JIKA pada 27 Mei lalu saya berkesempatan menghadiri Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak untuk menerima anugerah atas sumbangan aktif dalam kokurikulum di peringkat negeri dan kebangsaan, pada 14 Jun bersamaan hari Sabtu, saya sekali diundang untuk tujuan yang sama, tetapi kali ini yang menganjurkannya ialah Pejabat Pelajaran Daerah Larut, Matang dan Selama (Taiping), Perak. Sekali lagi sumbangan para guru dari daerah ini diberi pengiktirafan.

Pegawai Pelajaran Daerah(PPD), Tn. Hj. Mat Lazim Bin Idris sekali lagi mengingatkan para pendidik di segenap peringkat di sekolah supaya sentiasa menjaga hubungan baik antara mereka. Bagi beliau berprasangka buruk harus dielakkan sama sekali kerana perasaan negatif itu hanya akan menjarakkan lagi hubungan antara warga sekolah.

“Sekolah yang bebas daripada gangguan emosi yang berpunca daripada prasangka akan berjalan licin dan mudah diurus tanpa sebarang gangguan”, jelas Tuan PPD.

Bagi Tuan Haji Abdul Aziz Abbas,Ketua Nazir Sekolah, Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia pula mengingatkan para pengurus sekolah agar sentiasa merujuk pihak berwajib di Kementerian dan Jabatan Pelajaran termasuk kepada Jemaah Nazir jika timbul kekeliruan atau masalah dalam mengurus tadbir sekolah.

“Insya-Allah di sana ada pakar-pakar yang sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan”, tambah beliau.

Pada saya amalan merujuk kepada pihak PPD, Jabatan dan Kementerian Pelajaran adalah amalan terpuji yang tidak patut dielakkan oleh para pengurus sekolah. Merujuk bukan bererti kita lemah, tetapi itulah cara yang betul untuk mendapatkan sumber yang paling tepat.

Cara itu adalah lebih baik daripada kebiasaan merujuk kepada rakan-rakan sejawat dari sekolah-sekolah lain hanya atas dasar pengalaman masing-masing. Pengalaman mengendalikan sekolah masing-masing adalah baik untuk dikongsi tetapi bukan semuanya sesuai untuk dijadikan teladan. Sebabnya, latar belakang, persekitaran dan masalah di setiap sekolah berbeza.

Selain pengalaman, seseorang pengurus sekolah patut mempunyai ilmu tentang sesuatu yang dilakukannya atau memahami teori yang diguna pakai agar sekolah sentiasa diurus di atas landasan yang betul serta selari dengan undang-undang dan batasan yang dibenarkan. Ini akan mengelakkan berlakunya kekeliruan,kekaburan dan kemungkinan sekolah terdedah kepada tindakan undang-undang.

Di sini saya mencadangkan kepada pengetua-pengetua dan penolong-penolong kanan agar sentiasa merujuk atau mendapatkan maklumat terkini daripada pihak-pihak khusus berikut selain Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia:

1. Jemaah Nazir
2. Institut Aminuddin Baki
3. Pegawai Undang-Undang
4. Intan
5. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Hakcipta Abd Bashid Harun