Setiap tahun ada sahaja isu yang dikaitkan dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan Augerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Memang kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, namun sebagai Pegawai Penilai Pertama dan Pegawai Penilai Kedua kita mesti bersikap seadil-adilnya dan mengambil kira pelbagai faktor supaya markah yang kita berikan benar-benar tepat dan wajar dengan sumbangan individu tersebut untuk tahun semasa. Selain kriteria yang diberikan dalam borang LNPT tersebut, jangan sesiapa di kalangan yang menjadi pegawai penilai menambah kriteria lain yang tidak wujud menurut sesuka hati seperti 1)memberi pertimbangan di luar tahun semasa, 2)berasaskan hubungan intim orang itu dengan majikan dan 3)kerana ingin mengambil hatinya. Selain itu, pihak yang memberikan markah mestilah berhati-hati semasa memberi markah supaya tiada berlaku kesilapan sehingga menganiaya individu-individu tertentu. Pastikan markah yang diberi dalam borang LNPT itu sama dengan markah yang diberi dalam komputer. Komputer yang digunakan untuk mengisi jumlah markah tidak boleh, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja terdedah kepada individu-individu yang tidak berkaitan sehingga memungkinkan ada peluang untuk melakukan pindaan dan pengubahsuaian markah yang telah pun diputuskan lebih awal. Sebab itu adalah lebih tepat jika markah itu diisi oleh pengetua menggunakan komputer peribadi atau komputer yang dikhaskan kepada pengetua sahaja. Itu yang berkaitan dengan LNPT, bagaimana pula halnya dengan APC. Calon Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebenarnya dipilih daripada mereka yang telah mendapat markah tahap cemerlang dalam LNPT iaitu 80% ke atas. Maknanya sesiapa sahaja yang mendapat 80% dan ke atas berhak dipertimbangkan oleh majikan untuk mendapat anugerah tahunan itu. Memandangkan APC merupakan anugerah tahunan semasa, tidak mustahil seorang individu akan mendapat dua kali atau lebih anugerah tersebut jika dia dapat mengekalkan prestasinya. Walau bagaimanapun adalah perlu bagi seseorang pengetua mengurus tadbir APC ini sebaik-baiknya agar ia boleh digunakan untuk merangsang budaya kerja dengan ikhlas oleh para guru dan kakitangan sekolah. Kita tidak mahu kesilapan urus tadbir APC akan menyebabkan berlaku sebaliknya iaitu melunturkan semangat kerja dan membunuh motivasi seseorang. Satu perkara yang perlu diberi perhatian tentang APC ini ialah seseorang yang mendapat markah yang tertinggi tidak semestinya akan mendapat APC. Pengetua berhak untuk memilih daripada mereka yang mendapat markah tertinggi tadi untuk dicalonkan sebagai penerima anugerah. Katakanlah A mendapat 98% dan B pula mendapat 87%. Oleh kerana A sudah mendapat anugerah tersebut, dan B pula merupakan seorang kakitangan yang bermotivasi dan dedikasi, maka pengetua berhak mencalonkan B untuk menerima anugerah tersebut sekalipun markahnya kurang daripada A. APC sebenarnya adalah alat untuk menggalakkan persaingan secara sihat antara guru dan cara untuk meningkatkan motivasi mereka dan pengetua diberi kuasa seluas-luasnya untuk mengurus APC demi kemajuan sekolah untuk jangka panjang.











2 users commented in " LNPT dan APC "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackSoalan yang harus saya jawab adalah tentang:
Bagaimanakah APC dapat meningkatkan motivasi anda untuk terus memberi perkhidmatan yang berkesan/ Boleh bantu
GuruBashid:
APC memang membantu, kalau tidak banyak sedikit. Bukan nilai RM1000 itu sebab wang sebanyak itu akan habis dengan cepat. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kesan positif daripada pengiktirafan itu yang boleh menyuntik kembali semangat kita untuk bekerja lebih kuat bagi membuktikan bahawa pemilihan kita adalah tepat. Dengannya juga kita akan membuktikan yang kita sebenarnya mampu untuk melakukan kerja kita dengan lebih baik.Kita juga tidak akan membiarkan orang di sekeliling kita mempertikaikan APC yang kita terima. Seolah-olah ia memberikan sedikit tekanan tetapi pada aras berpatutan kepada kita agar lebih berhati-hati dalam kerja buat kita pada masa akan datang. Justeru kita sedaya upaya akan mengekalkan momentum kerja kita agar sentiasa pada paras optimum dan diberi nilai tambah dari semasa ke semasa. Anugerah ini turut diterima sebagai satu pengiktirafan oleh majikan atas sumbangan kita untuk faedah dan nama baik organisasi. Maksudnya majikan memerhatikan kerja buat kita selama ini dan memperaku yang terbaik yang telah kita sumbangkan untuk organisasi kita.Ringkasnya setiap usaha baik kita itu tidak disia-siakan tetapi diberi nilai tertentu. APC turut boleh digunakan sebagai bukti sokongan dalam permohonan kenaikan pangkat, untuk tujuan melanjutkan pelajaran dan pemberian biasiswa dsbnya. Mungkin tiada ruang khas untuk itu tetapi kita boleh memasukkannya dalam dokumen sokongan kita untuk tujuan-tujuan itu. Kesimpulannya APC memang berupaya membantu seseorang untuk memberi perkhidmatan yang berkesan kerana ia anugerah ini bukan sahaja menjadi dorongan, tetapi juga tekanan secara tidak langsung.
Terma kasih GuruBashid for your kind response
GuruBashid:
Sama-sam dan terima kasih kembali. Nampaknya andalah yang pertama mengucapkan tk kepada saya
Leave A Reply