SEBAHAGIAN kita sekadar melihat, tetapi pemimpin seperti ini nampak.Alangkah bertuahnya seseorang yang dikurniakan kelebihan sedemikian iaitu nampak apa yang dilihat.
Tetapi Tuhan telah takdirkan hanya orang tertentu yang nampak apa yang ia lihat.Orang itu namanya rasul dan auliya’ serta beberapa individu yang menjadi pilihan. Orang seperti inilah nanti yang diangkat Tuhan sebagai pemimpin.
Ketika kita melihat hutan, pemimpin seperti ini melihat setiap pohon di dalam hutan itu. Ia melihat bunga-bungaan pada saat ia berkembang dan tangkai dedaunan yang lekang dari dahan pohon lalu berguguran perlahan-lahan.
Ketika mata kasar kita meliar melihat ke arah belukar, pemimpin seperti ini melihat dengan mata hati apa yang wujud di sebalik belukar itu.Ketika kita melihat ketakutan dan kegelapan, ia melihat cahaya dan harapan.
Apabila ia ditakdirkan memegang kepimpinan ummah dan diamanahkan sebuah negara, masanya dihabiskan untuk berfikir tentang nasib ummah dan negara itu.Sebahagian masanya hanyalah untuk ummah dan negara itu.
Ia kerap melakar sesuatu di atas kertas, tetapi ia sebenarnya sedang melakar masa depan negara dan seluruh isinya. Ia melihat ke dalam akar umbi masalah sambil mencari penawarnya dan memandang jauh ke hadapan sambil memeta sebuah masa depan.
Dalam membuat keputusan, ia berpegang kepada prinsip tukang jahit iaitu ukur dua kali dan potong hanya sekali. Juga prinsip seorang pakar bedah bagi negaranya dengan memeriksa berkali-kali tetapi membedahnya hanya sekali.
Ia tidak mudah tertipu dengan situasi dan bentuk; rasa dan emosi. Ia mahu terlibat sendiri secara aktif dalam setiap situasi.
Jika dengan melihat dia dapat mengenal pasti warna dan bentuk, ia akan melihatnya dalam jarak yang paling dekat. Jika itu masih belum mencukupi ia akan memegangnya jika dengan cara itu ia mengetahui yang mana palsu dan yang mana asli.
Pemimpin seperti ini selalu mengukur sendiri untuk menentukan panjang dan pendek sesuatu; dan menimbang sendiri untuk mencari berat sesuatu.
Dia tekun mendengar dengan telinganya dengan bantuan samak-Nya. Jika dengan mencium ia dapat mengenal pasti bau sebenar sesuatu, ia tak kan mengelak daripada menciumnya.
Jika hanya dengan menyentuh ia dapat membezakan antara panas dan sejuk, ia akan menyentuhnya.
Jika hanya dengan menjilat dia dapat membezakan pelbagai rasa dan perisa dia bersedia menjilatnya.
Jelasnya ia tidak terus mengiyakan sesuatu selagi ia sendiri belum pasti tentangnya. Ia tidak terus mengeluarkan sesuatu kenyataan selagi tak teruji nilai bandingnya.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Kita Memerlukan Pemimpin Seperti Ini "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply