TAJUK: WAWASAN DAN GAGASAN UMNO CAWANGAN PENGKALAN AUR:
KEKANGAN, CADANGAN DAN HARAPAN
KE ARAH ORGANISASI PARTI UMNO YANG DIYAKINI
PANDUAN MENGGERAKKAN UMNO CAWANGAN:
PEGANGAN PEMIMPIN UMNO CAWANGAN PENGKALAN AUR
Disediakan oleh:
Abd Bashid bin Harun
(B.A.Hons (Malaya), M.Principalship (Malaya), NPQH (IAB), Dip Perguruan (LI) Setiausaha UMNO
Cawangan Pengkalan Aur
(Bahagian Bukit Gantang)
No 63, BLOK C, PERUMAHAN AWAM
BATU 2 ½ JALAN SIMPANG
34000 TAIPING
PERAK DARUL RIDZUAN
email: gurubashid@yahoo.com
Laman Web/Blog: http://gurubashid.com/blog
1. Pengenalan
1.1 Pada asalnya tulisan ini hanya mahu memberi tumpuan kepada kekangan atau masalah-masalah yang berlaku di dalam parti UMNO Cawangan Pengkalan Aur (selepas ini disebut UMNO Pengkalan Aur sahaja).Tetapi untuk mengelakkan tanggapan negatif sesetengah pihak hasrat ini terpaksa dibatalkan sahaja kerana saya tidak mahu menyuburkan kepercayaan sesetengah pihak bahawa apabila ada suatu masalah baru kita hendak bergerak, sebaliknya jika tiada sebarang masalah, kita tidak tahu hendak berbuat apa-apa.
1.2 Bagi saya sesebuah organisasi itu wajar digerakkan berdasarkan objektif dan halatuju yang telah ditetapkan dan dalam konteks UMNO tentulah matlamat itu mesti selari dengan matlamat penubuhan UMNO yang asal.Kemudian ia boleh dikembangluaskan serta diberi penambahbaikan mengikut keperluan semasa, bukan semestinya berpunca daripada masalah-masalah yang sedia ada.
1.3 Idea ini tercetus apabila saya melihat yang UMNO Pengkalan Aur selama ini bergerak tanpa dipandu oleh satu bentuk manual prosedur kerja. Tanpa mahu ambil tahu atau campur tangan tentang cawangan-cawangan lain, bagi saya sudah sampai masanya UMNO Pengkalan Aur digerakkan dengan cara yang lebih terarah dan bersistem tanpa hanya bergantung kepada kebolehan para penerajunya sahaja
1.4 Atas sebab itulah penulisan ini diperluaskan skopnya kepada semua perkara yang difikirkan perlu wujud dan berlaku dalam UMNO Pengkalan Aur. Tulisan ini nanti akan dijadikan Panduan Asas untuk menggerakkan program dan aktiviti UMNO Pengkalan Aur. Panduan ini sesuai menjadi Pegangan pemimpin-pemimpin parti di cawangan ini bagi menggerakkan semua aktiviti cawangan agar berjalan seperti yang sepatutnya serta tidak tergelincir daripada landasan perlembagaan dan etika parti, di samping mengilhamkan sebuah parti yang berupaya diolah secara lebih kreatif dan inovatif.
1.5 Walaupun UMNO sudah ada Perlembagaannya sendiri sebagai pegangan utama ahli-ahlinya dan etika parti sebagai pegangan sokongan, namun kedua-dua dokumen bertulis itu itu hanya menyebut secara umum sahaja bagaimana parti UMNO patut digerakkan. Selebihnya, perjalanan parti banyak bergantung kepada kreativiti dan kemampuan pemimpin yang menerajuinya. Bagaimana kreativiti itu diolah dan dicorakkan dalam parti tidak disebutkan dalam kedua-dua dokumen tadi. Semuanya bergantung kepada kemampuan dan gaya urus pemimpin-pemimpin parti itu sendiri. Maka Panduan Asas Menggerakkan Cawangan ini bolehlah dijadikan garis panduan dalam menggerakkan parti di peringkat cawangan.
1.6 Dengan terhasilnya Panduan ini UMNO Pengkalan Aur sepatutnya lebih bertuah dan lebih maju selangkah berbanding cawangan-cawangan UMNO yang lain kerana mereka kini memiliki lebih daripada satu panduan. Selain Perlembagaan Parti sebagai panduan utama, Etika Parti sebagai panduan sokongan dan dokumen ini sebagai panduan asas.
1.7 Bagi menjamin kandungannya sentiasa relevan dan bersesuaian dengan keperluan semasa parti, maka Panduan ini akan diteliti dari semasa ke semasa. Pengubahsuaian yang melibatkan penambahan, pengguguran, atau pemurnian mana-mana kata, frasa dan klausa yang tidak atau kurang sesuai akan dilakukan dari semasa ke semasa sehinggalah terhasilnya sebuah buku Panduan Menggerakkan UMNO Cawangan Pengkalan Aur yang benar-benar mantap dan berupaya menjadi Pegangan penuh pemimpin UMNO Pengkalan Aur.
1.8 Insya-Allah idea, kandungan dan maklumat dalam buku panduan ini yang asalnya menjadi pegangan pemimpin UMNO Pengkalan Aur akan diubah suai dan diberi sentuhan yang lebih segar dan menarik untuk dikemukakan sebagai cadangan kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk dijadikan panduan sampingan oleh semua cawangan UMNO di seluruh negara. Jika ini berjaya direalisasikan, maka produk terbitan UMNO Malaysia akan bertambah satu lagi.
2. Latar Belakang UMNO Cawangan Pengkalan Aur
2.1 UMNO Cawangan Pengkalan Aur terletak dalam Dewan Undangan Negeri N14 Changkat Jering dan P059 Parlimen Bukit Gantang. Dalam pemilihan yang berlangsung pada bulan Mac yang lalu, bilangan ahli UMNO Pengkalan Aur yang telah menjelaskan yuran ialah seramai 350 orang. UMNO Pengkalan Aur menjadi salah satu daripada tidak kurang 18,000 cawangan UMNO di seluruh negara dan salah satu daripada 102 cawangan UMNO di Bahagian Bukit Gantang yang jumlah keseluruhan ahlinya mencecah 19,265 orang. Majoriti ahli UMNO di cawangan ini mendiami kawasan Perumahan Awam yang terletak di laluan yang strategik, di Batu 2 ½ Jalan Simpang, Taiping, Perak. Selainnya mendiami kawasan berdekatan seperti Kg Sentosa, Larut Tin, Taman Kaya dan Kg Simpang.
3. Kekuatan UMNO Cawangan Pengkalan Aur
3.1 Tiada Isu
3.1.1 UMNO Pengkalan Aur dianggap UMNO yang tenang dan tidak wujud banyak masalah untuk dikendalikan selama ini. Perpaduan antara ahli UMNO di kawasan ini cukup kukuh dan kalau ada pun perselisihan, ini hanya pada perkara-perkara kecil yang mampu diatasi dengan segera.
3.1..2 Kedudukannya yang begini menyebabkan sesiapa sahaja yang menjadi ketua dan memegang apa-apa jawatan dalam parti akan berasa selesa dan selamat daripada menerima kritikan atau sungutan.
3.2 Berlapang Dada & Bersikap Terbuka
3.2.1 Ahli-ahli UMNO Pengkalan Aur sedar tentang wujudnya sebuah markas (rumah) PKR yang terletak di hujung Blok C, dalam kawasan Perumahan Awam, Bt 2 ½ Jln Simpang, Taiping sejak Pilihan raya Umum ke-12 yang lalu.
3.2.2 Malahan UMNO Pengkalan Aur mengetahui bahawa terdapat di kalangan jiran tetangga mereka cenderung untuk menyokong parti PKR atau PAS. Namun ahli UMNO Pengkalan Aur dapat menerima kenyataan ini dengan bersikap berlapang dada dan berfikiran terbuka serta dapat pula bergaul dengan mereka tanpa membangkitkan isu-isu sensitif khususnya yang berkaitan soal kepartian.
3.2.3 Buktinya, mereka boleh duduk sambil berbual semeja dan makan di gerai yang sama walaupun berlainan parti. Malahan mereka bantu membantu dan kunjung mengunjung jika ada majlis kenduri kendara, kematian dan sebagainya. Malahan kewujudan Rumah PKR dan aktiviti-aktiviti parti itu tidak pernah diganggu.
3.3 Mengutamakan Kerjasama
3.3.1 Bukti kukuh untuk menjelaskan betapa ahli-ahli UMNO di sini sangat mengutamakan perpaduan, kejiranan dan kerjasama antara mereka dapat dilihat dalam majlis korban di Surau al-Fakiah, JKR yang diadakan pada Hari Raya Haji baru-baru ini.
3.3.2 Korban dilakukan di surau yang sama dengan kerja-kerja penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan daging korban dilakukan secara bersama-sama tanpa mengira haiwan korban itu datangnya daripada siapa. Malahan ketika pengagihan daging korban dibuat hampir semua ahli qariah dapat serba sedikit daging korban tanpa mengambil kira fahaman politik mereka. Ternyata sekali dalam majlis korban itu perpaduan, kemesraan dan kerjasama telah mengatasi fahaman kepartian. Sungguh seronok dan meriah keadaannya.
3.4 Sabar
3.4.1 Malahan ahli-ahli UMNO di cawangan ini dapat menerima tekanan yang lebih berat dari itu apabila wakil rakyat bagi kawasan ini sudah beberapa kali menyampaikan khutbah berunsur politik kepartian yang di dalamnya penuh dengan kata-kata sindiran dan kecaman terhadap kerajaan pusat dan UMNO.
3.4.2 Perkembangan ini agak mengejutkan walaupun sudah boleh dijangkakan kerana semasa wakil rakyat Barisan Nasional yang mewakili kawasan ini dan semasa BN berkuasa di Perak tidak pernah kedengaran yang khatib di sini menyampaikan khutbah berunsur politik jauh sekali menghina parti pembangkang.
3.5 Mengutamakan Kepentingan Parti
3.5.1 Aspek perpaduan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli UMNO kepada parti, pemimpin parti dan organisasi sangat tinggi. Walaupun pemilihan 2008 menyaksikan pertentangan antara dua individu bagi merebut jawatan Ketua UMNO, namun calon yang kalah dalam pertandingan itu telah bersikap positif dan matang dengan menerima hakikat bahawa dalam sesuatu pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah.
3.5.2 Malahan sebaik-baik sahaja selesai keputusan diumumkan dalam sesi penggulungan, calon yang kalah telah mententeramkan keadaan dan secara baik meminta semua penyokongnya melupakan peristiwa sebelum dan semasa pemilihan, sebaliknya memberi sokongan padu kepada kepimpinan parti yang terpilih kerana itu yang ahli mahukan demi keutuhan parti dan kepentingan ahli serta masyarakat setempat.
3.5.3 Ucapan beliau yang ringkas, tetapi tegas dan bersahaja yang lahir dari hati yang ikhlas dan tulus itu telah mendapat tepukan gemuruh daripada ahli-ahli parti yang hadir, malahan menggembirakan Ketua Cawangan dan AJK yang telah terpilih.
3.5.4 Lebih jauh dari itu calon yang menang mahupun calon yang kalah menerima hakikat untuk melupakan apa sahaja yang telah berlaku antara mereka berdua sebaliknya memilih untuk bekerjasama sejajar dengan konsep menang-menang dengan memberi teladan yang cukup terpuji kepada semua ahli.
3.5.5 Sikap keterbukaan Ketua Cawangan yang berjaya mengekalkan jawatannya terbukti apabila beliau sanggup menawarkan jawatan Setiausaha kepada calon yang kalah. Dan yang lebih bagus lagi calon yang kalah menerima dengan dada terbuka jawatan penting itu dengan azam dan iltizam untuk membantu memulihkan imej parti yang sedikit tercalar dan seterusnya membawa parti ke arah yang lebih baik.
3.5.6 Ilmu kepimpinan yang ditimbanya semasa mengikuti kursus sarjana kepengetuaan di Universiti Malaya, pengalaman perguruan yang diperolehi olehnya semasa mengurus NGO sebelum ini dan sedikit pengalaman yang ada sebagai pengurus sekolah akan digunakan semaksimum mungkin untuk tujuan membantu parti.
3.5.7 Malahan hubungan yang mesra antara calon yang kalah dan menang selepas itu membuatkan UMNO Pengkalan Aur adalah contoh terbaik dalam soal kepimpinan dan pengendalian sesebuah organisasi politik seperti UMNO.
3.5.8 Ketua Cawangan menyedari betapa yang kalah tidak semestinya tidak berguna untuk parti sementara yang menang pula bukan memiliki segala-galanya untuk menggerakkan parti. Maka gabungan daripada tenaga veteran yang kaya dengan pengalaman dan sudah teruji kesetiaan mereka terhadap parti serta kesabaran mereka menempuh pelbagai rintangan dengan kumpulan tenaga muda yang berbakat, berilmu pengetahuan dan bermotivasi tinggi sentiasa disedari sebagai aset utama untuk membawa UMNO Cawangan Pengkalan Aur agar lebih utuh mendepani segala cabaran ke arah parti yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang.
3.5.9 Seluruh ahli UMNO Cawangan Pengkalan Aur perlu meyakini bahawa jika peluang dan kelebihan seperti ini tidak digunakan sebaik dan sesegera yang mungkin, dikhuatiri peluang itu akan sirna dan akhirnya tidak akan datang lagi. Pihak lawan memang menunggu-nunggu perpecahan di kalangan ahli dengan sentiasa cuba menangguk di air yang keruh. Namun percayalah UMNO Cawangan Pengkalan Aur amat berhati-hati dalam hal ini dan tidak akan membiarkan hal negatif terjadi sehingga bertukar menjadi tragedi yang menimpa parti yang disayangi ini.
3.5.10 Atas kesedaran itu calon yang kalah dalam pemilihan itu yang sekarang merupakan Setiausaha Cawangan menyeru seluruh ahli UMNO untuk terus-terusan menyubur perasaan bersangka baik dan bersedia menerima tawaran itu demi parti, agama, masyarakat setempat dan negara ini.
3.5.11 Saya tidak pasti sama ada ini turut dilakukan oleh cawangan-cawangan yang lain, tetapi inilah hakikat yang berlaku dalam UMNO Cawangan Pengkalan Aur apabila individu-individu yang terlibat di dalamnya dapat membezakan antara kepentingan peribadi dengan kepentingan parti; antara pertandingan yang bersifat sementara dengan usaha pengukuhan parti yang berpanjangan; dan antara emosi yang dangkal dengan akal yang panjang.
3.5.12 Pendekatan inilah juga yang telah dilakukan beberapa bulan selepas itu oleh Barack Obama, bakal Presiden Amerika Syarikat apabila beliau melantik musuh politiknya Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara Amerika. Ternyata keterbukaan dalam berparti memang diperlukan supaya parti UMNO akan terus relevan dan dirasai kehadirannya serta kewujudannya dapat dimanfaatkan oleh ahli dan masyarakat setempat.
3.6 Kekuatan Wanita
3.6.1 Selain itu, ahli-ahli wanita cawangan di sini sangat setia kepada parti, menunjukkan komitmen yang tinggi dan sentiasa berpegang kepada matlamat perpaduan melebihi matlamat peribadi. Walaupun ada sedikit insiden yang berlaku pada saat-saat menjelangnya pemilihan namun akhirnya semuanya dapat ditangani dan keadaan kembali tenang semula. Dengan kehadiran individu-individu tertentu yang berpengaruh dan dihormati di kalangan wanita UMNO di sini, Wanita UMNO cawangan Pengkalan Aur tetap dihormati dan menjadi tulang belakang kepada UMNO Cawangan dan seterusnya UMNO Bahagian. Mereka dilihat sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan cawangan dan bahagian dan sentiasa terlibat dan mahu dilibatkan dalam apa jua aktiviti parti.
3.6.2 Sejak dahulu lagi Wanita UMNO Cawangan Pengkalan Aur dilihat sangat aktif dalam mengendalikan kerja-kerja pilihan raya dalam semua pilihan raya umum yang berlangsung sebelum ini. Malahan ketika desas desus bertiup kencang tentang adanya ahli yang menikam UMNO dari belakang dan bertekad untuk tidak memilih BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, Wanita UMNO Pengkalan Aur tetap menunjukkan kesetiaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO dan calon-calon BN. Malahan sehingga kini tidak kedengaran sebarang petunjuk atau petanda walau sedikit pun yang Wanita UMNO Cawangan Pengkalan Aur berputus asa dalam menghadapi situasi genting seperti sekarang ini.
3.7 Pasukan Marhaban Dan Barzanji
3.7.1 Wanita UMNO Cawangan Pengkalan Aur sedang membentuk dan melatih pasukan marhaban dan barzanjinya sendiri yang diketuai sendiri oleh Ketua Wanita UMNO Cawangan yang terkenal aktif meskipun telah dimakan usia.Kegigihan wanita ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Semangatnya untuk berkhidmat kepada parti masih kuat dan turut membakar semangat wanita lain dan pemudi di sini untuk menyumbang bakti kepada parti.
4. Senario Keseluruhan UMNO Cawangan
4.1 Apabila disebut UMNO Pengkalan Aur, seperti juga cawangan-cawangan UMNO yang lain ia bukan merujuk kepada Ketua Cawangan, Setiausaha dan beberapa orang AJKnya sahaja tetapi tentulah kepada seluruh ahli dan organisasi UMNO cawangan itu sendiri.
4.2 Malahan dalam kerangka yang lebih besar UMNO Pengkalan Aur seperti juga UMNO cawangan yang lain turut melibatkan tiga sayap utama parti iaitu wanita, pemuda dan puteri. Ini terbukti apabila Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan parti dilantik sebagai AJK Cawangan yang turut terlibat dalam semua mesyuarat dan aktiviti cawangan.
4.3 Tetapi dalam konteks UMNO Pengkalan Aur nasib Puteri agak malang kerana disebabkan tidak cukup korum tiada sebarang mesyuarat pemilihan dapat dibuat dan akhirnya tiada AJK yang dapat dilantik. Kesannya jangka pendeknya, tidak ada wakil puteri yang akan duduk bersama dalam mesyuarat AJK Cawangan. Kesan jangka panjang pula kita tidak dapat mengikuti secara langsung akan perkembangan dan aktiviti Puteri cawangan dalam tempoh empat tahun ini.
4.4 Ini merupakan satu kekurangan kepada parti dan satu kerugian jangka panjang jika tidak diambil sebarang tindakan yang drastik dan bijaksana dari sekarang oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat cawangan mahupun bahagian.
4.5 Sesuatu harus dilakukan untuk menangani hal ini. Jika tiada wakil Puteri akibat kegagalan melaksanakan pemilihan, adakah cara-cara lain yang munasabah boleh dibuat untuk mengundang mana-mana wakil Puteri ke dalam mesyuarat AJK cawangan. Kalau ini berani dilakukan, adakah kehadiran mereka sah dan suara mereka boleh didengar lalu diangkat sebagai suatu keputusan menurut perlembagaan parti.
4.6 Apa yang berlaku ini seolah-olah memberi gambaran betapa sulitnya Puteri UMNO Pengkalan Aur selama ini mengurus sayap penting itu. Bukan sahaja menampakkan ketandusan kepimpinan, malahan ini menjelaskan kepada kita yang Puteri UMNO Pengkalan Aur turut ketandusan ahli.
4.7 Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa ada usaha-usaha yang serius daripada kepimpinan tertinggi parti sama ada di peringkat cawangan mahu pun bahagian untuk menghidupkan semula sayap UMNO itu. Ketika kita mengharapkan golongan pengundi baru menyokong UMNO dan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang (dan mungkin juga pilihan raya kecil), apa yang berlaku kepada Puteri UMNO Pengkalan Aur bukanlah berita yang ingin kita dengar.
4.8 Berasaskan keadaan tersebut adalah penting suatu tindakan drastik dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat cawangan mahupun bahagian untuk mengenal pasti anak-anak gadis yang berusia 18 tahun ke atas untuk didaftarkan sebagai ahli UMNO sebelum mereka boleh dikumpul bagi tujuan penubuhan Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO cawangan.
4.9 Senario ini tidak jauh bezanya dengan pemuda cawangan, walaupun pemuda cawangan lebih bernasib baik kerana akhirnya berjaya juga mengadakan mesyuarat pemilihan. Pemuda UMNO Cawangan Pengkalan Aur dilihat agak sukar untuk mengumpulkan sejumlah pemuda bagi tujuan-tujuan kepartian dan untuk mengadakan aktiviti pemuda. Malahan sewaktu hendak diadakan mesyuarat pemilihan jawatankuasa pemuda cawangan yang lalu pun bukan mudah untuk mengumpulkan sejumlah ahli bagi mencukupkan korum. Petunjuk kemerosotan itu sebenarnya telah dikesan lebih awal lagi, iaitu semasa berhadapan Pilihan Raya Umum ke-12. Ketika itu kita dapati hanya beberapa orang pemuda sahaja yang terlibat dalam kerja-kerja jentera pilihan raya di kawasan ini. Malahan kedengaran selepas itu cakap-cakap tentang bayaran untuk kerja buat mereka dalam pilihan raya itu walaupun tidak jelas apa yang mereka maksudkan.
4.10 Sebagai pemimpin pelapis dan bakal mengambil alih fungsi dan peranan golongan veteran yang ada sekarang, apa yang berlaku pada Pemuda dan Puteri di cawangan ini tidak boleh dipandang ringan. Jika tindakan yang sewajarnya tidak diambil, kita khuatir jumlah pemuda dan pemudi yang menyertai UMNO semakin berkurangan yang kesan buruknya akan menimpa Barisan Nasional pada pilihan raya yang akan datang.
4.11 Tidak mustahil hal ini akan berlaku jika dilihat daripada perkembangan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu dan apa yang berlaku selepas itu. Semasa kempen pilihan raya umum yang lalu, dapat dilihat dengan jelas bagaimana pemuda termasuk kanak-kanak lelaki sudah berani berkumpul dan mengarak bendera parti pembangkang tanpa segan silu. Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
4.12 Malahan sekarang ini jentera pemuda pembangkang digerakkan secara lebih agresif melalui pendekatan mesra pemuda.Kita melihat bagaimana pemuda-pemuda yang cenderung kepada pembangkang kini lebih berani berkumpul dan bersembang sesama mereka berbanding pemuda UMNO yang dilihat begitu menyepi dan terasing.
4.13 Lambat laun jika kita tidak berani menggunakan pendekatan yang hampir sama atau lebih baik dari itu seluruh pemuda di kawasan ini akan ditarik ke arah pembangkang.
4.14 Ini belum lagi mengambil kira ketidakpuasan sesetengah pemuda terhadap pelbagai isu yang melanda parti sebelum ini. Mereka ini dilihat semakin jauh daripada pergerakan pemuda dan parti serta lebih cenderung untuk membawa haluan masing-masing.
4.15 Berbalik kepada UMNO cawangan, suatu strategi wajar difikirkan secara bersama untuk menarik minat lebih ramai ahli untuk datang secara sukarela ke mesyuarat pemilihan tahunan. Yang kita mahukan ialah ahli yang datang itu bukan atas sebab terpaksa, sebaliknya diruntun oleh rasa tanggungjawab mereka kepada parti demi agama, bangsa dan negara.Apa yang berlaku dalam mesyuarat pemilihan yang lepas seolah-olah menggambarkan kesulitan kita untuk mencukupkan korum. Jika ahli-ahli masih ingat kita terpaksa menunggu sehingga 2 jam sebelum kita memulakan mesyuarat tersebut. Malahan keadaan cukup mengharukan apabila ada ahli yang pulang untuk menjemput isteri dan keluarga masing-masing ke mesyuarat itu bagi memastikan pemilihan tidak tertangguh atau terbatal.
5. Strategi dan Pendekatan
5.1 Mendekati dan Menggerakkan Pemuda
5.1.1 Atas perkembangan yang sebegitu UMNO Pengkalan Aur mengambil cabaran ini dengan berusaha menggunakan pengaruh individu-individu tertentu bagi merapatkan semula barisan pemuda kepada parti.
5.1.2 UMNO Pengkalan Aur berjanji untuk mengambil serta mengetengahkan pemuda dan puteri yang tidak terpilih menduduki kerusi kepimpinan parti dan sayap parti di peringkat cawangan untuk sama-sama berperanan dalam aktiviti dan program parti yang dijalankan.
5.1.3 Ini dilakukan melalui strategi menyerap masuk tenaga mereka dalam jawatankuasa kerja yang dibentuk bagi sesuatu program di samping menambahkan bilangan Jawatankuasa Kecil di bawah biro yang sedia ada.
5.1.4 Dalam jangka panjang penglibatan mereka akan diperluaskan melalui strategi memperbanyakkan jumlah biro berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa serta merancakkan lagi aktiviti yang berfokuskan pemuda melalui pelan taktikal “daripada parti untuk pemuda” dan “daripada pemuda kepada pemuda”.
5.2 Membetulkan Persepsi Majoriti Ahli Terhadap Parti
5.2.1 Selain itu, beberapa tanggapan salah terhadap parti perlu diperbetul sebelum menjadi satu kepercayaan di kalangan ahli parti. Apabila disebut parti UMNO, rata-rata merasakan bahawa dengan terpilihnya Ketua Cawangan dan seluruh AJK sebaik-baik sahaja selesai Mesyuarat Pemilihan UMNO bererti selesailah tugas mereka untuk UMNO. Bagi kebanyakan ahli UMNO cawangan ini, mereka lebih cenderung untuk memfokuskan mesyuarat pemilihan parti sebagai agenda utama.
5.2.2 Selepas habis pemilihan hampir tiada ahli yang peduli akan hal parti lagi. Seolah-olah parti ini hanya menjadi tanggungjawab Ketua dan AJKnya sahaja. Sama ada atas sebab mereka tidak mahu dilibatkan dengan komitmen kepartian atau pun berasa parti bukan lagi penting untuk mereka atau tiada aktiviti parti yang membanggakan mereka. Atau mereka sudah mulai bosan dengan parti UMNO?
5.3 Kempen Berterusan
5.3.1 Bagi UMNO Pengkalan Aur walau apa pun sebabnya, ahli-ahli parti per se tidak boleh disalahkan. Pada masa yang sama mereka juga tidak patut dibiarkan hanyut jauh daripada UMNO sehingga mudah digoda oleh pihak yang satu lagi. Maka tindakan berhikmah dan berstrategik patut dilakukan bagi mendekatkan organisasi UMNO kepada mereka.
5.3.2 Kempen menyintai parti patut dilakukan dari semasa ke semasa dengan menggunakan pelbagai pendekatan di samping menyebarluaskan berita-berita mengenai program serta aktiviti parti kepada semua ahli dan penduduk setempat agar perhatian mereka ditarik semula kepada UMNO.
5.3.3 Hebahan itu perlu dilakukan melalui makalah-makalah, buletin atau surat edaran yang akan diterbitkan secara berkala yang disampaikan terus kepada ahli parti. Ucapan, dan harapan Ketua Cawangan serta strategi parti boleh dimuatkan dalam setiap edaran tersebut. Di sinilah keperluan bagi cawangan memiliki kemudahan komputer dan mesin cetak semakin mendesak.
5.4 Libatkan Lebih Ramai Ahli
5.4.1 Ahli-ahli parti mesti dilibatkan seramai yang mungkin mengikut kesesuaian dan kebolehan mereka dalam apa jua aktiviti parti. Apabila ini dilakukan jangan pula ada kepimpinan tertinggi parti atau sesiapa sahaja merasa tercabar dengan kehadiran mereka ini.Sepatutnya mereka berbangga dan berterima kasih kerana ada ahli yang secara sukarela mahu membantu aktiviti cawangan. Jika lebih ramai ahli sama-sama bergerak membantu parti, itulah kejayaan kepimpinan parti sebenarnya.
5.5. Memahami Keutamaan
5.5.1 Selain itu ahli-ahli patut disedarkan bahawa pelaksanaan mesyuarat pemilihan tempoh hari hanyalah permulaan dan sekelumit daripada semua perkara yang ada dalam UMNO. Masih banyak yang perlu dibuat selepas itu dan masih banyak bantuan yang diharapkan daripada ahli-ahli UMNO.
5.5.2 UMNO Pengkalan Aur sesi 2008-2011 bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik melalui gerak kerja yang teratur, pengurusan parti yang bersistem, ketepatan dalam pemilihan program, kerancakan serta kreatif dalam pelaksaaan program/aktiviti dan bentuk-bentuk sumbangan secara langsung atau tidak langsung yang diberikan kepada ahli UMNO cawangan dan keluarga mereka.
5.5.3 Bahawasanya UMNO Cawangan Pengkalan Aur dan seluruh sayapnya berikrar dan berjanji untuk menyokong Ketua Bahagian dan seluruh AJKnya dan memberikan kerjasama kepada semua aktiviti parti yang dilaksanakan oleh bahagian dan mana-mana sayap partinya dengan kesedaran bahawa pemilihan itu ditentukan oleh ahli akar umbi atas semangat demokrasi di samping adanya kesedaran bahawa dalam suatu pertandingan mesti ada yang menang dan ada yang kalah.
5.5.4 Individu dalam parti boleh menang dan boleh kalah, tetapi parti dan perjuangannya tidak boleh dibiarkan kalah, apatah lagi dibiarkan mati tanpa sebarang usaha untuk memulihkan dan seterusnya memperkasakannya. Maka salah satu yang boleh diberikan oleh cawangan kepada bahagian ialah sokongan padu kepada kepimpinan parti demi agama, bangsa dan negara tercinta. Ini bukan pilihan tetapi suatu tuntutan dan tanggungjawab yang tidak boleh ditolakansurkan kerana kepentingan parti lebih utama daripada sebarang agenda lain.
5.5.5 Pendekatan “orang pertama turun ke padang” dan “pertama bertemu sasaran” apabila berlakunya sesuatu kejadian yang menimpa ahli parti dan keluarganya yang menjadi pegangan UMNO pusat selama ini patut dicontohi oleh UMNO Cawangan dan sayap-sayapnya. Begitu juga sikap gemar mengirim sms untuk memaklumkan berita terkini tentang parti dan yang melibatkan ahli parti patut terus menjadi amalan yang terpuji.
5.5.6 Malahan menjadi tanggungjawab kepimpinan cawangan mengenal pasti ahli-ahli UMNO, keluarga mereka dan jiran tetangga yang tidak bernasib baik seperti 1)golongan yang cacat 2) faqir dan miskin 3) anak-anak yatim 4) ibu-ibu tunggal 5) golongan musafir 6) golongan fisabilillah 7) golongan berhutang lalu mengaturkan bantuan yang perlu kepada mereka dalam kadar segera dan menurut keperluan semasa. Ini hanya berjaya dilakukan jika ahli-ahli memberi kerjasama dengan melaporkan dari semasa ke semasa kepada Jawatankuasa UMNO tentang perkembangan semasa yang melibatkan mana-mana ahli dan keluarga mereka.
5.5.7 Tegasnya apa sebenarnya yang dilakukan dalam tempoh sepanjang 2008-2011 itulah yang paling penting untuk dijadikan kayu pengukur.Itulah tempoh masa yang mendedahkan diri setiap pemimpin parti kepada penilaian masyarakat khususnya oleh ahli-ahli UMNO sendiri.
5.6 Janji Tidak Mengulangi Kesilapan Sesiapa
5.6.1 Sesungguhnya UMNO Cawangan Pengkalan Aur berazam dan beriltizam untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan lama yang dibenci oleh masyarakat sama ada ia berpunca daripada diri sendiri (jika ada) atau orang lain dan pada masa yang sama sentiasa berlapang dada dan berhusnu dzan (bersangka baik) kepada sesiapa sahaja yang melakukan kritikan membina kepada parti.
5.6.2 Adalah lebih baik dan lebih sihat jika AJK parti sendiri yang melakukan muhasabah diri sebelum dikritik dan dihukum oleh pengundi akibat salah laku kita sendiri.
5.7 UMNO Lebih Memerlukan Teguran Membina
5.7.1 Sebenarnya UMNO Cawangan Pengkalan Aur lebih memerlukan teguran yang ikhlas dan membina berbanding pujian berjela yang dilontarkan secara berpura-pura kerana teguran ikhlas itulah yang lebih berguna bagi membantu memperteguh semula UMNO dan mengembalikan keyakinan orang ramai kepada parti yang banyak berjasa itu.
5.8 Jaga Parti Bukan Jaga Hati
5.8.1 UMNO Cawangan Pengkalan Aur beranggapan ‘sikap mengipas’ secara berterusan dan membina ‘rasa selamat yang palsu’ semata-mata untuk menghiburkan hati sendiri dan menjaga hati orang lain adalah tidak sesuai sama sekali ketika UMNO menghadapi ujian segenting ini. Yang penting dijaga ialah parti, agama, bangsa dan negara bukan perasaan individu-individu tertentu dalam parti. Kita sanggup dimarahi oleh seorang dua ahli kita daripada menerima tempelakan dan kutukan majoriti ahli disebabkan sikap kita yang menyokong tindakan seorang dua ahli parti yang menyimpang daripada landasan sebenar.
5.9 Lebih Realisitik dan Terbuka
5.9.1 UMNO Pengkalan Aur sesungguhnya mahu bersikap lebih realistik dengan menerima kenyataan sambil melakukan koreksi di mana-mana yang perlu serta berazam untuk tidak mengulangi kesilapan masa silam.
5.9.2 UMNO Pengkalan Aur mengalu-alukan kehadiran seseorang yang berupaya memberikan pandangan dan pendapat yang bernas lagi telus untuk kebaikan parti daripada seseorang yang datang kepada kita hanya untuk memuji-memuji peribadi tertentu dalam parti. Jika ada yang patut menerima pujian bukannya peribadi tertentu dalam parti tetapi ialah parti dan seluruh ahli parti itu sendiri.
5.10 Lebih Ramai Lebih Bagus
5.10.1 UMNO Pengkalan Aur sedar bahawa yang menghidupkan parti ialah majoriti ahli yang menyokong dan mendokongnya, bukan kerja kuat seorang dua anggota parti. Untuk menggerakkan parti dan memastikan ia bertahan lebih lama kita memerlukan sokongan padu daripada majoriti ahli parti, tetapi untuk meruntuhkannya memadai dengan tindakan buruk seorang dua daripada kalangan kita.
5.11 Sentiasa Berwaspada Dan Berhati-Hati Dalam Tindakan
5.11.1 Justeru bagi mengelakkan perkara di atas daripada terjadi kita harus lebih waspada dengan tindakan-tindakan kita yang mungkin menjejaskan parti. Malahan kita hendaklah ingat tentang bahaya yang bakal datang daripada seseorang yang terlalu memuji seseorang. Seseorang yang keterlaluan memuja individu-individu tertentu dalam parti pada bila-bila masa sahaja akan bersedia pula membenci individu-individu yang sama di hadapan orang lain yang lambat laun akan menjejaskan imej parti dalam jangka masa panjang jika tidak cepat dibendung.
5.11.2 Sebab itu apabila memikirkan tentang kebajikan ahli-ahli UMNO Pengkalan Aur, sesiapa sahaja daripada kalangan kita mesti ingat dan pegang bahawa ahli-ahli UMNO itu ialah mereka yang berdaftar dengan pertubuhan ini dengan membayar yuran keahlian dan mempunyai nombor keahlian.
5.11.3 Sebab itu sebarang bantuan, sumbangan dan derma yang diterima mesti dicatat dan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan parti dan ahli parti dan disalurkan kepada kegiatan yang bermanfaat untuk parti atau kepada mereka yang benar-benar layak menerima atau menggunakannya. Jika sesuatu bantuan itu lebih meluas, merata dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh ahli di cawangan itu dan penduduk setempat maka itulah yang lebih baik.
5.12 Kita Tidak Dibayar Untuk Semua Ini. Ingat itu!
5.12.1 Ketua Cawangan, Timbalan, Bendahari, Setiausaha dan mana-mana AJK Cawangan hanyalah merupakan medium atau perantara bagi memastikan setiap program yang dijalankan bermanfaat untuk parti dan ahli-ahlinya. Begitu juga bantuan yang dihulurkan mesti sampai kepada kumpulan sasaran yang sebenar.
5.12.2 Kita tidak diberi apa-apa dengan jawatan yang kita pegang. Maka kita tidak boleh mengharapkan apa-apa habuan daripada apa yang telah, sedang dan akan kita lakukan dalam parti. Yang jelas kita dipilih oleh majoriti ahli kerana mereka percaya yang kita mampu memenuhi harapan mereka dan parti ini. Maka ambillah peluang ini untuk membuktikan sesuatu kepada mereka dan masyarakat setempat bahawa pemilihan kita ini tepat dan tidak sia-sia. Lakukanlah hanya yang terbaik untuk ahli-ahli parti demi agama, bangsa dan negara tercinta.
5.13 Harapan Kepada Bahagian
5.13.1 Begitu juga apabila disebut UMNO Bahagian ia bukan sahaja merujuk kepada Ketua UMNO Bahagian, Pengerusi Tetap dan AJK tertinggi parti per se tetapi merujuk kepada seluruh cawangan yang ada di dalam bahagian itu. Jika semua cawangan dapat digerakkan oleh bahagian, maka itulah kejayaan bahagian sebenarnya.
5.13.2 Tiada maknanya UMNO Bahagian aktif tetapi cawangan-cawangan di dalamnya lembap atau bergerak seperti pahat dengan penukul. Kuatnya bahagian disebabkan kuatnya cawangan. Malahan apa yang berlaku di sesebuah cawangan itu adalah cerminan bahagian. Baik cawangan bererti baiklah bahagian, sebaliknya buruk cawangan buruklah gambaran yang diberi kepada bahagian. Maka apa yang boleh dibuat oleh bahagian ialah dengan tidak membiarkannya bersendirian, sebaliknya memberikannya pelbagai bantuan, sokongan, bimbingan dan khidmat nasihat melalui pelbagai cara termasuk menyalurkan sumber kewangan terus ke cawangan agar cawangan dapat menjalankan aktiviti mereka.
5.13.3 Sebagai contoh secara amnya UMNO Malaysia tidak menyalur bantuan khusus kepada cawangan-cawangan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti mereka. Sebaliknya secara lazim peruntukan dibuat terus kepada bahagian-bahagian sahaja. Maka di sinilah sokongan dan bantuan Bahagian amat diperlukan bagi merealisasikan bukan sahaja harapan UMNO Cawangan, malahan juga UMNO Malaysia yang memberi kepercayaan kepada UMNO bahagian untuk berbuat demikian.
5.13.4 Meskipun perkara yang berlaku dalam 5.13.3 itu merupakan amalan biasa parti, namun dengan kuasa-kuasa tertentu yang ada pada mereka bantuan masih boleh disalur terus ke cawangan menurut budi bicara UMNO Malaysia dengan andaian ada cawangan yang akan melaksanakan banyak aktiviti dan tidak mahu meletakkan bebanan itu hanya pada bahagian yang mempunyai lebih daripada 100 cawangan untuk diurus.
5.13.5 Maka dengan mengambil kira perkara 5.13.4 di atas, akan ada cawangan yang memohon terus bantuan daripada pelbagai sumber termasuk daripada UMNO Bahagian sendiri dalam melaksanakan kerja buat mereka. Dan apabila ini dilakukan ia bukanlah sesuatu yang di luar daripada kebiasaan asalkan tujuannya untuk menggerakkan parti dan bantuan kewangan itu pula disalurkan terus ke dalam akaun parti.
5.13.6 Perubahan yang berlaku kepada mana-mana bahagian atau cawangan bukan dilambangkan oleh perubahan yang berlaku pada Ketua Bahagiannya atau Ketua Cawangannya dan mana-mana AJKnya, tetapi ialah perubahan dalam organisasi itu sendiri, ahli dan masyarakat setempat yang ditandai melalui perubahan tingkah laku, pertambahan dalam pemilikan harta alih dan tak alih milik organisasi, peningkatan dalam pendapatan dan taraf sosio-ekonomi ahli, taraf kesihatan, pelajaran dan sebagainya selain pertambahan ahli dan jumlah ahli yang telah mendaftar sebagai pemilih.
5.14 Asalkan Ia Berkaitan Parti Semuanya Penting
5.14.1 Tidak ada suatu pun yang boleh dikatakan kecil atau remeh jika ianya menyangkut tentang parti UMNO dan segala kepentingannya. UMNO yang menjadi tempat pergantungan emosi dan semangat parti-parti komponen lain dan sentiasa menjadi perhatian dan sasaran kritikan oleh parti-parti lawan tidak boleh mengabaikan lagi perkara yang bersangkutan dengan hal-hal di atas yang saya rumuskan sebagai soal mengurus tadbir parti dan ahli-ahlinya.
5.14.2 Semua bahagian atau segmen yang ada pada parti dan semua yang sedang berlaku di dalamnya adalah sama-sama penting. Tidak ada apa yang dikatakan bahawa bahagian ini lebih penting daripada bahagian yang lain. Disebabkan kepercayaan sebahagian kita bahawa ada bahagian/segmen yang penting atau tidak penting, maka kita selalu bersikap ekstrim ke kanan atau ekstrim ke kiri dalam mengendalikan parti. Oleh kerana ini tidak penting lalu boleh diabaikan begitu sahaja, sementara elemen ini pula sangat penting lalu banyak masa dihabiskan untuknya
5.14.3 Kita tidak mahu tumpuan yang kita berikan kepada sesuatu bahagian, menyebabkan pengabaian kepada bahagian-bahagian lain. Selagi bahagian atau segmen itu berlaku dalam parti atau lebih tepat lagi dalam cawangan kita mesti menerimanya sebagai sama penting.
5.14.4 Kalau selama ini kita banyak memberi tumpuan kepada pemilihan dalam parti, pilihan raya dan nasib kita selepas pilihan raya itu, maka sudah sampai masanya tanpa mengira yang kita sudah kalah atau menang tumpuan patut diberikan kepada soal-soal pengurusan parti, kebajikan ahli serta keutuhan parti.
5.15 Membulatkan Tekad
5.15.1 Kita serius mahu menjadikan UMNO Pengkalan Aur sebagai sebuah cawangan terbaik yang diurus tadbir sama hebatnya dengan UMNO Bahagian malahan tidak kurang hebatnya dengan UMNO Negeri dan UMNO Pusat. Malah adalah baik jika semua cawangan di seluruh negara dapat diperkasakan melalui pengurusan yang sistematik dan terkini dengan memanfaatkan dunia ICT yang berkembang pesat. Kita tidak mahu pengurusan parti di peringkat cawangan jauh terkebelakang daripada bahagian, negeri dan pusat. Pusat, Negeri dan Bahagian pula tidak boleh membiarkan cawangan-cawangan bergerak tanpa bapa, ibu dan pengasuh.
5.16 Anugerah Cawangan dan Bahagian Terbaik
5.16.1 Untuk itu UMNO Cawangan Pengkalan Aur mencadangkan agar diwujudkan Anugerah Cawangan Terbaik yang diurus oleh UMNO Bahagian atau UMNO Negeri, manakala UMNO Pusat pula bertanggungjawab memilih Anugerah Bahagian Terbaik.
5.16.2 Hadiah berupa wang tunai dengan nilai tidak kurang dari ratusan ribu ringgit selain sijil pencapaian dan hadiah galakan yang lain dirasakan sangat bersesuaian dalam membantu cawangan atau bahagian meningkatkan lagi daya usaha mereka ke arah mencapai tahap urus tadbir parti yang profesional dan berkualiti.
5.16.3 Indikator-indikator tertentu seperti pertambahan ahli, pengurusan premis UMNO seperti Rumah UMNO (cadangan dan format asal UMNO Pengkalan Aur) , pusat khidmat masyarakat, bilik gerakan, sistem fail dan surat menyurat, pengurusan kewangan dan jumlah ahli UMNO yang keluar mengundi mungkin di antara faktor yang boleh dipertimbangkan bagi tujuan penilaian.
5.16.4 Malahan petunjuk-petunjuk lain seperti bebas daripada sebarang elemen rasuah, tindakan disiplin oleh lembaga disiplin parti dan anugerah-anugerah tertentu yang diterima wajar diambil kira dalam menentukan cawangan atau bahagian yang terbaik.
5.16.5 Tentulah para juri yang dipilih nanti terdiri daripada mereka yang benar-benar berkecuali yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
5.17 Anugerah Ahli Paling Berjasa
5.17.1 Sebelum orang lain mengiktiraf kerja buat kita, lebih baiklah kita mengiktiraf terlebih dahulu ahli-ahli parti di cawangan kita sendiri yang telah berjasa besar kepada parti. Keutamaan tentulah kepada ahli parti veteran yang selama ini telah menunjukkan komitmen yang tinggi kepada parti dan masyarakat setempat serta berupaya menggerak dan menjadi contoh kepada ahli-ahli yang lain. Maka untuk merealisasikan hasrat ini, UMNO Pengkalan Aur mulai sesi ini akan memilih seorang ahli wanita dan seorang ahli lelaki untuk menerima anugerah di atas.
5.18 Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Parti
5.18.1 UMNO sudah bermula sejak 1946 atau lebih tepat lagi sudah menjangkau usia lebih daripada 50 tahun. UMNO Cawangan Pengkalan Aur pula bermula sejak 1989 atau berusia 20 tahun. Maka tentulah ahli-ahli mengharapkan UMNO diurus sesuai dengan peningkatan usia dan kematangannya.
5.18.2 Sehubungan itu adalah menjadi tanggungjawab sekreteriat UMNO pusat, negeri, bahagian atau cawangan sendiri untuk mendedahkan pemimpin parti kepada amalan kepimpinan dan kepengurusan organisasi melalui kursus dan latihan yang diadakan dari semasa ke semasa. Melalui kursus dan latihan seumpama itu, adalah diharapkan Ketua Cawangan, Bendahari, Setiausaha dan AJK UMNO di seluruh peringkat memahami akan teori dan praktis urus tadbir organisasi, begitu juga input-input terkini berkaitan perkembangan politik semasa.
5.18.3 Menyedari betapa pentingnya fungsi AJK, terutama pihak pengurusan tertinggi parti, maka UMNO Pengkalan Aur mengambil langkah segera untuk memberi pendedahan kepada mereka dengan kaedah pengurusan dan stail kepimpinan organisasi yang terkini.
5.18.4 Sejajar dengan itu Biro Pendidikan dan Latihan (PELITA), UMNO Cawangan Pengkalan Aur mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Pengurusan dan Kepemimpinan Organisasi dalam masa yang terdekat.
5.18.5 Pada masa yang sama UMNO Cawangan Pengkalan Aur akan sentiasa memberi kerjasama kepada apa jua aktiviti parti sama ada yang dianjurkan oleh Bahagian, Negeri dan Pusat termasuk menghantar AJKnya untuk mengikuti kursus dan latihan pengurusan dan kepimpinan yang dianjurkan.
5.18.6 Kami akan cuba sedaya upaya kami untuk memastikan tidak ada seorang pun AJK UMNO Pengkalan Aur dan sayap-sayapnya tercicir daripada menerima pendedahan tentang pengurusan dan kepimpinan organisasi (politik) sekurang-kurangnya sekali sepanjang tempoh mereka memegang jawatan dalam parti.
5.19 Sentiasa Berpegang Kepada Perlembagaan dan Etika Parti
5.19.1 Terdapat dua sumber rujukan utama yang menjadi panduan kepada ahli-ahli UMNO di segenap peringkat bagi menjalankan fungsi-fungsi parti. Pertama Perlembagaan UMNO dan kedua ialah etika ahli-ahli UMNO.
5.19.2 Jika Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang merdeka merupakan undang-undang tertinggi lagi luhur bagi negara ini, maka Perlembagaan UMNO merupakan undang-undang tertinggi parti yang bersifat luhur dan suci. Mana-mana undang-undang yang hendak digubal kemudiannya mestilah tidak bertentangan dengan kandungan perlembagaan itu. Begitu juga etika ahli UMNO tidak wajar melimpasi atau mengurangi perlembagaan itu sendiri.
5.19.3 Maksudnya jika berlaku percanggahan antara kandungan dalam etika UMNO atau lain-lain dokumen parti yang dikeluarkan atas nama UMNO dengan Perlembagaan UMNO, maka Perlembagaan UMNOlah yang terpakai. Malahan etika itu sendiri tidak sedikit pun melemahkan atau mengurangkan maksud-maksud yang terkandung dalam Perlembagaan UMNO.
5.20 Keperluan Kepada Pengetahuan Tentang Perlembagaan UMNO
5.20.1 UMNO Pengkalan Aur berpendapat adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli UMNO di bawah kepimpinan Ketua Cawangan didedahkan dari semasa ke semasa kepada isi kandungan perlembagaan UMNO agar setiap tindakan yang dilakukan sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
5.20.2 Dalam setiap perjumpaan, mesyuarat dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan, tidak salah rasanya jika Ketua UMNO atau wakilnya mengambil beberapa minit waktu untuk mengingatkan semua ahli agar mematuhi Perlembagaan UMNO dan etika parti. Jika perlu fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan itu hendaklah dibaca agar didengar dan difahami oleh mereka yang hadir. Sekiranya tindakan ini dapat dilakukan dalam setiap fungsi dan pertemuan, lambat laun akan timbul kesedaran yang mendalam dan berpanjangan di kalangan ahli UMNO terhadap Perlembagaan UMNO.
5.20.3 Saya percaya ada AJK UMNO, terutama yang baru dilantik tidak pernah melihat buku Perlembagaan UMNO yang berwarna merah bersaiz poket itu. Kalau pun mereka pernah melihatnya, mungkin mereka tidak pernah menyelak mahupun membacanya. Kalau AJK sendiri gagal membaca dan memiliki buku kecil itu, bagaimana halnya dengan ahli-ahli yang lain.
5.20.4 Ketidakjelasan ahli-ahli UMNO tentang perlembagaan UMNO akan mendedahkan ahli-ahli UMNO kepada sebarang kemungkinan pertikaian mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan perjalanan parti itu sehingga tidak mustahil akan mengheret ahli UMNO kepada tindakan mahkamah atau dikenakan tindakan oleh lembaga disiplin UMNO.
5.20.5 UMNO cawangan Pengkalan Aur sedar memang wujud segelintir ahli UMNO yang akan bercakap ikut sedap mulut dan membuat tafsiran sendiri dengan membelakangi perlembagaan parti. Kita tidak boleh menyalahkan mereka per se jika kita mengambil kira latar belakang pendidikan dan sosial mereka yang berbagai-bagai.
5.20.6 Kita tidak boleh meletakkan kesalahan di bahu mereka sahaja dan menganggap yang mereka patut memiliki pengetahuan dan kefahaman yang sama dengan kita tentang kandungan perlembagaan jika kita tidak pernah mendedahkan mereka kepada kandungan perlembagaan itu sendiri.
5.20.7 Sama ada mereka tahu atau tidak itu bukan persoalannya, tetapi masalahnya mereka cuba memaksa pendapat mereka per se untuk diterima. Mereka seolah-olah mahu mempertahankan bahawa pendapat mereka betul. Maka dalam hal ini perlembagaan akan menjadi kaedah penyelesaian utama yang mesti dirujuk sebab kebanyakan perkara yang dipertikaikan itu sudah terkandung asasnya dalam Perlembagaan.
5.20.8 Tetapi kerana kejahilan tentang perlembagaan sama ada disebabkan tidak mahu meluangkan masa merujuk kepada perlembagaan atau sengaja buat tak tahu, itulah masalahnya. Tetapi yang nyata ahli-ahli UMNO hatta AJK parti tidak dibekalkan dengan perlembagaan ini. Jadi jika mereka tidak tahu bukanlah salah mereka.
5.20.9 Maka adalah menjadi tanggungjawab UMNO Pusat melalui Setiausahanya untuk membekalkan sebanyak mungkin buku perlembagaan ke negeri-negeri untuk diedarkan ke bahagian-bahagian dan seterusnya bahagian-bahagian pula akan mengagihkannya kepada cawangan-cawangan.
5.20.10 Sehingga hari ini setelah beberapa bulan UMNO Pengkalan Aur mengadakan pemilihannya, pihak kami tidak menerima walau sebuah buku perlembagaan pun. Malahan di bahagian pun tiada buku seumpama itu untuk diagihkan ke cawangan-cawangan. Saya sendiri merujuknya melalui internet dan buku perlembagaan milik seorang sahabat seperjuangan saya dalam UMNO.
5.21 Perlembagaan Parti Untuk Semua
5.21.1 Buku Perlembagaan tidak wajar dipandang sebagai dokumen sulit atau bahan mewah sehingga orang tertentu sahaja yang memilikinya. Buku perlembagaan UMNO patut dimiliki dan dibaca oleh setiap ahli UMNO yang sayangkan partinya. Buku Perlembagaan UMNO adalah untuk semua ahli UMNO bukan untuk ketua-ketuanya sahaja. Lebih ramai ahli yang memilikinya lebih bagus jika kita mahukan semua ahli bertindak mengikut lunas-lunas perlembagaan parti.
5.21.2 Meskipun begitu, bagaimana aktiviti di peringkat cawangan sepatutnya dijalankan tidak pula ditentukan secara khusus dan terperinci baik dalam perlembagaan UMNO mahupun dalam etika parti. Oleh itu adalah penting bagi ahli-ahli UMNO di cawangan, terutama AJKnya dan jawatankuasa bironya didedahkan dengan panduan atau tatacara mengendalikan pertubuhan UMNO cawangan, termasuk pendidikan mengenai perlembagaan dan etika parti.
5.22 Buku Panduan Mengurus Cawangan
5.22.1 UMNO Pengkalan Aur ingin mencadangkan malahan sedang mengusahakan sebuah buku Panduan Mengurus Cawangan. Panduan ini merupakan sebuah buku kecil bersaiz poket sama seperti buku perlembagaan UMNO yang menggariskan secara terperinci tentang program dan aktiviti yang boleh dibuat di peringkat cawangan yang dilaksanakan secara lebih bersepadu, kreatif dan inovatif agar tidak terlalu terkongkong dengan cara-cara lama.
6. Situasi Sebenar UMNO Cawangan, Ulasan Dan Cadangan
6.1 Kewangan
1. Jumlah tabungan yang kecil
2. Tiada buku akaun
3. Tidak kreatif/takut-takut mencari sumber kewangan
4. Terlalu terikat dengan memohon derma /sumbangan
5. Ketiadaan harta tak alih sebagai modal jangka panjang seperti bangunan
kedai, rumah sewa,hotel budget, kebun kelapa sawit dan sebagainya
6.1.1 Pandangan Umum Tentang Wang
6.1.1.1 Wang bukanlah segala-galanya dan wang juga bukan faktor utama yang membahagiakan keluarga. Itulah yang diberitahu kepada kita oleh pakar motivasi, ulamak dan kaunselor rumah tangga meskipun dalam diam-diam golongan ini dilihat lebih kebendaan daripada yang lain-lainnya. Namun tidak seorang pun yang dapat menafikan bahawa wang sangat penting dalam melancarkan kehidupan seharian termasuk mereka yang mendakwa melaksanakan tugasan secara ikhlas. Sesungguhnya kenderaan yang kita gunakan tidak akan bergerak hanya dengan dituangkan minyak ikhlas ke dalam tangkinya. Malahan perut kita tidak akan terisi hanya berbekalkan makanan dan minuman ikhlas.
6.1.2 Wang Penting Kepada Parti
6.1.2.1 Tidak ada seorang pun yang bebas daripada dikaitkan dengan faktor kewangan. Dalam pelaksanaan kerja-kerja ibadat seperti pelaksanaan zakat fitrah, kewajipan menutup aurat, menunaikan haji dan pelaksanaan ibadat korban pun kita memerlukan wang. Inikan pula yang menyangkut urusan fardhu kifayah bagi memastikan kelangsungan hayat umat, organisasi dan negara tentulah lebih-lebih lagi memerlukan sumber kewangan yang banyak.
6.1.2.2 Tidak banyak yang boleh dibuat oleh UMNO cawangan dengan kedudukan kewangan yang terlalu kecil ini. Jika kita ingin mengembalikan kegemilangan UMNO di peringkat akar umbi dan mengangkat akar umbi sebagai entiti utama parti, maka soal kewangan UMNO cawangan khususnya dan kegiatan UMNO cawangan umumnya patut diberi perhatian.
6.1.2.3 Bayangkan dengan jumlah wang yang tidak sampai RM250.00 bagaimana cawangan hendak menghulurkan bantuan segera kepada ahli-ahli UMNO cawangan yang berada dalam situasi cemas dan kritikal setelah ditimpa sesuatu musibah seperti kebakaran, kematian, kesakitan dan banjir.
6.1.2.4 Dalam menghadapi situasi kritikal seperti di atas, begitu juga pada setiap kali UMNO cawangan hendak menjalankan sesuatu aktiviti semacam menjadi suatu trend bagi mereka merayu derma dan sumbangan di sana-sani dan daripada orang itu dan orang ini.
6.1.2.5 Maknanya dalam suatu masa ada dua perkara yang terpaksa difikirkan dan dilakukan serentak. Pertama untuk menguruskan program atau aktiviti yang dirancang dan kedua, terkejar ke sana ke mari untuk mendapatkan wang bagi memastikan program yang dirancang tadi berjalan seperti dijadualkan.
6.1.2.6 Hasrat yang berkobar-kobar untuk mengadakan program yang melibatkan penyertaan ramai untuk kepentingan parti dan ahli bercampur baur dengan rasa was was dan curiga takut-takut sumber kewangan tidak diperolehi atau tidak mencukupi.
6.1.2.7 Memandangkan kedudukan yang begitulah banyak aktiviti yang dirancang tidak menjadi dan terpaksa dibatalkan begitu sahaja pada saat-saat akhir.
6.1.2.8 Sampai bilakah kita harus dibelenggu dengan masalah ini. Dan bilakah pula akan tiba saatnya di mana semua urusan menjadi lebih mudah dengan kedudukan kewangan cawangan yang lebih daripada sekadar mencukupi.
6.1.3 Mematuhi Tatacara Pengurusan Kewangan
6.1.3.1 Kita sedar bahawa apabila sesuatu itu melibatkan kewangan banyak prosedur yang wajib dipatuhi. Tatacara perbelanjaan, sistem akaun dan keluar masuk wang mesti dicermati agar tidak sampai berlaku kesilapan sekalipun kecil.
6.1.3.2 Kewangan selalu menjadi perkara yang paling sensitif dan punca kebanyakan pertikaian. Kewangan melibatkan angka dan amanah maka tidak salah jika Bendahari yang dilantik bersikap lebih berhati-hati, teliti dan cerewet. Bendahari mesti memastikan berlakunya kecacatan sifar pada pengurusan kewangan terutama pada penyata kewangan dan bahan cetak yang berkaitan kewangan sebelum diedarkan untuk bacaan ahli.
6.1.4 Membuka Akaun Di Bank
6..1.4.1 Menyedari betapa pentingnya pengurusan kewangan ini, maka UMNO Pengkalan Aur sesi 2008-2011 dengan rasa penuh tanggungjawab mengusahakan agar dibuka satu akaun di Bank Simpanan Nasional. Pembukaan akaun yang sedang diusahakan ini akan memadam semua desas desus tentang bagaimana kewangan sepatutnya diurus dan sejauh mana wang yang diterima dibelanjakan dengan mematuhi tatacara perbelanjaan.
6.1.4.2 Banyak faedahnya dengan adanya buku akaun ini. Ia merupakan satu dokumen rasmi yang legal yang dapat dijadikan pegangan oleh Bendahari sebagai bukti sahih tentang keluar masuk wang parti. Apabila wujud pertikaian dan keraguan yang diitimbulkan oleh mana-mana ahli tentang kewangan parti, maka Bendahri dengan penuh tenang dan yakin terus dapat menunjukkan buku akaun itu. Memang terdapat beberapa prosedur yang terpaksa dilalui untuk membuka akaun organisasi politik yang sedikit cerewet, tetapi setelah kita berjaya membukanya, banyak masalah yang berkaitan kewangan dapat diredakan.
6.1.5 Kursus Pengurusan Kewangan
6.1.5.1 Selain itu, UMNO Pengkalan Aur mencadangkan agar Bendahari cawangan didedahkan dengan pengetahuan tentang pengurusan kewangan termasuk tatacara penerimaan, perbelanjaan dan pengeluaran wang agar Bendahari berupaya memahami dan menjalankan urus tadbir kewangan parti secara yang sepatutnya.
6.1.5.2 UMNO Cawangan Pengkalan Aur merayu agar setiap pihak dalam UMNO, khususnya ahli Majlis Tertinggi UMNO bersikap lebih prihatin terhadap hal kewangan ini dan seterusnya bersungguh-sungguh membantu UMNO cawangan dalam pelaksanaan setiap kegiatan cawangan dan seterusnya memudahkan urusan pemberian dan penyaluran kewangan tanpa terlalu dikekang oleh prosedur yang ketat.
6.1.5.3 Sama ada sesuatu peruntukan itu disalurkan ke bahagian atau terus ke cawangan, itu bukanlah masalahnya, sebaliknya yang menjadi masalah ialah sama ada peruntukan itu akan mudah diperolehi sepertimana dipohon bagi memastikan kegiatan yang dirancang dan dijadualkan oleh cawangan dapat dijalankan dengan jayanya.
6.1.5.4 Sesungguhnya UMNO Cawangan Pengkalan Aur dalam melalui proses pembelajaran sepanjang hayatnya mengaku akan kekurangannya dan dalam usahanya untuk memartabatkan semula parti ia perlu banyak dibantu sehinggalah ia boleh berdikari, itu pun setelah ia mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh setelah memiliki perusahaan atau harta atau aset sendiri yang teguh untuk diurus.
6.2 Biro
1. Kebanyakan biro hanya sekadar wujud
2. Pengerusi dan AJK Biro Biro tidak tahu fungsi/bidang tugas masing-masing
3. Pengerusi dan AJK Biro tidak tahu bagaimana menggerakkan dan merancakkan biro-biro
4. Tiada garis panduan menjalankan fungsi biro
5. Berlakunya pertindihan program/aktiviti
6. Tidak kreatif/takut-takut menjalankan fungsi biro
7. Bidang tugasan biro terlalu luas/terlalu sempit/kabur
6.2.1 Perlembagaan Bersifat Umum
6.2.1.1 Memandangkan perlembagaan UMNO tidak menetapkan cara-cara parti di peringkat cawangan patut dijalankan maka adalah wajar bagi setiap AJK bermula dari Ketua Cawangan sehinggalah kepada AJK berfikir lebih kreatif dan berfikir di luar kotak untuk menggerakkan cawangan dan seterusnya memacunya agar berkembang maju seiring dengan keperluan semasa tanpa disekat oleh dinding kepompong yang sempit lagi mengongkong.
6.2.1.2 Ini termasuklah dalam penubuhan biro-biro, jumlah biro yang patut wujud, bidang kuasa biro dan limitasi yang dibenarkan serta bagaimana cara-cara wang tabungan parti boleh ditambah, diurus dan dikembalikan kepada yang berhak dengan cara yang berkesan.
6.2.3 Realiti Biro Hari Ini
6.2.3.1 Apa yang terjadi saya perhatikan biro-biro yang wujud tidak memadai dan dilakukan ala kadar sahaja. Maka kesannya biro tidak dapat digerakkan dengan baik dan tidak dilihat sebagai penting serta berupaya untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti cawangan.
6.2.3.2 Bagi saya jika kita ingin mengukur keaktifan parti di peringkat cawangan kita hendaklah melihat kepada aktiviti-aktiviti cawangan yang dilaksanakan oleh biro-biro dalam parti selain sayap-sayapnya. Jika biro aktif maka itu sebagai petunjuk yang cawangan itu aktif.
6.2.3.3 Sebaliknya yang berlaku, aktiviti UMNO cawangan lebih banyak ditentukan atau dicorakkan oleh Ketua Cawangan dengan dibantu oleh Setiausahanya. Maknanya perjalanan sesebuah cawangan itu dan corak gaya aktiviti yang dijalankan banyak bergantung kepada kemampuan pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.
6.2.3.4 Biasanya ahli-ahli mengambil jalan selamat dan selesa dengan akur sahaja dengan apa yang sedang berlaku walaupun menyedari masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki bagi mengelakkan diri mereka diberikan komitmen yang tinggi oleh pimpinan parti.
6.2.3.5 Keadaan yang demikian mempunyai implikasi yang tidak sedikit kepada perjalanan parti di peringkat cawangan. Oleh kerana parti terlalu bergantung kepada kemampuan dan kebolehan Ketua Cawangannya dengan bantuan Setiausahanya, maka bertuahlah bagi cawangan yang mempunyai Ketua Cawangan dan Setiausaha yang kreatif, proaktif dan dinamik.
6.2.3.6 Tetapi bagaimana dengan cawangan-cawangan yang kedudukannya tidak bernasib baik seperti itu. Adakah cawangan akan dibiarkan berterusan tidak aktif lalu jadi seperti perumpamaan hidup segan mati tak mahu.
6.2.4 UMNO Perlu Diurus Sebagai Organisasi
6.2.4.1 Walaupun cawangan tetap bergerak dengan hadirnya seorang dua AJK yang aktif seperti yang dinyatakan di atas tadi, namun ini bukan cara yang diharapkan dalam pengurusan organisasi yang sebenar. Parti adalah milik ahli-ahlinya, bukan milik seorang dua sahaja.
6.2.4.2 Begitu juga parti adalah sebuah organisasi yang mempunyai jawatankuasanya, maka jika seorang dua sahaja dalam parti itu yang menunjukkan komitmen yang tinggi serta mengambil tanggungjawab menggerakkan parti sedangkan yang lain-lainnya bertindak sebagai penumpang sahaja, ini bermakna matlamat berorganisasi tidak tercapai.
6.2.4.3 Jangan terlalu gembira dengan sebuah organisasi yang didakwa sebagai aktif, sedangkan realitinya organisasi tersebut hanya memenatkan dua tiga orang AJKnya sahaja.Jika ini realitinya, itulah petanda kegagalan parti. Sebagai sebuah organisasi, apa yang sewajarnya kelihatan dalam pelaksanaan kerja-kerja berparti ialah aspek pengagihan tugas, penurunan kuasa dan jalinan kerjasama antara ahli.
6.2.5 Peranan Ketua Dan Setiausaha Dalam organisasi
6.2.5.1 Ketua dalam sesebuah organisasi hanya memudahcarakan sesuatu yang dilakukan di cawangan. Ia memimpin, mengagih-agihkan tugas, memotivasikan, membimbing dan menunjuk cara selain melakukan pemantauan atau kawal selia. Sebaliknya seluruh AJK dalam cawangan itu serta biro-biro yang diwujudkan bersama dengan ahli-ahli parti itulah sebenarnya pemain-pemain utama parti.
6.2.5.2 Maka apabila kita menyebutkan tentang kepimpinan parti di peringkat cawangan, maksud kita ialah kepimpinan yang ada pada semua AJK dan biro-biro serta ahli-ahli di cawangan itu. Lebih ramai ahli yang boleh bekerja untuk parti, sebenarnya lebih baik untuk parti. Itulah yang sepatutnya berlaku jika kita mahu kepimpinan UMNO cawangan tidak terputus atau mati di tengah jalan.
6.2.5.3 Jika sesuatu masalah melanda organisasi tanpa mengira jenis organisasi tersebut, biasanya ketua akan dirujuk dan beliau bersama ahli-ahli dalam organisasi itu akan duduk berbincang sehingga suatu keputusan dapat diambil. Namun dalam situasi kritikal atau kecemasan di mana keputusan mesti diambil dengan kadar segera, hanya keputusan ketua yang diharapkan. Di sinilah kemampuan seseorang ketua itu benar-benar teruji. Sekiranya keputusan yang beliau ambil itu membuahkan hasil yang positif, nama beliau akan dijulang tinggi. Sebaliknya jika kesan daripada keputusan yang diambil itu adalah sebaliknya, nama beliau akan disebut-sebut juga tetapi dalam nada yang negatif.
6.2.5.4 Memandangkan seseorang ketua tidak dapat dipisahkan daripada pembuatan keputusan, adalah dicadangkan di sini ketua dan AJK tertinggi cawangan didedahkan dengan latihan kepimpinan yang turut memasukkan komponen kemahiran membuat keputusan (make decision) dan kemahiran menyelesaikan masalah ( problem solving ) dalam latihan itu.
6..2.5.5 Jawatan Setiausaha UMNO Cawangan sedikit berbeza dengan setiausaha-setiausaha yang lain. SU cawangan dilantik oleh Ketua Cawangan sendiri, bukannya dipilih dalam mesyuarat pemilihan UMNO. Atas kedudukannya yang begitu, SU Cawangan bukan sahaja berkhidmat untuk parti, tetapi turut berkhidmat untuk ketuanya. Kesediaannya menerima pelawaan ketua untuk menjadi Setiausaha bererti kesediaan dirinya untuk bersetia dan berusaha kepada Ketua yang mengangkatnya, selain kepada parti.
6.2.6 Di Sebalik Pewujudan Biro
6.2.6.1 Biro-biro sebenarnya adalah wadah paling berkesan untuk melatih kepimpinan pelapis atau kepimpinan muda bagi menerajui parti di pelbagai peringkat dan sayap pada masa akan datang.
6.2.6.2 Generasi muda di kalangan AJK Cawangan boleh dilantik sebagai ketua atau pengerusi bagi setiap biro dan dari situlah mereka dilatih untuk mengurus tadbir sebuah segmen paling kecil dalam organisasi UMNO itu sendiri yang disebut sebagai biro.
6.2.6.3 Jika tidak ada dalam organisasi UMNO Cawangan itu golongan muda yang dilantik sebagai AJK, di situ sudah ada kerugian dalam organisasi tersebut untuk jangka panjang. Sebab itu adalah penting dalam setiap pemilihan di peringkat cawangan ahli-ahli turut memilih beberapa orang muda untuk duduk sebagai AJK Cawangan. Jika ini tidak berlaku, Ketua Cawangan dengan kuasa yang ada padanya untuk menggunakan budi bicaranya melantik golongan muda untuk duduk sebagai AJK tambahan. Melalui cara itu sahaja perkara 6.2.6.2 di atas akan terlaksana.
6.2.6.4 Melalui biro, kepimpinan tertinggi parti di peringkat cawangan memberi peluang kepada golongan muda untuk menyerlahkan bakat kepimpinan yang ada dan pada masa yang sama kemampuan mereka boleh dinilai. Jika ini berjaya dilakukan sebenarnya kita telah memperbanyakkan dan menyemarakkan bakat-bakat kepimpinan baru. Ini suatu perkembangan yang sihat bagi kelangsungan organisasi.
6.2.6.5 Biro-biro tidak boleh dibiarkan bergerak sendirian tanpa sebarang arahan, panduan, dan sokongan daripada pimpinan parti. Mereka yang bertanggungjawab memimpin dan menguruskan biro wajar diberi tunjuk ajar tentang bagaimana menggerakkan sesebuah biro.
6.2.6.6 Sayugia diingat, biro-biro dibentuk bukan sekadar untuk menampakkan kewujudannya, tetapi lebih dari itu AJK biro wajar didedahkan tentang fungsi biro dan bagaimana biro harus dikendalikan.
6.2.6.7 Jangan sama sekali bersikap lepas tangan dengan membiarkan AJK Biro bergerak tanpa kawalan dengan mengandaikan mereka sepatutnya tahu apa yang perlu dibuat. Andaian seperti ini jika wujud, ternyata suatu kesilapan yang kesannya bukan sedikit. Akhirnya dari sini kita akan melihat pembaziran dan ketidakcekapan berlaku. Biro wujud dan jawatannya juga wujud tetapi biro itu sendiri tidak pernah bergerak dan digerakkan seperti perumpamaan hidup segan mati tak mahu.
6.2.6.8 Kesilapan kebanyakan kita ialah mengandaikan semua orang patut tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan. Lebih buruk lagi jika kita percaya yang orang lain patut tahu apa yang kita tahu. Petikan ini bukan sahaja dimaksudkan kepada biro-biro tetapi juga kepada banyak perkara yang kita kendalikan dalam hidup ini.
6.2.6.9 Persoalannya, bagaimana mereka akan tahu jika mereka sendiri belum pernah didedahkan dengan aspek-aspek kepimpinan dan pengurusan organisasi politik seperti UMNO ini. Dan jika sudah ada pun adakah pengetahuan yang sedia ada pada kita yang orang lain patut tahu itu masih relevan untuk dikongsikan sedangkan pengetahuan itu kita timba dari sumber yang berlainan dan untuk organisasi yang juga berbeza. Sebenarnya kita semua patut tahu tentang ilmu-ilmu kepemimpinan organisasi terkini sejajar dengan perubahan dan keperluan masa kini.
6.2.7 Apakah Ukuran Aktif?
6.2.7.1 Apabila kita mengatakan bahawa sesebuah cawangan itu aktif, apakah pertimbangan yang kita gunakan untuk berkata demikian? Adakah kerana Ketua Cawangannya aktif, atau kerana Setiausahanya rajin bekerja, atau kerana Bendaharinya tegas dan rajin memohon derma lalu kita mendakwa yang cawangan itu aktif?
6.2.7.2 Bagi UMNO Pengkalan Aur aktifnya sesebuah cawangan parti merujuk kepada aktifnya biro-biro dalam cawangan itu. Mengapa tidak ditonjolkan Pengerusi Biro dan Jawatankuasanya untuk menggerakkan aktiviti-ktiviti dalam parti kerana dengan cara ini kita memberikan mereka peluang, ruang dan kesempatan untuk berkarya dan menonjolkan bakat kepimpinan yang mereka miliki. Tentu mereka rasa lebih gembira kerana kita bukan sekadar memberikan mereka peranan tetapi turut mempercayai dan memperaku kemampuan mereka.
6.3 Keahlian UMNO
1. Tidak kreatif/takut-takut mencari ahli baru
2. Tidak agresif dalam mendaftarkan ahli baru
3. Perlukan satu modul pendaftaran ahli baru yang berkesan: cepat dan tepat.
6.3.1 Kegiatan Mendaftarkan Keahlian Baru Sebagai Keutamaan 6.3.1.1 UMNO Pengkalan Aur tidak boleh mengabaikan hal yang satu ini. Bagi UMNO Pusat, Negeri dan Bahagian saya berkeyakinan mereka akan meletakkan ini sebagai indikator utama dalam menentukan kejayaan sesebuah cawangan.
6.3.1.2 Kita boleh melakukan apa sahaja untuk mengaktifkan parti tetapi jangan lupa yang satu ini. Ini merupakan indikator yang boleh dibuktikan serta memberi kesan yang bukan sedikit kepada parti. Malah adalah mudah untuk kita mencari cawangan yang aktif berdasarkan jumlah keahlian baru. Bolehkah kita mendakwa bahawa cawangan UMNO yang mempunyai ramai ahli baru ini tidak melaksanakan kerja?
6.3.2 Strategi Menambah Keahlian
6.3.2.1 Gerak kerja untuk menambahkan keahlian khususnya di kalangan mereka yang telah mencapai usia 18 tahun patut diberi prioriti dalam jadual kerja tahunan UMNO Pengkalan Aur dengan menjalankan modus operandi yang lebih kemas melalui pendekatan yang lebih bersepadu dan lebih agresif.
6.3.2.2 Saya yakin di luar sana masih ramai yang belum menjadi ahli UMNO tetapi akan bersedia menjadi ahli organisasi ini sekiranya ada yang mempelawa dan mendorong mereka.
6.3.2.3 Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang menemui kita untuk mendaftar sebagai ahli, sebaliknya kitalah yang datang kepada mereka dengan membawa bersama-sama kita borang keahlian UMNO ke mana-mana sahaja kita pergi.
6.3.2.4 Borang percuma yang terdapat di Pejabat UMNO Bahagian patut dimanfaatkan untuk tujuan ini. Dan tugas mencari ahli UMNO bukan tugas Ketua Cawangan atau tugas Setiausaha UMNO semata-mata, sebaliknya menjadi tugas semua.
6.3.2.5 Sebab itulah dalam mesyuarat jawatankuasa cawangan kali kedua tempoh hari saya telah mengagihkan borang-borang keahlian UMNO kepada semua AJK yang hadir sebagai suatu isyarat kepada mereka bahawa tugas mencari dan mendaftarkan ahli UMNO ini bukan sahaja menjadi tugas Pengerusi, Bendahari atau Setiausaha cawangan sahaja.
6.3.2.6 Semua AJK mesti peka dan bersungguh-sungguh untuk mendaftarkan keahlian baru UMNO. Kalau perlu mereka boleh membantu mengisi borang keahlian dengan meminta pemohon menyediakan sesalinan kad pengenalan serta wang pendaftaran sebanyak RM2.00
6.3.2.7 Malahan meja pendaftaran UMNO perlu dibuka dalam apa jua fungsi dan aktiviti di semua peringkat dan sayap UMNO. Tugas ini memerlukan komitmen, kesabaran dan ketahanan emosi yang tinggi, maklumlah bukan mudah untuk menentukan pendirian seseorang terhadap parti.
6.3.2.8 Sebab itu adalah mudah ini dilakukan jika UMNO Pengkalan Aur memiliki Rumah UMNO yang turut menjadi pusat khidmat masyarakat yang antara lain menjalankan aktiviti pendaftaran ahli baru.
6.4 Yuran
1. Bahagian atau pusat lambat mengeluarkan resit
2. Tiada kutipan dapat dibuat sehingga resit rasmi diterima
6.4.1 Pentingnya Resit Rasmi
6.4.1.1 Walaupun dalam mesyuarat UMNO cawangan Pengerusi telah menegaskan beberapa kali agar surat kutipan yuran keahlian diedarkan kepada setiap ahli, namun sehingga kini belum ada keberanian untuk berbuat demikian.
6.4.1.2 Sudah acap kali saya ke Pejabat UMNO Bahagian namun pihak bahagian menasihati saya agar tidak berbuat demikian memandangkan resit rasmi penerimaan wang untuk tujuan memperbaharui keahlian masih belum diterima daripada UMNO pusat.
6.4.1.3 Memandangkan kewangan adalah masalah yang paling rumit dan seringkali menjadi bahan pertikaian umum, dan sumber fitnah utama, saya mengambil keputusan untuk tidak menghantar sebarang surat arahan pungutan yuran keahlian, apatah lagi melakukan pungutan yuran selagi saya belum menerima resit rasmi daripada bahagian.
6.4.1.4 Tindakan tidak memungut yuran seperti nasihat bahagian adalah betul jika ketika pungutan dibuat resit rasmi penerimaan wang tidak dapat diserahkan. Keadaan ini sama seperti arahan kepada pihak sekolah agar mengeluarkan resit ketika pungutan yuran (bayaran tambahan) dibuat.
6.4.1.5 Inilah satu bentuk penambahbaikan yang patut dipatuhi oleh ahli walaupun dalam perlembagaan UMNO soal resit ini tidak disebutkan secara jelas.
6.4.1.6 Saya tidak pasti mengapa pada kali ini resit tersebut lambat diserahkan kepada Bahagian. Mungkinkah ini disebabkan oleh pelan peralihan kuasa hanya berlaku pada bulan Mac tahun hadapan?
6.5 Rumah UMNO
1. Tiada pusat kegiatan /pusat sehenti bagi sebarang mesyuarat dan kegiatan UMNO
2. Perlu ada sebuah Rumah UMNO
3. Tiada profile ahli UMNO
4. Kalau ada pun di mana hendak ditempatkan?
5. Tidak menjadikan kertas kerja, manual kerja dan carta aliran sebagai keutamaan
6.5.1 Rasional Rumah UMNO
6.5.1.1 Pusat kegiatan atau premis milik UMNO adalah satu keperluan mendesak bagi ahli-ahli UMNO di kawasan ini. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pusat kegiatan, malahan menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan dan kekuatan parti utama bagi orang Melayu di cawangan ini.
6.5.1.2 Kewujudannya kelak membuktikan hasil kerja keras ahli parti cawangan ini untuk memiliki bangunan sendiri sudah tercapai. Selepas lebih 50 tahun memerintah negara ini UMNO akhirnya mampu memiliki harta/bangunan/aset sendiri.
6.5.1.3 Ia juga bakal membakar semangat ahli-ahli UMNO di cawangan ini serta dijadikan sumber pendorong ke arah berdaya maju dan berdaya saing pada masa akan datang.
6.5.1.4 Adalah amat malang jika parti UMNO yang telah berusia lebih 50 tahun dan merupakan parti yang memerintah negara ini bersama-sama komponen BN yang lain tidak mampu memiliki bangunannya sendiri di cawangan-cawangan.
6.5.1.5 Kalau selama ini pusat kegiatan bertumpu di rumah Ketua Cawangan atau Setiausaha, maka sudah sampai masanya keadaan seperti ini dihindari sedapat mungkin kerana ia menyangkut soal imej, maruah dan tafsiran orang ramai terhadap kemampuan parti UMNO.
6.5.1.6 UMNO patut menjadi contoh bukan sahaja dari segi kepimpinan yang ada pada setiap AJKnya, tetapi termasuk juga dalam aspek pemilikan harta parti dan bagaimana harta organisasi itu diurus tadbir dengan sempurna dan dijadikan platform ke arah pembentukan sebuah organisasi yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
6.5.1.7 Sudah sewajarnya UMNO Pengkalan Aur mempunyai bangunan miliknya sendiri yang berupa sebuah rumah yang dibeli yang wujud di tengah-tengah rumah masyarakat setempat yang saya cadangkan namanya sebagai Rumah UMNO.
6.5.1.8 Kertas kerja berkaitan telah pun lama disiapkan dan telah/akan diedarkan kepada pihak tertentu. Rumah kos rendah atau sederhana rendah yang dibeli kelak akan diubah suai semula sehingga ia berfungsi sebagai sebuah Rumah UMNO yang lengkap yang menjadi nadi penggerak kepada kegiatan UMNO di kawasan ini.
6.5.2 Mengapa Parti Gerakan Boleh?
6.5.2.1 Kita sepatutnya mengambil pengajaran daripada parti Gerakan di kawasan ini. Walau pun hanya sepenggal calon daripada parti ini menjadi wakil rakyat di kawasan Bukit Gantang, namun parti ini telah meninggalkan sebuah mercu tanda di kawasan ini iaitu sebuah Wisma Gerakan yang tersergam indah dalam kawasan yang sangat hampir dengan cawangan Pengkalan Aur.
6.5.2.2 Kalau ada yang masih merasa biasa sahaja tentang perkembangan ini atau tidak sedikit pun berasa terpukul dengan kewujudan bangunan ini meskipun setiap hari mereka dapat melihatnya dari jarak dekat, tidak tahulah apa yang akan kita katakan kepada mereka jenis ini.
6.5.2.3 Wisma Gerakan itu merupakan sebuah bangunan yang agak besar dan mahal harganya yang memang wajar dibangunkan untuk bahagian.Jika kita mampu untuk membina bangunan sebesar itu di cawangan kita apa salahnya.
6.5.2.4 Namun sesuai dengan saiz cawangan, UMNO Pengkalan Aur cuma mencadangkan sebuah rumah, atau lebih tepat lagi Rumah UMNO, bukan sebuah wisma, bukan juga sebuah rumah banglo atau rumah mewah, tetapi sebuah rumah kos rendah yang dibeli kemudian diubah suai sebagai pejabat atau bilik gerakan UMNO cawangan.
6.5.2.5 Mungkin ada yang berkata parti Gerakan mempunyai wang yang banyak, sebab itu mereka boleh membina bangunan sebesar dan setinggi itu. Mengapa? Sampai bilakah kita hendak menggunakan alasan seperti ini setiap kali kita gagal memberi bantuan kepada cawangan yang memohon. Dhaif sangatkah parti yang bernama UMNO yang dikatakan menjadi tunjang kepada parti-parti lain? Dhaif sangatkah parti UMNO sehingga masalah kewangan ini sahaja yang ditimbulkan setiap kali kita ingin membangunkan sesuatu yang berkaitan dengan kepentingan kita sendiri yang akhirnya akan menjadi milik parti juga?
6.5.3 Kesungguhan dan Kemahuan Membara
6.5.3.1 Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Jika kita bersungguh-sungguh untuk mengadakan sebuah bangunan yang kita namakan Wisma UMNO (kalau di peringkat Bahagian ) dan Rumah UMNO (Cawangan Pengkalan Aur) maka emosi dan jasmani akan kita gemblengkan untuk tujuan itu.
6.5.3.2 Sekali lagi saya ingin mengulangi, kalau di peringkat bahagian kita perlukan sebuah bangunan yang kita namakan Wisma UMNO, UMNO Cawangan Pengkalan Aur memerlukan sebuah rumah, ya hanya sebuah rumah yang akhrinya akan dilengkapi dengan bilik-bilik khas dan pelbagai kemudahan asas yang berfungsi sebagai pusat kegiatan sehenti bagi seluruh sayap UMNO di cawangan ini.Itulah yang kita namakan Rumah UMNO.
6.5.4 Mengapa Rumah? Kenapa rumah UMNO?
6.5.4.1 Bagi UMNO Pengkalan Aur kita berkeyakinan penuh bahawa Rumah UMNO ini adalah alternatif yang paling tepat buat masa ini. Malahan panggilan “rumah” dan frasa Rumah UMNO yang menjadi pilihan kami ini dirasakan sangat serasi dengan telinga dan mesra rakyat.
6.5.4.2 Rumah UMNO hasil cetusan idea Setiausaha UMNO Pengkalan Aur ini akhirnya nanti akan menjadi kenyataan malahan diharapkan dapat diwujudkan di semua cawangan UMNO yang ada di seluruh negara.
6.5.4.3 Dengan kefahaman yang tinggi terhadap niat murni pewujudan Rumah UMNO ini oleh semua pihak, termasuk ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri-menteri UMNO adalah diyakini Rumah UMNO yang dirintis oleh UMNO Pengkalan Aur akan menjadi kenyataan, insya-Allah.
6. 6 Kegiatan/Aktiviti
1. Terlalu bergantung kepada derma/sumbangan
2. Terhad kepada aktiviti ulangan/mudah/biasa
3. Tidak kreatif dalam menjalankan kegiatan
4. Kebanyakan aktiviti menumpang aktiviti surau/masjid/NGO
5. Tidak mahu berganjak daripada zon selesa
6.6.1 Aktiviti Sendiri Bukan Aktiviti Menumpang 6.6.1.1 Ahli-ahli UMNO mengharapkan Jawatankuasa yang dipilih berkeupayaan mengangkat nama baik parti dengan melaksanakan pelbagai program atas nama parti. Mereka tidak mahu melihat yang UMNO terpaksa menumpang program orang lain, apatah lagi jika tiada sebarang program.
6.6.1.2 Saya sebut program menumpang kerana saya khuatir tentang kemungkinan adanya kecenderungan begini di cawangan tertentu, terutama cawangan yang mendapat ketua yang tidak kreatif dan lebih gemar mengambil jalan mudah. Mereka yang seperti ini lebih selesa “menumpang” atau memenuhi undangan pihak lain.
6.6.1.3 Menumpang program badan-badan lain dan memenuhi undangan orang lain bukan tidak boleh, tetapi biarlah serentak dengan itu kita sendiri melaksanakan aktiviti-aktiviti kita sendiri atas nama UMNO Cawangan mahu pun Bahagian.
6.6.1.4 Jika kita menghadapi masalah untuk menganjurkan program atau aktiviti kita sendiri atas kekangan yang tidak dapat dielakkan, kita sewajarnya menggantikannya dengan program atau aktiviti bersama.
6.6.2 Beza Program Menumpang dengan Program Bersama 6.6.2.1 Program bersama berbeza dengan aktiviti menumpang (lebih buruk lagi jika disebut menempel) kerana aktiviti bersama memberi pengiktirafan sama adil kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program itu.
6.6.2.2 Dalam penganjuran Program Bersama nama-nama organisasi yang terlibat diangkat serentak, bukan seperti aktiviti menumpang yang acap kali berlaku nama organisasi yang menumpang itu tidak disebut sama sekali dan kalau disebut pun bukan dalam senarai keutamaan.
6.6.2.3 Dalam Program Bersama, Pengerusi kedua-dua penganjur yang terlibat akan ditulis Pengerusi Bersama. Begitu juga jawatankuasa yang terlibat meliputi kedua-dua pihak yang terbabit.
6.6.2.4 Begitu juga soal perbelanjaan, kelengkapan dan sebagainya biasanya dikongsi dan diurus bersama dari awal hingga akhir. Sedangkan dalam aktiviti menumpang kita hanya pergi atau diundang sebagai tetamu biasa atau tukang sorak sahaja. Kalau tenaga kita diminta pun itu hanya sebagai sampingan sahaja.
6.7 Buku Catatan/Fail
1. Tidak wujud budaya mencatat
2. Penyimpanan dokumen dan sistem fail yang tidak sistematik
3. Tidak membawa buku catatan dan pen semasa mesyuarat
4. Tidak membuat catatan atau sekadar mencatat di atas sehelai kertas
5. Gagal mengambil bahagian yang aktif dalam mesyuarat
6. Tidak tahu apa yang patut dicadangkan
6.7.1 AJK UMNO mesti diingatkan sentiasa tentang perkara-perkara di atas setiap kali sebelum bermesyuarat. Mereka yang dilantik sebenarnya memikul amanah ahli dan parti. Mereka mewakili ahli-ahli parti cawangan. Sebab itu mereka mesti memberikan komitmen yang tinggi kepada parti seperti menjadi peserta yang aktif dalam mesyuarat, memberikan tumpuan kepada perjalanan mesyuarat, berupaya memberikan pandangan yang bernas kepada ahli mesyuarat, membuat catatan dan melaksanakan tindakan seperti yang diputuskan dalam mesyuarat.
6.7.2 Setiausaha mestilah menyediakan fail kepada setiap AJK agar semua bahan, surat, minit mesyuarat, kerja dan edaran dapat dimasukkan ke dalam fail tersebut.
6.7.3 Selain mengingatkan AJK tentang peraturan mesyuarat, Pengerusi hendaklah sentiasa mengingatkan AJK agar membawa fail yang lengkap dengan bahan setiap kali bermesyuarat.
6.7.4 Setiausaha hendaklah mengusahakan buku catatan rasmi untuk diedarkan kepada AJK bagi memudahkan mereka membuat catatan tentang sebarang keputusan yang diambil dalam setiap kali mesyuarat dan perjumpaan.
6.7.5 Sebelum buku catatan rasmi dapat diadakan, Setiausaha hendaklah mengingatkan atau memastikan AJK membawa buku catatan dan alat tulis setiap kali menghadiri mesyuarat atau pertemuan.
6.7.6 Malahan Setiausaha wajar menyediakan senarai semak tentang bahan-bahan yang telah diedarkan kepada AJK. Senarai semak itu wajar dilekatkan di bahagian depan di sebelah dalam fail agar dipastikan semua AJK telah memiliki bahan yang sepatutnya mereka terima.
6.8 Bahan/Peralatan Asas
1. Ketiadaan Cop Rasmi organisasi (cop bulat)
2. Tiada Sijil Pendaftaran/No pendaftaran Pertubuhan
3. Tiada letter head rasmi dan standard kecuali yang dibuat sendiri
4. Tiada komputer atas nama parti UMNO 5. Tiada mesin cetak atas nama parti UMNO
6.8.1 Apa yang perlu ada pada seorang Setiausaha?
6.8.1.1 Adalah penting bagi Setiausaha Cawangan dibekalkan dengan kemudahan komputer dan pencetak bukannya bergantung kepada komputer milik peribadi atau terlalu bergantung kepada pertolongan yang diberikan oleh UMNO Bahagian.
6.8.1.2 Saya tidak tahu adakah sebelum ini Setiausaha UMNO di seluruh cawangan dibekalkan dengan kemudahan komputer dan printer. Tetapi yang jelas sehingga kini Setiausaha UMNO cawangan Pengkalan Aur masih menggunakan komputer dan printernya sendiri.
6.8.1.3 Komputer dan printer adalah peralatan asas yang menjadi keperluan bagi seseorang Setiausaha kerana hampir keseluruhan masa Setiausaha dihabiskan di hadapan komputer untuk melaksanakan kerja-kerja penulisan dan perkeranian.
6.8.1.4 Kemudahan komputer dan printer bagi seseorang Setiausaha tidak boleh lagi dianggap barangan mewah dan membazir. Malahan bukan sekadar komputer dan printer, Setiausaha patut dibekalkan dengan kemudahan mesin fax dan telefon bimbit agar ia dapat menjalankan fungsinya dengan lancar dan tidak mencampur adukkan urusan peribadi dengan urusan parti.
6.8.2 Strategi Bagi Mendapatkannya
6.8.2.1 Bagi merealisasikan hasrat ini serta melancarkan kerja-kerja parti di peringkat cawangan, UMNO Pengkalan Aur atas nama Setiausahanya akan membuat permohonan rasmi kepada Ketua Bahagian UMNO Bukit Gantang bagi mendapatkan sekurang-kurangnya dua unit komputer dan dua unit printer. Satu unit untuk Setiausaha Cawangan dan satu unit lagi untuk Ketua Cawangan. Sekali lagi di sini keperluan kepada sebuah Rumah UMNO semakin mendesak bagi menempatkan semua peralatan ini.
6.8.3 Perlu Letter Head Yang Standard
6.8.3.1 Setiap kali surat rasmi hendak dicetak/ diedarkan kita akan menghadapi masalah sebegini. Kita tidak memiliki letter head sendiri atas nama UMNO Cawangan Pengkalan Aur.
6.8.3.2 Disebabkan itu kita terpaksa mencetak sendiri logo UMNO yang dibekalkan kepada kita oleh Bahagian, maka apa yang berlaku ialah logo yang dicetak itu tidak sama antara satu cawangan dengan cawangan yang lain sedangkan kita daripada parti yang sama, iaitu UMNO.
6.8.3.3 Perbezaan ini berlaku bukan sahaja antara cawangan, malahan antara AJK dalam cawangan yang sama pun berlaku perbezaan. Ada logo yang dicetak lebih lebar, atau lebih kurus, atau lebih panjang dan sebagainya. Perbezaan ini mungkin juga berlaku disebabkan ada AJK yang mahu menunjukkan kreativiti mereka mengubah suai logo supaya kelihatan lebih cantik kononnya. Tetapi mereka terlupa logo mempunyai ukuran dan bentuk yang standard yang tidak boleh ditukar atau diubah suai mengikut sesuka hati kita.
6.8.3.4 Sungguhpun perkara ini dianggap kecil oleh sesetengah individu, namun bagi saya perkara ini penting untuk diberi perhatian sebab kita membawa imej dan simbol parti yang memerintah.
6.8.3.5 Sebagai langkah penyelesaian, UMNO Bahagian hendaklah membekalkan satu logo yang selaras untuk semua cawangan. Logo yang dibekalkan serta logo asal daripada UMNO Bahagian itu mestilah sama saiz, sama bentuk dan sama warnanya dengan logo UMNO yang dikeluarkan oleh pusat. Adalah penting Bahagian mengingatkan cawangan tentang ukuran standard logo tersebut.
6.8.3.6 Seperkara lagi yang boleh dilakukan ialah mencetak Letter Head UMNO Cawangan Pengkalan Aur dalam jumlah yang agak banyak dengan menggunakan percetakan di luar. Dengan cara itu kecacatan dalam logo hampir tidak akan berlaku. Tetapi cara ini memerlukan sedikit perbelanjaan yang akan diuruskan oleh Setiausaha Cawangan.
6.9 Pengkalan Data Penduduk dan Ahli UMNO Cawangan
1. Tiada profile penduduk setempat
2. Kesukaran mengesan lokasi tempat tinggal dan profil ahli apabila diperlukan
3. Tiada profile/data faqir miskin,anak yatim,janda & insan istimewa dikemaskini
4. Tiada profile keahlian yang lengkap 5. Profile penduduk Pengkalan Aur diperlukan untuk memudahkan pengesanan dan
penyaluran bantuan
6.9.1 Keperluan Kepada Pengkalan Data
6.9.1.1 Dalam jangka panjang UMNO Pengkalan Aur mesti mengambil langkah ke hadapan dengan membangunkan Pengkalan Datanya sendiri yang di dalamnya termuat maklumat yang lengkap yang sentiasa dikemaskini tentang penduduk setempat, ahli-ahli UMNO, golongan istimewa, fakir miskin, janda, dan sebagainya. Data yang wujud itu mestilah menyeluruh dan detail yang dikira berguna untuk mendapat maklumat yang lengkap dan terkini tentang profile jenis golongan yang disebutkan tadi yang boleh diakses dan dicetak dengan cepat pada bila-bila masa diperlukan.
6.9.1.2 Idea ini tercetus apabila saya sendiri gagal menjawab beberapa pertanyaan yang berkaitan dengan penduduk di sini. Begitu juga apabila pertanyaan dan pencarian saya tentang beberapa maklumat yang diperlukan mengenai penduduk di sini gagal dijawab oleh individu-individu yang berkenaan. Desakan ini bertambah kuat apabila betapa sulitnya situasi yang saya hadapi untuk mencari rumah golongan fakir miskin dan anak yatim di cawangan ini.
6.9.1.3 Sekarang kita hanya memiliki data keahlian UMNO sahaja itu pun yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha UMNO Malaysia. Data tentang golongan fakir miskin dan anak-anak yatim memang ada tetapi dikeluarkan secara berasingan oleh individu yang ada kaitan seperti amil dan AJK Masjid. Namun yang dimasudkan di sini ialah sebuah pengkalan data berpusat di mana semua data yang diguna pakai berpunca dari sumber yang satu ini yang tentu lebih besar kesahihannya.
6.9.1.4 Untuk membangunkan Pengkalan Data ini UMNO Cawangan Pengkalan Aur mesti memulakan langkahnya dari sekarang dengan mengenal pasti terlebih dahulu instrumen dan prasarana asas yang diperlukan untuk membangunkan program tersebut. Selain itu mesti dikenal pasti sumber dana, jawatankuasa program, tenaga pakar dan pihak ICT yang layak terlibat. Segala maklumat yang terkandung dalam Pengkalan Data ini boleh diakses melalui komputer yang dihubung terus melalui internet yang ditempatkan di Rumah UMNO yang dicadangkan itu.
6.9.1.5 Bagi memastikan semua maklumat dalam Pengkalan Data ini tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab adalah perlu petugas tertentu dilantik untuk menjaga amanah ini dan kepadanyalah kata laluan atau kata kunci diberikan.
6.10 Publisiti dan Promosi
1. Tiada Papan Tanda “UMNO Pengkalan Aur “
2. Tiada banner (kain rentang) bagi menonjolkan kegiatan UMNO
3. Tiada kibaran bendera UMNO dan BN di rumah ahli UMNO
4. Tiada edaran berkala
5. Tiada hebahan di media massa
6. Tiada portal/ laman web milik UMNO Pengkalan Aur
6.10.1 Sejak kekalahan BN dan UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu hal-hal sebegini nampaknya tidak diberi perhatian seolah-olah semangat ahli UMNO untuk menampilkan dan menyerlahkan simbol atau identiti parti milik mereka sendiri mulai luntur.
6.10.2 Lambang-lambang seperti bendera UMNO dan BN tidak lagi berkibar megah di kawasan ini seperti di rumah-rumah, dan sebagainya. Ini termasuklah papan tanda di muara-muara jalan yang menunjukkan parti UMNO itu masih wujud nampaknya mulai tidak diberi perhatian.
6.10.3 Ketika pihak lawan menyerlahkan kehadiran mereka melalui simbol, lambang dan bendera kita pula seolah-olah bersembunyi dalam kelongsong kita sendiri. Sepatutnya kita lebih agresif dalam menghadapi situasi seperti ini.
6.10.4 Publisiti bukan sekadar merujuk kepada slogan, bendera, logo atau kempen yang diketengahkan dalam pelbagai bentuk media, papan tanda, kain rentang dan kertas edaran tetapi publisiti juga merujuk kepada sejauh manakah aktiviti yang dibuat diketahui secara merata oleh ahli UMNO dan orang ramai.
6.10.5 Dalam keadaan UMNO dilanda krisis keyakinan maka semua gerak kerja UMNO cawangan termasuk aktiviti Wanita, Pemuda dan Puteri patut diketahui oleh ramai orang, bukan sekadar AJK atau ahli-ahlinya sahaja. Lebih ramai yang tahu apa yang dibuat oleh parti itu adalah lebih baik. Itu pun salah satu indikator ketelusan dalam gerak kerja UMNO.
6.10.6 Ketika parti-parti lawan lebih agresif menjalankan pendaftaran keahlian baru, memasang kain rentang, bendera dan berceramah di sana sini, adalah tidak wajar kita sebagai ahli UMNO mengambil tindakan sebaliknya dengan menyembunyikan kepala kita ke dalam lubang-lubang yang dibuat sendiri sambil mendendangkan lagu duka nestapa. Kita tidak boleh berkelakuan seperti ini untuk sepanjang masa. Yang lepas biarlah menjadi sejarah yang berguna untuk dijadikan pengajaran namun yang ke hadapan itu lebih penting dan bakal menentukan hidup mati UMNO.
6.10.7 Sesungguhnya UMNO Cawangan Pengkalan Aur tidak kalah walaupun DUN Changkat Jering dan Parlimen Bukit Gantang telah jatuh ke tangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.
6.10.8 UMNO Cawangan Pengkalan Aur masih dilihat pendokong kuat parti UMNO dan BN kerana pengundi-pengundi di sini masih memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO (BN). Ini diterjemahkan melalui jumlah undi yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO cawangan ini kepada calon-calon Barisan Nasional yang bertanding dalam pilihan raya umum yang lalu.
6.10.9 Jadi tidak ada sebab yang ahli-ahli UMNO Cawangan Pengkalan Aur berasa rendah diri, sebaliknya mereka wajar berbangga dengan kesetiaan yang mereka tunjukkan kepada parti dan sumbangan yang telah mereka berikan kepada parti selama ini.
6.10.10 Kekurangan publisiti dan promosi parti mungkin juga didorong oleh faktor ketiadaan atau kekurangan aktiviti bersaiz makro dan mega sehingga mereka berasa ragu-ragu atau sedikit malu untuk mengetengahkan aktiviti yang kebanyakannya berbentuk mikro kepada masyarakat.
6.10.11 Untuk ini UMNO Cawangan Pengkalan Aur mencadangkan agar aktiviti yang melibatkan lebih ramai penyertaan daripada anggota masyarakat setempat diberi keutamaan. Aktiviti itu harus merata dan melibatkan seramai mungkin penduduk yang terdiri daripada pelbagai peringkat seperti kanak-kanak, remaja, wanita dan lelaki. Ini termasuklah sambutan Hari Keluarga, Sukan rakyat, Korban Perdana, Gotong Royong Agung, aktiviti-aktiviti kebajikan, pameran dan sebagainya.
6.10.12 Dalam aktiviti Hari Keluarga umpamanya, kita boleh masukkan pelbagai kegiatan seperti sukan rakyat (lelaki, wanita dan kanak-kanak), pertandingan melukis dan mewarna untk kanak-kanak dan murid sekolah, pertandingan menulis karangan bertemakan cinta akan Negara untuk pelajar sekolah menengah, forum perdana, charity, aktiviti jualan, penyerahan sumbangan, derma dan lain-lain. Maknanya Hari Keluarga itu berfungsi sebagai program induk, tetapi di dalamnya mengandungi pelbagai aktiviti yang boleh disertai oleh pelbagai peringkat masyarakat.
6.10.13 Dalam mengolah aktiviti-aktiviti ini agar kelihatan lebih menarik dan terkesan di hati masyarakat setempat, UMNO Pengkalan Aur mencadangkan tema-tema tertentu yang segar sifatnya dipilih dalam pelaksanaan sesuatu program. Antaranya seperti Semarak Kasih, Titian Kasih, Belaian Kasih, Tautan Kasih dan sebarang tema yang relevan.
6.10.14 Aktiviti-aktiviti di atas boleh diadakan di kawasan padang atau kawasan lapang di dalam cawangan ini sendiri supaya masyarakat setempat tahu tentang akan kewujudan parti kita dan aktiviti yang kita jalankan.
6.10.15 Agensi-agensi kerajaan seperti Bomba, Polis, Kastam, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Jabatan Hutan, Majlis Berkuasa Tempatan patut dilibatkan dalam kegiatan UMNO agar perkongsian pintar dapat dilakukan yang akhirnya faedah jangka panjang akan diperolehi oleh ahli parti. Malahan pendekatan seperti ini turut menjadi satu strategik berkesan untuk menarik lebih ramai penyertaan dan pengunjung dalam aktiviti anjuran UMNO.
6.10.16 Mungkin ada tanggapan yang menyatakan bahawa kita perlu ikhlas dalam melaksanakan kerja-kerja kita tanpa perlu menonjolkan apa yang kita buat kepada orang lain.
6.10.17 Pendapat di atas itu betul untuk kerja-kerja peribadi, tetapi untuk kerja-kerja parti, orang ramai, khususnya ahli-ahli UMNO sendiri memang ingin tahu apa yang telah dan sedang berlaku. Malahan mereka menunggu-nunggu program yang kita buat itu sama ada mereka akan dapat manfaat secara langsung atau pun tidak daripada aktiviti yang dianjurkan itu. Itulah satu kebahagiaan yang diharapkan oleh ahli-ahli UMNO yang tidak dapat digambarkan melalui kata-kata tetapi diterjemahkan melalui sokongan berterusan kepada parti.
6.10.18 Malahan ketika UMNO sedang menghadapi krisis keyakinan dengan beberapa tuduhan tidak berasas dilontar kepadanya seperti tidak telus, tidak aktif, lemah, sudah tidak relevan lagi, maka penonjolan aktiviti terutama aktiviti yang berskala makro dan mega bukan lagi menjadi suatu yang sekadar ada tetapi menjadi satu keperluan sebenarnya. Biar masyarakat tahu dan dapat menilai sendiri apa yang kita sedang lakukan untuik menaman semngat perpaduan dan kerjasama antara kita.
6.10.18 Laman Web / Portal Rasmi UMNO Pengkalan Aur
6.10.18.1 Publisiti terhadap setiap program dan aktiviti UMNO akan lebih menonjol jika sebuah laman web atau portal UMNO Cawangan Pengkalan Aur dapat dibangunkan. Kewujudan portal itu nanti akan menyebarluaskan lagi publisiti dan promosi terhadap aktiviti UMNO cawangan. Kita boleh sahaja menggunakan blog percuma seperti blogspot dan blog drive, namun untuk dilihat lebih profesional, cantik dan lebih banyak maklumat dan gambar boleh dimuat turun, UMNO Pengkalan Aur mencadangkan sebuah blog wordpress atau blog berbayar digunakan. Blog ini memerlukan kita mengeluarkan sedikit bayaran untuk nama domain, hosting dan server. Bayaran memperbaharuinya juga perlu dibuat pada setiap tahun. Jika kita mengambil kira faedah yang boleh didapati daripada kehadiran laman web ini, kita tidak akan terlalu berkira bangat untuk mengeluarkan sekitar RM100 ke 200 setahun untuk membayar semua ini.
6.10.18.2 Dengan adanya laman web milik sendiri, semua berita (spt berita perkahwinan ahli/anak ahli), pengumuman, ucapan, gambar, aktiviti dan apa-apa sahaja maklumat serta gambar dapat dimuat turun ke dalam blog mengikut kreativiti kita. Lebih menarik lagi semua maklumat yang dimuat turun itu boleh diubah suai, dikemaskini, dibetulkan malahan ditarik balik daripada ruang laman jika tidak diperlukan lagi atau sudah ketinggalan.
6.10.18.3 Semua ini boleh dilakukan dengan pantas sehingga selepas beberapa saat sahaja seluruh dunia sudah dapat mengaksesnya apatah lagi jika laman web kita menggunakan Bahasa Inggeris.
6.10.18.4 Bagi mengoptimumkan manfaat daripada kewujudan laman web tersebut, berita daripada UMNO Bahagian, Negeri dan Pusat akan turut dimasukkan. Lebih banyak link atau rangkaian yang bakal dimasukkan dalam web itu nanti akan lebih besarlah fungsi laman itu. Lebih ramailah pembacanya akan lebarlah jaungkauannya. Maka ketika itu kita boleh membuka laman web ini untuk tujuan pengiklanan dengan bayaran minimum dikenakan bagi menambahkan wang tabungan.
6.11 Program Ekonomi/Keusahawanan
6.11.1 Sehingga kertas ini ditulis (12.12.2008) Program ekonomi atau keusahawanan anjuran parti masih belum ada. Jika ada pun program ekonomi, itu adalah program individu dalam UMNO yang faedahnya hanya untuk diri dan keluarganya per se.
6.11.2 Tetapi kita tidak mahu menumpang kejayaan individu dalam UMNO lalu diangkat sebagai program UMNO Cawangan. Memang kita turut berbangga dengan pencapaian mereka di bawah Dasar Ekonomi Baru. Dan mereka sendiri patut berterima kasih kepada kerajaan yang telah banyak memberikan mereka peluang sehingga muncul sebagai usahawan/kontraktor/peniaga yang berjaya. Tetapi untuk kertas ini bukan itu yang dimaksudkan.
6.11.3 Yang patut kita wujudkan atau bangunkan ialah program ekonomi atas nama dan kepentingan UMNO Pengkalan Aur sendiri yang melibatkan seramai mungkin ahli dan faedahnya pula dapat dinikmati oleh majoriti ahli di sini.
6.11.4 Program ekonomi seperti program keusahawanan, perniagaan dan sebagainya yang melibatkan majoriti ahli di kawasan ini mesti diadakan secepat mungkin. Sesungguhnya UMNO Cawangan Pengkalan Aur beranggapan, buatlah apa sahaja aktiviti namun jika tiada kegiatan ekonomi bagi meningkatkan sumber pendapatan ahli-ahlinya, kegiatan UMNO masih dianggap belum lengkap dan sempurna.
6.11.5 Kekangan seperti ketiadaan tanah kosong, bangunan milik sendiri dan aset-aset lain mesti diambil kira dalam kita merencanakan program ekonomi di atas. Namun pada masa yang sama kita mesti mengusahakan agar semua atau sebahagian daripada yang disebut di atas akan kita miliki jua suatu hari nanti.
6.11.6 Strategi yang kita akan gunakan untuk mengatasi kendala di atas ialah memohon sokongan dan bantuan berterusan daripada kementerian dan agensi tertentu bagi menyokong usaha kita ini. Kita tidak akan berhenti untuk terus mengemukakan kerta kerja projek yang lengkap sehingga suatu usaha program ekonomi berskala sederhana besar atau besar dapat dibangunkan di kawasan ini bagi kepentingan ahli UMNO setempat.
6.11.7 Memandangkan kita belum memiliki tapak, tanah atau bangunan untuk melaksanakan semua ini, maka kita akan meminta jasa baik kementerian, tokoh-tokoh korporat, pemimpin-pemimpin politik dan orang perseorangan yang berjaya untuk membelikan tapak atau harta di atas dan diserahkan kepada UMNO Pengkalan Aur untuk dijadikan asset dan sekaligus sebagai platform untuk menggerakkan program ekonomi kita. Sama ada mereka menyalurkan dana untuk kita membeli premis/tapak itu atau dengan cara tokoh-tokoh tersebut membeli premis-premis di kawasan ini, kemudian mereka menyerahkannya kepada kita sebagai suatu sumbangan ikhlas mereka kepada kita. Kedua-dua cara di atas boleh diguna pakai sebagai strategi asalkan niat kita memiliki premis atau tapak sendiri berjaya.
6.11.8 Barangkali tumpuan boleh diberikan kepada projek pendidikan kerana di situ kita tidak perlu menggunakan tapak / tanah yang luas untuk melaksanakannya. Memadai dengan memiliki rumah untuk diubah suai sebagai Pusat Belajar Sendiri (PBS). Di PBS kita boleh menyediakan ruang perpustakaan, ruang melayari internet, kemudahan mencetak, meja dan kerusi untuk belajar, di samping ruangan kecil untuk kelas.
6.11.9 Malahan program-program kecemerlangan terkini seperti Program Score A boleh digalakkan kepada pelajar-pelajar melalui PBS ini untuk membelinya dengan sokongan ibu bapa. Bagi mencapai hasrat pendidikan di atas, kita akan memohon bantuan daripada pihak Kementerian Pendidikan untuk tujuan penajaan akhbar, web TV, termasuk Program Score A.
6.11.10 PBS yang bakal wujud nanti akan memberi keutamaan kepada anak-anak ahli cawangan Pengkalan Aur yang masih bersekolah, terutama yang bakal menduduki peperiksaan penting dengan dikenakan sedikit bayaran perkhidmatan untuk membayar bil api, air serta upah pengemas rumah/bilik. Di samping itu bayaran minimum itu akan digunakan untuk menambahkan kewangan parti.
6.11.11 Dalam memenuhi fungsi pendidikan yang lebih luas, premis PBS itu nanti akan disusun atur secara flexi dengan menggunakan peralatan/kemudahan mudah alih dan mudah gerak agar boleh diubah suai untuk pelbagai fungsi pendidikan seperti seminar, forum dan sebagainya. Di PBS kita membenarkan mana-mana penceramah atau individu-individu tertentu dengan keutamaan kepada individu tempatan mengadakan ceramah/seminar berkala yang dibuka kepada umum dengan dikenakan bayaran tertentu.
6..11.12 Bagaimana keuntungan daripada penganjuran seminar/kelas itu diagihkan akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa UMNO Cawangan. Maka dengan cara ini UMNO Cawangan Pengkalan Aur berkeupayaan menambahkan tabungan kewangannya, malahan membantu meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman pendidikan di kalangan anak-anak tempatan, serta memberi peluang kepada ahli UMNO yang berkebolehan di cawangan ini untuk menabur bakti kepada anak bangsa sambil membuat sedikit keuntungan.
6.12 Sudut Maklumat
6.12.1 Saya tertarik hati dengan sudut-sudut maklumat berbumbung dan bercermin (mungkin juga berkunci) yang disediakan di setiap persimpangan jalan di tanah-tanah rancangan felda.Saya sudah lama tidak masuk ke felda dan tidak pasti sama ada binaan seperti itu masih wujud atau tidak. Jika ia masih wujud, adakah di felda tertentu sahaja.
6.12.2 Tetapi terus terang saya nyatakan bahawa idea sudut maklumat itu menarik dan amat sesuai sekali sebagai tapak untuk menampalkan bahan bercetak atau menuliskan sesuatu pengumuman/hebahan/berita untuk pengetahuan ahli dan penduduk setempat.
6..12.3 Maklumat terkini termasuk aktiviti masyarakat setempat seperti gotong royong kenduri kahwin, kuliah, ceramah serta kematian atau apa-apa sahaja yang berkaitan boleh dilekatkan di papan kenyataan berpayung dan bercermin itu yang boleh ditatap dan dibaca pada bila-bila masa sahaja.
6.12.4 Sekarang ini pengumuman seperti itu hanya ditampalkan di masjid atau surau atau di premis-premis tertentu atau melalui kain rentang. Dan sudah tentu orang-orang yang ke premis-premis seperti itu sahaja yang akan membacanya. Tetapi dengan adanya sudut yang kekal seperti Sudut Maklumat tidak ada sebab lagi yang orang tidak tahu sesuatu aktiviti akan berlangsung di kawasan ini.
6.12.5 Secara tidak langsung kewujudan Sudut Maklumat turut menggalakkan sifat ingin tahu di kalangan orang ramai tentang apa yang akan dan sedang berlaku di kawasannya dan secara tidak langsung menyemai minat membaca di kalangan mereka. Mula-mula mereka membaca maklumat di papan kenyataan dan selepas ini mereka akan membaca bahan-bahan bacaan yang lain pula.
6.13 Amalan Budaya Positif
1. Kurang mengutamakan kebersihan
2. Kurang mesra ahli
3. Kurang mesra jiran
4. Kurang mesra alam
5. Kurang memakmurkan surau/masjid
6.13.1 Rumah Dinaiki Air
6.13.1.1 Apabila berlaku hujan lebat ada rumah-rumah tertentu dinaiki air, khususnya rumah-rumah yang tidak dibuat penambahan di bahagian belakangnya. Rumah yang selalu dinaiki air ini biasanya berada di dalam lingkungan rumah yang telah disimen dan dibuat tambahan di bahagian dapur atau belakang rumah. Oleh kerana saluran air atau longkang ditutup akibat kerja pembinaan, maka akhirnya rumah yang masih lapang dan tidak bersimen akan menjadi tumpuan air. Dan jika pengadang daripada simen tidak dibina untuk menutup bahagian bawah pintu belakang, maka air akan naik.
6.13.2 Longkang Tersumbat
6.13.2.1 Malahan longkang di bahagian depan rumah di kawasan perumahan awam hampir-hampir tidak berfungsi apabila longkang ini tersumbat akibat jatuhan batu atau simen hasil kerja penambahan bahagian hadapan rumah. Malahan ada longkang yang ditutup sama sekali. Keadaan ini menyebabkan air hujan bertakung agak lama di atas jalan tar sebelum diserap masuk ke dalam tanah melalui rekahan-rekahan yang wujud.
6.13.3 Lokasi Longgokan Sampah
6..13.3.1 Di depan jalan masuk utama ke petempatan Perumahan Awam di Batu 2 ½ Jalan Simpang, Taiping pula terdapat segelintir penduduk di kawasan ini dan mungkin juga dari luar yang tidak bertanggungjawab melonggokkan bungkusan sampah sarap walaupun lokasi itu dilabel sebagai kawasan larangan pembuangan sampah oleh Majlis Perbandaran Taiping.
6.13.3.2 Memandangkan port pembuangan sampah haram itu terletak di laluan keluar masuk utama ke/dari kawasan perumahan awam, kewujudan longgokan sampah di situ sangat menjijikkan pemandangan dan menimbulkan bau busuk kepada penghuni yang berhampiran dengan lokasi itu. Malahan pelanggan sebuah kedai makan berhampiran serta mereka yang lalu lalang di kawasan itu sering mengadu akan hal yang tidak menyenangkan ini.
6.13.3.3 Adalah tidak wajar sama sekali kawasan yang menjadi pintu utama keluar masuk penduduk dan mereka yang sentiasa berurusan di kawasan ini dilonggokkan dengan sampah sarap sehingga mencacatkan pemandangan di situ yang sekaligus memberi gambaran buruk tentang sikap sebahagian kecil penduduk di kawasan ini yang gagal mengutamakan kebersihan dan mencemarkan alam sekitar.
6.13.3.4 Suasana ‘welcoming’ yang sepatutnya wujud di lokasi itu telah dicemari dengan benda yang tidak selayaknya dilonggokkan di situ.
6.13.4 Bina Gazebo dan Papan Tanda Kekal
6.13.4.1 Bagi mengatasi masalah ini, UMNO Pengkalan Aur mencadangkan agar lokasi yang menjadi sasaran segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab itu dibangunkan sebuah gazebo (pondok) yang sederhana besar yang dilengkapi dengan sebuah meja dan beberapa buah kerusi batu. Pondok itu nanti boleh berfungsi sebagai tempat menunggu bas bagi murid-murid sekolah. Sekarang ini kebanyakan mereka berteduh di kedai berhampiran untuk menunggu sehingga bas sampai.
6.13.5 Utamakan Kebajikan dan Pendekatan Mesra Rakyat
6.13.5.1 Bagi meningkatkan tahap mesra penduduk dan mesra ahli, UMNO Pengkalan Aur mencadangkan agar program-program yang bersifat mesra rakyat dan kebajikan diberi perhatian. Malahan UMNO melalui biro tertentu bercadang mencetak kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri atas nama UMNO Cawangan Pengkalan Aur yang dikirimkan terus kepada seluruh ahli dan penduduk beragama Islam di kawasan ini. Kad itu hendaklah mengandungi alamat perhubungan, nombor telefon dan tandatangan semua AJK Cawangan.
6.13.6 Kad Ucapan Selamat Tahun Baru Cina dan Deepavali
6..13.6.1 Malahan lebih baik lagi jika usaha ini dikembangkan kepada kaum-kaum lain yang tinggal di kawasan Pengkalan Aur sempena Tahun Baru Cina dan Deepavali bagi mengeratkan perpaduan kaum di kawasan ini.
6.13.7 Mesyuarat Antara Kaum
6.13.7.1 Malahan satu mesyuarat bersama antara UMNO Cawangan dengan wakil penduduk Cina dan India atau bersama MCA, MIC, Gerakan atau PPP patut diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun.
6.13.8 Gotong Royong Perdana
6.13.8.1 Bagi mengatasi masalah longkang tersumbat, UMNO Pengkalan Aur akan menganjurkan gotong royong perdana sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh 4 tahun (2008-2011). Gotong royong ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan bomba Taiping. Kemudahan saluran paip besar dan panjang yang dimiliki bomba dan peralatan yang dibekalkan oleh MPT akan memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan termasuk pancutan air yang kuat ke dalam longkang yang tersumbat bagi tujuan pembersihan dan pengaliran air yang sempurna. Malahan aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian seperti demonstrasi dan panduan memadam kebakaran boleh ditambah untuk mengoptimumkan program yang dibuat.
6.13.9 Korban Perdana
6.13.9.1 Amalan menyembelih binatang korban memang tidak asing lagi bagi penduduk di kawasan ini. Malahan ahli-ahli UMNO dan keluarga mereka turut terlibat menyumbang lembu-lembu korban hampir saban tahun. Tetapi jumlah binatang yang dikorbankan tidak banyak dan kesannya daging korban tidak mencukupi untuk diagihkan kepada ahli-ahli qariah di kawasan ini.
6.13.9.2 Hampir saban tahun ada sahaja masalah atau rungutan tentang pengagihan daging korban ini. Kata-kata seperti “ sudah enam tahun duduk di sini, seketul daging korban pun aku tak pernah dapat ” , “ sembelih sampai 3 ekor namun masih tak cukup-cukup “ dan lain-lain sungutan lagi.
6.13.9.3 Sama ada sungutan itu berasas atau tidak, yang jelas, ini memberi gambaran yang ibadat korban ini memang mendapat perhatian yang lebih daripada penduduk setempat. Kalau bukan ibadat korban yang menjadi perhatian, daging korban itu yang menjadi tumpuan. Sebahagian mereka mengharapkan agar suatu hari nanti mereka juga akan mampu melaksanakan ibadat korban, sebahagian lagi berharap agar lebih banyak binatang dikorbankan pada masa akan datang dan majoriti yang lain pula berharap mereka akan mendapat agihan daging korban untuk merasa sedikit nikmat dan barakah menyambut hari raya Haji.
6.13.9.4 Berpandukan apa yang telah berlaku, seolah-olah memberi peluang dan ruang yang seluas-luasnya kepada UMNO Pengkalan Aur per se atau UMNO Pengkalan Aur bersama individu dan pihak tertentu untuk mengambil peluang membuat pahala dan kebajikan dengan terlibat secara langsung sama ada sebagai penyumbang binatang korban atau mengurus tadbir dan mengawal selia pelaksanaan ibadat korban.
6.13.9.5 Ramai individu di kawasan ini atau di kawasan lain ingin membuat pahala dengan menyumbang haiwan korban, namun mereka tidak mampu menyumbang dalam kadar yang banyak dan kalau ada pun mereka tidak tahu saluran mana yang wajar digunakan. Di sinilah Biro Agama atau Biro Kebajikan UMNO wajar mengambil peranan secara bersendirian atau dengan kerjasama J/Kuasa Masjid Pengkalan Aur atau J/Kuasa Surau al-Fakiah untuk berperanan sebagai penganjur yang mengurus selia ibadat korban dari awal hingga akhir.
6.13.9.6 Surat-surat jemputan, dan sebarang hebahan tentang pelaksanaan ibadat sunat muakkad ini mesti diedarkan selewat-lewatnya dua bulan sebelum tibanya Hari Raya Korban. Tetapi jika makluman tentangnya dilakukan lebih awal itulah yang lebih baik kerana melalui pendekatan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai orang untuk bersama-sama melaksanakan ibadat korban. Memandangkan Hari Raya Haji pada tahun 2009 jatuh pada 27 November, bererti ada 11 bulan untuk kutipan dibuat jika dikira mulai Januari tahun hadapan. Jika harga 1 bahagian bagi seekor lembu ialah RM400.00, bererti sebulan mereka hanya perlu membayar lebih kurang RM40.00. Jumlah minimum itu dikira mampu bayar dan tidak menimbulkan tekanan kepada mereka yang terlibat.
6.13.9.7 Apabila lebih ramai orang berpeluang untuk menyumbang haiwan korban, bererti lebih banyak daging korban akan berjaya dikumpulkan untuk diagih-agihkan kepada kepada fakir miskin dan diberi sebagai hadiah kepada golongan yang lain. Ini memungkinkan seluruh penduduk di dalam kawasan Pengkalan Aur akan mendapat daging tersebut. Dengan ini hasil daripada ibadat korban akan dirasai kenikmatannya bersama-sama dan Hari Raya Haji kali ini akan dirasai lebih bermakna daripada sebelumnya.
6.13.9.8 Semua wang yang diterima mestilah menggunakan akaun parti yang pada bila-bila masa dapat dibentangkan atau ditunjukkan penyatanya apabila diminta.
6.13.9.9 Selain bertindak sebagai penganjur, UMNO cawangan Pengkalan Aur melalui biro yang berkaitan boleh juga mengaturkan sumbangan daripada individu-individu di luar dari kawasan parlimen Bukit Gantang sama ada dalam bentuk wang, haiwan korban atau daging korban. Dengan adanya sumbangan seperti itu lebih banyak lagilah daging korban dapat dikumpulkan dan diagihkan; dan lebih ramai lagilah ahli qariah serta penduduk setempat dan sekitarnya menerima daging korban.
6.13.9.10 Bagi meluaskan lagi makna dan tujuan ibadat korban, serta mempelbagaikan aktiviti sempena Hari Raya Korban, Jawatankuasa Korban hendaklah memikirkan serta mengaturkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian pada Hari Raya Haji dan hari-hari tasyriq. Antara yang dicadangkan di sini ialah mencetak dan mengedarkan artikel atau input-input yang berkaitan dengan ibadat korban kepada orang ramai. Banyak fakta yang boleh diketengahkan dalam dokumen bercetak tersebut, antaranya sejarah kemunculan ibadat korban, kisah pengorbanan Qabil dan Habil dan sebagainya.
16.13.10 Ceramah Cegah Jenayah
16.13.10.1 Bagi mencegah kejadian jenayah di kawasan ini, satu siri ceramah cegah jenayah dan panduan keselamatan akan diaturkan bersama pihak polis untuk penduduk di kawasan perumahan awam, termasuk kawasan yang berhampiran dengannya. Aktiviti ini boleh dilaksanakan dalam tempoh sekurang-kurangnya sekali dalam masa setahun. Selain ceramah, aktiviti lain seperti pameran, demonstrasi dan agihan pamplet yang berkaitan cegah jenayah dan panduan keselamatan perlu juga diadakan.
16.13.10.2 Saya berpendapat sudah sampai masanya aktiviti di atas dijalankan kerana sejak berpindah ke kawasan ini pada tahun 1996, belum pernah rasanya aktiviti seumpama ini dijalankan.
16.13.11 Demonstrasi Memadam Api Oleh Bomba
16.13.11.1 Demonstrasi seperti ini memang tidak asing lagi di sekolah-sekolah, namun di kawasan perumahan awam dan sekitarnya aktiviti begini agak asing atau belum pernah dilaksanakan. Sebabnya tidak ada sesiapa pun yang ingin mengambil inisiatif untuk menganjurkannya.
16.13.11.2 Seperti premis-premis kediaman yang lain juga, kawasan
petempatan di dalam cawangan Pengkalan Aur turut terdedah kepada risiko kebakaran, malahan akibat yang terpaksa ditanggung daripada kebakaran di kawasan ini jauh lebih buruk lagi memandangkan kedudukan rumah di kawasan ini rapat-rapat.
16.13.11.3 Berpedomankan perkara 16.13.11.1 dan 16.13.11.2, UMNO Pengkalan Aur akan mengambil inisiatif untuk menjemput pihak bomba bagi mengadakan demonstrasi memadam kebakaran sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
16.13.11.4 Selain demonstrasi/tunjuk cara memadam kebakaran, pihak bomba akan diminta menerangkan cara-cara mengelakkan kebakaran, punca-punca kebakaran dan apa yang sepatutnya dilakukan apabila berlaku kebakaran. Ini termasuklah prosedur yang sepatutnya dipatuhi ketika menghadapi situasi cemas seperti kebakaran, binatang berbisa memasuki rumah dan sebagainya.
16.13.12 Brosur Panduan Telefon
16.13.12.1 Bagi melengkapkan pakej program mesra rakyat, UMNO Pengkalan Aur bercadang menerbitkan satu senarai nombor telefon semua agensi kerajaan, agen pengangkutan, dan kedai-kedai harga patut yang terletak di kawasan berhampiran bagi memudahkan penduduk di kawasan ini mengesan pelbagai maklumat atau berhubung dengan cepat dan tepat apabila keadaan memerlukan mereka berbuat demikian. Ini termasuklah nombor telefon balai polis berhampiran, setesen keretapi, syarikat bas, teksi, hospital, dan lain-lain.
16.13.12.2 Meskipun semua usaha yang sedang dirancang ini tidak dapat memenuhi sepenuhnya keperluan dan kepuasan penduduk di kawasan ini, namun satu inisiatif perlu diambil oleh UMNO Cawangan Pengkalan Aur bagi membekalkan mereka kemudahan, maklumat, panduan dan pengetahuan tentang sesuatu yang perlu mereka ketahui.
16.13.13 Menaik Taraf Surau Al-Fakiah dan Meluaskan Kawasannya
16.13.13.1 Surau al-Fakiah, J.K.R yang terletak sangat hampir dengan kawasan perumahan awam yang menjadi lokasi tempat tinggal majoriti ahli UMNO di kawasan ini telah sekian lama berfungsi sebagai pusat ibadat. Selain solat berjemaah, solat tarawikh, more,jamuan kesyukuran, baca kitab, kuliah, dan penyembelihan korban juga dilakukan di sini.
16.13.13.2 Memandangkan kedudukannya yang strategik dan fungsinya yang penting dan semakin meluas, UMNO pengkalan Aur melalui Biro agamanya akan berusaha untuk menaik taraf dan meluaskan kawasan surau. Semua usaha ini memerlukan perbelanjaan yang besar.
16.13.13.3 Sehubungan itu, usaha untuk mendapatkan sumbangan/dana bagi melebarkan kawasan surau dan menaik taraf surau akan sentiasa diberi perhatian. Surat-surat permohonan akan terus dihantar kepada kementerian, jabatan dan agensi terbabit bagi mencapai tujuan murni tersebut.
7. Penutup dan Harapan
7.1 Lebih hampir pemimpin parti kepada ahli dan masyarakat setempat dan lebih banyak faedah langsung yang diterima oleh mereka daripada parti UMNO maka lebih cinta dan sayanglah mereka kepada parti. Maka menjadi cabaran seluruh kepimpinan parti UMNO Cawangan Pengkalan Aur dan sayapnya dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada UMNO Pusat, Negeri dan Bahagian untuk melaksanakan semua harapan ini yang turut menjadi harapan pemimpin parti di semua peringkat dan di semua sayap.
7.2 Semoga AJK UMNO Pengkalan Aur dikurniakan kecerdasan ‘aqal dan kesihatan badan bagi merealisikan semua harapan ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t. sentiasa bersama-sama kita dalam melaksanakan kerja-kerja murni ini. Amin ya rabbal ‘alamin.
Disediakan oleh,
Abd Bashid bin Harun
Setiausaha UMNO
Cawangan Pengkalan Aur
(Bukit Gantang)
Ditulis pada 11.12.2008 dan berakhir pada 17.12.2008
s.k: Y.A.B Dato’ Seri Presiden UMNO Malaysia
Y.A.B Dato’ Seri Timbalan Presiden UMNO Malaysia
Y.B Dato’ Setiausaha Agung UMNO Malaysia
Y.B Dato’ Seri Bendahari UMNO Malaysia
Y.B Dato’ Seri Pengerusi UMNO Perak
Y.B Dato’ Setiausaha UMNO Perak
Y.B Dato’ Bendahari UMNO Perak
Y.B Dato’ Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang
Setiausaha UMNO Bahagian
Bendahari UMNO bahagian Bukit Gantang
Ketua UMNO Cawangan Pengkalan Aur
Bendahari UMNO Cawangan Pengkalan Aur
_____________________________________
Penulis sekarang ini tidak lagi menjadi Setiausaha UMNO Cawangan Pengkalan Aur. Beliau telah pun melepaskan jawatan tersebut bagi memberi tumpuan kepada bidang hakikinya iaitu PK Hal Ehwal Murid di SMK Kamunting.










