Pada saat-saat kita diuji seperti sekarang ini musuh-musuh kita akan datang menjenguk kita seolah-olah selama ini mereka sangat mengambil berat tentang kita. Namun kehadiran mereka bukan untuk menolong tetapi sekadar mahu melihat berapa besar luka kita, bukan untuk dicarikan ubat tetapi untuk dibuat modal cerita. Tidak cukup setakat itu, mereka akan meninggalkan ludah mereka sebelum beredar dari rumah kita.GuruBashid

Assalamu ‘alaikum kepada semua yang berkesempatan membaca blog ini,

1. Dalam keghairahan kita ingin melihat UMNO itu berubah jangan sampai kita melakukan tindakan yang sama atau seakan-akan sama dengan tindakan lawan kita sehingga sukar dibezakan antara tindakan seorang ahi UMNO atau tindakan seorang pembangkang.

2. Jangan bertindak ketika marah dan beremosi sehingga semua yang dalam parti kita nampak tidak betul belaka. Tetapi biasakanlah bertindak dalam keadaan tenang di mana dalam keadaan tenang kita lebih nampak jalan dan lorong.

3. Jangan mengambil dua jalan yang ekstrim. Satu jalan dengan melarikan diri daripada masalah dengan bersembunyi ke gua-gua dan hutan dan satu jalan lagi berhadapan sambil menumbuk dan menendang. Tetapi ambillah jalan pertengahan iaitu menggunakan fikiran, melalui perundingan, perbincangan, permuafakatan sesama kita dengan berteraskan perlembagaan dan etika parti.

4. Ketahuilah, musuh-musuh kita tidak pernah membezakan antara kita ini siapa, tetapi kitalah yang selalu membeza-bezakan sesama kita. Dalam membuat serangan ke atas kita mereka menganggap kita ini serupa sahaja iaitu ahli kepada sebuah parti yang kuat dan pernah berjasa yang menjadi saingan mereka yang perlu dikuburkan.

5. Dalam saat-saat begini musuh-musuh kita akan memberikan gambaran yang paling buruk tentang kita dengan menggunakan tindak tanduk kita sendiri. Inilah yang kita kena awasi selalu. Sebab itu janganlah kita menyediakan lubang dan ruang sekalipun kecil untuk mereka menikam kita kembali.

6. Jangan kita menutup satu masalah dengan membangunkan satu masalah yang lain. Dan lebih buruk lagi jika masalah lama masih belum selesai, masalah baru pula datang bertalu-talu.

7. Sesungguhnya parti kita tidaklah selemah yang digambarkan. Jadi jangan berdukacita disebabkan itu. Janganlah dalam situasi begini kita mengambil tindakan berselimut dan mengurung diri, tetapi buangkan selimut dan keluarlah menghadapi kenyataan sambil membantu di mana yang perlu.

8. Ingat, musuh-musuh kita mempunyai kemahiran mengintai ruang sekalipun dari lubang yang paling kecil yang kita telah sediakan untuk mereka sebab perbuatan mengintai-intai dan mengintip-intip itu memang menjadi amalan mereka selama ini sama ada siang dan malam, sama ada berseorangan mahupun berkumpulan sehingga amalan buruk ini menjadi kebiasaan (habit) bagi mereka.

9. Kesan daripada kemahiran yang diperolehi ini lebih mudahlah bagi mereka menelanjangkan kita berbanding kita yang selalu mengambil jalan untuk mengalah, bersangka baik dan tidak mahu mencari fasal.

10. Ketahuilah pembangkang tiada kebaikan yang hendak ditonjolkan dan kalau ada pun kebaikan yang dibuat ia tidaklah lebih banyak daripada kebaikan yang telah kita laksanakan selama lebih 50 tahun.

11. Sebaliknya kerana kebolehan semulajadi mereka memutar-mutar lidah mereka yang tidak bertulang itu apa pun yang mereka lakukan sekalipun buruk nampak baik.Mereka tidak akan mencanang apa yang mereka lakukan untuk rakyat dan negara ini kerana memang itu tidak ada, tetapi supaya mereka dilihat baik mereka akan menunjukkan kelemahan-kelemahan kita.

12. Jika tiada keburukan atau kelemahan kita yang nyata, mereka akan adakan dengan cara yang paling halus sampai kita sendiri pun kadang-kadang terperangkap dengannya.

13. Akhir kata. pada saat-saat kita diuji seperti sekarang ini musuh-musuh kita akan datang menjenguk kita seolah-olah selama ini mereka sangat mengambil berat tentang kita. Namun kehadiran mereka bukan untuk menolong tetapi sekadar mahu melihat berapa besar luka kita, bukan untuk dicarikan ubat tetapi untuk dibuat modal cerita. Tidak cukup setakat itu, mereka akan meninggalkan ludah mereka sebelum beredar dari rumah kita.

GuruBashid