1.1 Walaupun belum dibuat satu kajian ilmiah dan terdapatnya bukti empirikal bagi menunjukkan wujudnya hubungan yang signifikan antara faktor pencapaian akademik pelajar Tingkatan 1 dan 2 dengan pencapaian PMR yang dikatakan masih jauh daripada sasaran,guru-guru di sesi petang tidak boleh menolak begitu sahaja tanggapan rambang tentang hal ini.
1.2 Dikatakan juga pelajar yang memasuki Tingkatan 3 mengambil masa sehingga 6 bulan baru boleh menguasai perkara asas dalam sesuatu subjek, terutamanya subjek Sains dan Matematik.
1.3 Setelah pelajar menamatkan pelajaran mereka selama 6 tahun di sekolah rendah, guru-guru di sesi petang adalah pasukan pertama yang menerima mereka untuk dididik selama sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum mereka dilepaskan kepada rakan-rakan di sesi pagi.
1.4 Hakikat yang tidak dapat disangkal ialaj apa yang diserahkan kepada guru-guru pagi adalah hasil buah tangan guru-guru di sesi petang.
1.5 Kita sedia maklum bahawa tugas mendidik di peringkat ini bukanlah ringan kerana guru-guru terpaksa berdepan dengan pelajar-pelajar yang begitu bertenaga, aktif dan kadang-kadang hiperaktif.
1.6 Dalam seusia mereka, apa sahaja ruang dan kesempatan yang ada akan digunakan untuk menyalurkan tenaga yang berlebihan itu. Mereka begitu banyak menduga kesabaran guru-guru.
1.7 Di sinilah para guru di sisi petang akan teruji antara teori pedagogi dan psikologi yang dipelajari di pusat latihan perguruan dengan wajah dan perlakuan sebenar pelajar yang datang daripada pelbagai etnik, persekolahan, dan keluarga.
1.8 Kita tidak dapat menolak tanggapan umum bahawa pencapaian sebenar pelajar masih diukur daripada pencapaian akademik. Jika ini dijadikan indikator, ternyata pencapaian akademik pelajar di sesi petang masih jauh daripada sasaran, iaitu mencapai sekurang-kurangnya minimum D bagi semua subjek dalam setiap peperiksaan dalaman.
1.9 Kualiti pengajaran guru dikatakan mempunyai perkaitan yang tinggi dengan pencapaian akademik murid iaitu r = 0.47 (22.09%) (Fraser, B.J.1989. Research syntheses on school and instructional effectiveness International Journal of Educational Research, 13 (7): 707 – 719).
1.10 Maka atas kesedaran itu, semua pihak di sesi petang, termasuk Pengetua, Penolong Kanan akademik, Penyelia Petang, Guru-guru Kanan, Ketua-Ketua Panitia dan guru-guru sesi petang tidak boleh berdiam diri begitu sahaja atau berpada dengan apa yang ada.
1.11 Merungut terhadap pelajar tertentu tidak akan menjadikan mereka lebih pandai daripada sebelumnya. Begitu juga, kecenderungan menyalahkan satu pihak tidak akan menjadikan satu pihak lagi lebih betul.
1.12 Sesiapa sahaja yang merasa terlibat untuk meningkatkan pencapaian akademik di sisi petang, termasuk Penolong Kanan Petang dan guru-gurunya perlu bertindak, bukan merungut, sesal dan jauh sekali menuding jari untuk mencari salah siapa. Pelajar tetap pelajar dan kitalah yang akan menjadi guru kepada mereka.
1.13 Apa yang kita buat hari ini mungkin masih belum mencukupi. Tanggungjawab dalam kelas adalah keutamaan kita daripada tanggungjawab lain.
1.14 Kita mesti melakukan larian, dan kalau boleh pada masa yang sama melompat sejauh yang mungkin untuk mencapai kecemerlangan. Mudah-mudahan dengan lonjakan saujana yang kita buat ini akan mengubah apa yang kita telah capai pada hari ini.
1.15 Sebelum kita melaksanakan sesuatu tindakan, kita mesti bermula daripada satu sebab. Seperti juga kita melaksanakan sesuatu program hanya setelah kita mengenal pasti masalah yang berkaitan.
1.16 Guru-guru sesi petang mesti mengenal pasti kelemahan sesi petang, khususnya dalam aspek yang menjadi core business iaitu Pengajaran dan Pembelajaran dalam kelas.
1.17 Adakah masalah paling asas iaitu masuk ke kelas dan P & P sudah selesai. Jika masuk ke kelas, adakah tepat pada waktunya. Apabila kita sudah berada di dalam kelas, adakah kita benar-benar melakukan P & P. Adakah kita mengajarkan kurikulum yang sedia ada. Jika kita sudah berpuas hati yang kita benar-benar telah melaksanakan P & P atau lebih tepat lagi berlakunya aktiviti guru mengajar dan murid belajar, apakah pula hasilnya.
1.18 Adakah hasil yang kita peroleh sepadan dengan usaha dan kos yang kita keluarkan. Jika terdapat jurang antara sasaran dengan pencapaian, kita mesti menilai semula usaha-usaha kita. Barangkali ada kesilapan dalam menentukan faktor kejayaan kritikal. Inilah perkara-perkara yang patut diperincikan dalam perancangan strategik sesi petang jika ia mahu dibuatini.
1.19 Sebab itu perancangan strategik yang komprehensif mestilah dijana oleh pihak sekolah jika sekolah itu ingin melihat kejayaan sebenar pelajar-pelajarnya. Tentunya perancangan strategik itu turut mengambil kira keperluan dan agenda sesi petang itu.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " PERSIAPAN 2010: JANGAN PANDANG RINGAN SESI PETANG "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply