Sebagai seorang guru saya dilatih untuk melihat murid-murid saya dengan penuh husnu dzan atau bersangka baik. Bahawa setiap murid itu mempunyai potensi yang besar dan mempunyai inteligen atau kecerdasan masing-masing. Walau siapa pun mereka saya mesti melayan mereka secara adil. Bagaimana saya melihat potensi yang ada pada murid-murid saya, begitulah juga cara saya melihat potensi seseorang. Kelebihan yang ada pada diri seseorang itu, bukan kelemahannya yang patut menjadi fokus kerana kelebihan itulah nanti yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan organisasi. Guru tidak diajar untuk membesar-besarkan perkara-perkara yang buruk tentang seseorang atau tentang kelemahan-kelemahannya. Sebab itu apabila seseorang itu ditekan sebegitu rupa guru tidak sampai hati melihatnya dan menganggapnya sudah keterlaluan. Saya tidak gembira jika seseorang itu dipaksakan kejatuhannya, atau dilayan sebagai musuh sedangkan mereka adalah pemimpin negara atau bekas pemimpin negara yang tentunya sumbangan mereka jauh lebih besar daripada kebanyakan kita. Atas alasan itu saya menolak cara-cara yang terlalu menekan Perdana Menteri untuk berundur diri. Saya juga menolak cara-cara yang tidak begitu sopan ke atas mantan Perdana Menteri seolah-olah beliau merupakan musuh kerajaan dan parti. Ketika sebahagian kita keliru mencari siapa betul dan siapa pula yang bersalah, sebagai guru saya pula melihat tidak ada sesiapa yang lebih betul dan tidak ada sesiapa yang lebih bersalah antara mereka berdua.Baik Pak Lah mahupun Mahathir, niat mereka ingin melihat parti dan kerajaan dalam keadaan mantap dan kukuh. Apabila mereka mengemukakan pandangan semuanya menjurus ke arah memantapkan parti dan kerajaan, bukannya untuk tujuan mempertahankan diri atau menyerang. Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan alasan masing-masing. Kekuatan mereka berdua itulah yang harus dicari agar sinergi benar-benar berlaku. Jika ada orang yang ingin melihat kedua-dua individu besar itu bertelagah sehingga merugikan parti dan bangsa orang itulah yang bersalah. Kita tidak punya ramai pemimpin yang bersedia bertanggungjawab dalam saat krisis. Yang ada mungkin yang akan menjauhi saat krisis dan berundur. Apa yang dilakukan oleh Pak Lah sebenarnya pernah ditunjuk oleh mantan Perdana Menteri. Apa yang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir buat itulah yang sedang Pak Lah lakukan. Maknanya Pak Lah adalah murid yang baik. Jika pada saat krisis ekonomi dan politik yang menimpa Malaysia era Tun Dr Mahathir, Tun memilih untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan mengambil tanggungjawab penuh untuk memulihkannya, maka apa yang dilakukan oleh Pak Lah sekarang serupa itulah juga. Dalam keadaan parti dan kerajaan dipertikaikan dari segenap sudut, Pak Lah ingin mengambil tanggungjawab itu. Beliau sendiri telah bersungguh-sungguh nampaknya melakukan itu dan ini bagi meyakinkan semua pihak bahawa usaha untuk memulihkan parti dan keyakinan rakyat kepada kerajaan memang sedang dibuat. Tidak mungkin ketika saat-saat penting pemulihan ini, beliau berundur daripada jawatan Perdana Menteri. Hakcipta Abd Bashid Harun











3 users commented in " Idea Pak Lah plus Idea Mahathir=Sinergi "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackSaya antara penyebab kemerosotan prestasi BN: PM
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau adalah antara penyebab kepada kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Perhubungan Umno Johor, di sini, petang ini.
Abdullah berkata, disebabkan perkara itu beliau berasa bertanggungjawab untuk berbuat sebaik-baiknya bagi memulihkan BN dan Umno.
“Saya rasa saya adalah penyebab kepada `pembuangan undi’ (undi tidak diberikan) kepada BN. Dan saya berasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan Umno,” katanya.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mutakhir: Berita Harian
UMNO Johor minta PM sedia pelan peralihan kuasa…Pak Lah ulangi hanya akan undur lepas semua masalah parti selesai
Badan Perhubungan UMNO Johor secara konsesus meminta Perdana Menteri memikirkan pelan peralihan kuasa dalam usaha memulihkan semula UMNO.
Perkara itu disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa pertemuan UMNO Johor dengannya di Johor Bharu petang Jumaat.
Menurut sumber yang hadir pada pertemuan itu, cadangan Badan Perhubungan UMNO negeri itu adalah merupakan keputusan sebulat suara yang dicapai oleh UMNO Johor pada mesyuaratnya Sabtu lalu.
Di samping itu, UMNO Johor turut melahirkan sokongan kepada usaha-usaha Abdullah untuk memulihkan semula UMNO ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.
Salah satu usaha yang dicadangkan oleh UMNO Johor ialah mengenai pelan peralihan kuasa berkenaan.
Beberapa Ketua UMNO Bahagian yang hadir pada mesyuarat berkenaan menjelaskan,Abdullah perlu menyediakan pelan peralihan kuasa tersebut sebagai usaha untuk memulihkan keyakinan ahli-ahli parti dan rakyat kepada UMNO dan kerajaan.
Selain itu, mereka menjelaskan, dengan adanya pelan peralihan kuasa tersebut ia akan mengembalikan ketenangan dalam parti dan negara.
Mereka juga memaklumkan kepada Perdana Menteri, sekarang apa yang diperlukan bukanlah alasan terhadap prestasi buruk parti pada pilihan raya umum yang lalu sebaliknya apa yang diperlukan ialah jalan penyelesaian.
“Membangkitkan soal tindakan sabotaj yang menyebabkan kekalahan parti adalah merupakan penjelasan tetapi yang diperlukan sekarang adalah jalan penyelesaian dan salah satu daripada penyelesaian ialah dengan memberikan pelan peralihan kuasa,” demikian pandangan yang disampaikan kepada Abdullah pada pertemuan berkenaan
.
Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin yang ditemui para wartawan selepas pertemuan itu menjelaskan Perdana Menteri akan berbincang dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu.
Beliau berkata Abdullah memberitahu Badan Perhubungan UMNO Johor dalam pertemuan itu bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO.
“Tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci… hal-hal berkaitan dengan bila masa dan sebagainya beliau akan bincang dengan Datuk Seri Najib,” katanya
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Johor, Nor Aslina Zainal Abidin pula berkata Badan Perhubungan UMNO Johor telah bertanyakan kepada Abdullah sama ada beliau mempunyai pelan peralihan kuasa.
“Kita tidak minta Pak Lah berundur tetapi ada bunyi-bunyi bahawa contohnya pada zaman (Perdana Menteri pertama Allahyarham) Tunku Abdul Rahman di mana proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar kepada (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein, begitu juga di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad proses peralihan kuasa berjalan lancar kepada Pak Lah.”
Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ketua UMNO Batu Pahat berkata pelan peralihan kuasa tersebut akan menjawab persoalan-persoalan yang timbul di kalangan rakyat dan meningkatkan sokongan mereka terhadap kerajaan.
.
Sementara itu bercakap kepada para wartawan selepas pertemuan selama dua jam dengan Badan Perhubungan UMNO Johor itu, Perdana Menteri mengakui beliau merupakan di antara faktor yang telah menyebabkan BN kehilangan undi pada pilihan raya umum ke-12 bulan lepas.
Abdullah berkata, disebabkan perkara tersebut beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat sebaik-baiknya bagi memulihkan BN dan UMNO.
“Saya merasakan saya adalah penyebab kepada `pembuangan undi’ (undi tidak diberikan) kepada Barisan Nasional. Dan saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO,” katanya.
Abdullah juga mengakui beliau menerima desakan daripada beberapa Badan Perhubungan UMNO Negeri supaya beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lepas.
“Ada (terima desakan), bukan semua kata begitu. Saya juga dapat laporan… Takpelah mereka nak cakap… tentang undur apa semua… saya pun bukan orang yang nak kekal selama-lamanya dalam kepimpinan,” katanya.
Abdullah mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau hanya akan mengundur diri apabila masalah-masalah yang timbul dalam parti dan amanahnya dalam kerajaan diselesaikan serta keyakinan rakyat dikembalikan.
“Saya nak pimpin parti bukanlah soal saya nak pimpin parti lama tapi yang penting saya mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya dan saya masih berkedudukan sebagai presiden.
“Saya perlu laksanakan tugas-tugas saya (sebagai Perdana Menteri dan presiden parti) dan saya rasa bertanggungjawab untuk pastikan selesaikan masalah masalah yang timbul. Itu yang menjadi perkara utama,” kata Abdullah
Selain Muhyiddin hadir sama di pertemuan itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.
Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hadir kerana Menteri Pelajaran itu kini berada di Paris atas urusan rasmi kerajaan.
Perdana Menteri berkata, beliau memahami banyak perkara dan antaranya ialah perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum ini tetapi masih belum ditunaikan oleh kerajaan sehingga kini.
Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat itu, katanya meliputi pelbagai perkara seperti sistem kehakiman, pembanterasan rasuah, menurunkan kadar jenayah serta hubungan di antara kaum di negara ini.
Bagaimanapun, katanya ada di antara perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu perlu mengambil masa sebelum ianya menunjukkan hasil yang positif.
“Oleh kerana itu, saya akan terus memberikan perhatian untuk membawa perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat. Malah ia telah pun dimasukkan di dalam janji-janji kerajaan BN di dalam manifesto (BN) pada (pilihan raya umum) 2004,” katanya.
Dalam sidang akhbar berkenaan Ghani telah menyuarakan sokongan UMNO Johor kepada Abdullah untuk pemilihan UMNO hujung tahun ini dan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Beliau berkata pernyataan sokongan terhadap Perdana Menteri hari ini adalah sama sebagaimana yang diputuskan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor pada mesyuaratnya 5 April lepas.
“Kami ingin nyatakan pendirian UMNO Johor untuk bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam usahanya untuk memperkuatkan semula Barisan Nasional dan UMNO”.
“Pendirian UMNO Johor adalah untuk memberi sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” katanya.
Pada sebelah pagi Abdulllah menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRPA). – 11/4/2008
Dipetik daripada Agenda Daily
“Saya akan bersara juga suatu hari nanti dan saya tidak mahu berkuasa lebih lama daripada yang sepatutnya,” jelas Pak Lah. “Tetapi ada perkara yang perlu saya lakukan sekarang. Saya tidak boleh berundur ketika parti berada dalam keadaan sekarang.
“Datuk Seri Najib Razak sebagai pengganti saya kelak memahami keadaan ini… dia memahami saya lebih daripada anda memahami saya.”
Keesokannya, Najib sendiri mengakui amat terharu.
“Saya berterima kasih dan terharu di atas kepercayaan dan keyakinan Perdana Menteri. Semalam (kelmarin), kali pertama PM menzahirkan secara terbuka dan saya amat menghargai keyakinan PM.”
Sesudah Abdullah dan Najib masing-masing menyatakan pendirian, apakah ia harus dianggap penting apabila ada orang lain menyatakan sesuatu yang berlawanan?
“Sesiapa saja boleh mengingati Datuk Seri Najib sentiasa setia kepada kepemimpinan dalam sebarang krisis pada masa lalu,” kata pegawainya lagi. “Beliau akan terus setia.”
Petikan daripada rencana Berita Harian, 12 April 2008
Leave A Reply