SELALUNYA orang hanya berminat untuk mengunjungi mereka yang menang. Apabila diumumkan seseorang itu memenangi pilihan raya umpamanya, ramailah yang akan datang mengunjunginya sambil mengucapkan tahniah. Semua berebut-rebut untuk berjabat tangan dengan si pemenang. Pemenang akan tersenyum bangga dan yang berkunjung pula akan berusaha menonjolkan diri masing-masing.
TETAPI bagaimana yang kalah? Adakah kita patut biarkan dia bersendirian melayani perasaan sedihnya menerima kekalahan itu? Inilah antara pertanyaan yang patut direnung bersama.
SEHARI selepas kekalahan Barisan Nasional di beberapa buah negeri, iaitu pada 9 Mac suasana menjadi muram.Ramai orang mengambil keputusan untuk diam di rumah sahaja. Mereka seolah-olah terkejut dengan apa yang berlaku.
BAGI mereka yang telah bertungkus lumus untuk membantu calon masing-masing mereka turut kecewa menerima kekalahan itu. Mereka merasakan usaha mereka untuk membantu calon masing-masing tidak diendahkan atau sia-sia. Calon-calon yang mereka bantu melalui kempen dan aktiviti meraih undi siang dan malam turut kalah.
ADAKAH calon yang kalah ini perlu diziarahi sedangkan mereka pun masih kecewa dan rasa penat pun masih belum hilang. Inilah yang turut dirasai oleh isteri saya yang sebelumnya telah bertungkus-lumus siang dan malam untuk membantu calon-calon Parlimen Bukit Gantang dan Changkat Jering. Kemungkinan besar perasaan yang sama turut dirasai oleh yang lain.
TETAPI sampai bila kita harus melayan perasaan kecewa itu? Mengapa kita tidak gunakan akal untuk memulihkan perasaan negatif itu. Kita tiada pilihan lain selain bangun semula dengan penuh sedar dan menerima hakikat bahawa dalam setiap pertandingan, akan ada yang menang dan yang kalah.
Namun harus diingat Tuhan tidak mengambil semua daripada yang kalah, begitu juga Tuhan tidak memberikan semua kepada yang memang. Barisan Nasional (BN) masih menang. Itu bermakna BN masih diterima oleh rakyat. Mengapa kita melayan perasaan seperti orang yang kalah?
Itulah kata-kata semangat yang saya bisikkkan kepada isteri saya yang sangat kecewa dengan apa yang berlaku? Kata-kata seperti ini jugalah yang saya sampaikan kepada rakan-rakan yang mengeluh dengan kekalahan itu.
KIRA-KIRA jam 10.00 pagi,9 Mac saya memberitahu isteri saya yang kita perlu melakukan kunjungan ke rumah wakil kita yang kalah. Menziarahi seseorang yang kalah adalah perbuatan yang paling mulia dan paling berani yang tidak ramai orang yang dapat melakukannya. Ketika orang mengelak daripada menemui yang kalah kita patut melakukannya, itulah pengorbanan, itulah kesetiaan, kata saya kepada isteri saya.
ORANG yang kalah apatah lagi mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum patut diberi kata-kata semangat dan dorongan. Kesetiaan mesti dibuktikan, bukan sekadar ditunjukkan. Inilah masanya kesetiaan seseorang patut dibuktikan, bukan semasa menang sahaja. Kesetiaan yang dibuktikan semasa kalah adalah ori sifatnya, bukan lakonan. Alasannya mudah, ramai orang yang bimbang dan takut-takut menziarahi calon yang kalah kerana apa lagi yang diharapkan daripada calon yang kalah itu?
KALAU begitu keadaannya, adakah selama ini kita berbaik-baik dengan seseorang wakil rakyat itu adalah disebabkan kita akan mendapat habuan daripadanya. Dan apabila kita tahu wakil rakyat itu sudah kalah, maka kita pun cepat-cepat menyimpulkan bahawa wakil yang kalah itu sudah tidak dapat memberikan apa-apa lagi kepada kita. Kalau begitulah cara kita menilai hubungan baik kita dengan wakil rakyat kita, ternyata hubungan itu atas sifat kebendaan semata-mata. Kerana kebendaan, kita berbuat baik dengan seseorang. Sungguh murahnya harga sebuah perhubungan yang kita jalinkan.
TAHUKAH kita, mereka yang kalah dalam pilihan raya umum sangat-sangat mengharapkan kehadiran sahabat handai, kenalan dan penyokong-penyokongnya. Di mana penyokong-penyokong mereka? Di mana orang setia selama ini kepada mereka? Di mana orang-orang yang pernah ditolong oleh DEB? Oleh kerajaan? Di mana? Inilah mungkin beberapa pertanyaan yang bermain-main di kepala wakil rakyat yang kalah.
ATAS sebab itulah kami mengambil keputusan untuk menziarahi wakil rakyat kami yang kalah itu. Dalam pertemuan itu saya mengambil kesempatan utuk memberi kata-kata semangat kepada beliau, sementara isteri saya berbual-bual dengan isteri beliau.
Sebagai pegawai kerajaan yang selama ini hanya menjadi pemerhati sahaja atas apa jua yang berlaku dalam dunia politik setempat, saya tidak ada sebarang kepentingan dengan beliau. Itulah yang saya beritahu kepada wakil yang kalah itu. Dan orang seperti saya inilah sekarang yang ingin memberitahu mengapa Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya itu. Saya memberitahu keadaan sebenar yang berlaku, sebab-sebab kekalahan dan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
ANTARA perkara yang saya beritahu beliau ialah tentang wujudnya orang yang menikam dari belakang sehingga rasa tidak puas hati orang ini dimanipulasi oleh parti pembangkang yang memang mencari-cari isu dari dalam parti UMNO sendiri dan kedua jangan biasakan ahli UMNO dengan kebendaan jika kita hendak memastikan kelangsungan parti ini kerana apabila mereka tidak dapat kebendaan itu mereka akan bersedia bermusuh dengan kita. Walau bagaimana pun saya beritahu wakil rakyat itu apa yang berlaku sebenarnya akan menjadikan UMNO lebih kuat dan menjadi penyebab untuk memperkukuh perpaduan umat Melayu.
SELEPAS menziarahi wakil tersebut, saya dan isteri saya berkunjung pula ke hotel tempat menginap calon wakil rakyat yang tewas di peringkat bahagian. Saya beritahu perkara yang sama kepada beliau yang bergelar Dato’ Seri itu. Namun saya meyakinkan beliau bahawa inilah petanda UMNO akan menjadi lebih kuat dan perpaduan umat Melayu akan diperkukuhkan.
ANEHkan. Ketika sebahagian orang menolak UMNO, saya pula masih melihatnya sebagai relevan dan kekalahan yang dialami sebagai peluang untuk memperkukuhkan semula. Ketika orang memeperkatakan tentang perpecahan Melayu, saya melihat di situlah peluang untuk perpaduan utuh umat Melayu. Saya yakin semua itu akan berlaku sebagaimana keyakinan saya kepada agama saya. Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Mengunjungi Yang Kalah "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply