Saya sepatutnya masuk untuk aktiviti BS atau Bacaan Senyap untuk kelas 4K1. Sudah dua kali saya masuk ke kelas ini. Agak sukar bagi saya yang biasa bercakap untuk berdiam diri. Apatah lagi saya masih baru di sini dan masih banyak perkara yang saya perlu dikongsi dengan para pelajar.

Bacaan Senyap saya jadikan perbincangan sambil mengajak pelajar saya berfikir dan menyelesaikan masalah. Saya jadikan buku rekod pengesanan pelajar ponteng yang perlu diisi oleh setiap guru subjek yang masuk ke kelas sebagai bahan perbincangan. Saya masuk period yang keenam. Maknanya sudah ada beberapa orang guru yang masuk ke kelas sebelum saya.

Saya melihat pada ruangan Cermin Tingkap yang termuat dalam buku itu. Semuanya ditandakan dengan Tidak Memuaskan. ” Boleh tak kita jadikan ruangan ini sekarang Memuaskan? “, tiba-tiba sahaja pertanyaan itu saya lontarkan kepada pelajar-pelajar saya.

Tiada siapa yang menjawab. Mereka mungkin tidak faham maksud saya. Saya ulangi soalan yang lain pula, ” Adakah kamu mahukan kebersihan cermin tingkap kelas kamu ini Memuaskan?” tanya saya. “Mahu!”, jawap mereka.

Kamu telah membiarkan cermin tingkap kelas kamu teraniaya dan berada dalam keadaan kotor untuk 5 waktu. Lama tu! Sekarang mari kita jadikannya bersih supaya saya dapat tuliskan kata M untuk MEMUASKAN di rungan yang berkaitan dalam buku rekod pengesanan tersebut. ” jelas saya.

Seorang pelajar perempuan tiba-tiba bangun lalu meminta izin untuk keluar kelas. Saya benarkan. Selepas beberapa minit dia membawa masuk timba kecil berisi air. Lepas itu dia duduk di atas kerusinya semula dengan wajah mencuka.

Saya ingat dia tidak berpuas hati kepada saya. Rupa-rupanya dia menunjukkan protesnya kepada pelajar lelaki yang tidak menjalankan tugas membersihkan cermin tingkap.

Setelah semua ahli kelas menunjukkan ke arah pelajar lelaki itu dia pun bangun untuk membersihkan cermin tingkap. Saya meminta seorang pelajar lelaki yang lain bangun untuk membantunya.

Selepas kerja membersihkan cermin tingkap selesai saya pun memberitahu mereka bahawa yang menjadikan cermin tingkap kelas ini bersih kerana tindakan atau perbuatan, bukan sekadar cakap-cakap atau adanya jadual giliran bertugas membersihkan kelas sahaja.

Tadi kawan kamu telah mengambil air. Kemudian dua orang kawan kamu membersihkan cermin tingkap. Semua ini menunjukkan ada tindakan atau perbuatan,” jelas saya. Mereka nampaknya mula memahami saya dan menyedari kesan baik daripada tindakan mereka itu.

Sebagai balasan kamu memang layak mendapat pencapaian M atau MEMUASKAN untuk kebersihan cermin tingkap sekarang, ” terang saya. Saya pun mengambil Buku Rekod pengesanan itu lalu mengisi huruf M untuk semua perkara yang dinilai. Saya nampak mereka tersenyum lebar dan bangga dengan apa yang mereka lakukan sebentar tadi.

Pertanyaan daripada saya untuk semua: SUSAH SANGATKAH NAK BUAT BEGINI?

Coretan GuruBashid