tko52.jpg

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

SAYA, Abd Bashid bin Harun (GuruBashid), isteri saya, Zarina binti Abbas(Zarinasuri) dan anak-anak saya, Nurul Husna (littlehusna), Nurul Atiqah (iqahlara) dan Nurul Izzah (izzahlara) ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idilfitri kepada semua pembaca dan pengunjung laman Panduan Guru-Guru Malaysia dan laman-laman milik kami yang lain walau di mana jua saudara/ri berada dengan ucapan Maaf Zahir dan Batin.

Sekiranya ada pembaca yang tersinggung setelah membaca kandungan laman-laman milik GuruBashid selama ini, saya memohon keampunan dan kemaafan dengan ungkapan berterus terang bahawa tidak sedikit pun terniat di hati saya untuk menyinggung mana-mana pihak ketika menggarap idea dalam laman-laman tersebut.

Begitu juga di pihak saudara/ri, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana apa jua respon dan komen yang saudara/ri lontarkan di laman ini saya akan cuba siarkan sepenuhnya tanpa sebarang pindaan sekali pun terdapat kandungannya yang sangat bertentangan dengan pendirian saya dan mengandungi kata-kata yang berbau nista dan cerca.

Bagi saya itu adalah cara saudara/ri apabila mengungkapkan sesuatu idea, dan mungkin saudara/ri telah dibudayakan dengan cara itu oleh keluarga, orang tertentu yang rapat dengan anda dan persekitaran anda. Bagi saya apa yang anda tulis itulah diri anda, kumpulan yang anda wakili dan individu yang anda setujui.

Saya sedar yang sebahagian daripada anda telah terbiasa dengan bahasa kesat dan sudah tidak silu lagi menggunakan bahasa seperti itu. Malahan jiwa anda memberontak jika tidak dapat melampiaskan rasa marah anda dengan menggunakan bahasa yang paling kesat yang anda boleh guna.

Saya sedar dengan menggunakan cara-cara seperti itu sebahagian anda mungkin berasa puas dan gembira. Jika itu cara anda dan sejarah anda dibesarkan, saya tak menyalahkan anda per se. Tulislah apa yang anda mahu tulis kerana bukan semua yang membaca tulisan anda akan mengabaikan pemikiran dan fakta ketika membaca tulisan itu. Bagi saya sendiri saya tidak akan delete komen yang paling teruk sekalipun kerana saya tahu siapa diri saya dan siapa anda.

Saya tidak pernah menganggap orang yang bertentangan idea dan pendapat dengan saya sebagai musuh saya. Sesiapa yang mengenali saya amat tahu bahawa saya tidak suka bermusuh dengan orang hanya semata-mata kerana dia mempunyai idea yang bertentangan dengan saya.

Pendirian saya jelas bahawa “manusia tidak dihukum dengan idea dan ilmunya, tetapi manusia dihukum dengan amalnya“. Anda bebas untuk berbeza pandangan dengan saya tetapi janganlah anda ketengahkan perbezaan itu kerana semata-mata ingin berbeza, . Ingat itu. “Kita boleh berbeza pandangan, tetapi janganlah kita berpecah-belah kerananya“.

Salam hormat daripada Cikgu Bashid sekeluarga