1 ”Dua-dua pasukan sama hebat malah dari segi kemampuan kedua-duanya boleh dikatakan hampir sama.Saya tidak kisah pasukan mana yang menang asalkan saya seronok melihat pasukan terbaik menang,” kata DS Najib yang pernah meminati pasukan Brazil dan England ketika belajar dulu.KLIK DI SINI

2 Itulah jawapan paling bersih dan paling selamat yang diberikan oleh seorang Perdana Menteri. Malahan sebenarnya itulah jawapan yang saya harapkan jika soalan seperti itu diajukan kepada mana-mana Perdana Menteri.Lainlah kalau yang bertanding itu melibatkan pasukan Malaysia. Tentunya jawapan yang lebih patriotik dan memihak diharapkan daripada Najib.

3 Saya tidak bermaksud mahu menentukan segala-galanya termasuk apa yang sepatutnya Perdana Menteri suka dan tidak suka atau apa yang sepatutnya Perdana Menteri sokong atau tidak sokong. Tetapi cukuplah saya nyatakan bahawa sebagai Ketua Kerajaan itulah jawapan terbaik yang boleh beliau berikan.

4 Dengan jawapan seperti itu sudah dikira memadai bagi menjadikan Najib dilihat bijaksana dan meletakkan fikiran di hadapan minat, kegemaran dan kehendak peribadi beliau. Jawapan kepada satu soalan mudah tetapi tidak diambil mudah oleh beliau. Sebabnya ada satu sahaja. Kerana beliau seorang Perdana Menteri. Tiada yang kecil jika datangnya daripada seorang Perdana Menteri.Semuanya diambil kisah, termasuk apa yang keluar daripada mulut beliau.

5 Orang ramai biasanya tidak dapat membezakan antara jawapan beliau sebagai individu yang bernama Najib dengan jawapan Najib sebagai seorang Perdana Menteri. Jawapan apapun akan dilihat melambangkan diri dan pendirian yang beliau ambil selaku Perdana Menteri. Jawapan seperti itu turut menggambarkan bagaimana beliau membawa Malaysia dan seluruh penumpangnya seramai 28 juta.

6 Mujurlah Najib tidak terikut-ikut dengan rentak Timbalan dan Menteri-Menteri beliau yang menyatakan sokongan kepada satu pasukan tertentu untuk menjuarai Bola Sepak Piala Dunia.Atau membuat ramalan pasukan mana yang akan menang. Sebenarnya saya cukup bimbang jika Najib selaku Perdana Menteri memberi jawapan sebagaimana jawapan yang diberikan oleh menteri-menteri beliau.

7 Najib boleh sahaja menyokong mana-mana pasukan yang beliau gemari dan meramalkan pasukan pilihannya itu akan menang. Tetapi itu lebih manis dilakukan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri atau selepas beliau berundur dari jawatan nombor satu itu.Atau dikemukakan kepada isteri beliau, Rosmah di rumah beliau sendiri.Tetapi sebagai Perdana Menteri tindakannya tidak membuat pilihan atau lebih tepat lagi tidak memihak sekalipun dalam soal sekecil ini adalah tindakan yang paling bijaksana dan paling “selamat” bagi seorang Perdana Menteri.

8 Sebagai seorang Perdana Menteri bagi sebuah negara yang mempunyai jutaan manusia di dalamnya yang mempunyai pelbagai cita rasa, kehendak,aliran dan parti politik tindakan sekecil mana pun yang beliau lakukan sering menjadi perhatian orang. Bukan sekadar perhatian, tetapi juga ulasan dan kritikan. Tindakan apa pun termasuk soal memberikan jawapan jika Perdana Menteri yang melakukannya pasti akan ada implikasinya kepada pelbagai pandangan awam.

9 Sebagai individu yang sayangkan kepemimpinan beliau seperti saya sayangkan kepemimpinan mantan Perdana Menteri keempat, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad saya sentiasa mengharapkan sikap yang sentiasa bijaksana; penuh teliti dan bersih daripada Perdana Menteri saya termasuk dalam memberikan jawapan kepada satu-satu soalan. Saya bukan sahaja mahukan sesuatu jawapan itu matang, tetapi jauh lebih matang; bukan sekadar bijak tetapi jauh lebih bijak dan bukan sekadar jawapan biasa tetapi satu jawapan luar biasa.

10 Terus terang saya nyatakan di sini bahawa di Malaysia saya mengagumi tiga orang ini dalam memberikan jawapan kepada mana-mana soalan baik oleh wartawan dalam negeri mahupun wartawan asing. Pertama ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Kedua ialah Rafidah Aziz. Dan kini yang ketiga, Dato’ Seri Najib. Jika mereka yang berucap atau ditemu ramah saya mahu mendengarnya sehingga habis.Malahan saya tertunggu-tunggu ucapan dan jawapan daripada mereka atas sesuatu isu atau perkara. Dan tentulah saya mengharapkan jawapan terbaik daripada mereka.

11 Saya seperti juga ramai rakyat yang peka dan memahami selalu mengharapkan Najib yang benar-benar menjadi Perdana Menteri untuk semua; Perdana Menteri yang tidak memihak dan Perdana Menteri yang bebas daripada dijadikan sebarang sandaran oleh mana-mana kumpulan atau team untuk kepentingan tertentu.Saya seperti juga majoriti rakyat mahu melihat Perdana Menteri yang benar-benar menjadi Perdana Menteri untuk semua.

12 Tentulah pengamatan saya ini tidak sampai menafikan realiti yang Najib turut memegang pelbagai peranan dan memainkan pelbagai fungsi. Dalam konteks tertentu Najib boleh sahaja memainkan peranan mudah lenturnya daripada seorang Perdana Menteri untuk semua kepada Presiden sebuah parti politik yang memimpin bangsanya sendiri.

13 Orang kebanyakan tentu akan berkata apa salahnya Perdana Menteri memberikan sokongan kepada satu pasukan yang tertentu. Lagi pun ini tidak melibatkan pasukan dari mana-mana bahagian di Malaysia, malahan tiada sebarang kaitan yang signifikan pun dengan negara ini. Bukankah ini hanya soal sukan, bukan soal politik pun. Itulah cara orang awam berfikir, tetapi bukan cara yang sepatutnya bagi seorang ketua kerajaan berfikir.

14 Najib mungkin ada minatnya yang tertentu; ada kegemarannya yang tersendiri dan ada pasukan yang disukainya. Tetapi ia harus membiarkan sahaja apa yang menjadi minat dan kegemarannya itu jika ia mahu dirinya dilihat bebas daripada sebarang elemen yang memihak dan menyokong. Ini termasuklah dalam perkara yang dianggap kecil oleh orang awam.

15 Ternyata sekali sukar sungguh menjadi Perdana Menteri, apatah lagi menjadi Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia yang banyak akal ini. Sebab itulah Tuhan takdirkan hanya mereka yang tertentu sahaja menjadi Perdana Menteri Malaysia. Obama boleh menjadi Presiden Amerika Syarikat tetapi belum tentu dia akan berjaya sebagai Perdana Menteri di negara ini.

16 Anda dapat saksikan bagaimana ada orang tertentu bernafsu besar untuk menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup melakukan pelbagai taktik termasuk yang kotor, namun Tuhan hanya mahu menetapkan beberapa individu pilihan-Nya sahaja, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Husin Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dan kini Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Nampaknya sebagai makhluk kita hanya ada keinginan, tetapi keinginan kita tidak berupaya mengambil alih kerja Tuhan.

Hakcipta Abd Bashid Harun