1 Sabtu, 17 Disember.Selesai solat Subuh aku terus ke ruang dapur .Selepas mencuci beberapa keping pinggan di dalam sinki, aku bingkas memutar badan ke arah peti ais untuk melihat apa bekalan yang ada untuk dimasak.
2 Tiada ikan yang sudah siap dibersihkan untuk dimasak atau apa-apa pauk yang boleh dipanaskan semula. Aku lantas mengambil keputusan nekad untuk menyembelih ikan keli yang baru sahaja dipelihara malam tadi setelah dibeli hidup-hidup oleh isteriku .
3 Sejak malam tadi aku sudah tahu itu satu isyarat bahawa aku harus menjadi lebih luar biasa rajin pada keesokan siangnya.
4 ” Babah, tak pandailah siang ikan keli ,” terdengar suara isteriku dari dapur. Sejak kami ada anak, itulah panggilan sayangnya padaku.Aku pula sejak dari itu memanggil isteriku mama sahaja. Panggilan itu adalah untuk memudahkan anak kami memanggil kami dengan panggilan babah dan mama sahaja. Jika kami memanggil dengan panggilan nama sahaja, takut mereka terikut-ikut.
5 Aku buat-buat tak dengar suara yang biasa kudengar apabila ada ikan keli hidup-hidup memasuki rumahku. Memasuki rumahku atau sengaja dibawa masuk hidup-hidup. Apa-apa pun bolehlah.
6 “ Itulah mama, kalau tak pandai siang ikan keli mengapa tak suruh sahaja mamat-mamat tu siang semasa di Tesco tadi, ” kedengaran suara Cuna, anak sulungku, yang baru balik bercuti hujung minggu seolah-olah dapat menelah apa yang bapaknya rasa.
7 Baru aku tahu yang isteri dan anak-anak ku telah ke pusat membeli belah terbesar di tempat aku, Taiping selepas mengambil anak ku di stesen bas.
8 Ada kawan-kawan aku dari parti cap bulan penuh kata Tesco tu yahudi punya. Tapi aku tak nampak pulak orang Yahudi tercegat kat sana. Tapi yang ada orang Melayu yang berpusu-pusu datang membeli belah di sana, terutama barang-barang basah dan keperluan dapur.
9 Antara yang selalu ke situ, bini aku, anak-anak aku, pak aji dan mak aji. Harga barang di sana jauh lebih murah daripada kedai biasa. Pandai sungguh Yahudi di Tesco tu berniaga.
10 Pagi itu, sebaik-baik sahaja sebelah kakiku mencecah lantai dapur, kedengaran pukulan keli mengamuk, masih kuat terus ke cuping telingaku selepas menghempas tudung saji yang menutup besen plastik besar berwarna merah.
11 ” Ini bukan cara mengurung ikan keli yang bagus, ” bentak hati kecilku, sambil mengeluarkan seekor ikan keli yang baru meninggal dunia. Mungkin beberapa minit yang lalu. Mujurlah belum lama tenggelam dalam air, jika tidak, sesuai dibuat gerinting sahaja.
12 Sebagai orang yang dibesarkan di bendang, di mana ikan keli, ikan haruan, sepat, puyu dah jadi tak karuan aku buru setiap kali musim air mulai surut, aku tau sangat kalau ikan keli yang dah lama mati tak sedap langsung dimasak apa pun.
13 ” Kita selalu kata kita dah bagi tau itu dan ini.Tetapi yang sebenarnya kita asyik dok bersungut, berleter dan bercakap sendiri-sendiri. Cuba bercakap langsung kepada sasaran, biaq depa dengak betui-betui, biaq depa faham. Kalau bercakap biaq mengadap. Biaq mata depa tu tengok kita, ” masih terngiyang-ngiyang pesanan ayahku beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia.
14 Aku masih ingat, dia tak berapa puas hati cara aku mendidik anakku. Maksudnya anak ku yang sulung. Aku selalu merungut kepada isteri ku tentang anak aku yang tak suka meletakkan barang-barang sekolah di tempatnya semula.
15 Kadang-kadang aku yang pungut dan kadang-kadang isteriku yang pungut.Rupa-rupanya bapak yang telah beberapa hari tinggal di rumah aku perasan tentang apa yang kami lakukan. Baginya itu cara yang salah dalam mendidik anak-anak.
16 Ayahku yang kami panggil bapak memang terkenal garang dalam mendidik anak-anak. Dia tak pernah membezakan antara anak perempuan dan anak lelaki. Semuanya dilayan sama sahaja.
17 Sesiapa yang bersalah akan dihayunnya dengan tali pinggang yang ada pada seluar panjang yang sentiasa tersangkut di salah satu tiang rumah.
18 Apabila perlu, tali pinggang itu akan disentap keluar dari pinggang seluar lalu dihayunnya ke punggung kami.
19 ” Anak-anak tak kan belajar apa-apa dengan cara begitu, “ tegur bapak. Emak biasanya diam sahaja apabila bapak bercakap.Aku tau sangat apabila emak diam ketika abah menegur kami, itu tandanya ibu setuju.
20 Terima kasih bapak yang telah menunjukkan cara yang betul dalam menyayangi anak-anak. Terima kasih ibu yang menjadi isteri terbaik kepada bapakku.
21 Bunyi ikan keli melompat menghempap tudung saji mengejutkanku dari lamunan.
22 ” Air terlalu banyak.Sepatutnya cukup dengan air mencecah separuh badan keli. Tak perlulah sampai tenggelam macam kolam ikan. Ikan keli boleh hidup lebih lama dengan membiarkan separuh badannya terapung di permukaan air,” bicara hati kecilku.
23 Kepada siapa sebenarnya aku bercakap ni. Aku pun tak tau. Tak ada sesiapa pun dengar suara monolog aku.
24 Inilah kadang-kadang yang menjadi masalah kepadaku apabila memberi tunjuk ajar. Kalau nak mengajar biarlah ada yang mendengar, barulah mereka tahu.Kalau macam ni siapa pun tak kan mendapat apa-apa.
25 Wah pandai pulak aku ni, macamlah aku ni pengkaji ikan keli. Siapa bilang begitu? Tak pernah gua dengar pun.
26 Lu apa tau? Lu tau makan sahaja selepas membuli teruk isterimu dengan membiarkannya berjuang membunuh ikan keli dan menyiat-nyiat badannya yang kuat meggelidik tu.
27 ” Jika kamu sayangkan isterimu, kau harus beli ikan yang mudah disiang. Ikan laut lebih lembut dan tidak ada sisik. Itu lebih mudah, ikan keli liat, tubuhnya licin, lagi pun ada panting, bahaya tu.Kalau nak beli jugak, bawa balik ke rumah yang dah siap disiang, ” aku tak semena-mena sudah berjaya menyiapkan satu skrip untuk suami-suami yang sayangkan isterinya.Tetapi seperti biasa skrip itu bukan di atas kertas, tetapi hanya berlegar dalam kotak fikiranku.
28 Tiba-tiba sahaja aku teringat pesanan, Irfan Khairy, jutawan internet, masa tu dia belum bergelar doktor lagi. Aku hadir satu kursus anjuran beliau di sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu kota. Aku sanggup membayar hampir RM800.00 untuk mendapat ideanya sahaja.
29 ” Idea sahaja tidak akan menjadikan kita kaya. Kita kena tulis idea kita dan jualkannya, ” pesan jutawan muda tu. Walhal yang dia dapat beribu-ribu ringgit untuk sekali kursus itu bukankah dengan hanya menjual ideanya sahaja.
30 Tapi dia tetap betul sebab memang dah jadi jutawan pun. Lagipun pada waktu itu dia sudah menjual ideanya melalui bukunya yang berwarna merah putih itu.
31 Ikan keli memang degil. Lebih degil daripada kebanyakan lembu korban yang aku kenal. Bukan mudah untuk mencabut nyawanya. Satu perjuangan. Silap-slap haribulan semasa proses penyembelihan, tangan kita boleh terluka terkena sikin atau pantingnya yang memang berbisa.
32 Aku tak sanggup nak ketuk kepala ikan keli macam aku pernah ketuk kepala ulak yang dok jengui dari lubangnya semasa aku rajin menyuluh lubang katak di kampungku masa aku keik keik dulu. Nak suluh katak, tiba-tiba yang tekeluak kepala ulak.
33 Ketuk kepala ulak yang dok jengui dari lubangnya memanglah seronok, tapi ketuk kepala keli sampai pecah kepala besepai aku tak sanggup tengok. Ikan keli ni aku nak makan, bukan nak buang macam bangkai ulak tu.
34 ” Kita kenalah bersifat ihsan dengan binatang,” ujar Ustaz Hamid sewaktu dia mengajar aku Feqh semasa aku di Tingkatan 4. ” Binatang yang hendak disembelih mesti dilayan elok-elok, jangan diseksa,” kata ustaz Hamid lagi.
35 Itulah kuatnya pesan tok guru dulu yang aku dok ingat sampai la ni. Berkat betui pengajaran depa ni. Sampai ikan keli pun aku tak sanggup nak buat sesuka hati aku.
36 Tetapi ikan keli tetap degil.Setelah dikelar, digaul dengan serbuk kunyit dan garam pun masih mahu melompat. Tak pernah puas. Masuk ke dalam kuali panas pun masih belum mahu mengalah. Masih mahu melawan dengan melengkungkan ekornya.
37 Itulah pengalaman aku bersama kedegilan keli yang selalunya berada pada tahap gaban. Tapi kali ini lain kut sebab ini keli tesco, bukannya keli bendang yang menjadi kesukaan aku. Dan kesukaan isteri ku dan anak-anakku apabila sudah dimasak.
38 Keli-keli terus menghempas besen merah tempat mereka dikurung. Mereka masih boleh berseronok walhal nyawa mereka akan kuambil sebentar lagi.
39 Aku pun siapkan peralatan yang patut aku siapkan. Macam nak pi perang lah pulak.Hi hi. Peralatan harus lengkap nak berjuang dengan ikan keli ni. Aku pun pi jenguk la kat bilik air, kalau-kalau masih ada timba berwarna biru.
40 Aku tengok timba tu penuh berisi kasut. “ Operasi cuci kasut kut” fikirku. Maklumlah sekarang ni cuti sekolah. Tak jadi aku nak guna timba tu. Itulah satu-satunya timba yang ada kat rumah aku. Itu pun bini aku yang beli. Itu pun tahun lepas punya.Tahun ni belum beli lagi kut.
41 Itulah kelebihan orang perempuan yang bergelar suri. Depa tau apa yang depa patut beli dan apa yang patut ada kat rumah tu. Benda-benda tu nampak kecik pada orang lelaki, terutama yang bergelar suami tetapi benda macam tu sangat penting bagi depa.
42 Sebagai gantinya, aku capai sebuah periuk sederhana besar cap buaya dari dalam almari.Periuk itu aku letakkan di dalam sinki betui-betul di bawah kepala paip.
43 Aku dok pengati almari dawai bertingkat tempat di mana bini aku letak botol indo cafe berisi natrium klorida. Sekejap kat atas, sekejap kat bawah. Sepatutnya botol jernih mengandungi serbuk putih itu ada berhampiran dengan botol monosodium glutomate.
44 “ Depa dah ubah ni, kalau tak, tang ni je. Inilah susahnya jika pandai guna, tetapi tak pandai nak letak semula di tempanya,“.
45 Yang aku maksudkan ialah anak aku yang bongsu yang memang suka memasak ikut caranya.Dah jumpa aku pun ambik segenggam lalu pi tauk kat dalam periuk tadi.
46 Aku dok tengok kalau anak aku yang bongsu tu ada kat depan. Nampaknya tak ada sesiapa di situ. Tidur lagi kut. Bini aku memang sedang sibuk di ruang tamu menyiapkan flyer yang perlu dihantarnya pada hari ini juga sebab majlis yang berkaitan akan berlangsung pagi besok.
47 Setelah puas hati mereka tak ada, terutama anak aku yang nombor tiga yang suka buat kecoh tu, aku pun cepat-cepat mengambil penapis santan dari besi yang tersangkut di bahagian atas sinki.
48 Lepas tu aku pun sauklah ikan keli dalam besen tu guna penapis santan tu. Baru sedikit benda besi tu menyentuh air, keli-keli tu terkejut besar. Bercempegha depa lari dalam air. Tapi nak laghi macam mana, depa duk dalam besen.
49 Apocot.Seekor ikan keli tiba-tiba telah berjaya melakukan lompatan tertinggi lalu jatuh di atas simen betui-betui dekat kaki aku. Cepat-cepat aku tarik kaki aku sebab takut kena sengat ikan keli itu.
50 Aku cuba tangkap ikan keli bersaiz sederhana tu, tapi dia lari. Aku kepung dia macam orang gila. Aku sauk guna penapis santan tadi. Orang sauk ikan dalam air, aku sauk ikan di atas darat. Orang guna penyauk ikan, aku guna penapis santan.
51 Lama kelamaan dapat kat aku jugak makhluk Allah yang menyusahkan aku tu. Tapi jenuh jugaklah, berpeluh dibuatnya.
52 Aku pun masukkan ikan tu ke dalam periuk yang berisi garam tadi. Menggelupur ikan tu. Tak berapa lama ikan tu pun diam. Pengsan kut.
53 Itulah yang aku buat pada ikan-ikan lain. Semuanya lima ekor termasuk ikan yang meninggal dan ikan yang aku sempat selamatkan dari terlepas lari tadi. Yang lain-lain tu aku biarkan mereka selamat dahulu sebelum sampai ajal mereka.
54 Mudahlah sekarang aku proses keli-keli yang sedang pengsan ni sebelum dibuat gulai lemak pekat masam, menu utama kami sekeluarga untuk makan tengah hari pada hari ini. Terima kasih keli tesco.
Hakcipta Abd Bashid Harun










