” Meskipun Mahathir dilihat memusuhi Anwar dan Anwar pula memusuhi Mahathir, namun dari sudut sumbangan mereka membuli UMNO dan mencederakannya dalam Pilihan Raya yang lalu dikira berjaya, ” GuruBashid
1. Pada pandangan saya individu yang berjasa besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad patut menunjukkan kepada kita jalan dan lorong mana yang harus ditempuh dan mana yang tidak.
2. Pengalaman belliau mentadbir negara selama 22 tahun patut dikongsi bersama-sama kita. Cara ini dikira lebih membantu UMNO dan BN daripada mengatakan si polan ini lebih bagus daripada si polan dan si anu ini saya suka dan yang ini pula saya tidak suka.
3. Sesungguhnya UMNO sekarang memerlukan pertolongan melebihi kritikan berpanjangan. Sebaliknya yang lebih banyak keluar daripada mulut Tun ialah rasa tidak puas hati beliau pada seseorang dalam UMNO, iaitu parti yang pernah berjasa kepada beliau melebihi setengah abad.
4. Ketika hampir semua kita mempunyai pandangan yang berbeza tentang seseorang, Tun Dr Mahathir pula setakat ini mempunyai pandangan yang sama sahaja pada semua orang.
5. Setakat ini belum ada sesiapa lagi di kalangan pemimpin tertinggi parti UMNO yang benar-benar cocok pada pandangan beliau.Kalau tidak mengkritik pemimpin tertentu, sekurang-kurangnya beliau cenderung untuk menunjukkan rasa sangsi kepada ramai pemimpin tertinggi UMNO.
6. Selepas beliau keluar daripada UMNO seolah-olah dalam UMNO sekarang tiada lagi individu yang berkebolehan.
7. Saya sedar bahawa siapalah saya untuk menasihati Tun. Tulisan-tulisan saya tentang Tun tidak akan membesarkan saiz Tun dan tidak juga akan membesarkan saiz saya.Silap-silap saya akan dikritik. Orang kerdil seperti saya hanya melukut di tepi gantang. Jadi apa yang mampu saya buat hanyalah menukarkan harimau menjadi pak belang.
8. Tetapi sebagai generasi yang dibesarkan dengan petunjuk-petunjuk Tun, di mana Tun ialah idola saya, jasa Tun yang paling besar kepada saya ialah Tun mengajar saya mengikut seseorang dengan mata terbuka.Bukan mata Tun tetapi mata saya sendiri.
9. Terus terang saya nyatakan di sini bahawa saya tidak pernah berkesempatan bersalaman, apatah lagi bercakap dengan Tun. Namun saya sentiasa berusaha mengikuti dan meneliti setiap ucapan Tun dan membaca setiap tulisan Tun. Malahan sebagai tanda penghargaan kepada Tun saya pernah menghasilkan penulisan tentang Tun.
10. Kali terakhir saya mendengar ucapan Tun ialah pada tahun 2004 ketika beliau dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat dari UM yang ketika itu saya merupakan penuntut di peringkat sarjana di universiti tertua itu.
11. Selain teruja mendengar ungkapan puitis tentang Tun daripada Naib Canselor UM yang juga seorang doktor gigi, saya beritahu rakan-rakan saya yang saya ada niat untuk menemui Tun dan bersalaman dengan beliau selepas majlis itu, tetapi kerana orang terlalu ramai saya terpaksa melupakan hasrat saya itu.
12. Tetapi saya masih menyimpan hasrat untuk menemui idola saya itu. Saya akan membawa isteri dan anak-anak saya bersama-sama kerana banyak yang saya ceritakan kepada mereka tentang Tun.
13. Dan jika saya ditakdirkan berkesempatan menemui Tun satu soalan yang saya ingin ajukan kepada beliau ialah, ” Tidakkah Tun berasa bersalah membuat kenyataan-kenyataan terbuka yang mendedahkan UMNO kepada manipulasi pembangkang yang tidak dapat tidak semakin menyulitkan usaha-usaha pemulihan UMNO? Tidak tahukan Tun bahawa setiap kali Tun bercakap tentang UMNO dan mengkritik pemimpinnya perasaan kami berdebar-debar dan penuh kebimbangan? Tidakkah Tun sedar bahawa kebanyakan kritikan pihak pembangkang kepada UMNO dikembangkan daripada kritikan Tun. ”
14. Masalahnya di luar sana ada pembangkang yang memang setiap masa membelasah UMNO dan BN. Saya kira Tun memang lebih sedar tentang itu. Lainlah kalau yang ada hanyalah Tun dan UMNO. Ditambah dengan kritikan bertalu-talu daripada Tun terhadap pemimpin-pemimpin dalam UMNO sekarang beban UMNO menjadi semakin sarat.
15. Ramai bimbang jika keadaan ini berterusan akan sampai suatu masa yang UMNO tidak akan mampu bertahan dan akhirnya parti ini dan BN akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 seperti ramalan Tun sendiri. Dan jika itu berlaku dengan Tun tun sekali akan dipersalahkan dan akan menjadi kutukan berpanjangan.
16. Adakah petaka ini yang Tun mahu terjadi kepada UMNO atau Tun mempunyai maksud-maksud tersembunyi yang kami tak dapat jangkau, tetapi hanya Tun sahaja yang tahu.
17. Kalau individu-individu seperti Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi,Dato Seri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Rafidah Aziz dan beberapa nama lagi yang Tun sendiri mempunyai keraguan, jenis pemimpin manakah lagi yang Tun mahu. Kalau ada beritahulah kami yang tidak berapa pandai ini. Maklumlah bukan mudah bagi kami memahami cara-cara berfikir individu besar seperti Tun.
Salam hormat dan penuh takzim,
Abd Bashid Harun











2 users commented in " Jika Saya Berkesempatan Menemui Tun "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackGuru,
Kalaulah saya jadi Pak Lah, masa mula-mula jadi PM, lantiklah mantan PM Tun Mahathir jadi Menteri Kanan atau apa-apa jawatan yang tertentu supaya segala pengalaman Tun dapat diguna pakai.
Saudara masih berkata lunak dan sedap untuk TUN mendengarnya. Akibat rasa emosi kekadang saya terpanggil untuk meluahkan rasa hati yang sangat kecewa dengan karektur TUN masa kini yang spt saudara katakan itu. memang benar sebenar-benarnya TUN terlalu seronok untuk mengkritik Pak Lah dan KJ sesuka rasa semata.
Pada rasa hati saya, TUN mengetahui sebenar-benarnya bahawa kritikannya itu mempunyai kesan yang sangat negatif, bukan sahaj kepada orang yang beliau kritik, malah kepada pejuangan memertabatkan kembali UMNO kepersada landasan perjuangan perdana.
Kenapa TUN memekak telinga dan minda apakala membaca kupasan-kupasan kekuatiran daripada kita? Kenapa? Selepas hari ini kita mengajak TUN bermuhasabah diri demi bangsa dan pertiwi, besoknya TUN akan menghina dan mengkritik Pak Lah lagi? TUN mahukan nisanya disepak dan terajang setelah bergelar arwah suatu ketika nanti.
Entah. Aku pun malas berbicara tentang beliau lagi. Aku menjadi emosi jika mendengar namanya.
Nasihatilah aku supaya jangan begini. Bahawa beliau pernah berjasa kepada negeri. Tidak spt kita. Tapi jasa itu adalah murni. Aku mempertikaikannya kini. Setelah TUN berperangai begini.
Leave A Reply