1. Mereka mahu DS Najib mendengar percakapan mereka sejak hari pertama beliau ditunjuk sebagai Perdana Menteri lagi. Tidak cukup setakat itu mereka ingin menentukan apa yang patut Najib buat dan apa yang tidak patut beliau buat. Mereka mahu menentukan semuanya, termasuk cara-cara dan bentuknya.

2. Tentulah pelik bunyinya. Tetapi itulah yang kumpulan ini telah cuba lakukan ke atas DS Najib. Mereka agak berjaya melakukan taktik yang serupa ke atas Tun Abdullah, kini mereka mahu mengenakan DS Najib pula.

3. Mereka menyangka diri mereka berkebolehan dan pintar. Tetapi melihat kepada cara-cara mereka saya tidak nampak kepintaran itu. Mereka tidak berkongsi idea tetapi mereka mahu memaksa idea mereka untuk dilaksanakan.

4. Mereka mahu kerajaan mendengar pandangan-pandangan mereka, tetapi bagaimana kerajaan mahu mendengarnya jika kerajaan hanya diberi satu pilihan iaitu dipaksa untuk menerimanya.

5. Mungkin mereka ingin menduga Najib sebagaimana mereka telah menduga Pak Lah dan sebelumnya Mahathir.Tetapi tak semua dugaan itu dibuat dengan begitu sahaja tanpa sesuatu sebab.

6. Sebahagiannya mungkin ingin melihat kebijaksanaan Najib, tetapi sebahagian yang lain hanya mahu mencari sebab permulaan untuk menjatuhkannya.

7. Tidak cukup sekadar itu. Mereka juga mengingatkan DS Najib agar mendengar keluhan rakyat.Suatu alasan yang sulit untuk disangkal. Tetapi yang mereka maksudkan ialah keluhan mereka. Mereka menggunakan alasan rakyat dan demokrasi untuk membuat tuntutan.

8. Satu pertanyaan untuk mereka yang mahu menjadi juara ini, siapakah mereka ini dan berapa ramaikah mereka untuk mewakili rakyat negara ini?.

9. Setelah berjaya melakukannya ke atas Abdullah, kini mereka mahu mencubanya ke atas Najib pula. Mereka berfikir Najib seperti Abdullah di mana semuanya akan berlaku dengan mudah. Ternyata untuk peringkat pertama ini mereka silap, dan Najib betul.

10. Saya tidak fikir DS Najib akan membuka pintu seluas-luasnya sebagaimana Pak Lah membukanya. Najib sudah belajar bagaimana kesannya jika minoriti dibenarkan bercakap secara berterusan dan membuat tuntutan demi tuntutan tanpa sebarang halangan.

11. Akhirnya tuntutan dibuat untuk sepanjang masa oleh suatu minoriti ke suatu minoriti. Tuntutan minoriti ini telah bertukar menjadi gerombolan yang sangat berkuasa. .

12. Sebagai jawapan berlakulah politiking untuk sepanjang masa. Apa yang dibuat oleh kerajaan tidak ada yang betul lagi. Betul atau tidak betul sesuatu itu adalah menurut perspektif minoriti tadi bukan kerajaan yang dipilih atau rakyat banyak.

13. Cukuplah wakil tertentu dan yang benar-benar mewakili rakyat sahaja yang dipilih untuk membuat tuntutan bukan 27 rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai kehendak dan citarasa. Bukan juga oleh minoriti yang berkepentingan sehingga membelakangi majoriti yang berhak.

14. Ada yang menjangka DS Najib akan mengambil tindakan populis dalam meraih sokongan rakyat kepada beliau. Tindakan melepaskan 13 tahanan ISA, menarik balik penggantungan ke atas akhbar Harakah dan Suara Keadilan sebaik-baik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dijadikan sandaran oleh kumpulan ini.

15. Pak Lah telah mengundur diri dan kini DS Najib adalah Perdana Menterinya. Jangan lupa itu. Anda mungkin salah seorang rakyat yang bijak tetapi DS Najib mewakili 27 juta kebijaksanaan rakyat.

16. Anda boleh sahaja mengatakan anda yang menentukannya berada di tempat nombor satu itu, tetapi jangan lupa jika Tuhan tidak menghendaki dia berada di situ, anda sendiri tidak akan berupaya menghalangnya.

17. Saya yakin pada diri DS Najib terhimpun segala kualiti modal insan kelas pertama. Beliau sedang mengadun pengalaman tegas dan pandangan jauh Tun Dr Mahathir, dan keterbukaan dan kelembutan Tun Abdullah dalam pemerintahannya sedang dalam dirinya sendiri mengalir darah Tun Razak, seorang negarawan ulung, pencetus DEB dan “peneroka” Felda.

18. Sinergi dan nilai tambah itu sudah ada padanya dan kini beliau sedang mula mempraktisnya untuk mencapai situasi menang-menang demi Satu Malaysia.

Hakcipta Abd Bashid Harun