1. Seorang pelajar SPM yang menggunakan nama email suehan1992 memohon jasa baik saya kalau-kalau saya boleh membantunya melalui program pintas sejarah.

2. Saya tidak begitu pandai membina jalan pintas sebab semasa saya bersekolah dahulu saya diajar menggunakan jalan yang sudah ada. Bagi saya tidak ada jalan pintas untuk menempah kejayaan. Lagi pun saya sudah lama tidak mengajar sejarah di peringkat SPM.

3. Namun semasa saya menjadi Ketua Panitia Sejarah, saya pernah memikirkan alangkah baiknya jika saya dapat membantu guru-guru sejarah dan pelajar-pelajar saya memahami pelajaran ini dengan lebih mudah.

4. Hasilnya pada tahun 1999 terciptalah dua produk sejarah di bawah label atau tanda kualiti ProPlusOne. Produk-produk sejarah yang saya maksudkan ialah ExamoBooster1000+ dan KokoPlus1.

5. Produk ExamoBooster1000+ ( Examo Booster Thousand Plus) dihasilkan di bawah projek PlusPintar iaitu sebuah projek kurikulum sementara KokoPlus1 ( Koko Plus One) pula dihasilkan di bawah projek PlusMesra yang diletakkan di bawah kokurikulum.

6. PlusPintar yang menjadi projek primar bermaksud Pastikan Lulus Sejarah Melalui Produk Intelek Sejarah dan PlusMesra sebagai projek sekunder pula bermaksud Pastikan Lulus Sejarah Melalui Aktviti Sokongan dan Sampingan.

7. Dua produk ini hanya untuk kegunaan sekolah saya. Saya belum pernah menjual idea atau produk ini kepada Kementerian Pelajaran untuk diteliti sama ada ia sesuai untuk dijadikan produk tambahan kepada modul-modul sejarah sedia ada.

8. Beza program saya ini dengan program yang sedia ada ialah program ini memberi penekanan kepada produk sejarah dan modus operandi persembahan sedangkan program sejarah sedia ada menekankan kepada modul-modul.

9. Selain itu yang uniknya dalam program ProPlusOne calon-calon dibekalkan dengan pil PlaceBos yang dirumus khas dari sari pati sejarah air, tanah, api dan udara yang kemudiannya ditiupkan dengan do’a kefahaman para nabi.

10. Produk-produk dan projek-projek ini saya keluarkan di bawah satu program induk yang saya namakan ProPlusOne yang bermaksud Program Pastikan Lulus Sejarah A One.

11. Nama-nama program, projek dan produk yang dihasilkan semuanya diberi semangat komersil dan ada elemen korporat di dalamnya.

12. Saya sengaja merekabentuknya sebegitu rupa bagi mengangkat martabat subjek sejarah dari sesuatu yang dianggap tradisi, lapuk, buang masa dan tidak menjanjikan pulangan lumayan oleh sebahagian pelajar kepada suatu martabat yang lebih tinggi sejajar dengan millenium akan datang yang lebih mencabar.

13. Idea ini saya perolehi apabila saya melihat ramai pelajar Cina yang tidak berminat dengan subjek sejarah. Minat mereka kepada subjek sejarah ini tidak boleh mengatasi minat mereka dalam subjek Matematik.

14. Saya berasa lebih tercabar apabila terdapat segelintir pelajar di dalam kelas semasa mata pelajaran sejarah yang sekadar berpura-pura mempelajari mata pelajaran ini, tetapi sebenarnya dalam kesempatan tertentu mereka mencuri-curi untuk menyiapkan kerja-kerja Matematik.

15. Lalu saya memikirkan bagaimana kalau subjek Sejarah itu dikomersialkan, bukan diperdagangkan tetapi diberi suntikan semangat Matematik dan cop Dagangan di dalamnya agar subjek ini diterima penting seperti juga Matematik. Tanda-tanda kualiti, simbol-simbol dagangan dan digit mungkin sedikit membantu pelajar.

16. Saya tidak mahu pelajar melihat subjek Sejarah sebagai sesuatu yang tradisi, antik dan ditelan zaman, tetapi biarlah subjek ini menjadi lebih menarik jika diberi sentuhan warna dan nafas baru sesuai dengan era ICT dan dunia digital.

17. Saya mahu melihat kecanggihan peralatan ICT sekarang dimanfaatkan dengan cara yang paling optimum dalam subjek Sejarah agar P & P subjek ini akan menjadi lebih menyeronokkan dan menarik minat pelajar.

18. Sebab itulah Panitia Sejarah di sekolah saya pada waktu itu memilih tema SEDDUIT yang bermaksud SEJARAH DALAM DUNIA ICT dalam menjayakan program ProPlusOne yang dirancang bersama projek dan produk-produknya.

19. Produk ExamoBooster1000+ mengandungi 1200 soalan objektif, 100 latihan esei berjadual, 500 slaid terpilih (sekarang tukarkan kepada power point) dan 100 biji pil perangsang PlaceBos yang dimakan 2 biji setiap kali sebelum mengulangkaji subjek sejarah dan tinggalkan baki 2 biji yang wajib dimakan sebelum menjawab soalan sejarah pada hari peperiksaan sebenar.

20. Produk-produk ini dipersembahkan kepada Kumpulan Sasar yang berlainan dan dipecahkan mengikut Pakej dan Skim tertentu.

21. Pelajar-pelajar dari kelas pandai umpamanya akan dibekalkan dengan Pakej Hijau yang dikategorikan dalam Kumpulan Buru. Maksud Buru di sini ialah pelajar memburu kecemerlangan.

22. Sejajar dengan konsep buru mereka dilatih menjadi seorang pemburu (buru kecemerlangan), bukan seorang penternak. Penanda khas bagi kumpulan ini ialah mereka belajar sejarah dengan penuh harapan.Target mereka sekurang-kurangnya A2.

23. Pakej Biru pula diperuntukkan kepada pelajar-pelajar galus (gagal dan lulus) iaitu pelajar di peringkat pertengahan. Sasaran bagi golongan ini sekurang-kurangnya mencapai P6 dalam subjek Sejarah.

24. Pelajar yang mengambil Pakej Biru ini diletakkan dalam Kumpulan Kejar, iaitu Guru Kejar Pelajar-Pelajar Kejar Lulus. Penanda Khas bagi mereka ialah mereka belajar Sejarah dengan sedikit tekanan.

25. Kumpulan terakhir ialah Kumpulan Selamat, iaitu Selamatkan Pelajar Daripada Gagal Sejarah yang menggunakan Pakej Merah. Jika mereka dapat mencapai sekurang-kurangnya P8 dalam subjek ini sudah dikira memadai.

26. Ada dua Penanda Khas bagi kumpulan dalam Pakej Merah ini. Pertama, mereka tidak tertekan langsung dan kedua, mereka tak kisah langsung.

27. Jika guru-guru dan pelajar ingin mendapatkan keterangan lanjut dan naskhah panduan tentang produk-produk ini bolehlah menghubungi terus dengan saya melalui email gurubashid@yahoo.com

28. Semua jenama dan tanda kualiti di atas meliputi program, projek dan produk yang digunakan dalam tulisan ini adalah hak cipta terpelihara Abd Bashid Harun @ GuruBashid yang tidak boleh diguna, dibuat dan disalin semula dalam apa jua bentuk melainkan dengan keizinan penciptanya.

Hakcipta Abd Bashid Harun