Teks Asal Pidato Kemerdekaan
Kepada Pelajar Sesi Petang, SMK Kamunting, Taiping
yang disampaikan Pada 30 Ogos 2010
Assalamu’alaikum wr wbt dan selamat petang,
Guru-guru yang saya hormati dan para pelajar yang saya kasihi,
1 Molek rasanya saya mulakan pidato ini dengan mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke-53. Semoga kita dapat menghayati tema sambutan kali ini, iaitu 1Malaysia Menjana Transformasi.
2 Jika dalam pidato sambutan kemerdekaan yang saya sampaikan kepada pelajar sesi pagi banyak menumpukan kepada bagaimana mereka sepatutnya mengisi kemerdekaan sebagai seorang pelajar, pada petang ini saya ingin menyedut beberapa peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di negara ini awal sebelum kita merdeka serta mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa tersebut.
3 Walaupun usia kemerdekaan negara kita telah melampaui setengah abad, namun jika dibandingkan dengan tempoh 446 tahun negara kita dijajah sejak penjajahan Portugis pada tahun 1511, tempoh kemerdekaan yang kita nikmati ini tidaklah terlalu lama.
4 Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kemerdekaan ini di samping mengisinya. Sesungguhnya kemerdekaan seperti juga makhluk lain ada jangka hayatnya, namun janganlah jangka hayat kemerdekaan negara ini menjadi lebih pendek daripada apa yang sepatutnya akibat niat dan perbuatan buruk kita sendiri.
5 Kemerdekaan yang sudah 53 tahun kita nikmati bersama perlu dijaga dan dihargai sebaik-baiknya supaya generasi yang terdahulu, khususnya para pemimin dan pejuang kemerdekaan tidak menyumpah kita akibat kelalaian kita sendiri.
6 Kita harus ingat, negara kita sejak dahulu telah menjadi rebutan kuasa-kuasa luar. Selain tanahnya yang subur dan kaya dengan bahan galian seperti bijih timah dan hasil hutan, negara kita turut berada di kedudukan yang strategik dan selamat untuk didiami.
7 Negara kita bolehlah diumpamakan seperti gula. Di mana ada gula di situ ada semut. Kalau dahulu beberapa kuasa Eropah seperti Portugis (1511), Belanda (1641) dan Inggeris telah menguasai negara ini akibat perpecahan kita, kini setelah merdeka pun negara kita masih menjadi tumpuan golongan pencari kerja dari seluruh dunia seperti Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Afrika, Nepal dan lain-lain.
8 Ini membuktikan yang negara kita mempunyai daya tarikan dan keistimewaannya yang tersendiri. Sehingga hari ini negara yang menjadi pohon merimbun berbuah lebat tempat bergantung dan berteduh terus kekal aman, stabil dan makmur.
9 Sekalipun ada percubaan untuk menghancurkan perpaduan kaum dan merosakkan kerukunan hidup masyarakatnya, namun berkat kebijaksanaan para pemimpin negara ini, perucbaan itu cepat-cepat disedari dan patahkan. Al-hamdulillah setakat ini negara kita masih dipelihara oleh Allah dan berada di bawah perlindungan-Nya.
10 Mudah-mudahan legasi yang tidak ternilai harganya dan tidak terukur nilai bandingnya ini tidak diabaikan malahan dipelihara sebaik-baiknya supaya ia akan terus kekal aman dan makmur.
11 Jika pemimpin terdahulu yang dimulai oleh YAB Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj meninggalkan sebuah negara yang merdeka dan kemudian dimajukan dengan pelbagai pembangunan oleh Perdana Menteri berikutnya, maka menjadi tanggungjawab kamu sebagai generasi pemimpin dan pekerja pada masa akan datang untuk mewariskan sebuah negara Malaysia kepada anak cucu kamu yang bukan sahaja kekal aman dan makmur, malahan jauh lebih maju daripada apa yang ada sekarang.
Para pelajar sekalian,
12 Dahulu, pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu begitu lemah dan rakyatnya pula mudah berpecah. Terdapat jurang yang begitu ketara antara golongan bangsawan dan rakyat biasa. Pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak dibantu oleh golongan bangsawan dalam era feudal sangat ditakuti oleh rakyat. Rakyat tidak mempunyai ruang yang banyak untuk bergerak dan berperanan kerana terpaksa akur dengan peraturan yang tidak menyebelahi mereka.
13 Faktor-faktor tersebut telah memudahkan pihak luar yang mempunyai kepentingan ekonomi, agama dan politik untuk campur tangan di negeri-negeri tersebut. Apatah lagi rakyat yang tertekan atau pihak yang tidak berpuas hati kepada pemerintah turut mengalu-alukan kehadiran mereka ini. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, pihak luar ini dengan rakus menangguk di air yang keruh dengan mengambil peluang daripada keadaan yang tidak begitu baik ini.
14 Begitulah lemahnya pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu pada waktu itu. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran sebuah kompeni atau syarikat untuk menguasai dan seterusnya mentadbir negeri-negeri ini. Hanya dengan sebuah syarikat yang terdiri daripada beberapa orang ahli lembaga pengarah yang datang dengan sebuah dua kapal, mereka telah berjaya menguasai negeri-negeri ini tanpa perlu dikerahkan sebuah bala tentera.
15 Sebagai contoh Pulau Pinang dan Singapura telah diduduki oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Sabah pula dikuasai oleh Syarikat Borneo Utara British (SBUB). Dan apa yang berlaku di Sarawak tentu lebih menyedihkan lagi apabila negeri yang pada asalnya dalam wilayah Brunei itu ditadbir oleh sebuah keluarga, yang dikenali sebagai keluarga Brooke.
16 Begitulah akibatnya jika pemimpin yang mentadbir negeri tiada memiliki ciri-ciri kebijaksanaan, berintegriti dan mendapat nasihat yang betul daripada pegawai-pegawainya. Rakyat yang tidak berpuas hati di bawah pentadbiran yang lemah seperti itu terus dibiarkan berpecah-belah dan akhirnya mereka inilah yang menjadi musuh dalam selimut atau api dalam sekam untuk membantu membawa masuk musuh-musuh dari luar itu.
17 Pemimpin yang tidak bijaksana, tidak mempunyai kecekapan untuk mentadbir dan tidak berupaya menjangka apa yang bakal berlaku sering sahaja terperangkap apabila bertembung dengan keadaan yang cemas. Kadang-kadang dalam suasana kritikal seperti ini menyebabkan mereka hilang pertimbangan sehingga sanggup menyerahkan negeri ini untuk ditadbir oleh orang asing.
18 Keadaan ini dapat dibuktikan apabila ada perjanjian yang terus dipersetujui tanpa melihat kepada implikasinya ke atas negeri dan rakyat terlebih dahulu. Sejarah membuktikan ada perjanjian yang ditandatangani antara pihak British (syarikat) dengan pemerintah tertentu hanyalah suatu penipuan yang tidak cuba disedari lebih awal akibat keadaan yang terlalu mendesak.
19 Sebagai contoh Perjanjian antara Sir Franchis Light dengan Raja Abdullah telah menyebabkan Kedah kehilangan wilayahnya iaitu Pulau Pinang. Apabila Siam cuba menyerang Kedah beberapa kali selepas perjanjian itu Raja Abdullah meminta bantuan Syarikat tetapi Franchis Light memberitahu bahawa Syarikat tidak ada kena mengena dengan perjanjian tersebut kerana perjanjian itu hanya melibatkan beliau dengan Raja Abdullah.
20 Begitu juga perjanjian di antara pemerintah Johor pada waktu itu dengan Sir Stamford Raffles yang akhirnya menyebabkan Johor kehilangan wilayah strategiknya, iaitu Singapura.
21 Lebih awal daripada itu sejarah Islam sendiri telah mencatatkan bagaimana perjanjian antara Saidina Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Suffian yang dikenali sebagai Perjanjian Tahkim telah menyebabkan Saidina Ali yang semasa perjanjian itu masih menjadi khalifah telah tersingkir secara tiba-tiba daripada jawatan khalifah sementara Muawiyah yang tiada apa-apa jawatan ketika itu telah menggantikan Saidina Ali sebagai khalifah yang sekaligus menamatkan tempoh pemerintahan Khualfa’-ur-Rasyidin hanya disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disedari oleh wakil Ali dalam perjanjian itu iaitu Abu Musa Al-Asy’ari.
22 Sebab itu, mengambil pengajaran daripada peristiwa di atas saya menyeru kepada para pelajar jika nanti kamu ditakdirkan berjawatan tinggi dan turut terlibat menandatangani sesuatu dokumen perjanjian atau persefahaman sama ada sebagai tokoh korporat atau pemimpin negeri mahupun negara hendaklah membaca, meneliti dan memahami isi kandungan perjanjian tersebut terlebih dahulu sebelum menandatanganinya.
23 Setiap aspek harus dipertimbangkan dan setiap faktor harus diambil kira sebelum bersetuju atau menolak sesuatu tawaran.Selain itu kita harus melihat implikasi dan untung ruginya suatu perjanjian atau tawaran itu kepada syarikat, organisasi, negeri atau negara yang diterajui. Ini penting supaya tiada mana-mana pihak rugi dalam perjanjian tersebut.
Para pelajar sekalian,
24 Sesungguhnya kemerdekaan yang dicapai ini bukanlah datang secara tiba-tiba atau secara tidak sengaja. Tetapi kemerdekaan yang kita nikmati ini telah diusahakan dengan penuh kesungguhan dan kesabaran oleh setiap pemimpin yang mewakili setiap kaum ketika itu. Maknanya usaha kemerdekaan ini dilakukan oleh semua kaum.
25 Kemerdekaan ini diperolehi daripada British setelah kita berjaya meyakinkan mereka bahawa rakyat pelbagai kaum di negara ini telah bersatu padu dan bersetuju untuk berkongsi kuasa dan bekerjasama sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Maka tiada sebab ada di kalangan rakyat Malaysia yang mahu memecahkan kontrak sosial yang telah kita sama-sama persetujui selama ini.
26 Kita tanpa mengira kaum di bawah semangat 1Malaysia wajar memperkukuh perpaduan dan menjaga hubungan antara kaum pada sepanjang masa. Kita hendaklah mengelakkan sebarang unsur yang boleh menjejaskan persefahaman antara kaum.
27 Sesungguhnya tanpa perpaduan, pembangunan amat sukar untuk dilaksanakan. Hanya dengan perpaduan jitu setiap bangsa yang menghuni bumi tercinta ini, negara ini akan dipacu deras ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.
28 Jadi kita tidak ada cara lain selain meningkatkan tahap perpaduan antara kita sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Apabila wujudnya perpaduan dan persefahaman yang tinggi antara kaum barulah tema sambutan kemerdekaan kali ini iaitu 1Malaysia Menjana Transformasi akan berjaya direalisasikan.
29 Ayuh marilah kita berazam untuk memelihara sekolah kita dan negara kita ini daripada sebarang unsur yang boleh membahayakan. Marilah kita menjadi generasi Malaysia yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, agama, masyarakat, bangsa, sekolah dan negara.
30 Mudah-mudahan Allah mengekalkan kemerdekaan negara ini. Merdeka! Merdeka! Merdeka. Wassalamu’alaikum wr wbt.
Hakcipta Abd Bashid Bin Harun
PK HEM SMK Kamunting











No user commented in " Mengambil Pengajaran Daripada Peristiwa Sejarah Sebelum 1957 "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply