1. Kita sewajarnya berhati-hati memahami dan mengambil peluang daripada konsep 1Malaysia agar konsep itu benar-benar memberi keuntungan kepada majoriti rakyat dalam jangka masa panjang.

2. Rakyat Malaysia dalam banyak perkara masih perlu bimbingan dan banyak bergantung kepada tindakan bijaksana pemimpin dan kerajaan dalam membuat keputusan bagi pihak mereka dan untuk mereka.Itulah juga antara sebabnya rakyat memilih wakil rakyat dan menyertai pilihanraya untuk memilih kerajaan.

3. Kepercayaan saya ialah majoriti rakyat berfikir mudah. Mereka hanya mahukan apa yang mereka hendak pada waktu itu. Namun kerajaan yang dipilih oleh rakyatlah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat pemilihan ke atas tuntutan-tuntutan itu dengan melakukan saringan yang utuh agar tuntutan yang benar-benar objektif sahaja yang lulus untuk tindakan.

4. Sesungguhnya saya masih ragu-ragu tuntutan yang dibuat atas nama rakyat atau apa yang dikatakan oleh kumpulan tertentu sebagai suara rakyat.Melihat kepada tuntutan itu dibuat dan situasi ianya dibuat saya melihatnya dengan penuh kekaburan dan keraguan.

5. Beberapa persoalan patut diajukan. Contohnya siapakah rakyat yang dimaksudkan. Adakah mereka benar-benar memahami apa yang sedang dituntut. Adakah itu tuntutan itu original daripada mereka atau kerana terikut-ikut dengan rentak orang lain. Atau dalam maksud yang lain dipengaruhi oleh individu atau kumpulan minoriti tertentu.

6. Saya juga percaya kerajaan di bawah pimpinan DS Najib tidak akan memperjudikan negara ini hanya semata-mata melihat tuntutan yang dibuat atas nama 1Malaysia sehingga terlupa kepada keutamaan membina negara bangsa yang maju dan bersatu menurut acuan sendiri.

7. Saya sesungguhnya mendokong konsep 1Malaysia sebab saya memahami niat sebenar kerajaan dan apa matlamat terakhir yang ingin dicapai daripada konsep itu.Pada saya jika semua pihak memahami 1Malaysia seperti yang kerajaan fahami dan hasratkan, konsep itu akan membuahkan hasil yang baik.

8. Ia memang gagasan yang sesuai untuk mengiktiraf rakyat Malaysia dengan segala kelainan dan kebolehan mereka yang akhirnya akan menyatukanpadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.Malahan keyakinan saya bertambah kukuh sebab konsep ini tidak lari daripada perlembagaan negara. Hal ini telah ditegaskan beberapa kali oleh DS Najib.

9. Bagi saya slogan Rakyat Didahulukan yang termuat dalam gagasan 1Malaysia tidak seharusnya dimaksudkan beri apa sahaja yang rakyat Malaysia mahu dan layan apa jua tuntutan termasuk tuntutan jalanan. Tetapi fungsi kerajaan yang dipilih rakyat ialah memberikan kepada rakyat apa yang sepatutnya dan perlu mereka miliki sahaja.

10. Majoriti rakyat Malaysia masih belum bijaksana dan bebas daripada faktor emosi dan peribadi dalam membuat pertimbangan termasuk pertimbangan ketika membuat tuntan.

11. Dalam situasi politik Malaysia yang setiap perkara akan menjadi bahan sensasi pihak pembangkang, rakyat pada pengamatan saya tidak benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh dalam membuat tuntutan.

12. Adakah apa yang mereka mahu itu sebenarnya kehendak mereka atau mereka sekadar menyuarakannya bagi pihak yang berkepentingan.Adakah mereka memikirkan kesan jangka panjang jika tuntutan itu diterima.

13. Adakah rakyat akan turut bertanggungjawab dengan bersama-sama kerajaan apabila tuntutan mereka diterima atau membiarkan kerajaan sendirian menanggung apa jua risiko yang terbit daripada penerimaan tuntutan itu. Atau mereka boleh berlepas tangan begitu sahaja.

14. Kesimpulannya apa yang rakyat mahu atau tidak mahu tidak dapat lepas bebas daripada keperluan mendapatkan pimpinan dan bimbingan kerajaan sebab rakyat di Malaysia terlalu mudah membuat tuntutan yang bukan-bukan untuk kepentingan jangka pendek tanpa memikirkan apa yang akan berlaku kepada mereka dalam jangka panjang.

Hakcipta Abd Bashid Harun

Elok baca tulisan saya sebelum ini. KLIK DI SINI