua-dua pihak menerima hal ini dengan hati yang rela dan dada terbuka sambil cuba mengatasi atau mencari jalan terbaik untuk mengatasinya.
HARAPAN KEPADA PROGRAM AKU SERAH 2012
Program Aku Serah 2012 ini diharapkan menjadi titik tolak berlakunya transformasi besar ke atas tingkah laku setiap pihak yang terlibat dengannya iaitu ibu bapa, guru-guru dan murid-murid.
Tingkah laku yang diharapkan berlaku daripada program ini tentulah tingkah laku yang positif yang kesannya membawa kebaikan kepada semua pihak terutama kepada anak bangsa kita sebagai calon modal insan yang bukan sahaja mempunyai minda kelas pertama tetapi juga patuh kepada agama, menjunjung tinggi perlembagaan, setia kepada raja dan negara, mematuhi undang-undang, saling bertolak ansur dan bekerjasama antara kaum, berakhlak mulia dan menjalankan tugas dengan penuh amanah,berdedidikasi, bertanggungjawab dan beintegriti.
Murid-murid Tingkatan 1 dan Peralihan tahun 2012 yang telah melalui Program Aku Serah ini adalah diperaku sebagai murid-murid yang mempunyai maklumat yang paling lengkap tentang diri mereka.
Sebab buat pertama kali kita meminta ibu bapa menandatangani Borang Aku Serah, di samping menyediakan sampul surat bersetem dan beralamat sendiri, tiga keping gambar berukuran passport, dan bil air/elektrik/telefon.
Semua dokumen itu sungguhpun berbeza jenisnya tetapi tetap berada di bawah satu mekanisme yang diharapkan dapat membantu pihak sekolah khususnya guru-guru kelasdalam mendapatkan maklumat yang lengkap dan alamat tempat tinggal yang betul bagi memudahkan segala urusan yang berkaitan pada masa-masa yang diperlukan.
Pihak sekolah akan memantau secara berterusan murid-murid yang melalui skim Aku Serah ini dan program Aku Serah ini akan diteruskan dengan dilakukan sedikit pengubahsuaian apabila mereka naik ke tingkatan berikutnya sehinggalah ke Tingkatan 5.
Maksudnya, guru kelas dari Kelas Peralihan dan Tingkatan 12012 akan mengadakan majlis penyerahan ringkas pada akhir tahun untuk menyerahkan secara rasmi murid-murid dalam kelas mereka kepada guru kelas Tingkatan 2 tahun berikutnya. Begitulah seterusnya yang akan berlaku apabila murid itu akanmasuk keTingkatan 3, dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4 dan dari Tingkatan 4 keTingkatan 5.
Contohnya guru kelas Tingkatan 1M1 kepada guru kelas 1M2. Begitulah seterusnya. Majlis ringkas itu boleh dilakukan sama ada antara guru kelas di dalam kelas masing-masing atau diadakan secara serentak di suatu tempat tertentu atau di tapak perhimpunan sekolah.
Hakcipta Abd Bashid Harun.
TAMAT
